Berdasarkan Geografi kedudukan tanah Melayu budaya sebagai pelaut telah lama wujud mengikuti sejarah Melayu lama. Namun begitu rujukan bagi penglibatan aktiviti pelaut pada waktu itu tidak didokumentasikan dengan cara yang baik dan sistematik yang menyaksikan penglibatan orang melayu dalam Tentera Laut Simpanan Diraja Malaya (RMNVR) didokumentasikan dan seterusnya dipilih menjadi tahun keramat penubuhan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Namun sebenarnya penglibatan orang melayu sebagai pelaut dan nakhoda telah bermula sebelum tahun 1934 lagi dan ianya hanya tercatat dalam lipatan sejarah yang mungkin tidak pernah diketahui oleh sesiapapun melainkan individu-individu itu sendiri dan anak serta cucu-cicit mereka yang terlibat. Orang Melayu telah mula melibatkan diri sebagai nakhoda di bawah Kerajaan Kolonial Inggeris lebih awal dari 1934.
Ini terbukti dari penemuan beberapa penulisan dan salinan surat testimony kerajaan Inggeris kepada nakhoda–nakhoda Melayu yang terlibat secara langsung dalam pelayaran bersama pegawai kerajaan Inggeris semasa Tanah Melayu di bawah pemerintahan Kerajaan Kolonial Negeri–Negeri Selat Inggeris.
Selepas kejatuhan empayar Melaka kepada Portugis pada tahun 1511 dan Belanda 1824 dan kemudiannya Inggeris menakluk Tanah Melayu sehingga mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957.
Inggeris menubuhkan kerajaan Negeri Selat bagi mentadbir Tanah Melayu dan Residen Inggeris ditempatkan di semua negeri selat bagi mewakili kerajaan Inggeris bermula di Perak sehinggalah ke Pahang.
Penglibatan pembesar-pembesar Melayu Perak sebagai nakhoda dan pelaut dalam Kerajaan Kolonial Inggeris Negeri-Negeri Selat bermula pada tahun 1884 semasa Sir Federick Weld menjadi Governor Negeri Selat.
Beliau telah meminta William Edward Maxwell untuk pergi ke Acheh bagi mendapatkan pembebasan kapal S.S. NISERO dari Tengku Imam Muda, Pemerintah Tenom, Acheh.
William Edward Maxwell pernah menjawat jawatan sebagai Pemangku Residen Penang pada tahun 1887 hingga 1889, Residen Selangor pada tahun 1889 hingga 1892 dan Setiausaha Kerajaan Kolonial Negeri Selat Inggeris pada tahun 1892-1895.
Beliau yang pernah terlibat dalam ekspedisi menjelajah Perak dalam tahun 1865 juga fasih berbahasa Melayu dan amat faham akan adat resam Melayu semasa menjadi berada di Tanah Melayu. Sir Weld memilih Maxwell kerana pengetahuannya yang luar biasa mengenai Tanah Melayu dan bahasanya.
Maxwell telah memilih lima (5) orang Penghulu Mukim di Larut yang dikenali rapat dan sangat dipercayainya untuk membantu beliau dalam misi mendapatkan pembebasan kapal S.S. NISERO tersebut.
Sir Federick Weld telah mengutus surat kepada Sir Hugh Low, Residen Inggeris di Perak semasa itu untuk mendapatkan persetujuan dari Penghulu-penghulu Mukim yang terdiri dari Datuk Penghulu Nakhoda Taruna, Penghulu Jebong di Matang, Taiping, Datuk Penghulu Muda Alaudddin di Selinsing, Penghulu Darus di Sungai Tinggi, Datuk Panglima Besar Hj Abdul Rauf di Tanjung Piandang dan Panglima Raja di Batu Teguh.
Sir Hugh Low telah meminta Penghulu-penghulu Mukim yang terpilih ini untuk membantu Maxwell menyelamatkan kapal Inggeris S. S. NISERO dan anak-anak kapal yang terdampar di Acheh akibat tsunami letupan Gunung Berapi Karakatu pada 27 Ogos 1883.
Maxwell yang telah diarahkan oleh Governor Sir Federick Weld tidak mahu sebarang orang Inggeris pun membantu beliau dalam misi ini. Beliau hanya mahukan lima (5) orang Melayu yang sangat dikenali dan dipercayainya sahaja untuk ikut belayar ke Acheh bagi mendapatkan pembebasan kapal S.S. NISERO tersebut.
