Sungai Kerian yang menyimpan kisah sayu dan kenangan tragedi hitam yang amat menyedihkan seluruh rakyat Malaysia pada 13 September 1972 yang lalu. Kisah ini harus diingati oleh seluruh rakyat Malaysia kerana berlakunya peristiwa yang menyayat hati dan telah membuktikan kekuatan perpaduan dalam masyarakat Malaysia.
Pada tanggal 13 September 1972, terdapat peristiwa yang tidak mungkin akan dapat dilupakan oleh penduduk disekitar kedua-dua kawasan sempadan Sungai Kerian ini kerana terkenangkan peristiwa sebuah feri yang karam yang juga terdapat muatan sebuah bas sekolah pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Kerian.
Tragedi feri karam di Sungai Kerian ini berlaku sewaktu hujan turun dengan lebatnya sehinggakan arus sungai yang kuat telah menyebabkan tali kabel feri antara kedua-dua tebing putus.
Untuk makluman anda, tapak kejadian berlakunya peristiwa hitam pada waktu itu adalah di tapak Taman Pinggiran Sungai Kerian pada hari ini.
Akibat dari insiden tersebut, kira kira 27 orang yang kebanyakannya adalah pelajar sekolah berkenaan telah terkorban kerana mereka tenggelam bersama feri dan muatannya ke dasar sungai.
Perkhidmatan feri yang menghubungkan Parit Buntar dengan Bandar Baharu itu dihentikan serta merta selepas kejadian yang mengejutkan itu berlaku.
Atas keprihatinan kerajaan negeri pada waktu itu, lantas terus menjalankan projek pembinaan Jambatan Sultan Idris pada tahun berikutnya untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang dan memudahkan urusan rakyat jelata dalam kerja harian.
Tersimpan satu cerita yang pilu dalam peristiwa ini yang semakin dilupakan dan wajar untuk dibangkitkan kembali kepada seluruh pembaca orangperak.com untuk munasabah diri.
Ianya adalah cerita tentang keberanian seorang individu yang diangkat sebagai wira yang gugur nyawanya selepas membantu menyelamatkan mangsa feri karam tanpa mengira bangsa dan agama. Individu tersebut adalah pemandu feri yang karam itu sendiri dan bernama S Annamalai.
Mendiang S Annamalai telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana terlalu penat setelah berhempas pulas menyelamatkan pelajar berbangsa Cina yang lemas sewaktu feri sedang karam. Ini adalah contoh teladan yang paling baik untuk mengisahkan tentang keberanian rakyat negara ini dengan tanpa mengira perbezaan bangsa dan negara.
Kisah tentang pengorbanan S Annamalai sepatutnya dijadikan pendedahan berguna kepada golongan muda zaman kini dan tidak seharusnya dilupakan ditelan arus zaman supaya mereka merasai semangat keberanian dan cintakan rakyat Malaysia tanpa mengenal agama, bangsa dan fahaman politik.
Tragedi feri karam ini merupakan salah satu sejarah penting buat penduduk Parit Buntar. Ianya begitu penting kerana kisahnya penuh dengan nilai-nilai perpaduan, setia kawan dan keberanian yang sewajarnya dijadikan pedoman seluruh rakyat negara ini untuk memastikan masyarakat Malaysia bersatu-padu dan hidup harmoni.