Ngah Jabor, Pengasas Kepada Daerah Kampar

Ngah Jabor atau nama sebenar beliau Mohammad Jabar bin Bardot dan juga dikenali dengan nama gelaran Imam Prang Jabor merupakan salah seorang tokoh penting dalam peristiwa penjajahan British di Perak, khususnya dalam garis waktu penentangan kepada Residen British di Perak pertama iaitu J.W.W. Birch. Beliau adalah merupakan orang kanan kepada pahlawan Perak yang termasyhur iaitu Dato Maharaja Lela atau nama sebenar Pandak Lam. Ngah Jabor juga merupakan pengasas kepada daerah Kampar, Perak.

Beliau merupakan saudara sesusu atau adik beradik sesusu dengan Sultan Perak yang ke 28 iaitu Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah ibni al-Marhum Raja Bendahara Alang Iskandar. Raja Idris dan Ngah Jabor mempunyai hubungan kekeluargaan sebagai saudara sesusu kerana semasa kecil Raja Idris disusui oleh ibu Ngah Jabor iaitu Uda Punta dan menjadi amalan biasa bagi keluarga DiRaja menyusukan anaknya kepada orang lain terutama dari golongan orang-orang kenamaan.

Ada dimuatkan dalam buku penulisan Hashim Sam yang bertajuk Orang Biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921) yang menunjukkan salasilah hubungan antara Pandak Lam (Dato Maharaja Lela) dengan Ngah Jabor. Mengikut catatan sejarawan Prof C.N Parkinson, Ngah Jabor sebenarnya adalah adik kepada Pandak Lam manakala sejarawan Buyong Adil menyebut bahawa Ngah Jabor bersaudara dengan Pandak Lam. Kedua-dua nama itu berhubung dengan satu lagi nama iaitu Zainal Abidin yang ditunjukkan dalam carta salasilah sebagai ayahanda kepada Pandak Lam dan Ngah Jabor.

Dalam satu salasilah lain, hubungan antara Pandak Lam iaitu Dato Maharaja Lela dan Ngah Jabor ditunjukkan dengan tidak menghubungkan keduanya kepada satu nama yang sama yang memberi makna ayah yang sama. Pandak Lam tidak ditunjukkan hubungan diatasnya yang membawa maksud tidak diketahui ayahnya manakala Ngah Jabor ditunjukkan hubungan ke atas iaitu ayahandanya bernama Bardot. Tetapi kedua-dua nama itu berasal dari akar yang sama iaitu bertemu di moyang mereka yakni Daeng Selili yang menunjukkan hubungan mereka dalam satu keluarga Bugis yang besar. Kedua-dua salasilah yang dinayatakan diatas nampaknya bercanggah antara satu sama lain.

Ngah Jabor

Ngah Jabor pada usianya yang muda iaitu lebih kurang 17 tahun, pernah ditangkap oleh pihak British kerana disyaki terlibat dengan peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch. Malah mengikut rekod rasmi British, jelas menunjukkan Ngah Jabor dan rakan-rakannya yang lain seperti ketuanya Dato Maharaja Lela, Pandak Indut, Panjang Bur, Kulup Ali, Dato Sagor dan Si Tuah dituduh bersekongkol dan bersubahat dalam pembunuhan Residen British di Perak iaitu J.W.W. Birch.

Perbicaraan Mahkamah British Perak telah dilaksanakan di Matang, Larut pada 14 Disember 1876 hingga 22 Disember 1876. Dijelaskan juga bahawa, Kulup Ali, Ngah Jabor, Pandak Indut dan Si Tuah telah merejam lembing ke tempat mandi J.W.W. Birch. Ngah Jabor juga mengakui membunuh J.W.W. Birch apabila ditanya sendiri oleh Dato Maharaja Lela. Difahamkan bahawa Ngah Jabor, Kulup Ali, Si Tuah dan Panjang Bur yang mengaku terlibat dalam konspirasi pembunuhan J.W.W. Birch telah dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah British di Perak atas tuduhan bersubahat dalam pembunuhan J.W.W. Birch.

