Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh

    Related

    Benarkah Jasad J.W.W. Birch Sudah Dipindahkan Dari Jiratnya Di Pasir Salak?

    Benarkah dakwaan tentang jasad Birch sudah dibawa keluar dan hanya tinggal pakaian beliau sahaja di sana dan ada juga dakwaan tentang pihak Inggeris membawa helikopter bagi tujuan memindahkan jasad Birch itu.

    Gunung Matsurat, Gunung Warisan Kinta

    Mengikut cerita tetua, pada zaman dahulu Gunung Matsurat adalah merupakan 'istana purba' yang didiami oleh Raja dan Permaisurinya. Hendak dijadikan cerita, mereka mengadakan majlis keraian di dalam 'istana purba' ini, maka bergegak gempitala suasananya. Secara tiba-tiba Sang Kelembai telah datang dan dipercayai terganggu dek suasana yang hingar-bingar di dalam 'istana purba' ini, menyebabkannya telah menyumpah segala yang berada di dalam gunung ini menjadi batu termasuk Raja dan Permaisurinya.

    Gunung Cheroh, Gunung Sejarah Kinta

    Ketika dalam pelayaran, mereka mengalami sesuatu yang aneh apabila melalui kawasan pergunungan batu kapur di Gunung Cheroh, hendak dijadikan cerita kapal yang dinaiki mereka tidak dapat meneruskan pelayaran apabila sampai di kaki Gunung Cheroh kerana laluan yang sempit dan tidak dalam.

    Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh

    Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh terletak di dalam Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta, Perak.

    Toh Changkat Rembiah, Panglima Kinta SABD ke 3 dan Panglima Kinta SABD Pasak Kepayang yang Pertama

    Toh Changkat Rembiah, Panglima Kinta SABD ke 3 dan Panglima Kinta SABD Pasak Kepayang yang pertama dalam sistem penggiliran jawatan Panglima Kinta SABD.

    Share

    Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh terletak di dalam Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta, Perak. Masjid telah dirasmikan oleh DYAM Raja Ekram ibni Sultan Yusuf Izzudin pada 16 Februari 1968. DYAM Raja Ekram merupakan Raja Di-Hilir Perak (1963-1978).

    Kedudukan masjid ini terletak ditengah-tengah antara dua Makam Orang Besar Jajahan Kinta iaitu Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja (SABD) ke 3 Toh Changkat Rembiah (1740-1765) dan Panglima Kinta SABD ke 7 Ngah Jabor (1850-1876). Turut terletak berhampiran masjid ini adalah Makam Panglima Kinta SABD yang Pertama iaitu Toh Tambak (1670-1710).

    Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh

    Menurut cerita tetua, masjid ini adalah binaan kali ketiga. Binaan pertama diperbuat daripada kayu dan terletak berdekatan dengan Makam Panglima Kinta SABD ke 3 Toh Changkat Rembiah. Masjid binaan pertama roboh tanpa meninggalkan kesan. Masjid binaan kedua diperbuat daripada kayu dan ianya telah dipindahkan ke kawasan berhampiran Gunung Matsurat, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh walaubagaimanapun ianya telah roboh dimakan usia. Masjid ini dipindahkan untuk memberi laluan pembinaan masjid batu-bata yang kini dikenali sebagai Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh.

    Tapak masjid ini dikaitkan dengan lokasi persembunyian Sultan Perak ke 25 Sultan Ismail (1871-1874), Dato Maharaja Lela ke 6 Pandak Lam, Dato Sagor Ngah Kamdin dan pengikut-pengikutnya ketika tercetusnya Perang Perak 1875. Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan Kesultanan Melayu Perak dan 20 ekor gajah. Ketika itu kampung ini adalah dibawah naungan Panglima Kinta SABD ke 7 Ngah Jabor dan diketuai oleh Toh Senongsa Seri Nara Wangsa (SNW) ke 9 Itam Dewi. Setelah mendapati lokasi ini tidak selamat, baginda bersumpah dengan memacak pedangnya ke tanah bahawa baginda akan kembali memerintah Negeri Perak suatu hari nanti dan beredar bersama pengikut-pengikutnya.

    Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh

    Bersumberkan dokumen Pejabat Tanah Kinta di Arkib Negara dipercayai tapak masjid ini telah wujud sebelum tahun 1911. Berdasarkan Enakmen Tanah 1911 (Seksyen 9), Residen British mengisytiharkan sebahagian daripada tanah dalam Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh, Perak (nombor plan 19242) direzabkan untuk tujuan masjid melayu dan tanah perkuburan Islam. Ia diselenggarakan oleh Panglima Kinta SABD ke 12 Che Wan (1905-1947) dan penggantinya yang akan dilantik oleh Pegawai Daerah Kinta. Ia telah digazetkan pada 1914 dibawah pentadbiran Residen British Perak yang ke 9 Reginald George Watson (1913-1919).

    Menurut dokumen Pejabat Tanah Kinta, tapak masjid ini sebelum diwakafkan dahulunya dimiliki oleh empat tokoh utama di Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh iaitu Toh Senongsa SNW ke 9 Itam Dewi, Toh Senongsa SNW ke 5 Andak Selamah, Panglima Kinta SABD ke 7 Ngah Jabor dan Toh Senongsa SNW ke 8 Badiozaman.

    Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh

    Kini Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh tidak lagi berfungsi sebagai masjid biasa berikutan kewujudan Masjid Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh (Masjid Baru) yang terletak berdekatan dengannya. Masjid ini turut kelihatan berada dalam keadaan yang sangat uzur, usang dan memerlukan pembaikpulihan segera. Ia dicadangkan untuk dibaikpulih dan diselenggara agar dapat dikekalkan dan ditambahbaik nilai warisannya dan mampu berfungsi sebagai Pusat Ilmu bagi memastikan ianya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

    Sumber dan rujukan:

    • “Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa”, susunan Tuan Haji Fazil Shuhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3)
    • “Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia”, tulisan Dr. Adib Vincent Tung terbitan Perak Academy.
    • “Kenali Kampung Kepayang”, arahan Mukriz Mahader terbitan Astro AWANI.
    • “Pasir Salak, Pusat Gerakan Menentang British di Perak”, tulisan Abdullah Zakaria Ghazali terbitan Yayasan Perak.
    • “Kinta Valley: Pioneering Malaysia’s Modern Development”, tulisan Salma Nasution Khoo, Abdur-Razzaq Lubis terbitan Perak Academy.