Istiadat Pemakaman Diraja Sultan Azlan Shah, Simbol Warisan dan Kehormatan Kesultanan Melayu

Pada 28 Mei 2014, Malaysia berkabung atas pemergian Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah, Sultan Perak ke-34. Baginda mangkat pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur dan dimakamkan dengan penuh istiadat diraja di Makam Diraja Al-Ghufran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Istiadat pemakaman yang berlansung pada 29 Mei 2014 ini bukan sekadar upacara penghormatan terakhir, malah merupakan simbol warisan, budaya, dan kemuliaan institusi Kesultanan Melayu Perak.

Istiadat dimulakan dengan penghormatan terakhir di Balairong Seri, Istana Iskandariah, di mana jenazah Almarhum disemayamkan di atas petarana tiga tingkat beralas baldu kuning dan dikelilingi oleh darjah kebesaran baginda. Ribuan rakyat dari pelbagai lapisan hadir untuk memberi penghormatan terakhir, membuktikan kasih dan hormat terhadap seorang raja yang berjiwa rakyat dan tokoh kehakiman terkemuka negara.
Pada jam 4.30 petang, jenazah baginda diusung dari istana ke Masjid Ubudiah menaiki pedati khas diraja yang dikenali sebagai “Seraja Diraja”. Pedati ini ditarik secara bergilir oleh 40 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, sambil iringan bacaan ayat suci al-Quran dan tembakan meriam sebanyak 86 das dilepaskan, setiap satu das bagi setiap tahun usia baginda. Suasana sepanjang perjalanan amat hiba dan sayu, disaksikan oleh rakyat yang membanjiri jalan sebagai tanda kasih mereka terhadap baginda.

Setibanya di Masjid Ubudiah, solat jenazah diimamkan oleh Ustaz Mohd Helmi Ibrahim. Seterusnya, jenazah dibawa ke Makam Diraja Al-Ghufran dan dimakamkan bersebelahan makam Sultan Idris II dan anakanda Almarhum, Raja Ashman Shah. Bacaan talkin disampaikan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, manakala doa selamat dibacakan oleh Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti. Upacara disusuli dengan siraman air mawar dan taburan bunga sebagai lambang penghormatan terakhir.
Istiadat penuh adat ini turut dihadiri oleh kerabat diraja dari seluruh Malaysia, termasuk Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V; dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz. Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin dan kerabat, serta kerabat diraja Johor, Terengganu dan Kedah turut hadir. Yang amat mencuri perhatian ialah kehadiran Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei, sebagai wakil luar negara yang hadir memberi penghormatan. Ini menunjukkan perhubungan erat di antara Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Turut hadir ialah pemimpin tertinggi negara, antaranya Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang pulang awal dari lawatan rasmi ke China demi menghadiri istiadat ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; serta tokoh-tokoh politik, kehakiman dan perkhidmatan awam turut memberikan penghormatan.

Pemakaman Sultan Azlan Shah merupakan gabungan kesedihan, penghormatan dan kekaguman terhadap seorang tokoh besar yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara sebelum menaiki takhta Kesultanan Perak. Pemerintahan baginda dikenang kerana kebijaksanaan, kebajikan dan ketegasan dalam mempertahankan perlembagaan dan sistem raja berperlembagaan.
Secara keseluruhannya, istiadat ini tidak hanya mencerminkan warisan dan martabat Kesultanan Perak, tetapi juga memperlihatkan rasa cinta rakyat dan dunia terhadap seorang raja berjiwa rakyat. Pemergian Almarhum meninggalkan legasi yang akan terus dikenang dalam lipatan sejarah negara.

Rujukan :
- Arkib Negara Malaysia Negeri Perak
- Lembaga Muzium Negeri Perak
- Astro Awani, 29 Mei 2014
- Laman web rasmi DYMM Paduka Seri Sultan Perak