Penghijrahan beramai-ramai suku kaum Rao dari Indonesia ke Tanah Melayu berlaku semasa Perang Padri pada tahun 1816 hingga 1833 di Indonesia semasa zaman pemerintahan penjajah Belanda.
Sebahagian besarnya terdiri daripada golongan istana, para ulama, cendekiawan, panglima dan sebagainya. Penghijrahan kaum Rao ke negeri Perak adalah dengan melaluli Sungai Perak, Sungal Bidor dan Sungai Bernam untuk ke Teluk Intan, Kuala Kangsar, Larut, Kinta, Gopeng, Tapah, Kampar pada sekitar tahun 1875 hingga 1876.
Itulah secara ringkas pengenalan orang Rao untuk pengetahuan anda. Berkaitan dengan tajuk artikel ini, mengikut istilah Dewan Bahasa dan Pustaka, kelamai adalah sejenis kuih yang seakan-akan dodol yang menggunakan bahan seperti tepung pulut, gula merah, santan, kerisik, tahi minyak dan gula putih. Cara pembuatan kelamai sama seperti membakar lemang dan yang membezakannya ialah bahan-bahan yang digunakan.
Proses penyediaan bahan untuk membuat kelamai memerlukan tempoh masa yang lama kerana bahan yang siap diadun perlu diperap selama tiga hari sebelum dimasukkan ke dalam buluh untuk dibakar.
Ia bertujuan supaya bahan tersebut sebati sepenuhnya dan membentuk corak tertentu pada potongan isi kelamai yang sudah masak. Apa yang membezakan lemang dengan kelamai adalah pada buluh yang digunakan.
Buluh untuk membuat kelamai dibuang kulitnya terlebih dahulu berbanding dengan buluh lemang yang dibakar dengan keadaan asal. Kelebihan kelamai selain pada rasanya yang enak, ia boleh disimpan dan tahan lama sehingga beberapa bulan berbanding dengan lemang yang tidak tahan lama. Penyediaan bahan dan cara membakar kelamai juga perlu mengikut cara yang betul supaya kelamai yang enak dapat dihasilkan.
Proses menghasilkan kelamai bukan satu kerja yang mudah. Oleh itu, untuk tidak melupakan adat tradisi masyarakat Melayu Rao, penduduk Kampung Sungai Itek, Gunung Mesah dan kawasan sekitar Gopeng, Perak terus menyediakan kelamai untuk tujuan mengekalkan makanan tradisi ini supaya tidak ditelan arusan zaman.
Berilah peluang dan ruang kepada generasi akan datang supaya dapat mengenal kelemai dan merasa kesedapan makanan tradisi kelemai sejak turun temurun.