Pada 1 November 1875 bersamaan dengan hari raya Aidilfitri tepat jam 5.30 petang, J.W.W. Birch dengan semangatnya hendak bertolak ke Hulu Perak untuk menyebarkan pengisytiharan yang ditandatangi oleh Sultan Abdullah tentang pengistiharan J.W.W. Birch sebagai residen perak sepertimana yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Pangkor sebelum ini.
Pada waktu itu, sudah tersebar cerita bahawa Dato Maharajalela akan menyerang J.W.W. Birch, tetapi pihak Inggeris tidak menghiraukan dan menganggapnya sebagai berita palsu serta khabar angin sahaja. Dengan angkuh, J.W.W. Birch menyatakan sebelum berangkat ke Hulu Perak bahawa akan menembak Dato Maharajalela sekiranya beliau diserang.
Perahu naga J.W.W. Birch
JWWW Birch akhirnya bertolak ke Hulu Perak dari Bandar Baru pada hari tersebut dengan perahu naganya. J.W.W. Birch diiringi oleh beberapa orang iaitu Sub Leftenan J. F. Abbott, jurubahasanya Mat Arshad dan sepasukan askar. Terdapat dua lagi perahu lain yang juga mengiringi perahu naga J.W.W. Birch.
Semasa dalam perjalanan J.W.W. Birch ke Hulu Perak, J.W.W. Birch telah berhenti di satu tempat yang terletak sebelum Pasir Panjang untuk memberi ruang kepada Mat Arshad serahkan surat pengishtiharaan kepada Raja Lop. Malangnya pada waktu itu Raja Lop tidak ada di rumah dan mereka menunggu sehingga senja.
Selepas tanak nasi dan makan malam lebih kurang jam 8.30 malam, J.W.W. Birch sudah tidak sabar lagi untuk menunggu Raja Lop pulang lalu memberitahu angkatannya untuk meneruskan perjalanan ke Pasir Salak dengan segera. Maka bertolaklah mereka ke Pasir Salak dan mereka semua sampai di sana pada malam itu juga lebih kurang jam 10 malam ke 11 malam.
Oleh kerana hari sudah lewat malam, J.W.W. Birch memutuskan untuk tidur di dalam perahu naganya sahaja. Pada pagi raya Aildilfitri ke dua bertarikh 2 November 1875, J.W.W. Birch telah mengarahkan perahu naganya diikat berdekatan dengan rumah mandi tukang emas cina di kawasan tersebut.
Hendak dijadikan cerita, dua perahu yang mengiring Birch sejak mulanya pula diikat jauh sedikit dari perahu naga milik J.W.W. Birch. Mat Arshad diarahkan oleh J.W.W. Birch untuk memaklumkan tentang hal kedatangan British di Pasir Salak kepada Dato Maharajalela dan menampal surat pengishtiharaan di Pasir Salak.
Mat Arshad juga menjemput Dato Maharajalela ke tebing sungai untuk berjumpa dengan J.W.W. Birch. Lantas selepas mendengar jemputan tersebut, Dato Maharajalela membantah dan menolak jemputan tersebut. Dato Maharajalela menegaskan bahawa negeri dan kampung ini bukanlah milik Birch dan tidak ada sebab untuk menghadapnya.
Tidak cukup dengan itu, Dato Maharajalela mengugut akan menentang sekiranya surat pengisytiharan tersebut dilekatkan kerana mendapat arahan menetang J.W.W. Birch daripada Sultan Abdullah dan Sultan Ismail.
Pada pagi raya Aildilfitri ke dua bertarikh 2 November 1875 iaitu tepat jam 6 pagi sesudah subuh, Sub Leftenan J. F. Abbott bersama-sama dengan yang lain keluar berburu di Kampung Gajah. J.W.W. Birch pula berpakaian serba putih keluar dari perahu naganya untuk ke rumah mandi yang terletak di tebing sungai Perak milik tukang emas yang bernama Koh Ah Yong.
Sementara itu, J.W.W. Birch mengarahkan Mat Arshad untuk menampal surat pengishtiharaan. Maka, Dato Maharajalela tidak dapat menahan kemarahan dengan tindakan J.W.W. Birch yang seolah-olah mencabar amarannya. Lantas dikumpulkan orang-orang lengkap bersenjata di tebing sungai untuk menyerang.
Dato Sagor yang turut hadir membawa keris serta lembing berjumpa dengan Mat Arshad dan J.W.W. Birch. Dato Sagor terus mengoyak sehelai surat pengishtiharaan di hadapan mereka berdua dan tindakannya mengoyakkan surat tersebut diikuti oleh yang lain-lain sorang satu di hadapan J.W.W. Birch.
Kemudian, Dato Sagor menyandarkan lembingnya di dinding kedai cina tersebut lalu naik ke perahu naga Birch untuk berbicara. Entah apa yang mereka bualkan dalam keadaan Birch yang sedang duduk selesa di atas kerusi rotannya dalam perahu naga tersebut.
Selepas beberapa ketika mereka berdua berbicara, Dato Sagor bersama-sama dengan Mat Arshad terus pergi bertemu dengan Dato Maharajalela pula. Mat Arshad dibawa masuk ke balai kubu Pasir Salak dan dipersilakan untuk makan sirih.
