Perincian Kisah Sewaktu Hari Perak Mengambil Alih Reman

    Related

    Benarkah Jasad J.W.W. Birch Sudah Dipindahkan Dari Jiratnya Di Pasir Salak?

    Benarkah dakwaan tentang jasad Birch sudah dibawa keluar dan hanya tinggal pakaian beliau sahaja di sana dan ada juga dakwaan tentang pihak Inggeris membawa helikopter bagi tujuan memindahkan jasad Birch itu.

    Gunung Matsurat, Gunung Warisan Kinta

    Mengikut cerita tetua, pada zaman dahulu Gunung Matsurat adalah merupakan 'istana purba' yang didiami oleh Raja dan Permaisurinya. Hendak dijadikan cerita, mereka mengadakan majlis keraian di dalam 'istana purba' ini, maka bergegak gempitala suasananya. Secara tiba-tiba Sang Kelembai telah datang dan dipercayai terganggu dek suasana yang hingar-bingar di dalam 'istana purba' ini, menyebabkannya telah menyumpah segala yang berada di dalam gunung ini menjadi batu termasuk Raja dan Permaisurinya.

    Gunung Cheroh, Gunung Sejarah Kinta

    Ketika dalam pelayaran, mereka mengalami sesuatu yang aneh apabila melalui kawasan pergunungan batu kapur di Gunung Cheroh, hendak dijadikan cerita kapal yang dinaiki mereka tidak dapat meneruskan pelayaran apabila sampai di kaki Gunung Cheroh kerana laluan yang sempit dan tidak dalam.

    Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh

    Masjid Warisan Al-Khairiah, Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh terletak di dalam Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta, Perak.

    Toh Changkat Rembiah, Panglima Kinta SABD ke 3 dan Panglima Kinta SABD Pasak Kepayang yang Pertama

    Toh Changkat Rembiah, Panglima Kinta SABD ke 3 dan Panglima Kinta SABD Pasak Kepayang yang pertama dalam sistem penggiliran jawatan Panglima Kinta SABD.

    Share

    Selepas lawatan E. W. Birch (anak kepada J. W. W. Birch) ke lombong-lombong di Kian Intan Mines buat pertama kali, beliau telah mengadakan lawatan kedua atas arahan Sir John Anderson yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi untuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

    Lawatan kedua oleh E. W. Birch ke sana adalah bertujuan untuk mengambil alih negeri Reman yang pada waktu itu berada di bawah kerajaan Siam. Perjanjian Anglo-Siam telah termanterai untuk mengambil alih bahagian negeri Reman untuk menjadi sebahagian dari negeri Perak dalam tahun 1909.

    Lawatan ini turut diiringi oleh Hubert Berkeley yang memegang jawatan sebagai pegawai daerah Hulu Perak. Beliau turut digelar sebagai Raja Putih Hulu Perak oleh orang Melayu kerana dihormati atas sikapnya yang begitu merendah diri.

    Terdapat seramai 10 orang polis India yang mengiring lawatan E. W. Birch ke stesen di Klian Intan dan seramai 6 orang polis Melayu ke stesen Tasik. Inspektor Simpson turut mengikuti rombongan ini bersama-sama dengan 26 ekor gajah dan rombongan yang besar.

    Perincian Kisah Sewaktu Hari Perak Mengambil Alih Reman

    Ernest Woodford Birch

    Mereka mulakan perjalanan dari Gerik pada tarikh 14 Julai 1909 dengan mengikuti jalan sepanjang Sungai Kenderong. Lebih kurang lewat petang, rombongan ini telah sampai ke suku perjalanan untuk ke destinasi.

    Keesokan harinya, mereka semua berangkat tepat jam 7 pagi dan sampai ke Sungai Rui lebih kurang jam 10:45 pagi. Setelah meredah dua batang sungai, akhirnya mereka tiba di Kampung Pahit.

    E. W. Birch menggambarkan kawasan Kampung Pahit pada waktu itu adalah satu tempat yang cukup indah dan subur dengan lapangan sawah padi yang luas serta pokok kelapa yang hidup disekitar kawasan sawah. Terdapat banyak petani yang sedang sibuk membajak sawah padi dengan kerbau di sana.

    Sewaktu di Kampung Pahit, satu pengumuman telah dibuat berkenaan dengan pemindahan kuasa Siam ke bawah British untuk bahagian Reman dan disinilah ia telah dibaca buat pertama kali dengan kuat. Lantas selepas itu, notis telah diberi kepada kepada ketua kampung.

    Tidak berhenti setakat itu, rombongan ini meneruskan perjalanan mereka ke Klian Intan. Selama sejam perjalanan, akhirnya mereka telah berhenti di sebuah kampung kecil yang bernama Kepayang untuk makan tengah hari.

    Mengikut rekod penulisan E. W. Birch, kawasan Kepayang pada waktu itu dihuni sepenuhnya oleh orang-orang siam. Mereka telah berehat di sana selama setengah jam sebelum meneruskan perjalanan.

    Setelah selesai berehat, rombongan ini meneruskan perjalanan ke Klian Intan dan dalam perjalanan tersebut, mereka terpaksa melalui lembah yang ada di Sungai Kepayang.

    Kawasan tersebut agak rumit serta memenatkan buat semua yang terlibat dalam rombongan ini untuk meneruskan perjalanan kerana gajah agak sukar untuk melalui kawasan lembah yang tidak berkesudahan.

