Semasa zaman kegemilangan dan kewujudan negeri Reman, ia adalah sebuah kerajaan negeri yang berdaulat. Lokasi negeri yang berdaulat ini terbentang luas dari kawasan hulu sungai Patani dan Sungai Tanjung Mas sehinggalah ke kawasan Lenggong di negeri Perak.
Oleh yang demikian, sudah pasti kawasan Hulu Sungai Perak juga berada di bawah jajahan takluknya Raja Reman dan baginda telah pergi ke Kelian Intan untuk mengusahakan lombong bijih timah di sana.
Rata-rata masyarakat kita hari ini sudah lupa sepenuhnya dengan kewujudan sebuah negeri melayu berdaulat iaitu negeri Reman yang pernah bertapak lebih 100 tahun dahulu di tanah bumi negeri Perak. Anda boleh rujuk semula artikel lama berkaitan negeri Reman di Pengkalan Hulu Dahulunya Ada Negeri Reman Yang Berdaulat dan Bukti Negeri Reman Pernah Menapak Di Gerik, Perak.
Bekas istana Tuan Jagung iaitu Raja Reman yang terakhir masih ada hingga sekarang di Kampung Selarong. Ianya dikenali dengan nama Istana Singgah yang dibina daripada kayu lebih 100 tahun lalu. Istana ini juga pernah dijadikan sebagai tempat persinggahan keturunan Raja Reman untuk melawat ke kawasan jajahan takluknya yang ada di kawasan utara.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, di Kampung Selarong juga terdapat makam permaisuri negeri Reman iaitu permaisuri Cik Neng. Permaisuri Cik Neng adalah isteri kepada Raja Reman yang terakhir iaitu isteri kepada tuan Jagung.
Sudah ditakdirkan apabila selepas perang saudara berlaku pada penghujung abad yang ke 19 yang melibatkan daerah kecil di Lenggong. Apa yang berlaku dalam perang saudara pada waktu itu adalah pembesar Melayu telah diguna-gunakan oleh orang asing untuk dilaga-lagakan supaya mereka bergaduh sesama sendiri agar mereka mendapat peluang untuk mengambil alih pemerintahan orang-orang Melayu.
Oleh yang demikian, putera Raja Reman dikatakan juga gigih dalam usaha untuk mengejar kemerdekaan buat negeri Reman. Tapi malangnya Tuan Lebih Long Raya iaitu putera bongsu kepada Raja Reman dengan Permaisuri Cik Neng telah ditangkap oleh kerajaan Siam pada tahun 1899 dan dibunuh di Bangkok.
Kesihatan permaisuri Cik Neng mula merudum apabila terlalu banyak fikirkan hal dan nasib yang menimpa putera bongsunya. Akhirnya, permaisuri Cik Neng meninggal dunia pada tahun 1915. Makamnya ada di Kampung Selarong, Pengkalan Hulu.
Kisah apa yang berlaku dalam negeri Reman seharusnya dijadikan satu teladan bagaimana pada masa dulu pembesar Melayu dapat digunakan oleh orang asing yang melaga-lagakan mereka supaya mereka bergaduh sesama sendiri. Dengan itu senang mereka mengambil alih pemerintahan daripada orang Melayu.
Angkara inilah yang menyebabkan berlakunya beberapa peperangan di Hulu Perak. Dahulunya, negeri Reman ialah daerah hulu dan terletak berhampiran dengan Patani. Kerajaan Melayu Patani yang berteraskan Islam ialah sebuah kerajaan yang kuat dan sangat stabil pemerintahannya pada abad ke 17 dan 18.