Penghulu-penghulu Mukim di daerah Larut, Perak ini telah belayar bersama Maxwell dari Pulau Pinang ke Acheh untuk misi menyelamat tersebut Kapal Inggeris S.S. NISERO di bawah pemerintahan Kepten Woodhouse dengan 29 anak-anak kapal dan muatan gula telah terdampar di Pantai Barat Acheh pada 8 November 1883.
Dari 29 orang awak-awak terdiri dari 18 orang rakyat Inggeris dan selebihnya terdiri dari berbagai bangsa; Belanda, Jerman, Itali, Amerika, Norwegian dan China.
Kapal NISERO dan anak-anak kapal kemudianya ditawan oleh Tengku Imam Muda, Raja Tenom di Acheh bagi tujuan mempergunakan kapal dan anak-anak kapal NISERO sebagai umpan untuk memperlagakan Inggeris dan Belanda.
Acheh yang pada masa itu kaya dengan hasil lada dan memerlukan pelabuhan untuk menjual hasil ladanya. Belanda telah memusnahkan seluruh pelabuhan di Acheh bagi menghalang dan Tengku Imam Muda berhasrat untuk mendapatkan campur tangan Inggeris bagi membantu Acheh supaya semua pelabuhannya yang dikepong (blokckade) oleh Belanda dibuka semula bagi meneruskan perdagangan lada.
Kepercayaan Maxwell kepada orang Melayu terutamanya yang terpilih untuk mengiringi beliau ke Acheh merupakan penghargaan kepada pembesar dan orang Melayu di Perak pada ketika itu.
Penghulu-penghulu Mukim yang dipilih ini telah belayar bersama Maxwell dengan kapal Inggeris HMS Pegasus dari Pulau Penang pada 19 Febuari 1884 bagi mendapatkan persetujuan dari Tengku Imam Muda untuk pembebasan anak-anak kapal S.S. NISERO yang ditawan.
Datuk Penghulu Nakhoda Taruna adalah Penghulu Mukim Jebong di Matang, Taiping pada waktu itu dan sangat rapat dengan pembesar daerah Larut serta dipercayai oleh Maxwell. Beliau mengetuai penghulu dan orang Melayu yang mengiringi Maxwell dalam misi menyelamat tersebut.
Bapa Datuk Penghulu Nakhoda Taruna, Nakhoda Sulong (Hj Abd Kadir) b Hj Mohd Kaul b Raja Natan b YDPS Raja Bagewang II, 27th Minangkabau Sultan adalah seorang pelaut dan nakhoda, datuknya Hj Mohd Kaul atau Tok Engku Kali Jamauddin yang berasal dari Padang Ganting, Luak Tanah Datar, Sumatera juga seorang nakhoda dan pelaut yang kental dan dikenali di Sumatera hinggalah ke Acheh.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk berhubung dengan Tengku Imam Muda, Pemerintah Tenom bagi mendapatkan pembebasan anak-anak kapal S.S. NISERO.
Selama beberapa bulan dalam perbincangan dan perundingan dengan Tengku Imam Muda, Datuk Panglima Nakhoda Taruna memainkan peranan penting sebagai orang tengah bagi mendapatkan pembebasan anak-anak kapal S.S NISERO yang ditawan tersebut.
Setelah mendapat persetujuan Acheh darihal pampasan yang perlu dibayar oleh Inggeris Maxwell dan Penghulu Mukim telah kembali ke Tanah Melayu, dan kemudiannya Maxwell telah belayar ke England bagi mendapatkan persetujuan dari Ratu England mengenai permintaan Pemerintah Tenom itu.
Selang beberapa bulan kemudian, sekembalinya Maxwell ke Pulau Pinang, beliau dan Datuk Penghulu Nakhoda Taruna beserta adiknya Nakhoda Mat Hassan sahaja telah belayar ke Acheh buat kali kedua pada awal bulan Ogos bersama Maxwell bagi membebaskan anak-anak kapal S.S. NISERO dengan persetujuan dari Ratu England untuk menunaikan segala permintaan Tengku Imam Muda, Pemerintah Tenom.
