Sejak zaman pemerintahan Sultan Perak yang terawal, dimana lokasi pusat pemerintahan Sultan Perak berada maka disitulah juga wujudnya lokasi istana buat Sultan Perak menetap dan bersemayam. Istana Sultan sentiasa berubah-ubah dari Hilir Perak hingga ke Kuala Kangsar.
Diantara faktor lain yang menyebabkan pusat pemerintahan Kesultanan Perak sering berubah pada masa lalu ialah mengikut kesesuaian pada masa tersebut dan atas kehendak Sultan yang memerintah itu sendiri selain daripada faktor pertahanan dengan tujuan untuk mengelirukan musuh. Kebanyakan tempat-tempat yang menjadi pusat pemerintahan dan tapak Istana Perak ini terletak di tebing sebelah kanan Sungai Perak sesuai dengan janji Sultan Perak yang pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah kepada Tok Temong.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, kebanyakan lokasi penting pentadbiran negeri ini terletak di tebing sebelah kanan Sungai Perak. Maksud kanan disini ialah jika kita mengikut arus sungai Perak, iaitu menghulu ke kanan. Oleh itu, tidak hairanlah bahawa terdapat banyak makam-makam Sultan Perak yang dimakamkan di sekitar kawasan Kampung Gajah dan di sepanjang tebing sungai Perak menuju ke hulu sehingga ke Kuala Kangsar.
Tanah Abang
Lokasi Tanah Abang adalah ditepi Sungai Perak yang sekarang di panggil Air Mati, di dalam Mukim Bota berdekatan Makam Sultan Muzzaffar Shah 1 iaitu Sultan Perak Pertama. Tanah Abang adalah satu penempatan di Perak yang berbentuk teluk atau selekoh. Terdapat sebuah pulau yang agak besar bertentangan dengan Tanah Abang. Pada satu masa dulu sebelum terbina nya Hospital Changkat Melintang, kawasan berteluk yang juga membentuk selat ini diperairannya dipenuhi dengan ikan loma.
Kota Lama Kanan
Sultan Mansur Syah telah diputerakan di Bentan, Riau, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Melaka. Apabila Sultan Mudzaffar Syah pertama mangkat pada tahun 1549 di Tanah Abang (Telok Bakong), Lambor Kanan, Daerah Perak Tengah, Baginda Sultan Mansur Syah dilantik menjadi Sultan Perak yang kedua. Baginda kemudian berpindah bersemayam di Kampung Kan Kong (Kota Lama Kanan), Kuala Kangsar, di tepi Sungai Perak.
Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga,Kampung Gajah
Raja Yusuf telah ditawan oleh Acheh semasa Acheh datang menyerang dan mengalahkan Perak di zaman pemerintahan Sultan Mukaddam Shah pada tahun 1619. Raja Yusuf tinggal di Acheh hingga tahun 1627 dan apabila baginda kembali bersama Orang-orang Acheh untuk menggantikan tempat Sultan Mansur Shah. Setelah dilantik menjadi Sultan Perak Baginda diberi gelaran Sultan Mahmud Shah. Baginda ditabal dalam tahun 1627 dan bersemayam di Geronggong yang sekarang dikenali dengan nama Kampung Jawa, Mukim Pulau Tiga, Daerah Perak Tengah.
Semat dalam Mukim Senggang
Semat atau Pulau Semat ialah Pulau yang dibuka oleh Sayyid Ahmad dari Bani Zaidiyyah Suku Arab pelarian keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Keturunan beliaulah menjaga pulau ini sehinggalah diserahkan kepada Sultan untuk dibuat Istana Perak. Kini ia tinggal Makam Diraja dan juga tanah kebun durian.
Bota Kanan Atau Dahulunya Dikenali Sebagai Berahman Indera
Bota Kanan atau dahulunya Berahman Indera merupakan pusat pentadbiran Sultan Alauddin Mughayat Shah ibni Yang di-Pertuan Muda Mansur Shah dan beberapa Sultan Perak yang lain. Sultan Alauddin merupakan Sultan Perak ke-12 yang memerintahPerak dari tahun 1720 sehingga tahun 1728. Diputerakan sebagai Raja Radin, baginda mewarisi takhta Kesultanan Perak selepas kemangkatan bapa saudaranya Sultan Mahmud Iskandar Shah yang tiada berputera.
Ini disebabkan ayahandanya sendiri Yang di-Pertuan Muda Mansur Shah telah mangkat terlebih dahulu. Selepas kemangkatannya, baginda diwarisi adindanya Raja Inu. Baginda dikurniakan seorang putera, Raja Kechil Bongsu, dan seorang puteri, Raja Kechil Ampuan.
