26.3 C
Ipoh
Thursday, 17 July 2025

Misteri Kematian Si Lenggang di Sungai Perak

- Advertisement -
- Advertisement -

Misteri Kematian Si Lenggang di Sungai Perak

Negeri Perak terdapat banyak kisah-kisah menarik yang boleh diangkat. Malah, kebanyakan kisah yang ada masih lagi tidak diterbitkan semula pada masa kini untuk tatapan generasi kini.

Terdapat satu kisah yang dicatitkan oleh pentadbir kolonial British yang bernama Sir Frank Swettenham. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Residen British Perak, Residen British Selangor dan Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Sewaktu berada di negeri Perak, beliau banyak menulis berkenaan apa yang dilihatnya berlaku di negeri ini. Berikut antara kisah yang dicatatkannya tentang peristiwa di Sungai Perak suatu ketika dahulu.

Kisahnya bermula pada suatu petang dalam tahun 1892, apabila seorang lelaki Melayu bernama Lenggang yang mencari rezeki menjaja dengan menggunakan perahu di sungai Perak telah meninggalkan kawasan Bota.

Lenggang meninggalkan Bota bersama-sama dengan semua barangan dagangan serta wang yang pernah dijaga oleh sepupunya yang merupakan anak penghulu di kawasan Bota.

Dikatakan, Lengang memulakan perjalanan sendirian dengan perahunya meninggalkan Bota. Namun pada keesokan harinya, mayat Lenggang ditemui dalam keadaan terbaring dalam perahunya.

Lokasi perahu di mana mayat Lenggang ditemui melewati kawasan Kampung Pulau Tiga dan keadaan mayat Lenggang pada masa itu dihurung dengan banyak nyamuk penghisap darah.

Menurut ketua kampung yang melihat keadaan mayat Lenggang, ia langsung tidak ada apa-apa perkara yang mencurigakan kerana tidak ada sebarang tanda-tanda keganasan pada badan mayat Lenggang.

Dalam perahu Lenggang juga di penuhi dengan barangan dagangan serta sejumlah wang yang nampak tidak terusik. Jenazah Lenggang selepas itu telah dikebumikan dengan sebaiknya.

Hal kematian Lenggang dilaporkan dan siasatan telah dijalankan namun tidak ada apa-apa kesudahan. Namun beberapa bulan selepas kejadian, ahli keluarga Lenggang telah muncul di Balai Polis Teluk Anson (Teluk Intan kini).

Kisah Kematian Si Lenggang Yang Misteri di Sungai Perak
Bota sekitar tahun 1874

Ahli keluarga Lenggang mendakwa bahawa mereka punyai alasan yang baik untuk mempercayai bahawa si Lenggang telah dibunuh dalam satu konspirasi yang telah dirancang.

Keluarga Lenggang percaya bahawa mangsa telah dibunuh di Lambor iaitu lokasinya terletak beberapa batu dari Bota dan sebelum sampai ke lokasi mayatnya dijumpai di Pulau Tiga.

Setelah menerima dakwaan dan maklumat daripada keluarga Lenggang, pihak berkuasa segera ke lokasi kejadian dan menangkap beberapa orang yang didakwa terlibat dan mengetahui hal tersebut. Kemudian, semua yang ditangkap dibawa ke Teluk Anson.

Apabila tiba di Teluk Anson, mereka yang ditangkap ini menyatakan bahawa mereka akan memberikan maklumat yang diperlukan sekiranya mereka akan dibebaskan. Hal ini kerana mereka telah berjanji untuk menutup mulut selagi tidak menderita.

Keterangan mereka yang ditangkap diambil kira sebagai penerangan saksi untuk kes kematian Lenggang yang dianggap penuh misteri. Perincian penerangan daripada saksi adalah seperti di bawah.

Sewaktu perahu Lenggang tiba di Lambor, hari sudah hendak malam. Jadi Lenggang telah berhenti dan mengikat perahunya di tiang (sekitar 20 kaki dari tebing sungai) untuk siap sedia bermalam di sana.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki Melayu bernama Ngah Prang bersama tiga sekawan tiba di kawasan tebing sungai dan bertanya kepada saksi yang ditangkap jika ternampak mana-mana perahu penjaja yang ada di sekitar sana.

