Pokok kurma atau tamar adalah sejenis pokok palma dalam genus Phoenix yang ditanam secara besar-besaran untuk mendapatkan buahnya. Buah kurma amat terkenal dalam masyarakat melayu dalam bulan Ramadhan dan permintaannya dalam bulan yang mulia itu amat tinggi lebih hangat dari kebiasaannya.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, pokok kurma dipercayai berasal dari sekitar Teluk Parsi dan telah ditanam secara besar-besaran sejak dari zaman Mesopotamia atau zaman Mesir prasejarah yang mana mungkin seawal 4,000 sebelum masihi lagi.
Siapa sangka di Malaysia juga turut ada permintaan tanaman pokok kurma yang sentiasa mendapat tempat kebanyakan masyarakt melayu di negara kita. Jika 10 tahun yang lalu, tidak pernah dapat kita lihat pokok kurma melainkan pokok sawit tetapi hari ini, pokok kurma boleh dilihat hidup mekar sihat di merata tempat.
Dalam artikel orangperak.com hari ini ingin menceritakan tentang usahawan pokok kurma yang ada di negeri Perak. Ianya berkisahkan tentang seorang anak kelahiran Perak yang berasal dari Kampung Kolam, Kuala Kangsar dan nama beliau adalah Mohd Syful Bin Abd Manap.
Mohd Syful dilahirkan pada 23 Febuari 1982 dan kini menetap di Taman Klebang Putra, Chemor. Beliau adalah merupakan alumni Sekolah Rendah Kebangsaan Clifford dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford. Selepas tamat pengajian rendah dan menengah pada tahun 1999, Mohd Syful menyambung pendidikannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Merbok, Kedah dalam bidang Diploma Pengajian Perniagaan.
Pada asalnya, Mohd Syful mula berjinak-jinak dengan pembenihan dan menyemai kurma ini secara suka-suka pada tahun 2008 sewaktu menyewa di Taman Anda yang terletak di Bercham, Ipoh. Pada tahun 2013, beliau berpindah ke Taman Klebang Putra dan terus fokus dengan pembenihan kurma secara sepenuh masa.
Isteri kepada Mohd Syful iaitu Nur Nadira menjadi pemancu utama operasi perniagaan mereka yang hanya beroperasi di halaman rumah. Membawa entiti perniagaan bernama Syful Tamar (IP0399353-V) dengan tagline “Pokok Kurma – Made In Malaysia” yang kini sering menjadi perbualan ramai.
Halaman rumah mereka dijadikan sebagai nurseri mini untuk menyemai dan pembenihan pokok kurma manakala di dalam rumah ada disediakan ruang kecil untuk berbincang tentang perancangan untuk modus operandi pemasaran dan dokumentasi.
Dasar perkhidmatan Syful Tamar adalah berlandaskan landskap, perladangan dan Wakaf Pokok Kurma. Pemilikan pokok kurma oleh pelanggan sejak tahun 2008 sehingga awal tahun 2014 adalah lebih fokus kepada landskap di halaman rumah, masjid atau premis-premis perniagaan.
Dalam perancangan yang akan datang, Syful Tamar yang beroperasi di Chemor ini cuba untuk ke tahap yang lebih tinggi dengan mengumpul maklumat serta data-data dari pelanggan mereka sebelum ini untuk didokumentasikan maklumat pengeluaran buah kurma dengan lebih terperinci untuk input dalam sektor perladangan kurma di Malaysia.
Inginkan maklumat lanjut? Anda boleh terus hubungi facebook page rasmi mereka di Pokok Kurma – Made In Malaysia.