Kedai makan Latifah atau dikenali sebagai Mee Kari Bota cukup terkenal dengan menu mee karinya bukan sahaja dengan penduduk setempat, malah penduduk Ipoh, Batu Gajah, Sitiawan yang kerap gunakan jalan Ipoh Lumut dan berhenti makan di Bota Kanan. Kedai makan ini telah beroperasi lebih 20 tahun di lokasi yang sama di pekan Bota Kanan.
Kedai makan Mee Kari Bota ini akan menjadi tumpuan pada setiap hari sabtu pada sebelah pagi kerana ada pasar pagi yang diadakan di pekan Bota Kanan. Jika anda kesana pada Sabtu sebelah pagi, memang ramailah orang jawabnya kerana kedai makan tersebut terletak di hujung dan sesuai untuk berehat setelah penat berjalan di pasar pagi itu. Rata-rata penduduk setempat memang suka sarapan di kedai tersebut setelah berbelanja di pekan pagi.
Selain daripada menu mee kari, mee kicap, bihun sup dan lain-lain masakan capur dan panas lain serta goreng juga ada disediakan untuk pelanggan. Namun begitu, menu mee karilah yang menjadi tumpuan buat pelanggan yang datang ke kedai tersebut. Biarpun sudah berpuluh tahun beroperasi dan sudah disambung oleh waris untuk menguruskan kedai tersebut, namun rasa mee kari mereka tetap sama dan sedap seperti dahulu.
Anda boleh memilih apa yang hendak diletakkan ke dalam mee kari anda. Letaklah banyak mana pun, semuanya boleh jika anda ada wang untuk membayarnya. Jika anda sampai ke Bota Kanan, singgahlah ke mee kari bota untuk anda rasa sendiri kesedapannya. Ianya terletak betul-betul di dalam pekan Bota Kanan dan kedainya paling hujung serta sebaris dengan Pejabat Pos atau anda boleh set gps di google map dengan koordinat 4.349030, 100.882452