Pulau Tiga, Kampung Gajah
Pulau Tiga merupakan sebuah kampung yang terletak di tebing sebelah kanan Sungai Perak di daerah kecil Kampung Gajah, Perak. Di seberangnya ialah Geronggong. Kampung ini menjadi pusat pemerintahan beberapa orang Sultan Perak seperti Sultan Muhamad Shah ibni Yang di-Pertuan Muda Mansur Shah yang merupakan Sultan Perak ke-14 yang memerintah mulai tahun 1742 sehingga tahun 1750.
Pulau Cempaka Sari (nama lama) / Pulau Indera Sakti (nama baru) Di Kuala Sungai Kinta, Kampung Gajah
Pulau Indera Sakti merupakan sebuah pulau yang terletak berhampiran Kampung Gajah, iaitu di Kuala Sungai Kinta, jalan menuju ke Teluk Intan dari Kampung Gajah. Pulau ini tidak terletak di laut, sebaliknya di dalam Sungai Perak. Sungai Perak lebar dan panjang mengalir dari Lembah Belum ke Beting Beras Basah yang berada di Bagan Datoh. Kehebatan serta keindahan Pulau Indera Sakti sebagai pusat pemerintahan Sultan Iskandar Dzulkarnain Sultan Perak ke-15 ini telah disentuh dengan mendalam di dalam Kitab Misa Melayu.
Pasir Pulai Indera Mulia, Kampung Gajah
Pasir Pulai Indera Mulia kini berada di sebuah tempat yang bernama Kampung Teluk Memali di Kampung Gajah. Setelah mangkat “Marhum Kaharullah” Sultan Iskandar Dzulkarnain di Pulau Indera Sakti, Kuala Sungai Kinta, adinda Almarhum Raja Kimas diangkat menjadi Sultan Perak yang ke-16, bergelar Sultan Mahmud Shah. Baginda bersemayam di Pulau Indera Sakti kemudian berpindah ke Pasir Pulai, Pulau Besar di tepi Sungai Perak. Kemudian Pasir Pulai digelar oleh Baginda Pasir Pulai Indera Mulia.Sultan Mahmud Shah mangkat di Pasir Pulai Indera Mulia dan dimakam di tempat bernama Teluk Memali (Pulau Besar) pada tahun 1773 dan di gelar “Marhum Muda”.
Bandar Baharu, Kampung Gajah
Kampung Bandar Baharu atau lebih dikenali dengan nama Bandar Baru oleh penduduk tempatan terletak di Kampung Gajah, Perak. Lokasi kawasan ini terletak benar-benar di tepi tebing kanan Sungai Perak yang pada satu ketika dahulu menjadi nadi untuk jalan utama ke hulu dan ke hilir dalam serata negeri Perak dan menyimpan rahsia yang besar pada zaman dahulu. Bandar Baharu menjadi pusat pemerintahan bagi Sultan Abdul Malik Mansur Shah ibni Sultan Ahmaddin Shah yang merupakan Sultan Perak ke-19.
Baginda telah memerintah mulai 1806 sehingga 1825. Lahir sebagai Raja Abdul-Malik, baginda mewarisi takhta Kesultanan Perak selepas kemangkatan ayahandanya Sultan Ahmaddin Shah pada 1806. Baginda menjadi sultan tiga bulan selepas kemangkatan ayahandanya kerana pewaris sah, Raja Mahmud ibni Raja Ibrahim ibni Sultan Mahmud Shah II enggan turun ke Sayong untuk ditabalkan. Semasa pemerintahan baginda, Perak telah dilanggar oleh Kedah dan Siam serta menimbulkan konflik dengan Selangor. Selepas kemangkatan baginda pada Ogos 1825, takhta baginda diwarisi pula puteranya Raja Abdullah. Bandar Baharu juga merupakan penempatan dan kawasan pentadbiran bagi Residen British Perak yang pertama.
Pasir Panjang, Kampung Gajah
Pasir Panjang merupakan pusat pemerintahan bagi Sultan Shahabuddin Riayat Shah adalah Sultan Perak ke 21 yang telah memerintah mulai 1830 sehingga 1851. Diputerakan sebagai Raja Chulan ibni Raja Inu, baginda adalah cucunda kepada Sultan Ahmaddin Shah. Raja Chulan telah diberikan gelaran Raja Kecil Muda pada tahun 1786 sebelum baginda dinaikkan kepada Raja Bendahara. Pada tahun 1826, baginda telah dilantik Raja Muda. Raja Chulan berjaya ke takhta Perak pada 20 Disember 1830 dan digelar sebagai Sultan Shahabuddin Riayat Shah selepas kemangkatan sepupunya, Sultan Abdullah Muadzam Shah. Sultan Shahabuddin Riayat Shah mangkat pada tahun 1851 dan telah dimakamkan di Kampung Tanjung Penangguh, berhampiran Kampung Gajah.
