Perak Menjadi Pengeluar Utama Durian Negara 2024

Perak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negeri pengeluar utama durian di Malaysia dengan mencatatkan pengeluaran sebanyak 59,217.3 tan metrik bernilai RM462.28 juta pada tahun 2024.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kejayaan itu bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi agromakanan negara, malah membuktikan keupayaan Perak dalam pasaran eksport durian antarabangsa.
Menurutnya, Malaysia telah mengeksport durian hasil Perak ke lebih 41 negara antara tahun 2017 hingga 2023, dengan 73 peratus nilai eksport tertumpu ke China.
Permintaan Global Meningkat
“Pada 2022, nilai eksport durian Malaysia mencecah RM1.14 bilion, termasuk RM887 juta ke China. Permintaan terhadap varieti premium seperti Musang King, Black Thorn, D24, IOI, serta durian kampung dari Perak terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kejayaan Topone Solution Sdn Bhd (TSSB) yang berjaya mengeksport 30 kontena durian bernilai RM20 juta pada 2024, termasuk lima kontena durian kampung (RM1 juta) dan 100 tan metrik pes durian kampung bernilai RM5.25 juta.
Saarani berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Durian Fest Peringkat Negeri Perak 2025 di Dataran Selama hari ini.
Eksport Sulung ke China Catat Kejayaan Besar
Eksport sulung durian segar Malaysia ke China pada 24 Ogos 2024 menjadi detik bersejarah dengan penghantaran 413.61 tan metrik bernilai RM24.84 juta. Kejayaan ini tercapai ekoran perjanjian fitosanitari antara Malaysia dan China yang mendapat kelulusan rasmi pada Jun tahun lepas.
“Sejak itu, durian Malaysia berjaya menembusi 16 wilayah utama China dan mendapat sambutan luar biasa sebagai produk eksotik premium. Malah, durian kampung Perak semakin dikenali di peringkat global,” jelasnya.
Prospek Masa Depan Cerah
Nilai eksport durian Malaysia dijangka melonjak kepada RM1.8 bilion menjelang 2030, dengan pertumbuhan tahunan antara 20 hingga 25 peratus. Perkembangan ini didorong oleh kemajuan dalam logistik, teknologi rantaian sejuk beku, dan inovasi produk hiliran.
“Tumpuan kini ialah membuka laluan lebih luas untuk durian kampung premium Perak di pasaran antarabangsa melalui penjenamaan strategik, pensijilan kualiti, dan pemasaran digital,” tambah Saarani.
Pasaran Luas, Produk Inovatif Jadi Tarikan
Durian Perak turut mendapat permintaan tinggi dari Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, dan Australia. Harga durian kampung Malaysia mencecah RM29 bagi 600 gram, manakala Musang King dijual sehingga RM400 untuk 2.5 kilogram (kg).
“Usahawan tempatan juga semakin agresif memperkenalkan produk inovatif berasaskan durian seperti coklat durian, kopi durian, kek durian, sambal tempoyak segera, dan ais krim durian yang turut dipasarkan ke China,” katanya.
Dengan prestasi cemerlang ini, industri durian Perak dijangka terus berkembang, sekaligus mengangkat nama negeri ini sebagai antara pengeksport utama durian premium dunia.
– BERNAMA