Mungkin ramai yang terlepas pandang akan berita menarik ini yang mana sebenarnya ia telah lama berjalan sejak Julai 2017 lagi. Projek yang membabitkan pembinaan jambatan sejauh 1.5 kilometer ini dibina untuk menghubungkan Bagan Datuk dengan Perak Tengah yang mana Kampung Sejagop menjadi lokasi pertemuannya.
Jalan untuk menuju ke jambatan baru tersebut akan dibina dengan sepanjang 8.7 kilometer bersama-sama dengan sistem pembentungan dan saliran di sepanjang jalan utama. Persimpangan untuk laluan Bagan Datuk ke Perak Tengah juga akan dibina lampu isyarat untuk melancarkan sistem aliran trafik.
Dengan terbinanya jambatan yang menghubungkan dua daerah ini, laluan tersebut dijangka akan menjadi laluan alternif utama dan sekaligus dapat menjimatkan masa serta kos perjalanan pengguna. Pembinaan jambatan ini membuktikan usaha kerajaan pusat serta kerajaan negeri dalam memajukan kawasan pedalaman.
Bagan Datuk banyak berubah wajah sejak anak kelahiran Bagan Datuk menjadi timbalan perdana menteri. Kini Bagan Datuk menjadi daerah di negeri Perak yang ke 12 dan apa yang kita dapat lihat hari ini, Bagan Datuk adalah satu lokasi yang punyai potensi besar untuk menjadi daerah yang maju.
Pembinaan jambatan yang menghubungkan dua daerah ini bernilai RM466.9 juta dilihat sebagai satu rahmat buat penduduk di dua-dua daerah apabila bakal menikmati pelbagai pembangunan sama ada dari segi ekonomi mahupun sosial.
Malah projek besar ini juga dilihat mampu menukar imej daerah negeri Perak yang ke 12 iaitu daerah Bagan Datuk sebagai kawasan terpinggir atau digelar hujung Perak yang tidak mempunyai nikmat pembangunan berpuluh tahun lamanya.
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan bahawa pembinaan jambatan tersebut dijangka akan siap sepenuhnya pada Julai 2020 dan kerja-kerja pembinaan sudah pun mula berjalan sejak Julai 2017 yang lalu. Ia akan mengambil masa selama 36 bulan untuk siap sepenuhnya.
“Peluang cuma hadir sekali dalam hidup dan ia bukan soal pembangunan sahaja tetapi turut melibatkan soal komitmen dan rebutlah peluang yang ada agar Bagan Datuk tidak terpinggir dan maju sama seperti daerah lain. Apabila mata saya sudah pejam saya tidak mahu jasa saya dikenang serta diberi pujian tetapi cukuplah jangan ada cacian kepada saya ini kerana saya lakukan semua ini ikhlas demi penduduk Bagan Datuk,” Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.