Anak Perak, Pelari Paling Pantas Asia Tahun 1966

Tan Sri Dr. Mani Jegathesan merupakan ahli sukan pertama dalam negara Malaysia ini yang mendapat anugerah Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1966. Anugerah ini merupakan pengiktirafan dari Majlis Sukan Negara terhadap pencapaian cemerlang beliau pada tahun tersebut. Beliau juga adalah merupakan atlet Malaysia pertama yang memenangi pingat dalam sekurang-kurangnya empat sukan antarabangsa dalam pada beberapa tahun waktu itu.

Mani Jegathesan

Antara sukan antarabangsa yang dimenangi beliau pada waktu itu adalah seperti berikut:

  • Pingat emas dalam acara 100 meter di Sukan Asia di Jakarta pada tahun 1962.
  • 3 pingat emas dalam acara 100 meter, 200meter dan acara lari berganti-ganti 4 x 100 meter di Sukan Asia Bangkok pada tahun 1966.
  • Layak ke pusingan akhir acara 200 meter di Sukan Olimpik Tokyo pada tahun 1964.
  • Layak ke pusingan akhir dalam Sukan Komanwel Kingston pada tahun 1966.

Serba sedikit pengenalan untuk anda semua pembaca orangperak.com untuk lebih mengenali Tan Sri Dr. Mani Jegathesan. Untuk makluman anda, Tan Sri Dr. Mani Jegathesan telah dilahirkan pada 2 November 1943 di Kuala Kangsar, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Batu Road Primary School yang terletak di Kuala Lumpur antara tahun 1950 hingga tahun 1954. Beliau telah melanjutkan pelajaran menengah di Victoria Institution di Kuala Lumpur pada tahun 1955 dan ke Anglo Chinese School di Singapura pada tahun 1956 hingga tahun 1961.

Mani Jegathesan

Bagi meneruskan pengajian di peringkat universiti, beliau telah ke University of Singapore pada tahun 1962 hingga tahun 1967 dan lulus dengan Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery (M.B.B.S.). Beliau juga memiliki Diploma in Tropical Medicine and Hygiene Bangkok pada tahun 1969 dan Diploma in Clinical Pathology pada tahun 1971 dari University of London. Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Houseman di Hospital Besar, Kuala Lumpur sejak tahun 1967 hingga 1968.

Mani Jegathesan

Kemudian, Tan Sri Dr. Mani Jegathesan meneruskan sebagai Trainee Pathologist di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kuala Lumpur pada tahun 1968 hingga tahun 1970 dan seterusnya menjadi Ketua Bahagian Serology di institut yang sama pada November 1971. Dalam bulan yang sama, beliau telah dilantik menjadi Ketua Bahagian Bacteriology pada tahun 1971 hingga 1985. Selepas pada itu, beliau telah dilantik menjadi Ketua dan Consultant Bacteriologist di Jabatan Perkhidmatan  Makmal di Hospital Besar, Kuala Lumpur. Beliau kembali bertugas di IMR sebagai Pengarah dan Consultant Bacteriologist pada tahun 1988 hingga 1993 dan jawatan terakhir beliau adalah sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dari 16 Disember 1993 hinggalah sekarang.

Mani Jegathesan

Dalam bidang olahraga pula, beliau merupakan pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100 meter dengan catatan masa 10.38 saat dan acara 400 meter dengan catatan 46.3 saat. Pencapaian cemerlang beliau dalam acara 100 meter pada tahun 1966 meletakkan beliau sebagai pelari paling pantas di Asia. Namun, rekod beliau itu telah dipecahkan oleh Watson Nyambek sewaktu Sukan Malaysia (SUKMA) yang ke 6 di Kuantan, Pahang pada tahun 1996 dengan catatan 10.31 saat.

Mani Jegathesan

Tahun 1966 adalah tahun bersejarah buat dirinya kerana terpilih sebagai orang pertama yang menerima anugerah Olahragawan Negara. Beliau juga telah menerima Asia Amateur Athletic Award bagi enam atlet terbaik Asia sepanjang zaman dan Veterans Award oleh International Amateur Athletic Federation (1993). Setelah bersara dari olahraga, beliau terus menaburkan bakti sebagai penasihat perubatan bagi Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia dan Persatuan Olahraga Amatur Asia.

Mani Jegathesan

Beliau telah dianugerahkan darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak oleh Sultan Perak¬†pada tahun 1992 yang membawa gelaran Dato’. Di samping itu, beliau juga telah menerima Anugerah Sains Negara pada tahun 1995 atas kejayaannya menemui sejenis bakteria pada tahun 1993 yang telah dinamakan sempena nama beliau iaitu bacillus thuringiensis Sorovar Jegathesan. Kami wakil dari orangperak.com berbangga dengan pencapaian anak Perak ini yang bukan sahaja mengharumkan negeri Perak, malah mengharumkan negara Malaysia di mata dunia. Mungkin anda tak tahu, seorang lagi anak Perak wanita kita juga adalah orang pertama yang menerima anugerah Olahragawati Negara.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.