Pihak penjajah British menghadapi masalah besar dalam aspek perhubungan dengan kawasan luar dan pada ketika itu, keadaan muka bumi negeri-negeri Melayu dipenuhi dengan berhutan tebal serta disulami dengan paya yang luas.
Hal ini secara tidak lansung menjadi penghalang utama bagi mengujudkan sistem perhubungan yang baik. Urusan dalam surat menyurat adalah satu-satunya cara perhubungan yang ada masa itu dan ianya tidak efektif kerana mengambil masa yang lama.
Surat dari Singapura mengambil masa berminggu-minggu untuk sampai ke Taiping atau Kuala Lumpur. Malah pada satu tahap, surat dari Gabenor kepada Residen dihantar dengan mengunakan bot atau sampan ke salah satu pelabuhan di pantai barat negeri-negeri Melayu saperti Klang sebelum disampaikan oleh runner atau dengan menggunakan kereta lembu ke pusat pentadbiran.
Proses ini amat lambat tambahan pula dengan kedudukan pusat pentadbiran saperti Taiping yang terpisah dengan Port Weld sejauh 10 batu. Disamping itu, halangan paya dan hutan menyukarkan lagi perjalanan.
Masalah yang sama juga dihadapi di Klang, Selangor dengan Kuala Lumpur yang sejauh 22 batu. Faktor ini telah menimbulkan isu melambatkan segala urusan pentadbiran British.
Keadaan ini menyebabkan British mencari alternatif lain bagi memperkemaskan sistem perhubungan selain daripada sistem pos yang telah diperkenalkan oleh British menjelang tahun 1880.
Satu sistem perhubungan yang paling moden pada ketika itu telah diperkenalkan. Ianya adalah telegraf dan telefon. Perak merupakan negeri tanah melayu yang pertama menggunakan sistem ini dan ianya bermula di Taiping, Perak.
Talian telefon yang pertama disambung di Persekutuan Tanah Melayu mula dipasang dan digunakan pada awal tahun 1886. Talian telefon yang tergantung merentangi hutan sepanjang 27 batu dari pejabat Residen British, Sir Hugh Low di Kuala Kangsar ke pejabat pembantu residen di Taiping, Perak.
Lima tahun kemudian iaitu pada tahun 1891, ibu sawat telefon yang pertama di negara kita telah dipasang di Kuala Lumpur dan sebanyak 21 buah telefon telah digunakan dengan disokong oleh talian telefon dan telegraf sepanjang 400 batu. Menjelang tahun 1908, sistem telekomunikasi telah terpasang dengan lengkap di Semenanjung Malaysia.