26.3 C
Ipoh
Thursday, 17 July 2025

Ipoh Sentral Transformasi Bandar Raya Ipoh

- Advertisement -
- Advertisement -

Ipoh Sentral Transformasi Bandar Raya Ipoh

Ipoh Sentral, projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) seluas 2.5 hektar, bakal menjadi pemangkin transformasi menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan mobiliti awam serta memudahkan akses kepada peluang pekerjaan, pendidikan, dan aktiviti sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Ipoh Sentral Sdn Bhd (ISSB), Firdaus Effendy Mokhtar, berkata pembangunan ini direka sebagai sebuah kawasan bercampur berkonsepkan TOD yang berhubung terus dengan stesen kereta api.

Menurutnya, lokasi strategik Ipoh Sentral di tengah bandar raya Ipoh akan memberi manfaat besar kepada rakyat sekaligus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara lebih meluas dan efisien.

Manfaat Utama: Kurang Kesesakan, Lebih Ketersambungan

“Antara manfaat projek ini termasuk mengurangkan kesesakan trafik, berikutan peningkatan penggunaan mod pengangkutan awam serta ketersambungan (connectivity) antara kawasan bandar dan luar bandar khususnya di Perak,” jelas Firdaus.

Pembangunan ini turut merangkumi komponen seperti rumah kediaman, pejabat, hotel, ruang komersial, dan taman rekreasi.

“Inisiatif ini menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030 menerusi penyediaan unit kediaman yang memenuhi kehendak pelbagai lapisan masyarakat bagi menyokong pertumbuhan komuniti bandar mampan. Kediaman berhampiran hab pengangkutan memudahkan akses ke tempat kerja dan kemudahan awam,” katanya.

Dengan ciri-ciri ini, Ipoh Sentral dijangka menjadi pusat kediaman bandar yang mampan dan strategik.

Fasa Pembangunan Bermula Tidak Lama Lagi

Firdaus memberitahu, projek ini akan memasuki fasa pembinaan sebaik sahaja urusan proses tanah selesai dan permohonan kebenaran merancang diluluskan.

Nilai anggaran pembangunan kasar (GDV) projek ini kekal melebihi RM6 bilion, merangkumi pelbagai komponen seperti yang dinyatakan.

“Sejak pengumuman oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, projek Ipoh Sentral kini dalam fasa penyediaan dokumen permohonan kebenaran merancang dan kajian kebolehlaksanaan,” ujarnya.

Beliau menambah, rundingan bersama agensi kerajaan sedang dijalankan bagi memastikan projek berjalan lancar mengikut perancangan.

“Model pelaksanaan sudah disusun semula untuk mempercepatkan pelaksanaan projek secara berfasa dan berimpak tinggi,” jelasnya.

Seiring Wawasan Perak Sejahtera 2030

Projek Ipoh Sentral bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi juga mewujudkan keseimbangan antara ekonomi, sosial, dan alam sekitar, selaras dengan matlamat pembangunan mampan dan wawasan Perak Sejahtera 2030.

Sebahagian daripada inisiatif Perak Sejahtera 2030, projek ini bertujuan menjadikan Ipoh sebuah bandar pintar dan berdaya tahan, seiring dengan visi Ipoh Smart City Master Plan 2030.

Ini sekaligus menandakan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan Ipoh sebagai pusat moden dan progresif, setanding dengan bandar-bandar utama di Malaysia.

Dengan pelaksanaan projek ini, Ipoh bakal mengalami lonjakan pembangunan yang bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penduduk, tetapi juga memacu ekonomi negeri ke arah lebih dinamik dan mampan.

– Berita Harian

📢
Jangan terlepas berita terkini kami! Sertai saluran rasmi WhatsApp Channel Orang Perak sekarang.
Klik & Sertai Sekarang
- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here