Kenali Guru Agama Kepada Lima Sultan Perak

Semakin dilupai akan tokoh yang wajar dikenang oleh bukan sahaja buat rakyat di negeri Perak, tetapi untuk semua rakyat Malaysia tidak lain tidak bukan adalah individu yang menjadi guru atau penasihat agama buat lima individu yang pernah diangkat sebagai Sultan Perak.

Nama penuh beliau adalah Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir dan lebih dikenali dengan nama Tuan Haji Che Wi Janggut Merah atau Sheikh Nawawi Janggut Merah. Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir seringkali menginaikan janggutnya dan disebabkan itulah beliau digelar Tuan Che Wi Janggut Merah.

Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir dilahirkan di Kampung Kuala Kangkong di negeri Kedah pada tahun 1881 dan meninggal dunia pada umur 88 tahun bertarikh 21 Julai 1969.

Beliau telah berhijrah ke Pantai Remis, Perak kerana mengikut keluarganya berpindah ke sana. Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir mendapat didikan agama daripada bapa saudaranya yang bernama Haji Mohd Shafie Losong di negeri Terengganu dan Tuan Hussain Al-Banjari di negeri Kedah.

Apa yang menarik tentang kerjaya beliau ini adalah memegang jawatan sebagai guru atau penasihat agama buat kepada lima orang Sultan Perak sejak dari zaman pemerintahan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I (Sultan Perak ke 28) sehinggalah ke zaman pemerintahan Sultan Yussuf Izzuddin Shah (Sultan Perak ke 32).

Beliau memegang jawatan itu berkemungkinan sejak pertengahan atau penghujung zaman pemerintahan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I sehinggalah ke tahun 1963.

Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir

Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir

  • Sultan Perak ke 28 – Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I (1887 – 1916)
  • Sultan Perak ke 29 – Sultan Abdul Jalil Nasruddin Muhtaram Shah (1916 – 1918)
  • Sultan Perak ke 30 – Sultan Iskandar Shah (1918 – 1938)
  • Sultan Perak ke 31 – Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah (1938 – 1948)
  • Sultan Perak ke 32 – Sultan Yussuf Izzuddin Shah (1948 – 1963)

Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I

Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I

Beliau adalah antara salah seorang daripada beberapa ulama yang terkenal seperti Sheikh Hassan Yamani, Sheikh Abdullah Maghribi dan Sheikh Abdullah Fahim yang menjadi pengasas buat Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan.

Madrasah Idrisiah pada waktu itu adalah antara madrasah yang paling tersohor di Asia Tenggara kerana berjaya melahirkan ramai ulama dan tokoh Islam setelah beroperasi sekian lama.

Berbalik kepada penceritaan tentang keperibadian Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, beliau dikatakan mempunyai 24 orang anak dari hasil 3 orang isteri.

Beliau adalah seorang yang amat berani dan tegas dalam mempertahankan hukum-hukum agama Islam. Tidak ada berdolak dalih jika ianya bertentangan dengan ajaran agama Islam, beliaulah individu pertama yang akan mempertahankan kedaulatan agama. Terdapat juga peristiwa-peristiwa yang mengkagumkan untuk membuktikan kesungguhan beliau.

Sultan Abdul Jalil Nasruddin Muhtaram Shah

Sultan Abdul Jalil Nasruddin Muhtaram Shah

Beliau telah mengeluarkan tegahan tentang berkabung dengan isu melilit kain putih di kepala yang diamalkan oleh kerabat diraja dan terdapat segelintir masyarakat yang mengadu akan hal tegahan tersebut kepada Sultan Perak. Jadi, beliau dipanggil menghadap ke Sultan dan ramai orang anggap bahawa Sultan telah murka.

Lalu datanglah Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir ke istana menghadap Sultan dengan membawa kain kafan. Apabila menghadap Sultan, lalu Sultan bertanya untuk apa kain tersebut. Maka jawab Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir, “Kalau patik dihukum pancung pada hari ini kerana tegahan tersebut maka inilah kain kafannya”.

Terdapat juga peristiwa lain yang jelas membuktikan keberanian dan pegangan beliau dalam mempertahan agama Islam. Kisah ini adalah sewaktu Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke 30) yang telah memanggil dan menjemput para ulama di Perak untuk berbuka puasa di Istana.

Apa yang berlaku pada hari itu adalah, belum tiba lagi waktu berbuka puasa tetapi Sultan Iskandar Shah dikatakan telah mengarah semua yang hadir untuk mula menjamah makan.

Sultan Iskandar Shah

Sultan Iskandar Shah

Mereka yang dijemput hadir semuanya diam dan langsung tidak berani membantah dan dengan tiba-tiba Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir bangun lalu berkata, “Kalau tuanku hendak masuk neraka, masuklah seorang”. Sememangnya niat Sultan Iskandar Shah pada waktu itu hanya untuk menguji pada ulama yang hadir sahaja itu pun terus memuji keberanian beliau berani menegur Sultan dan baginda terus memarahi ulama-ulama lain yang membisu seribu bahasa. Sultan Iskandar Shah mengeluh, “Nasib baiklah di negeri Perak ini masih ada orang yang berani menegur beta”.

Terdapat kisah lain yang akan diceritakan disini secara ringkas berkenaan dengan usaha beliau untuk menghapuskan amalan menyembah jin dengan menjamu kepala kerbau.

Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir dikatakan menunggu di lokasi tempat acara menjamu kepala kerbau itu setiap tahun untuk melarang acara itu dijalankan sehinggalah pada satu hari dikatakan jin tersebut telah mengamuk dan membunuh bomoh yang menjalankan kepala upacara menjamu kepala kerbau tersebut.

Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah

Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah

Ramai ulama-ulama mati dibunuh sewaktu kedatangan komunis dan Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir juga dikatakan adalah salah seorang sasaran utama pihak komunis.

Berlaku satu peristiwa dimana pihak komunis melarang orang-orang kampung untuk menghadiri kelas-kelas pengajian agama di masjid ataupun surau. Hendak dijadikan cerita, pada satu hari anak murid Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir yang hendak ke masjid ditanya oleh pihak komunis tentang ke masjid mana hendak dipergi.

Lalu dijawabnya, “ke Masjid Haji Janggut Merah”. Entah kenapa dan pelik rasanya pihak komunis tidak jadi menghalang anak muridnya itu lalu ditanya kembali kenapa tidak menghalangnya.

Jawab komunis tersebut, mereka pernah menangkap Haji Janggut Merah dan dimasukkan ke dalam guni untuk dilemparkan ke dalam laut di Pantai Remis. Tetapi beliau telah hilang dan didapati ada batu yang berganti di dalam guni. Peristiwa itu telah membuatkan komunis rasa gerun dan mereka tidak berani mengganggunya lagi.

Sultan Yussuf Izzuddin Shah

Sultan Yussuf Izzuddin Shah

Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir wajar diangkat sebagai mentor peribadi dan dikenang sebagai tokoh ulama Islam di negeri Perak yang berpendirian tegas dan menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi zaman sekarang dan zaman akan datang.

Tidak mungkin kita akan dapat jumpa dengan individu yang sama seperti Haji Nawawi Bin Haji Mohd Tahir atau seakan dengannya di dunia ini lagi. Semoga kita yang kerdil ini dapat mencontohi sikap dan warak beliau dalam agama.

Leave a Comment