Pernahkah anda dengan dengan nama Laksamana Muhammad Amin? Beliau adalah seorang pembesar Melayu dalam Kesultanan Perak. Jasa beliau dalam mempertahankan negeri Perak satu ketika dahulu tidak wajar dilupakan yang mana beliau bersama-sama dengan Ngah Ibrahim Jaafar dan Dato Maharaja Lela telah berganding bahu dalam menentang penjajahan British.
Jangan anda tidak tahu bahawa hubungan Laksamana Muhammad Amin kepada Ngah Ibrahim ialah bapa mentua. Ngah Ibrahim adalah menantu kepada Laksamana Muhammad Amin yang mana isteri kepada Ngah Ibraim bernama Toh Puan Halimah Laksamana Muhammad Amin.
Nama Laksamana Muhammad Amin ada tercatat di dalam buku harian tulisan J.W.W. Birch selaku residen British pertama di Perak dan Frank Swettenham selaku Residen-Jeneral pertama untuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Seperti yang diceritakan sebelum ini dalam artikel orangperak.com bertajuk Perincian Kisah Detik Pembunuhan J.W.W. Birch berkenaan dengan kisah kemuncak apabila rombongan J.W.W. Birch menampal risalah cukai di Perak dan akhirnya membawa kepada pembunuhan J.W.W. Birch oleh Sepuntum ketika mandi di Sungai Perak.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, di dalam buku tulisan Frank Swettenham yang bertajuk Sketches and Stories of Malaya juga ada digambarkan bahawa Laksamana Muhammad Amin ini adalah sebagai seorang punyai tubuh badan yang gempal dan besar. Hal ini ada diceritakan sewaktu Laksamana Muhammad Amin dikatakan memeluk Datuk Syahbandar sementara rakannya menikam Datuk Syahbandar dengan keris.
Akan tetapi Datuk Syahbandar tidak mati semasa ditusuk keris dan Laksamana Muhammad Amin terus mencabut keris yang ditusuk ke Datuk Syahbandar itu tadi dari pinggangnya dan berjaya membunuh Datuk Syahbandar.
Dalam laporan Frank Swettenham berikutan pembunuhan J.W.W. Birch, Frank Swettenham ada menyatakan bahawa Laksamana Muhammad Amin memberi amaran kepada Frank Swettenham agar tidak datang ke Bota jika tidak mahu dibunuh.
Walaubagaimanapun, butiran tentang kisah kematian Datuk Syahbandar adalah sangat samar dan ramai pengkaji sejarah percaya bahawa beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jurong, Singapura. Namun hal ini langsung tidak diketahui kesahihannya dan lokasi sebenar makam sehingga Datuk Syahbandar tidak diketahui sehingga ke hari ini.
Menteri Larut pada ketika itu iaitu Ngah Ibrahim bersama-sama dengan Laksamana Muhammad Amin tidak dijatuhkan hukuman mati kerana tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan mereka berdua dengan pembunuhan residen British pertama di Perak iaitu J.W.W. Birch di Pasir Salak.
Oleh yang demikian, Ngah Ibrahim dan Laksamana Muhammad Amin yang sentiasa di dalam perhatian pihak penjajah British dan sentiasa menjadi ancaman nombor satu kepada pihak British di Perak telah menyebabkan mereka berdua dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles bersama-sama Sultan Abdullah Muhammad Shah II.
Apa yang berlaku selepas itu, setelah membuat rayuan dan bantahan kepada Ratu Victoria, akhirnya Sultan Abdullah diberikan keampunan dan diperkenankan pulang ke negeri Perak.
Walaupun begitu, Ngah Ibrahim dan Laksamana Muhammad Amin tidak diperkenankan untuk pulang ke negeri Perak dan hukuman buang negeri masih dikenakan kepada mereka.
Hal ini adalah disebabkan faktor pihak British yang cukup risau dengan pengaruh Ngah Ibrahim serta Laksamana Muhammad Amin yang akan menjejaskan pegangan British ke atas negeri Perak. Selepas beberapa tahun, Ngah Ibrahim dan Laksamana Muhammad Amin dipindahkan ke Sarawak dan kemudiannya ke Singapura.
Laksamana Muhammad Amin meninggal dunia pada tahun 1908 di Singapura dan dikebumikan di sana. Dalam tahun 2006, jenazah Laksamana Muhammad Amin telah dibawa pulang ke negeri Perak dan disemadikan di Makam Diraja, Bukit Chandan.
Bayangkan walaupun beliau bukanlah seorang yang keturunan diraja, namun Sultan Azlan Shah memberikan perkenan untuk persemadian jenazah beliau disana. Inilah istimewanya Laksamana Muhammad Amin yang cukup berjasa di negeri Perak.
Seperti semua sudah sedia maklum, Kapal korvet Tentera Laut Diraja Malaysia F136 KD Laksamana Muhammad Amin telah dinamakan sempena nama beliau. F136 KD Laksamana Muhammad Amin telah dibina oleh Limbungan Fincantieri di Breda Mestre, Itali pada 22 Mac 1982 dan telah dilancarkan pada 5 Julai 1983 yang mana asalnya untuk kegunaan Tentera Laut Iraq
Namun hasrat tersebut dibatalkan dan kapal tersebut telah diubah suai dan ditauliahkan pada 31 Julai 1999 dan ianya adalah milik Tentera Laut Diraja Malaysia.
Satu fakta menarik tentang kapal ini untuk anda semua pembaca setia orangperak.com. Untuk makluman anda, kapal ini telah digunakan untuk memindahkan jenazah Laksamana Muhammad Amin dari Pusara Aman di Choa Chu Kang, Singapura ke Makam Diraja Perak di Bukit Chandan, Perak yang terletak bersebelahan dengan makam Sultan Abdullah.