Budak Kampung Di Parit Jadi Setiausaha Akhbar Perdana Menteri

Disebalik teguhnya seorang pemimpin pasti akan ada insan-insan hebat yang berdiri dibelakang mereka. Begitu juga dengan pemimpin negara kita iaitu Dato’ Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak yang mana sudah pasti terdapat ramai mereka yang hebat menjadi tulang belakang kepada Perdana Menteri Malaysia.

Hari ini orangperak.com ingin menceritakan tentang kisah seorang insan biasa yang membesar di sebuah pekan yang kecil di daerah Perak Tengah iaitu di pekan Parit, Perak dan beliau adalah setiasausaha akhbar kepada Perdana Menteri Malaysia. Beliau tidak lain tidak bukan adalah Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Datuk Akmar Hisham Mokhles yang lebih mesra dengan panggilan Datuk Mok oleh masyarakat setempat disekitar pekan Parit dilahirkan di Kampung Baru Parit pada 24 Mei 1972. Beliau adalah anak ke 4 dari 12 orang adik beradik. Bapa beliau Mohd Yusuf @ Mokhles Bin Laini adalah seorang peniaga kedai mainan di pekan Parit yang mana dibantu oleh ibunya bernama Rohana Binti Zakaria.

Budak Kampung Di Parit Jadi Setiausaha Akhbar Perdana Menteri

Perniagaan kedai mainan secara kecil-kecilan di pekan Parit yang dijalankan oleh bapa kepada Datuk Akmar Hisham Mokhles sejak tahun 1979 inilah yang menyara dan membesarkan kesemua 12 orang anaknya termasuk Datuk Mok. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, kedai mainan bapanya masih lagi beroperasi sehingga ke hari ini.

Budak Kampung Di Parit Jadi Setiausaha Akhbar Perdana Menteri

Beliau menerima didikan awal di Sekolah Kebangsaan Iskandar Shah dan seterusnya menyambung ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah di pekan Parit. Selepas tamat persekolahan peringkat menengah, Datuk Akmar Hisham Mokhles telah menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam Ijazah Sastera Muda dan Kepujian Bidang Pentadbiran Sosial yang mana pada ketika itu beliau usia 20 tahun dalam tahun 1992. Pada tahun 1992 adalah mereka yang berada dalam kelompok pertama sejak jurusan bidang ijazah tersebut diperkenalkan di Universiti Malaya.

Beliau amat aktif dalam kokurikulum semasa zaman persekolannya. Siapa sangka Datuk Akmar Hisham Mokhles pernah menjadi jurulatih silat olahraga sekolah semasa zaman persekolahannya dan pasukan beliau telah berjaya menjuarai pertandingan peringkat negeri Perak. Tidak cukup dengan itu, beliau pernah menjadi wakil untuk acara silat olahraga buat negeri Perak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 1992.

Budak Kampung Di Parit Jadi Setiausaha Akhbar Perdana Menteri

Datuk Mok tidak pernah lepaskan peluang untuk sentiasa aktif dalam zaman universitinya. Beliau pernah menjadi wakil kejohanan silat antara universiti dan menjadi naib juara pada tahun 1994. Selain itu, beliau juga adalah Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) untuk sesi 1994 sehingga tahun 1995.

Selepas 4 tahun di Universiti Malaya, akhirnya Datuk Akmar Hisham Mokhles telah berjaya menamatkan pengajian dan dalam tahun yang sama iaitu pada tahun 1996, beliau telah dilantik menjadi penolong pengurus Akademi Penulis dan beliau telah berkhidmat disana sehingga tahun 1997.

Budak Kampung Di Parit Jadi Setiausaha Akhbar Perdana Menteri

Jangan anda tidak tahu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai seorang wartawan di Utusan Melayu (M) Berhad selama 7 tahun iaitu sejak dari September 1997 hingga Mei 2004. Lantas selepas tamat berkhidmat di Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Akmar Hisham Mokhles dilantik menjadi setiausaha akhbar kepada Menteri Pertahanan pada Mei 2004 sehingga September 2008 dan kemudiannya menjadi setiausaha akhbar Menteri Kewangan dalam September 2008 sehingga September 2009.

Budak Kampung Di Parit Jadi Setiausaha Akhbar Perdana Menteri

Temubual santai Datuk Mok bersama Rahul, editor orangperak.com

Kini, Datuk Akmar Hisham Mokhles adalah setiausaha akhbar kepada Perdana Menteri Malaysia. Pada 26 November 2017 bersamaan dengan hari ahad yang lalu, editor orangperak.com berkesempatan untuk berjumpa dan temubual Datuk Mok untuk bertanyakan tentang pengalaman beliau dalam bekerja dibawah kepimpinan Dato’ Sri Haji Mohammad Najib selaku Perdana Menteri Malaysia.

Menurut Datuk Mok, sebagai seorang yang tidak ada apa-apa dan asalnya sebagai budak kampung sentiasa rasa rendah diri sejak mula-mula berkhidmat dengan Dato Najib. Hal ini adalah kerana beliaulah antara segelintir graduan lepasan universiti tempatan dan yang lain kebanyakannya adalah graduan luar negara. Namun setelah 14 tahun berkhidmat dengan Dato’ Sri Haji Mohammad Najib, pengalaman telah banyak mengajar beliau untuk memberikan perkhidmatan yang baik.

Budak Kampung Di Parit Jadi Setiausaha Akhbar Perdana Menteri

Menurut Datuk Akmar Hisham Mokhles, menguruskan Perdana Menteri dalam urusan media sangat mencabar tetapi tidaklah terlalu sukar. Segalanya mestilah cepat dan pantas serta kita mestilah perlu ilmu pengetahuan yang tinggi supaya sentiasa dapat bersedia dalam apa jua soalan yang bakal diterima. Berikut adalah senarai jawatan dan penglibatan beliau dalam badan bukan kerajaan (NGO):

  • Penaung Yayasan Sahabat Bina Negara
  • Penaung Yayasan Kartunis Malaysia
  • Pengasas Yayasan Sahabat Nasional
  • Penasihat Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia
  • Ahli Lembaga Penasihat Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Jabatan Perdana Menteri
  • Penasihat Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak
  • Penaung Kelab Badminton Parit

Budak Kampung Di Parit Jadi Setiausaha Akhbar Perdana Menteri

Akhir sekali, pesanan kepada anak-anak Parit dan seluruh Perak dari seorang anak kampung biasa yang mana pada hari ini beliau menjawat jawatan sebagai setiausaha akhbar Perdana Menteri. “Janganlah sesekali ada perasaan merendah diri walaupun anda belajar di pekan kecil seperti pekan Parit. Soal dalam kerjaya, kebolehan seseorang lebih diutamakan berbanding dengan pencapaian akademik. inilah keluhan majikan yang sentiasa saya dengar”, pesanan Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Semoga kisah perjalanan seorang budak kampung yang hanya merupakan anak penjual barang mainan dari pekan kecil Parit ini menjadi ikutan dan idola buat anak-anak muda supaya sentiasa berusaha dan percaya akan kebolehan diri sendiri. Sesungguhnya yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Jika kita inginkan sesuatu, maka kita kena berusaha untuk mendapatkannya.

Dalam usaha tersebut, tentulah kita tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai rintangan, cabaran, ujian dan bermacam dugaan. Tanpa semangat yang teguh, iman yang kuat, kesabaran yang jitu, sudah tentu kita akan kecundang. Bak kata pepatah, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Terima kasih kepada Datuk Akmar Hisham Mokhles kerana sudi meluangkan masa ditemubual oleh editor kami.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.