MPM Sita Aktiviti Sewaan Tanpa Kebenaran Di Pantai Teluk Senangin
Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung telah melancarkan operasi penguatkuasaan di Pantai Teluk Senangin berikutan aduan awam mengenai aktiviti penyewaan kerusi pelampung yang dijalankan tanpa kebenaran.
Walaupun aktiviti penyewaan kerusi pelampung dibenarkan di kawasan tersebut, pengusaha wajib mematuhi Syarat Pelesenan MPM yang sedang berkuat kuasa. Antara syarat utama termasuk menyimpan peralatan selepas tempoh sewaan tamat dan tidak meletakkan kelengkapan sebelum sewaan dibuat. Selain itu, pengusaha dilarang mengutip bayaran untuk sewaan peralatan lain atau penggunaan tapak yang tidak berkaitan dengan aktiviti tersebut.
Menurut MPM, setakat ini, sebanyak 10 permit telah dikeluarkan kepada pengusaha yang memenuhi syarat. Namun, hanya tiga pengusaha masih aktif beroperasi, manakala tujuh lagi tidak menunjukkan sebarang aktiviti.
Tindakan Tegas ke Atas Pengusaha Haram
Dalam operasi terkini, pihak berkuasa telah menyita pelbagai peralatan termasuk kerusi, meja, khemah, dan pelampung yang digunakan oleh pengusaha tanpa lesen atau kebenaran sah daripada Yang Dipertua MPM. Sebanyak enam sitaan telah dilaksanakan di sepanjang Pantai Teluk Senangin, melibatkan:
- 220 kerusi
- 19 meja kayu
- 1 meja besi
- 1 payung
- 25 pelampung
- 3 khemah
Tindakan ini diambil berdasarkan Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang melarang sebarang bentuk halangan di kawasan awam. Semua peralatan yang disita telah dibawa ke Depoh Simpanan Sementara MPM untuk proses pengurusan selanjutnya mengikut prosedur undang-undang.
Komitmen MPM Pasti Kesejahteraan Pelancongan
MPM menegaskan komitmennya dalam memastikan keharmonian kawasan pelancongan dengan hanya membenarkan pengusaha berdaftar dan mematuhi peraturan untuk beroperasi. Operasi penguatkuasaan secara berkala akan diteruskan bagi memantau serta mengambil tindakan susulan terhadap sebarang pelanggaran.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan aktiviti tidak sah dialu-alukan untuk membuat laporan kepada MPM bagi memastikan kawasan pantai terus terpelihara dan selesa untuk semua pengunjung.






