Perak FC Berpotensi Tarik Balik Keputusan Tarik Diri Liga Super Jika Dapat Penaja Baharu

Meskipun sudah mengumumkan pengunduran daripada Liga Super musim depan, harapan masih menyala buat Perak FC apabila pihak pengurusan kini sedang berunding dengan beberapa pelabur baharu untuk menyelamatkan pasukan itu daripada ‘terkubur’ pada 2025.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi, mengesahkan bahawa rundingan aktif sedang dijalankan dengan dua hingga tiga pihak yang berminat mengambil alih kelab berprestij itu. Jika semuanya berjalan lancar, ‘The Bos Gaurus’ mungkin masih mampu bertahan dalam kancah bola sepak tempatan.
“Insya-Allah, keputusan (untuk menarik diri) boleh berubah. Kami sedang berbincang dengan beberapa pelabur, dan kami berharap dapat mencapai kata sepakat untuk mereka mengambil alih Perak FC,” jelas Azim dalam rancangan Ngopi di Channel 10 Malaysia.

Masalah Kewangan Punca Pengunduran
Sebelum ini, Perak FC mengesahkan pengunduran mereka daripada Liga Super 2025 ekoran beban kewangan yang tidak tertanggung. Azim mendedahkan bahawa pihak pengurusan telah berbelanja hampir RM40 juta bagi mengekalkan kelab itu, namun masih tidak mencukupi.
“Kami sudah berusaha sedaya upaya, termasuk melabur besar untuk membangunkan pasukan, tetapi tanpa sokongan padu, ia menjadi sangat sukar,” ujarnya.
Kurangnya Sokongan Penyokong Jadi Punca Kegagalan
Salah satu faktor utama krisis kewangan Perak FC ialah kegagalan produk utama penaja mereka, XOX Berhad, untuk mendapat sambutan. Azim berkata, mereka mensasarkan sekurang-kurangnya 150,000 pelanggan baharu dalam tempoh lima tahun bagi menjana pendapatan melalui tambah nilai kad SIM.
Namun, selepas hampir empat tahun, hanya 4,500 pelanggan mendaftar, dengan hanya 2,000 daripadanya aktif.
“Sebagai syarikat pelaburan, kami perlu lihat pulangan. Bukan hanya dari segi wang, tetapi juga impak pemasaran. Malangnya, sambutan sangat rendah. Penyokong sendiri tidak menyokong usaha ini, jadi bagaimana kami boleh terus bertahan?” soal Azim.

Harapan Terakhir pada Pelabur Baharu
Walaupun situasinya sukar, Azim tetap optimis bahawa dengan kemasukan pelabur baharu, Perak FC boleh kembali bersaing di Liga Malaysia.
“Kami masih berusaha. Jika ada yang berminat mengambil alih dengan modal kukuh, pasukan ini masih boleh diselamatkan,” tegasnya.
Sekiranya rundingan berjaya, penyokong setia Perak FC mungkin masih berpeluang menyaksikan kelab lagenda itu kembali beraksi di pentas utama bola sepak negara.
Namun, jika tiada penyelesaian, pasukan yang pernah menjuarai Piala Malaysia lapan kali itu mungkin terpaksa ‘berehat’ buat sementara waktu.
