Panglima Kinta, Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chandang

Dato Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chandang (1670 – 1710) merupakan Dato Panglima Kinta yang Pertama dalam Sistem Monarki Kerajaan Negeri Perak. Toh Tambak merupakan anak kepada Maharaja Kinta, Toh Chandang bin Kulop Kinta, Toh Changkat Piatu.

Dokumen Istana Perak, “Particulars on the Royal Famiy and Chiefs in Perak” menyatakan bahawa gelaran bagi Dato Panglima Kinta adalah “Orang Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja, sayap kiri kerajaan penyangka bahaya daripada pihaknya”. Bangsanya, keturunan Tun Kelalang yang di Hulu Kinta dan daripada Toh Tambak benih Paloh dan Kepayang. Tempat dan miliknya, dari ocak-ocak air meleleh ulu Kinta ke hilirnya hingga terus terhunjam Kuala Punti.

Manakala syaratnya, setengah daripada syaratnya mangkubumi (bendahara atau perdana menteri daerah kinta) dan syarat hulubalang seperti keadaan Raja dengan negeri demikianlah yang memegang rantau dengan rantaunya (hulubalang negeri dibawah Raja).

Panglima Kinta, Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chandang

Toh Tambak memiliki dua orang isteri. Perkahwinan pertamanya di Aceh dan kemudian meneroka, membuka dan menetap di Kampung Paloh (benih Paloh) manakala perkahwinan keduanya adalah dengan Toh Puan Intan yang menetap di Kampung Kepayang (benih Kepayang) iaitu merupakan anak kepada seorang pembesar Kinta pada masa itu iaitu Toh Senongsa Seri Nara Wangsa IV iaitu Toh Nyior Manis bin Toh Senongsa Seri Nara Wangsa III, Toh Tempoyak (Keturunan Tun Kelalang bin Tun Saban Balik).

Panglima Kinta, Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chandang

Perkahwinan kedua ini dipercayai bertujuan untuk menyatukan antara dua keluarga yang berpengaruh di dalam pemerintahan Daerah Kinta pada ketika itu iaitu Maharaja Kinta, Toh Chandang bin Kulop Kinta, Toh Changkat Piatu (Keturunan Sultan Perak II, Sultan Mansur Shah I ibni Sultan Perak I, Sultan Muzaffar Shah I) dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa IV, Toh Nyior Manis bin Toh Senongsa Seri Nara Wangsa III, Toh Tempoyak (keturunan Pemerintah Melayu Terawal Kinta, Tun Kelalang bin Tun Saban Balik)

Anak hasil perkahwinan dengan isteri pertamanya (Kampung Paloh) membenihkan Dato Panglima Kinta ke 2, Toh Changkat Saga (ca 1710 – 1740) manakala anak hasil perkahwinannya dengan isteri kedua, Toh Puan Intan di Kampung Kepayang membenihkan Dato Panglima Kinta ke 3, Toh Changkat Rembiah (ca 1740 – 1765).

Keturunan Dato Panglima Kinta ke 2, Toh Changkat Saga (benih Paloh) dan keturunan adindanya Dato Panglima Kinta ke 3, Toh Changkat Rembiah (benih Kepayang) bergilir-gilir memegang jawatan Dato Panglima Kinta bermula dengan Benih Paloh, Dato Panglima Kinta ke 4, Toh Paloh bin Dato Panglima Kinta Toh Changkat Saga (ca 1765 – 1790).

Diikuti semula Benih Kepayang, Dato Panglima Kinta Toh Ngah Gapor bin Dato Panglima Kinta Toh Changkat Rembiah (ca 1790 – 1815) dan seterusnya bergilir antara kedua-dua benih, benih Paloh dan benih Kepayang.

Panglima Kinta, Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chandang

Penggiliran memegang jawatan Dato Panglima Kinta antara benih Paloh dan benih Kepayang adalah menjadi tradisi dalam perlantikan Dato Panglima Kinta. Benih Paloh atau Pasak Paloh mentadbir Daerah Kinta berpusatkan di Kampung Paloh manakala Benih Kepayang atau Pasak Kepayang mentadbir Daerah Kinta berpusatkan di Kampung Kepayang.

Secara tradisinya juga Pasak Kepayang akan memegang jawatan tambahan iaitu Toh Senongsa Seri Nara Wangsa. Lazimnya jawatan ini akan dipegang oleh adinda kepada Dato Panglima Kinta (benih Kepayang), ini adalah kerana pemegang bagi jawatan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa perlu memiliki darah Tun Kelalang bin Tun Saban Balik. Toh Senongsa Seri Nara Wangsa merupakan Orang Besar 16 dalam Sistem Monarki Kerajaan Negeri Perak.

Panglima Kinta, Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chandang

Menurut Dukumen Istana Perak, “Particulars on the Royal Famiy and Chiefs in Perak”, menyatakan Gelaran kepada Toh Senongsa adalah “Seri Nara Wangsa kapit Panglima Kinta”. Bangsanya ialah “Benih Panglima Kinta”. Tempat dan Miliknya ialah “Lazimnya di Kepayang perintahkannya segala dagangan Panglima Kinta”. Pekerjaannya ialah “Menjagakan daerah dan rakyat yang di dalam perintah Panglima, dialah berdaerah dan memiliki rakyat baruh dan darat”.

Pemakanannya, “Berkuasa atas rakyat keduanya ada dari sakalah pemakanannya demikian juga pada tanah air”.

Panglima Kinta, Toh Tambak bin Maharaja Kinta Toh Chandang

Makam Dato Panglima Kinta Toh Tambak terletak bersebelahan Sungai Kinta dan berhampiran dengan Makam anakandanya, Dato Panglima Kinta ke 3, Toh Changkat Rembiah dan Makam cicindanya, Dato Panglima Kinta ke 7, Toh Ngah Abdul Jaafar atau Toh Ngah Jabor. Tiada makam cucundanya iaitu Dato Panglima Kinta ke 5, Toh Ngah Abdul Ghaffar atau Toh Ngah Gapor berikutan dipercayai telah hilang secara misteri di Gunung Datok, Tambun.

Sumber rujukan utama:

  • Particulars on the Royal Famiy and Chiefs in Perak, Arkib Negara Malaysia, ANM 3003/0008160
  • Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Di Raja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa, susunan Fazil Shuhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3)
  • Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia, tulisan Dr. Adib Vincent Tung terbitan Perak Academy
  • Kenali Kampung Kepayang, arahan Mukriz Mahader terbitan Astro AWANI
  • Bicara Warisan dan Masa Depan Kampung Kepayang bersama Prof Dr. Rokiah Talib, arahan Faizal Zainol terbitan ContinuallyBebas

Leave a Comment