Setelah mendapatkan pembebasan 18 anak-anak kapal NISERO yang masih hidup dari Tengku Imam Muda pada 10 September 1884, Maxwell dan Datuk Nakhoda Taruna serta adiknya Nakhoda Mat Hasaan telah kembali ke Tanah Melayu dengan selamatnya.
Sebagai penghargaan kepada mereka Inggeris menawarkan apa saja yang diminta oleh mereka berdua, namun Nakhoda Taruna dan Mat Hassan tidak tamak dan hanya mahukan penglibatan mereka dikenang jasa oleh Inggeris.
Kerajaan Negeri Selat Inggeris telah menganugerahkan 27 ekar tanah tiap seorang dan surat penghargaan kepada Datuk Penghulu Nakhoda Taruna dan Nakhoda Mat Hassan.
Surat penghargaan (testimony) tersebut yang bertarikh 11.11.1884 membuktikan bahawa orang melayu telah turut terlibat dalam misi menyelamat kapal NISERO di bawah pimpinan Maxwell. Setiap yang terlibat dalam misi tersebut telah diberikan surat penghargaan oleh Inggeris berdasarkan penglibatan dan jasa mereka dalam misi tersebut.
Surat penghargaan Nakhoda Mat Hassan ditulis atas penglibatannya dalam pelayaran keduanya bersama Nakhoda Taruna dan Maxwell. Sementara surat penghargaan Nakhoda Taruna mengikut cerita anak cucunya lebih panjang dan terperinci di atas penglibatannya dari mula bukan sahaja sebagai pelaut malah orang tengah dalam misi pembebasan anak-anak kapal NISERO pada 10 September 1884.
Kesemua orang Melayu yang mengikuti Maxwell dalam misi NISERO telah diberi gelaran Nakhoda oleh Inggeris setelah sekembalinya dari pelayaran ke acheh tersebut.
Penglibatan pembesar dan penghulu negeri ini adalah merupakan penglibatan terawal orang Melayu sebagai nakhoda dan pelaut dalam kerajaan kolonial Inggeris.
Pembesar dan Penghulu Melayu ini juga pada masa itu masih berkhidmat di bawah pemerintahan kerajaan Inggeris sebagai penghulu mukim di Perak dan sangat dipercayai oleh Maxwell, Pemangku Residen Perak pada waktu itu.
Kerajaan Kolonial Negeri-negeri Selat Inggeris menaruh kepercayaan yang tinggi kepada mereka untuk turut serta dalam misi menyelamat tersebut dan berlayar di atas kapal Tentera Laut Inggeris HMS Pegasus.
Mereka merupakan kumpulan orang Melayu pertama yang diperakui oleh Inggeris pada masa itu atas perkhidmatan mereka dan diberi surat akuan (testimony) dan anugerah 27 ekar tanah seorang di atas penglibatan mereka dalam misi menyelamat tersebut.
Mereka kemudiannya digelar Nakhoda setelah pulang dari pelayaran ke Acheh tersebut. Mungkin telah tiba masanya mereka-mereka yang terlibat dalam misi menyelamat kapal S.S. NISERO pada 1884 diangkat sebagai nakhoda dan pelaut melayu terawal yang berkhidmat di bawah kerajaan Kolonial Inggeris Negeri-negeri Selat.
Mereka bukan sahaja mengharumkan nama kerajaan Tanah Melayu bahkan negeri Perak serta orang Melayu khususnya kerana dipilih dan diberi kepercayaan oleh Inggeris untuk turut serta dalam misi menyelamat yang sangat merbahaya itu.
Memandangkan mereka ini adalah kakitangan kerajaan yang di lantik sebagai Penghulu Mukim oleh Inggeris dan dipilih khusus oleh Residen, seharusnya mereka diangkat sebagai nakhoda dan pelaut serta diplomat yang terawal dalam sejarah Tanah Melayu.
Keberanian mereka sebagai nakhoda dan pelaut serta diplomat yang bijak telah dapat membantu Inggeris dalam mendapatkan pembebasan kapal S.S. NISERO dari Tengku Imam Muda, Pemerintah Tenom, Acheh.