Ngah Prang pada waktu itu menyatakan tujuannya untuk merompak perahu penjaja dan secara tidak langsung bertujuan hendak menakut-nakutkan saksi yang ada di situ supaya memberikan maklumat berkenaan dengan lokasi penjaja yang ada di kawasan sekitar itu.

Lebih kurang jam 8 malam, beberapa orang di darat terdengar teriak orang meminta tolong dan minta jangan dibunuh dari sungai. Lebih kurang 5 ke 6 orang lelaki keluar berlari dari rumah untuk ke tebing untuk melihat apa yang terjadi.

Saksi menyatakan bahawa Ngah Prang bersama dua lelaki lain berada di dalam perahu Lenggang. Si Lenggang terbaring sambil dipegang kedua tangan kakinya dan dicekik sehingga mati.

Mereka yang berada di tebing pada waktu itu terdengar bunyi ketukan dalam perahu seolah-olah kaki menendang atau tangan memukul dengan laju dan kemudian suasana sunyi menandakan Lenggang telah meninggal dunia.

Selepas keadaan menjadi sunyi sepi, saksi yang berada di tebing sungai mula tertanya-tanya dan memanggil orang-orang yang ada di dalam perahu Lenggang yang hampir 20 kaki jauhnya.

Namun tiada yang menyahut memberi sebarang jawapan dan pada malam yang diterangi cahaya bulan itu, saksi dapat melihat kelibat apa yang mereka sedang lakukan selepas suasana mula sunyi.

Suspek dilihat bergegas keluar dari perahu Lenggang dan kemudian melepaskan tali perahunya yang ditambat pada tiang. Mereka kemudian berlalu pergi dengan perahu lain dan menghilang dari pandangan.

Pada waktu itu, si Lenggang sudah tidak bergerak dan sudah meninggal dunia. Perahunya yang sudah tidak bertambat pun berlalu pergi dibawa arus sungai ke Hilir Perak.

Saksi-saksi tragedi ini kemudian kembali ke rumah masing-masing dan tidak berbuat apa-apa. Mereka mungkin takut dan tidak mahu terlibat dengan perkara kes jenayah yang baru berlaku di hadapan mereka sendiri.

Tragisnya, beberapa dari saksi dengan naifnya menyatakan bahawa mereka terdengar bahawa terdapat seorang penjaja yang ditemui mati dalam perahu pada keesokan harinya.

Pada hari berikutnya, salah seorang daripada saksi telah bertemu dengan salah seorang pembunuh lalu saksi bertanya kepada suspek tentang peristiwa yang berlaku pada malam itu.

Suspek hanya menjawab, mereka hanya merompak dan telah berlaku satu perkara di luar jangka sehingga menyebabkan Lenggang meninggal dunia kerana dicekik oleh mereka.

Suspek juga dikatakan telah mengugut saksi sehari selepas kejadian tersebut supaya mereka menutup mulut jika tidak satu perkara yang buruk akan melanda mereka sekeluarga.

Tidak lama selepas pendedahan dibuat oleh saksi, pihak berkuasa terus menjalankan operasi penangkapan untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan. Setelah tangkapan dibuat, banyak bahan bukti ditemui antaranya adalah harta benda barang dagangan, pakaian Lenggang dan wang curian.

Kisah Kematian Si Lenggang Yang Misteri di Sungai Perak

Akibatnya, penjenayah tersebut telah dihukum gantung akibat perbuatan mereka itu. Kisah jenayah yang tragis ini telah direkodkan oleh Sir Frank Athelstane Swettenham dalam bukunya Malay Sketches kerana ingin memberi gambaran tentang keadaan perasaan serta keadaan orang-orang Melayu di kawasan kampung yang rata-rata daripada mereka adalah miskin dan jauh dari kawasan pentadbiran.

Rujukan:

  • Malay Sketches, Sir Frank Athelstane Swettenham

📢
Jangan terlepas berita terkini kami! Sertai saluran rasmi WhatsApp Channel Orang Perak sekarang.
Klik & Sertai Sekarang
- Advertisement -
Freddie Aziz Jasbindar
Freddie Aziz Jasbindarhttps://fred.my
Pengasas orangperak.com dan Pencinta Sejarah Tempatan Negeri Perak.
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here