Rumah Datuk Maharajalela Hampir Rebah

Orang kita zaman sekarang tidak lagi menghargai jasa-jasa orang lama dan tidak endah langsung dengan sejarah serta keturunan. Akui sahaja yang kita hanya pandai laungkan perkataan merdeka yang tidak mempunyai apa makna kemerdekaan dan tidak pernah ambil tahu tentang bagaimana susahnya tokoh pejuang merdeka, pahlawan, hartawan orang melayu berusaha untuk mengecapinya. Kepada siapa lagi bangunan bersejarah warisan tokoh lama ini hendak mengadu dan berharap jika bukan kita yang hidup di zaman sekarang?

peta pasir salak

Datuk Maharajalela ialah seorang pembesar yang kelapan negeri Perak dan juga merupakan pejuang bangsa yang bertanggungjawab kepada sumpah dan janjinya. Beliau berketurunan Daeng Selili dan merupakan anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan Sultan Mudzaffar Shah III, beliau telah datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti serta dianugerahkan gelaran Datuk Maharajalela Tan Lela.

datuk maharajalela

Gelaran tersebut memberi makna pada kekuasaan beliau bahawa kuasa yang membolehkan hukuman memancung dengan tanpa bertanya. Beliau telah merancang dan membuat pakatan untuk membunuh James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch) iaitu Residen British Perak yang pertama. Datuk Maharajalela didapati bersalah terhadap pembunuhan J.W.W. Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak oleh mahkamah yang bersidang dari 14 Disember hingga 22 Disember 1876 di Matang, Perak. Beliau telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 20 Januari 1877 di Taiping.

Berkenaan dengan rumah Datuk Maharajalela, ada laporan dari pembaca orangperak.com yang mengatakan bahawa rumah peninggalan pahlawan Melayu yang menentang British yang amat kita megahkan itu dibiarkan dengan begitu sahaja menjadi sarang penagih dadah dan menunggu masa hendak roboh. Jika benar seperti yang dilaporkan itu, maka kita semua ini bangsa jenis apakah namanya? Adakah kita ini bangsa yang melupakan perjuangan orang terdahulu, dan tidak cukupkan nilai perjuangan Datuk Maharajalela sehingga beliau diterima hukuman gantung sampai mati?

rumah datuk maharajalela

Ini adalah sikap bangsa kita yang sebenar terhadap orang yang berjasa. Kita terpaksa terima hakikat ini walaupun ia pedih dan sukar untuk ditelan. Kita menjadi bangsa yang tidak tahu mengenang jasa. Seharusnya patut ada usaha untuk memulihkan semula rumah dan kubu Datuk Maharajalela yang ada di Pasir Salak. Ia wajar dilakukan demi memartabatkan perjuangan mereka dalam menentang Inggeris dan untuk dijadikan rujukan dan tatapan anak cucu kita nanti.

datuk maharajalela

Barangkali usaha Datuk Maharajalela itu penentang British bukanlah satu sejarah besar buat bangsa Melayu yang mesti diingati dan dibanggakan. Demikianlah nilai perjuangan seorang pahlawan Melayu di mata bangsanya yang lebih British dari British. Apa yang kita banggakan adalah Kellie’s Castle yang hak milik orang British dan dijaga rapi. Ada banyak lagi makam, bangunan sejarah yang mempunyai nilai-nilai significant dibiarkan terbiar tanpa dijaga dan sayangnya mungkin akan pupus tidak dapat dilihat oleh generasi yang akan datang.

update

Update: Wakil dari Persatuan Keturunan Daeng Selili yang bernama Daeng Apis telah ambil maklum berkenaan dengan rumah warisan ini dan maklumat tindakan adalah seperti petikan komen facebook beliau diatas.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.