Maharaja Lela

Manakala Pandak Indut didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 20 Mei 1876. Pada 20 Januari 1877, Maharaja Lela, Datuk Sagor dan Pandak Indut pula dihukum gantung sampai mati. Namun, ada ura-ura dari sesetengah orang berpendapat Ngah Jabor telah dibebaskan dari penjara secara senyap-senyap oleh Raja Idris apabila baginda menjadi Sultan pada tahun 1887. Dakwaan ini diperkuatkan lagi dengan maklumat yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kampar iaitu menyebut “Berdasarkan artikel Datuk Hashim bin Sam Abdul Latiff, penempatan awal Kampar mempunyai kaitan dengan peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch sebagai Residen British di Perak kerana Ngah Jabor sebagai peneroka awal Kampar adalah seorang yang terlibat dalam pembunuhan tersebut, yang lain-lainnya termasuklah Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Putum dan sebagainya. Bagaimanapun Ngah Jabor terlepas dari sebarang hukuman apabila Raja Idris (Dris) yang kemudiannya menjadi Sultan Perak pada tahun 1887 menjadi Hakim mengadili orang-orang yang terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch pada tahun 1876″.

Antara tahun 1876 sehingga 1886 Ngah Jabor telah menghilangkan diri dan ramai yang menganggap bahawa beliau telah keluar untuk bertapa dan menuntut ilmu. Kehilangan Ngah Jabor ini dikaitkan dengan pembukaan Kampung Jabor yang terletak di Kemaman, Terengganu. Dipercayai tempat dimana Ngah Jabor mengasingkan diri dari diketahui oleh pihak British. Ngah Jabor dikatakan muncul semula di Perak pada tahun 1894 tetapi dengan nama yang sedikit berbeza iaitu Mohamed Jabar.

J.W.W Birch

Nama ini mula muncul ketika Kampar mula diteroka untuk dijadikan kawasan perlombongan bijih timah. Mohamed Jabar merupakan tokoh utama yang telah membuka bandar tersebut. Beliau dikatakan telah menjadi seorang kaya yang terkenal di Lembah Kampar. Beliau juga dikatakan pernah membuat tuntutan atas gelaran Dato Maharaja Lela, gelaran yang sebelum itu disandang oleh Pandak Lam. Selepas Pandak Lam menjalani hukuman mati, gelaran tersebut tidak digunakan oleh sesiapa.

Tuntutan itu bagaimanapun ditolak oleh Sultan Idris yang mempunyai pertalian saudara sesusu dengannya kerana beralasan bahawa gelaran tersebut tidak akan dihidupkan semula. Sultan Idris menawarkan jawatan lain iaitu gelaran Dato Panglima Kampar tetapi ditolak dengan penuh hemah oleh Mohamed Jabar. Tuntutan itu dibuat oleh Mohamed Jabar memandangkan beliau adalah satu-satunya tokoh yang tinggal setelah dua lagi tokoh yang berasal dari Pasir Salak atau Kampung Gajah dijatuhi hukuman bunuh iaitu Pandak Lam dan Ngah Kamdin (Dato Sagor).

Mohamed Jabar dikatakan sangat suka mendekati golongan Ulama dan dikatakan tiap-tiap tahun pada bulan Ramadan, pemimpin agama dan alim ulama dari seluruh nusantara akan berkunjung ke rumahnya untuk berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama-sama. Mohamed Jabar meninggal dunia pada tahun 1921 dalam usia 63 tahun. Walaupun tinggal di Kampar, beliau telah dibawa untuk dikebumikan di Kampung Gajah, Perak tempat dimana beliau dibesarkan.

Beliau mempunyai beratus-ratus ekar tanah di beberapa tempat dalam negeri Perak tetapi banyak tanahnya telah diambil kembali oleh pihak berkuasa negeri. Apa yang menarik tentang keturunan Ngah Jabor adalah bekas Ketua Polis Negara Malaysia yang ke empat iaitu Tun Mohammed Hanif bin Omar sebenarnya adalah merupakan cucu kepada Ngah Jabor.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.