Heboh seluruh Malaysia pada tahun 2005 apabila seorang kanak-kanak genius yang berusia 6 tahun mampu menyelesaikan pelbagai masalah dalam mata pelajaran matematik seperti algebra, indeks dan trigonometri.
Adi Putra bin Abdul Ghani adalah nama yang tidak asing lagi buat seluruh rakyat Malaysia yang mana pada waktu itu amat tergamam dengan kemampuan seorang budak berusia 6 tahun.
Adi Putra bin Abdul Ghani dilahirkan pada 27 Januari 1999 di Bagan Serai, Perak. Kepintarannya dalam bidang matematik dapat perhatian banyak pihak khususnya mengenai bantuan dan bimbingan yang wajar diberikan kepadanya bagi memastikan kebolehannya digilap dengan sebaik mungkin.
Kebolehan Adi Putra dalam menjawab soalan matematik tambahan secara congak dengan cepat dan tepat menjadi tanda tanya bagaimana beliau memperoleh jawapan berkenaan menggunakan formula sifir dan logik tersendiri, juga meyakinkan.
Ramai yang kagum dengan keupayaan beliau yang mana pada ketika usia itu tidak dapat pendidikan formal matematik untuk menyelesaikan masalah soalan matematik yang tidak setaraf dengan umurnya. Adi Putra dikatakan dapat menyelesaikan soalan matematik dengan congak dalam masa kurang daripada sesaat.
Dalam bulan Ogos 2005, ada laporan dalam Berita Harian yang melaporkan tentang kehebatan Adi Putra bahawa beliau dengan mudah telah mengalahkan 19 guru serta 230 pelajar tahun satu hingga tahun enam dalam ujian kepintaran minda di Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau Baru di Bagan Serai.
Dalam ujian itu, Adi Putra dengan pantas menjawab tepat sehingga membuatkan guru tertanya-tanya mengenai formula sifir dan logik menjawab soalan yang diberi secara rawak. Kanak-kanak itu juga mampu menyelesaikan pelbagai soalan matematik peringkat sekolah menengah dan mengenal dengan mudah angka trilion (15 angka).
Kebiasaannya, Adi Putra hanya mengambil masa kurang satu minit bagi menjawab soalan asas matematik manakala bagi soalan peringkat sekolah menengah serta asas universiti, kanak-kanak itu mampu menyelesaikannya kurang lima minit dengan hanya menggunakan jari dan kekuatan ingatannya.
Menurut Abdul Ghani ayah kepada Adi Putra, kepintaran Adi Putra dapat dikesan oleh mereka sekeluarga sejak Adi Putra berusia empat tahun lagi. Hal ini adalah kerana apabila Adi Putra berjaya menyelesaikan masalah matematik abangnya yang bernama Amirul Izuan iaitu 4 tahun lebih tua daripada Adi Putra.
Menurut keluarganya lagi, nama Adi Putra adalah diambil dari nama kepada guru silat pahlawan-pahlawan dalam sejarah melayu pada zaman Hang Tuah. Selepas beberapa tahun meraih populariti dan nama dalam negara, Adi Putra tiba-tiba menyepi dari sebarang publisiti.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, sebenarnya ramai pihak mula melahirkan kebimbangan apabila Adi Putra mengambil keputusan untuk berhenti belajar di Sekolah Islam Antarabangsa di Gombak selepas menyifatkan sistem pendidikan sedia ada tidak sesuai dengannya.
Malah masih ada masyarakat kita hari ini yang masih ingat dengan kata-katanya pada waktu itu apabila beliau mengumpamakan dirinya seperti kereta Ferrari yang dipandu seperti kereta Kancil.
Hari ini, beliau banyak menghabiskan masa memenuhi undangan daripada sekolah, universiti mahupun kumpulan tertentu untuk mengajar ilmu matematik luar biasa yang dimilikinya sejak lebih 10 tahun lalu.
Bukan itu sahaja, anak kepada pasangan suami isteri, Abdul Ghani Abdul Wahid dan Serihana Elias ini turut menerima jemputan untuk menjadi tenaga pengajar di sebuah universiti di Brunei Darussalam.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, hari ini Adi Putra masih meneruskan kehidupannya dengan menjadi tenaga pengajar walaupun tanpa kelulusan dan kelayakan akademik. Beliau hanya bersandarkan kepada nama dan popularitinya sebelum ini. Anda boleh cari halaman facebook ADi Putra Matematik untuk ikuti perkembangan beliau.