Surat Penghargaan: Salinan fotokopi surat penghargaan kerajaan kepada Nakhoda Mat Hassan disimpan oleh Insun Mustapha. Surat penghargaan (testimony) kepada Nakoda Mat Hasan (Mohamad Hasan) iaitu adik kepada Datuk Nakoda Taruna. Kepala surat adalah Crest “Governor Straits Settlements”, dalam Bahasa Melayu: “Bahawa adapun surat ini telah dikurniakan oleh Tuan Gabenor Terutama yang memerintahkan Singapura, Pulau Pinang dan Melaka kepada Mat Hasan … menjadi…di dalam… mengiringkan Tuan Berhormat William Edward Maxwell bersama-sama dengan lain-lain orang Melayu ke Aceh membuat
pekerjaan yang dititahkan oleh Kerajaan Queen… akan melepaskan tuan-tuan dan kelasi kapal pecah yang bernama“Nisero” yang telah ditawani oleh Raja Tenom… pun sangat mengenangkan jasa orang-orang Melayu yang telah pergi mengiringi dia ke Aceh itu adanya.”
Dalam Bahasa Inggeris: “This document is given by his Excellency the Governor of the Straits Settlements to Mat Hasan of Jebong in Larut, Perak. I … of Malays who accompanied the Honourable W.E.Maxwell on a mission dispatched by her Majesty’s Government to demand the release of the Officers and seamen… from the Rajah of Tenom. The release of survivors has been affected and Mr. Maxwell has… to the value of the services rendered by the Malays who accompanied him…” Signed by: Acting Colonial Secretary, Straits settlement, Acting Governor, Straits Settlements, Tertulis di Colonial Secretariat in Singapore, November 1884. Transmitted to Mat Hasan on 11 November 1884.
Anak-anak kapal NISERO yang terselamat terdiri dari 18 orang sahaja yang masih hidup. Gambar di bawah 17 orang, seorang lagi masih di rawat di Hospital sekembalinya mereka ke Pulau Penang.
- James Grant, donkey-man.
- Martin Michelson, seaman.
- Laurence Miiller, boatswain.
- Ah Foo, second Chinese cook.
- Tiada maklumat
- Franz Jacobson, seaman.
- Charles S. Crichton, chief officer.
- J. Thompson, purser.
- W. Bradley, third engineer.
- Thomas Bubb, third officer.
- L. K. Moore, second officer.
- John Stanton, fireman.
- Carl Gronn, seaman.
- Hametar Haar, seaman.
- George Essery, first steward.
- John Kelly, fireman.
- Olens Holgerson, seaman.
Rujukan Buku:
- Asal Mula Konflik Acheh, Dari Perebutan Pantai Timur Sumatra Hingga Akhir Kerajaan Acheh Abad ke-19, Anthony Reid, Penterjemah: Masri Maris, Yayasan Obor Indonesia, Jakarta 2007.
- “Memoir Mustapha Hussain; KebangkitanNasionalisme Melayu Sebelum UMNO” , Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999,ms 102. Malay Nationalism Before UMNO; The Memoirs of Mustapha Hussain, terjemahan Insun Sony Mustapha, Penerbitan Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.
- The Wreck Of The Nisero and Our Captivity in Sumatra, W. Bradley, Samson Low, Marston, Searle & Rivington, Crown Building, 188 Fleet Street, London, 1884.
Rujukan Laman Web:
- http://en.wikipedia.org
- http://en.wikipedia.org/wiki/1883_eruption_of_Krakatoa
- h t t p : / / w w w. j a n n a t o n . n e t / s e j a r a h%2 0 k e l u a r g a / NakodaTarunaTripAceh.pdf
- http://en.wikipedia.org/wiki/HMS_Pegasus_(1878)
- http://en.wikipedia.org/wiki/Aceh_War
- http://en.wikipedia.org/wiki/Military_history_of_the_Netherlands
- h t t p : / / w w w . a r c h i v e . o r g / s t r e a m / wreckniseroando01bradgoog#page/n9/mode/1
Temubual:
- Encik Osman Hussain, Jalan Menteri, Matang, 34100 TAIPING, Perak Darul Ridzuan. (cucu Nakhoda Mat Hassan)
- Puan Insun Sony binti Mustapha Hussain, Villa Mustapha, Jalan Intan 4, Venice Of Perak, 32100 LUMUT, Perak Darul Ridzuan. (cicit Nakhoda Mat Hassan)
Artikel oleh Kepten Abdul Kadir bin Zakaria dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)