Durian Sebatang, Teluk Intan
Durian Sebatang yang berada di Teluk Intan merupakan pusat pemerintahan bagi Sultan Abdullah Muhammad Shah I ibni Raja Kecil Besar Abdul Rahman adalah Sultan Perak ke-22 yang telah memerintah mulai 1851 sehingga 1857. Sultan Abdullah Muhammad Shah (Sultan Abdullah I) merupakan cucunda Sultan Perak ke-18, Sultan Ahmaddin Shah. Baginda berjaya menaiki takhta selepas kemangkatan sepupunya, Sultan Shahabuddin Riayat Shah, pada tahun 1851.
Sewaktu pemerintahan baginda, Sultan Abdullah terlibat dalam perang saudara dengan Raja Muda Ngah Jaafar, disebabkan perang saudara tersebut, Sultan Abdullah I melarikan diri dari istananya yang berada di Durian Sebatang dan mencari perlindungan di kediaman Datuk Laksamana Tok Janggut. Pada tahun 1857, Sultan Abdullah I mangkat dan dimakamkan di Durian Sebatang di daerah Hilir Perak. Baginda bergelar Marhum I’tikadullah telah dianugerahkan seterusnya. Walau bagaimanapun, Almarhum adalah lebih dikenali sebagai Marhum Durian Sebatang.
Sayong, Kuala Kangsar
Sayong merupakan sebuah pekan di daerah Kuala Kangsar, negeri Perak. Pekan Sayong merupakan kawasan majoriti penduduk Melayu. Pekan Sayong terletak bersebelahan dengan Sungai Perak dan jambatan sebelum sampai ke bandar Kuala Kangsar. Sayong menjadi pusat pemerintahan bagi Sultan Ali Al-Mukammal Shah ibni Almarhum Sultan Shahabuddin Riayat Shah. Sultan Ali mangkat pada 26 Mei 1871 dan telah dimakamkan hanya pada 28 Jun 1871 di Gedong Siam, Sayong. Gelaran Marhum Nabiallah telah diberikan kemudiannya kepada Sultan Ali. Sejarah Sultan Ali terkenal sebagai Sultan yang lewat dimakamkan iaitu lebih sebulan selepas kemangkatan akibat keengganan Raja Muda Abdullah untuk ke Sayong kerana berseteru dengan Raja Bendahara Ismail.
Batak Rabit, Teluk Intan
Batak Rabit merupakan sebuah pekan yang terletak di daerah Hilir Perak dan berada di antara Teluk Intan dan Hutan Melintang. Batak Rabit mendapat nama dari tentera upahan dari suku asli Batak yang berasal dari Daerah Batak, Sumatera yang dibawa ke semenanjung oleh Raja Laut semasa Perang Saudara Selangor. Orang Batak yang tiba dan menetap di Batak Rabit ini mempunyai hidung dan telingan yang tercarik, terputus atau dalam bahasa tempatan Perak disebut Rabit.
Disebabkan itu penempatan yang didiami mereka disebut sebagai Batak Rabit. Batak Rabit menjadi pusat pemerintahan bagi Sultan Perak ke-26, Sultan Abdullah Muhammad Shah II Ibni Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah Waliullah. Sultan Abdullah terkenal sebagai Sultan yang menandatangani Perjanjian Pangkor yang akhirnya membawa peluang kepada campur tangan British dalam pentadbiran negeri Perak.
Bukit Chandan, Kuala Kangsar
Sejarah Bukit Chandan ini asalnya mengambil sempena nama seekor gajah Sultan Yusuf yang bernama Kulup Chandan. Kononnya pada suatu hari gajah Kulub Chandan ini telah lari lalu Raja Idris (ketika itu sebagai Raja Muda) bersama juak-juaknya keluar mengikuti jejak-jejak gajah tersebut hingga sampai ke kaki Gunung Bubu. Setibanya disini baginda telah bertembung dengan seorang tua berjanggut panjang yang memakai jubah putih.
Dengan tidak semena-mena orang tua tersebut datang sembah lalu berkata… “Tuanku adalah bakal menjadi Sultan Perak dan manakala tuanku telah ditabalkan menjadi Sultan kelak, jangan lah bersemayam di Sayong lagi tetapi hendaklah tuanku membuat istana di atas bukit yang di pinggir Batang Hari Perak. Maka gajah yang bernama Kulup Chandan itu hendaklah tuanku bebaskan tujuh hari selepas daripada pertabalan tuanku itu….”
Diringkaskan cerita, maka Raja Idris pun ditabalkanlah menjadi Sultan Perak yang ke 28 dan segala pesanan ‘orang tua’ tersebut telah ditunaikan oleh baginda. Mulai dari tarikh itu kekal lah nama Bukit Chandan sebagai tempat terletaknya istana rasmi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar Teja merupakan Sultan Perak yang pertama memecah tradisi dengan membina istana di bahagian kiri Sungai Perak. Kemudian Bukit Chandan telah dibina istana-istana batu yang tersergam megah diantaranya ialah Istana Negara dan kemudian Istana Iskandariah yang berdiri gagah dan sejak dari itu Bukit Chandan kekal sebagai pusat pemerintahan Kesultanan Perak sehingga ke hari ini.