Sepertimana yang diketahui umum, Madrasah Idrisiah dinamakan sempena dari nama almarhum Sultan Idris I Mursyidul `Adzam Shah. Baginda adalah Sultan Perak yang ke 28 dan merupakan pengasas kepada madrasah tersebut.
Baginda sultan juga adalah pewakaf aset yang paling bernilai seperti tanah dan hasil sewaan rumah kedai di sekitar Kuala Kangsar. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, madrasah ini dibangunkan pada zaman pemerintahan anakanda baginda iaitu Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke 30) pada tahun 1922.
Madrasah Idrisiah ini telah dibagunkan dengan beberapa sumbangan tenaga ulama seperti salah satunya yang telah kami kenalkan sebelum ini pada anda adalah Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir yang merupakan guru agama buat lima Sultan Perak.
Adalah menjadi fakta dan sejarah yang tidak dapat disangkal lagi, madrasah ini adalah sebuah institusi pengajian agama Islam yang pertama di negeri Perak dengan menggunakan sistem persekolahan dengan mengekalkan ciri-ciri sekolah pondok sehingga ke akhir tahun 1970.
Logo Madrasah Idrisiah
Fakta ini boleh dibuktikan dengan kehadiran pelajar kelompok pertama yang terdiri daripada 23 orang anak yatim yang tinggal di asrama di bahagian atas bangunan madrasah. Bahagian bawah bangunan madrasah pula digunakan sebagai kelas untuk belajar pada waktu persekolahan dan bangunan tersebut sudah menjangkau usia 88 tahun.
Zaman kegemilangan madrasah ini dikatakan amat membanggakan kerana ada juga pelajar yang datang dari luar negara seperti Brunei, Indonesia dan negara jiran yang lain dan banyak melahirkan cendekiawan dan ulama terulung pada waktu itu.
Pada tahun 1970, kegemilangan Madrasah Idrisiah semakin malap dan pada tahun 1985, Sultan Azlan Shah (Sultan Perak ke 34) telah bertitah untuk membangunkan semula madrasah yang telah dibangunkan oleh datuk baginda itu iaitu Sultan Idris I.
Sultan Azlan Shah juga berkenan supaya Madrasah Idrisiah didaftarkan dibawah pentadbiran Majlis Agama Islam Perak mengikut Seksyen33 Jadual Pertama Fasal 10 Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam Perak 11/65.
Sultan Yussuf Izzudin bersama guru-guru Madrasah Idrisiah dan Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir (berkaca mata hitam)
Dengan hasil usaha dan perkenan Sultan Azlan Shah, secara tidak lansung Madrasah Idrisiah layak untuk menerima seramai 11 orang guru dari Kementerian Pelajaran Malaysia yang mana bermula sejak tahun 1985.
Usaha Sultan Azlan Shah banyak memainkan peranan dalam membantu anak negeri menjadi ulama dan umara. Inilah keunikan pusat pendidikan agama seperti Madrasah Idrisiah yang mempunyai peranannya yang tersendiri dalam pembangunan negara dan mempunyai nilai sejarah berkait rapat dengan Sultan Perak.
Sebagai antara salah sebuah institusi sekolah agama yang tertua di negeri Perak ini yang berperanan dalam melahirkan ulama dan umara untuk masa hadapan, kedudukannya harus diangkat seiring dengan institusi sekolah yang lain kerana ia sebenarnya memegang imej kesultanan negeri Perak dan dipeliharan sebagai khazadah dan warisan negeri Perak.
Madrasah Idrisiah
Banyak usaha-usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak untuk terus menjayakan Madrasah Idrisiah yang penuh dengan cerita dan sejarahnya yang tersendiri sehingga ke hari ini.