Home Blog Mitos Kisah Kejatuhan Gangga Negara Di Bumi Perak

Kisah Kejatuhan Gangga Negara Di Bumi Perak

0
Kisah Kejatuhan Gangga Negara Di Bumi Perak

Perak amat terkenal dengan misteri kerajaan kuno yang dinamakan sebagai kerajaan Gangga Negara dan lokasinya dikatakan berpusat di kawasan Beruas.

Ada yang terselit tentang cerita berkenaan dengan kisah kejatuhan kerajaan Gangga Negara ini di dalam hikayat yang telah diperkemaskan ke dalam catatan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kisah ini bermulanya dengan seorang Raja bernama Raja Suran yang ingin menakluk dunia.

Tersebutlah kisah di dalam sebuah negeri bernama Amdan Negara yang baru sahaja kehilangan rajanya yang bernama Raja Nusyirwan Adil. Raja Suran diangkat untuk menggantikan datuknya yang mangkat untuk memerintah negeri Amdan Negara yang pada masa itu adalah sebuah kerajaan kuasa besar dan digeruni.

Banyak kawasan darat yang ada adalah kebanyakannya dibawah taklukan kerajaan negeri Amdan Negara kecuali negeri China. Oleh itu, Raja Suran menyimpan cita-cita untuk menyerang dan menakluki negeri China.

pekan beruas

Dalam persiapan untuk menakluki negeri China, Raja Suran mula mengumpulkan jutaan bala tentera, menempa senjata-senjata dan membuat segala persiapan lain untuk pergi menyerang dan menakluk negeri China.

Setelah segala persiapan telah disiapkan dan mereka cukup bersedia, maka berangkatlah Raja Suran bersama-sama dengan bala tenteranya berjalan kali menuju ke benua China untuk menakluk kawasan disana melebarkan kuasa jajahan kerajaannya.

Untuk menggambarkan betapa ramainya bilangan bala tentera Raja Suran, ada dicatatkan di dalam Sulalatus Salatin yang mana seperti petikan berikut, “segala hutan belantara pun habis menjadi padang dan bumi pun bergetar seperti gempa dan gunung pun bergerak dan segala tanah yang tinggi-tinggi itu pun menjadi rata dan batu pun habis terpelantingan dan segala sungai pun habis kering jadi seperti lumpur“. Gambaran ini jelas menunjukkan Raja Suran mempunyai bilangan tentera yang amat ramai.

Sepanjang perjalanan Raja Suran bersama-sama dengan bala tenteranya, apabila terjumpa mana-mana negeri yang berada di hadapan laluannya sudah pasti ia akan diserang dan habis ditakluki dengan tanpa bual bicara.

Kaedah peperangan menjadi satu-satunya penentu kemenangan buat Raja Suran. Sudah menjadi lumrah pada waktu ketika itu, kekuatan menjadi simbol penting untuk membuktikan kekuasaan sesebuah negeri.

Pada satu hari selepas berbulan-bulan berjalan kaki, Raja Suran yang dalam perjalanan pun sampailah ke sebuah negeri yang bernama Gangga Negara. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, pemerintah di Gangga Negara adalah bernama Raja Gangga Syah Johan.

Berikut adalah petikan dari Sulalatus Salatin, “Maka adapun negeri itu di atas bukit, dipandang dari hadapan terlalu tinggi dan dari belakang rendah juga. Ada sekarang kotanya di darat Dinding, ke sana Perak sedikit“. Ini jelas menunjukkan lokasi Kota Gangga Negara yang berada di dalam kawasan negeri Perak.

Berita kedatangan Raja Suran ke Gangga Negara akhirnya sampai ke telinga pemimpin Gangga Negara iaitu Raja Gangga Syah Johan. Oleh itu, baginda Raja Gangga Syah Johan pun segera mengarahkan rakyat dan tenteranya supaya siap sedia untuk berperang dan baginda turut mengarahkan untuk menutup dan mengawal ketat kesemua pintu-pintu masuk ke dalam Kota Gangga Negara serta memenuhkan parit yang mengelilingi kota dengan air.

gambaran perang
gambar hiasan sekadar gambaran sewaktu peperangan

Apabila Raja Suran sampai betul-betul di hadapan pintu Kota Gangga Negara, maka seluruh bala tentera Raja Suran pun terus mengepung seluruh kawasan Kota Gangga Negara dan bermulalah kisah tragis peperangan yang hebat antara tentera pertahanan Gangga Negara dengan tentera Raja Suran.

Dikatakan, ramai tentera Raja Suran yang meninggal dunia ditusuk anak panah oleh tentera pertahanan Gangga Negara dari kawasan atas namun ianya tidak sedikit pun menggentarkan tentera Raja Suran sebaliknya mereka makin bersemangat dan terus menyerang untuk merobohkan pintu masuk ke kota yang telah dikunci.

Setelah berkali-kali cubaan untuk merobohkan pintu masuk ke Kota Gangga Negara, maka robohlah pintu gerbang yang mempertahankan kemasukan ke dalam Kota Gangga Negara.

Dengan tanpa membuang masa, semua tentera bersama-sama dengan Raja Suran terus masuk ke dalam Kota Gangga Negara dan menyerang serta mengorbankan mereka semua yang berada di dalam Kota Gangga Negara dengan tanpa berbelas kasihan.

Raja Suran dikatakan masuk ke dalam Kota Gangga Negara dengan menunggang seekor gajah yang besar itu dapat dilihat oleh Raja Gangga Syah Johan yang sudah lama bersedia dari dalam.

Lantas, Raja Gangga Syah Johan terus menarik tali busurnya dan diacu tepat ke arah Raja Suran. Apabila dilepaskan tali busurnya itu, maka anak panahnya pun terus meluru ke arah Raja Suran. Tetapi malangnya, anak panah Raja Gangga Syah Johan sedikit tersasar dan terkena gajah yang ditunggangi oleh Raja Suran.

Sebelum gajah Raja Suran rebah ke tanah akibat terkena panahan Raja Gangga Syah Johan, sempat pula Raja Suran melompat tinggi dari atas badan gajahnya itu ke arah Raja Gangga Syah Johan sambil menghunuskan pedangnya yang tajam.

Raja Suran terus melibas pedangnya apabila sampai hampir dengan Raja Gangga Syah Johan sehingga terkena lehernya Raja Gangga Syah Johan dan terputuslah bercerai kepala dari badan pemerintah Gangga Negara tersebut.

Tergaman dengan gugurnya pemimpin Gangga Negara iaitu Raja Gangga Syah Johan yang trajis di tangan Raja Suran, maka semua rakyat dan tentera Gangga Negara terus lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri.

Dikatakan ada seorang puteri yang cantik paras rupanya dan merupakan saudara kepada Raja Gangga Syah Johan yang turut berada di dalam Kota Gangga Negara. Puteri tersebut adalah bernama Puteri Dara Segangga dan telah dijadikan isteri Kepada raja Suran.

patung avalokitesvara

Maka sejak daripada hari itu, runtuhlah sebuah kerajaan Gangga Negara yang dikatakan tidak kurang juga hebatnya di perantauan segala nusantara. Kewujudan kerajaan Gangga Negara yang pernah bertapak di bumi Perak bukanlah suatu kisah dongeng ataupun mitos semata-mata.

Ini berikutan dengan penemuan beberapa peninggalan kesan sejarah mengenainya yang masih wujud di beberapa kawasan negeri Perak amnya dan Beruas khususnya.

rujukan dan diolah semula berdasarkan buku Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here