Pada masa yang sama, Mat Arshad bersama lebih kurang 20 orang datang berkumpul dan berhimpun di depan halaman rumah Dato Maharajalela dan mereka memaklumkan bahawa J.W.W. Birch ingin Dato Maharajalela datang dan bertemu dengannya di perahu naga, tebing sungai.
Sekali lagi Dato Maharajalela menolak kerana beliau menegaskan bahawa tidak ada urusan dengan J.W.W. Birch dan menghalang menampal sebarang surat di kawasan tersebut. Mat Arshad pun kembali ke tebing sungai di mana perahu naga Birch ditambat dan melaporkan hal dan keadaan yang berlaku kepada J.W.W. Birch.
J.W.W. Birch menjadi berang dengan tindakan Dato Maharajalela lantas terus mengarahkan Mat Arshad untuk terus menampal tanpa menghiraukan amaran dari Dato Maharajalela. Mat Arshad hanya menurut perintah dengan mengambil 3 helaian surat dan menampal di dinding kedai emas cina yang berdekatan.
Hasil tindakan itu, makin ramai orang yang berkumpul di tebing sungai. Dari 20 orang meningkat menjadi kira-kira 60 orang dan rata-rata mereka semuanya lengkap bersenjata. J.W.W. Birch sedikit tergugat lantas mengarah Mat Arshad untuk menyuruh Dato Sagor memberitahu mereka yang datang berkumpul supaya bersurai.
Lalu, Dato Sagor pun suruhlah orang-orang yang berhimpun dalam keadaaan marah itu supaya berkumpul di kawasan lain tetapi mereka hanya berganjak ke belakang sedikit sahaja. Tidak cukup dengan itu, mereka tidak putus-putus berteriak menjerit dengan memaki hamun J.W.W. Birch.
Setelah itu, J.W.W. Birch terus ke rumah mandi untuk mandi pagi. Dalam masa yang sama, Dato Sagor ambil lembing yang disandarnya tadi di dinding kedai. Apabila Dato Maharajalela mendapat tahu bahawa surat pengisytiharaan sekali lagi dilekatkan walaupun telah dikoyakkan, suasana menjadi semakin tegang dan ramai yang semakin marah dengan hal tersebut.
Selepas beberapa kali ditampal oleh Mat Arshad dan dikoyak oleh orang kampung, Mat Arshad merayu agar jangan dikoyakkan lagi selagi mereka ada di sana dan koyaklah apabila mereka beredar dari sana. Namun hal tersebut tidak dihiraukan orang ramai yang semakin marah dengan keberanian J.W.W. Birch.
Sementara berlaku pertengkaran antara Mat Arshad dengan orang ramai, Dato Sagor, Dato Maharajalela dan Pandak Indut pun datang untuk mengoyakkan surat-surat yang ditampal. Kemudian, tanpa berbicara Pandak Indut dan seorang lagi terus mengejar Mat Arshad.
Rumah replika Dato Maharajalela
Lintang-pukang Mat Arshad lari dalam ketakutan kerana dikejar dengan parang. Dalam masa yang sama, Sepuntum ada di situ dan terus melaung “Kita membawa titah – amuk amuk!”. Lantas ketika mengejar Mat Arshad, Mat Arshad ditikam dalam pergelutan dan terus berlari ke arah perahu naga Birch yang ada di tebing sungai.
Sedang ada di dalam sungai berlari ke arah perahu naga, Sepuntum terus menetak kepala Mat Arshad dengan sekali hayun dan terus padam. Pada masa ini, J.W.W. Birch sedang ada di rumah mandi di tepi sungai dan terlihat kejadian tersebut. Pengawal Birch yang bernama Kalil Khan terus lari menyelamatkan diri melihat keadaan yang menimpa Mat Arshad.
Begitu juga dengan pegawai Birch yang lain serta askarnya yang lari menyelamatkan diri sambil melaungkan, “Birch sedang mandi! Birch sedang mandi!”, dengan tidak menghiraukan soal keselamatan J.W.W. Birch. Lantas mereka yang sedang marah itu terus pandang ke arah rumah mandi.
Pandak Indut terus melontar lembingnya ke arah J.W.W. Birch dan kemudian diikuti oleh Che Ali, Ngah Jabor dan Panjang Bur. Dato Sagor bersama-sama dengan Dato Maharajalela ikut sama berlari ke arah J.W.W. Birch dan juga menbaling lembing ke arah musuh mereka itu.
Akibat daripada lembing-lembing yang dilemparkan dan tertusuk di badan J.W.W. Birch, Birch terjatuh ke dalam sungai Perak. Sepuntum yang baru mengorbankan Mat Arshad juga terus menolehkan pandangannya ke arah J.W.W. Birch dan berlari ke arah yang sama untuk membunuhnya.
gambar ilustrasi
Ngah Jabor menjerit kepada Sepuntum agar menetak J.W.W. Birch kerana Sepuntum lah yang paling hampir dengan Birch. Apabila J.W.W. Birch timbul semula dari sungai, Sepuntum terus menetak kepala Birch sebanyak dua kali dan Birch terus terkorban dan dihanyutkan oleh arus Sungai Perak.