Gunung Matsurat, Gunung Warisan Kinta

Gunung Matsurat terletak di dalam kawasan persempadanan Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh dan di dalam kawasan pentadbiran Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh. Ia terletak di dalam Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta, Perak Darul Ridzuan.

Gunung Matsurat -  Gunung Warisan Kinta

Gunung ini juga dikenali sebagai Gunung Masoorat sebagai nama rasminya seperti yang tertera di dalam pelan di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Daerah Kinta, Negeri Perak walaubagaimanapun dikalangan penduduk setempat mengenalinya sebagai Gunung Matsurat. Selain itu gunung ini turut dikenali sebagai Gunung Tunggal Tiga. Kawasan ini dikategorikan sebagai kawasan hutan perlindungan dan hutan darat.

Gunung Matsurat -  Gunung Warisan Kinta

Gunung warisan ini terkenal dengan Kisah Mitos Sumpahan Sang Kelembai. Mengikut cerita tetua, pada zaman dahulu Gunung Matsurat adalah merupakan ‘istana purba’ yang didiami oleh Raja dan Permaisurinya. Hendak dijadikan cerita, mereka mengadakan majlis keraian di dalam ‘istana purba’ ini, maka bergegak gempitala suasananya. Secara tiba-tiba Sang Kelembai telah datang dan dipercayai terganggu dek suasana yang hingar-bingar di dalam ‘istana purba’ ini, menyebabkannya telah menyumpah segala yang berada di dalam gunung ini menjadi batu termasuk Raja dan Permaisurinya.

Gunung Matsurat -  Gunung Warisan Kinta

Setelah menyumpah semuanya menjadi batu, Sang Kelembai dipercayai terus menghilangkan diri. Batu-batu yang dipercayai sumpahan Sang Kelembai ini masih wujud dan dapat dilihat di dalam Gunung Matsurat sehingga ke hari ini. Antara objek-objek batu sumpahan yang masih dapat dilihat di dalam gunung ini adalah berbentuk menyerupai raja, permaisuri, katak, gajah, ular dan perahu. Semua objek-objek ini terletak diruang utama yang menyerupai dewan besar yang terletak di dalam gunung ini.

Gunung Matsurat -  Gunung Warisan Kinta

Gunung Matsurat ini juga kaya dengan warisan arkeologi dimana terdapat pelbagai penemuan bahan-bahan prasejarah di dalamnya termasuk lukisan-lukisan purba hasil daripada monokrom hitam dari bahan arang. Imej lukisan-lukisan purba ini meliputi berbagai bentuk termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan manusia.

Gunung Matsurat -  Gunung Warisan Kinta

Kedudukan gunung ini terletak kira-kira 500 meter daripada Sungai Kinta yang merupakan laluan utama keluar-masuk Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh melalui aliran sungai. Menurut cerita tetua, laluan ini satu ketika dahulu ditadbir oleh Toh Senongsa Seri Nara Wangsa (Orang Besar Enam Belas) iaitu Kapit kepada Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja (Orang Besar Lapan). Toh Senongsa berperanan menguruskan segala hal dagangan yang melalui laluan ini bagi pihak Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja termasuk kutipan cukai dagangan.

Gunung Matsurat -  Gunung Warisan Kinta

Gunung Matsurat sentiasa menjadi simbolik sebagai tanda persempadanan Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh, dimana keluasan kampung ini bermula daripada Gunung Cheroh dan dipenghujungnya ialah Gunung Matsurat. Jarak diantara kedua-dua gunung ini adalah kira-kira 3km. Kini Gunung Cheroh telah terkeluar daripada persempadanan kampung ini berikutan beberapa faktor setempat manakala Gunung Matsurat masih kekal menjadi sebahagian daripadanya.

Usaha untuk mengembalikan semula Gunung Cheroh ke dalam persempadanan Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh akan sentiasa menjadi keutamaan bagi pimpinan masyarakat setempat demi melengkapkan semula nilai warisan bagi kampung ini dan seterusnya diwariskan kepada generasi akan datang.

Gunung Matsurat -  Gunung Warisan Kinta

Rujukan utama:

  • “Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja (Pasak Kepayang – Pasak Paloh) dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa”, susunan Fazil Shuhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3).
  • “Perak Warisan Arkeologi”, Editor Nik Hassan Shuhaimi bin Nik Abd. Rahman terbitan Ikatan Arkeologi Malaysia, 2011.
  • “Tanah Secupak – Di Sebalik Kampung Kepayang”, arahan Faizal Zainol terbitan ContinuallyBebas, 2011.
  • “Kenali Kampung Kepayang”, arahan Mukriz Mahader terbitan Astro Awani, 2019.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here