    Apabila sampai ke Ulu Kali, mereka terpaksa pula melintasi beberapa kawasan pergunungan yang dikenali sebagai Dusun Pawang oleh penduduk tempatan. Perjalanan mereka cukup mencabar untuk sampai ke Klian Intan.

    Selepas dua hari perjalanan meredah sungai, hutan, denai, lembah dan pergunungan, akhirnya rombongan E. W. Birch telah tiba di Klian Intan pada jam 6 petang.

    J. D. Kemp yang merupakan pengurus kepada Rahman Tin Co telah mengalu-alukan kehadiran mereka setelah sampai dan memberi layanan yang istimewa kepada rombongan tersebut.

    E. W. Birch selaku Residen British di Perak pada waktu itu telah mengaturkan pertemuan dengan Wan Husein (Amphoe Betong, Subdivisi Pentadbiran Peringkat Kedua Siam) di Klian Intan melalui Hubert Berkeley.

    Perincian Kisah Sewaktu Hari Perak Mengambil Alih Reman

    Hubert Berkeley

    Beliau mengaturkan perjumpaan tersebut untuk berbincang tentang masalah campuran populasi antara orang Siam dengan orang Melayu di sana yang mana ia adalah hal yang cukup penting untuk dibincangkan buat wilayah baru.

    Pada 16 Julai 1909 lebih kurang jam 10 pagi, Wan Husein telah tiba dan Hubert Berkeley telah menjemputnya di Balai Polis. Pertemuan antara E. W. Birch dengan Wan Husein diadakan di rumah J. D. Kemp (pengurus Rahman Tin Co) dan Dato Sri Adika Raja juga turut berada dalam pertemuan tersebut.

    Tepat jam 1.45 petang, pihak polis Siam dan Polis India Perak di bawah Inspektor Simpson telah bersedia di dataran hadapan Balai Polis yang terletak di atas bukit.

    Perincian Kisah Sewaktu Hari Perak Mengambil Alih Reman

    Di sisi yang bertentangan di dataran kecil itu terdapat tiang bendera yang mengibarkan bendera Siam. E. W. Birch bersama-sama dengan beberapa orang Eropah lain hadir di dataran itu tepat jam 2 petang.

    Wan Husein yang berpakaian uniform polis Siam turut mengiring E.W. Birch sehingga ke puncak bukit. Kedua-dua pasukan polis menyerahkan senjata dan kemudian masing-masing tabik hormat.

    Perincian Kisah Sewaktu Hari Perak Mengambil Alih Reman

    Setelah semuanya bersedia, Wan Husein menuju ke arah bendera dan memberi ucapan dalam bahasa Melayu kepada semua hadirin yang ada di sekitar kawasan tersebut dengan kuat.

    Wan Husein memberitahu dalam ucapan beliau bahawa beliau telah menerima surat dari Putera Damrong yang mana dalam surat itu telah menyatakan bahawa Perjanjian Damai telah dibuat antara Raja England dengan Raja Siam.

    Dalam kenyataannya itu ada menyatakan bahawa Siam telah menyerah diri dan berada di bawah perlindungan England. Semua negeri dibahagikan dengan aliran air sungai yang kemudiannya digambarkan kawasan sungai mengalir ke Teluk Siam menjadi kekal dibawah wilayah Siam dan kawasan sungai yang mengalir ke laut sisi sebelahnya menjadi wilayah England.

    Wan Husein juga turut menyuarakan kebimbangan Putera Damrong berkenaan dengan kawasan wilayah Patani kerana kawasan wilayah Perak sebenarnya tidak jauh berbeza dengan kawasan sempadan Perak yang asal.

    Wilayah yang diserahkan ke negeri Perak terdiri daripada 2,624 penduduk semuanya. Seramai 1,296 daripanya adalah orang-orang Melayu, 975 orang cina, 346 orang Siam dan 8 orang Eropah.

    Perincian Kisah Sewaktu Hari Perak Mengambil Alih Reman

    Selepas habis memberi ucapan, Wan Husein kemudiannya menurunkan bendera Siam yang sedang berkibar di sana. Tungku Menteri bersama-sama dengan Dato Seri Adika Raja pula telah menaikkan bendera negeri Perak.

    Kemudian, para pengawal pula mula mengubah posisi mereka untuk mengambil alih stesen yang ada di situ. Wan Kusein kemudian berjabat tangan dengan E. W. Birch sambil mengambil gambar sebelum majlis penyerahan kawasan Reman ke Negeri Perak berakhir.

    Perincian Kisah Sewaktu Hari Perak Mengambil Alih Reman

    Rombongan E. W. Birch meninggalkan Klian Intan pada hari Ahad bertarikh 18 Julai 1909 untuk ke Betong dan perjalana tersebut mengambil masa selama 1 hari.

    Pada tarikh 21 Julai 1909, mereka meninggalkan Betong untuk pulang ke Gerik mengikut jalan yang sama seperti mereka datang. E. W. Birch tiba di Gerik pada tarikh 23 Juai 1909.

    Peristiwa ini cukup penting dalam sejarah Perak yang mana jika tidak berlakunya pengambil alihan ini pada masa itu, sebahagian kawasan Hulu Perak mungkin berada di dalam wilayah Thailand.

    Rujukan:

    • JMBRAS, No. 54, The taking over from Siam of Part of Reman or Rahman, E. W. Birch
    Freddie Aziz Jasbindar
    Freddie Aziz Jasbindar
    Pengasas orangperak.com dan pencinta sejarah tempatan negeri Perak.