Lokasi makam Sultan Perak yang terdapat di sepanjang sungai dan terletak di sebelah kanan tebing sungai Perak telah menimbulkan persoalan tentang apakah sebenarnya alasan kenapa ia diletakkan di sebelah kanan tebing sungai Perak?
Persoalan untuk kenapa lokasi makam sultan Perak berada di sepanjang sungai Perak sudah pasti mudah untuk dirungkaikan tetapi sukar untuk persoalan kenapa di sebelah kanan tebing sungai Perak. Hal ini kerana sungai pada masa dahulu adalah merupakan jalan komunikasi yang penting.
Bermulanya jalan komunikasi dengan sungai Perak sebagai alat perhubungan sehinggalah kemudiannya terbina pula jalan-jalan darat kecil yang menghubungkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Dengan wujudnya jalan komunikasi di sungai Perak ini, sudah pasti ia memberi impak yang besar terhadap ekonomi yang mana ia secara tidak langsung menjadi jalan untuk orang-orang luar datang berdagang.
Jadi, bagaimana pula dengan persoalan kenapa kebanyakan makam Sultan Perak terletak di sebelah kanan sungai Perak? Terdapat beberapa teori berkenaan dengan persoalan ini yang direkodkan dalam journal lama dan cerita turun temurun oleh penduduk tempatan.
Menurut pegangan orang-orang Melayu yang cukup menitik beratkan pada konsep kiri dan kanan seperti makan penggunaan tangan kanan, langkah kaki kanan terlebih dahulu untuk masuk ke masjid dan sebagainya.
Penggunaan kanan ini zahirnya adalah untuk perkara yang baik manakala untuk kiri pula adalah kurang baik. Hujah berkenaan konsep melebihkan penggunaan kanan daripada kiri ini sebenarnya amat diragui kesahihannya.
Hal ini boleh disangkal buat mereka yang memulakan perjalanan dari hulu ke hilir yang mana makam-makam Sultan Perak sudah pasti akan terlihat berada di sebelah kiri sungai Perak.
Namun, penempatan awal pada zaman dahulu kebiasaannya bermula dari hilir. Kemudian barulah sedikit demi sedikit penempatan baru mula diteroka jauh ke kawasan pendalaman sehingga ke hulu.
Penempatan baru di kawasan pendalaman dibuka kerana kawasan kuala sungai penempatan asal menjadi semakin cetek dan tidak dapat berfungsi dengan baik untuk menjadi sebagai tempat perlabuhan.
Antara alasan lain penempatan baru dibuka adalah kerana ingin memperluaskan kawasan pertanian supaya dapat membekalkan sumber makanan yang sentiasa meningkat setiap saban tahun.
Selain itu, penempatan baru juga dibuka terus ke hulu kerana untuk mengelakkan diri daripada serangan musuh yang sudah pasti akan bermula dari hilir atau kuala sungai Perak.
Berbalik kepada kenapa kebanyakan makam Sultan Perak terletak di sebelah kanan sungai Perak semula. Penceritaan tentang perjanjian antara Tok Temong dengan Sultan Muzaffar Shah sewaktu baginda ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama mungkin boleh diambil kira sebagai jawapan kepada persoalan ini.
Dikatakan pada hari pertabalan baginda Sultan Muzaffar Shah sebagai Sultan Perak yang pertama, Tok Temong hanya memohon satu janji dan perkenan daripada baginda tentang anak cucu baginda Sultan Perak seterusnya nanti hendaklah memerintah di sebelah kanan mudik Sungai Perak dan anak cucu Tok Temong pula akan kekal memerintah di sebelah kiri mudik Sungai Perak.
Anda boleh rujuk artikel siapakah Tok Temong dalam sejarah Perak yang pernah kami terbitkan dahulu untuk menceritakan dengan lebih mendalam tentang hal tersebut.
Mungkin inilah alasan yang kukuh untuk persoalan kenapa kebanyakan makam Sultan Perak berada di sebelah kanan sungai Perak yang mana perjanjian telah dibuat pada hari pertabalan sultan Perak yang pertama dan telah mendapat perkenan baginda.
Jadi, bagaimana pula dengan makam-makam sultan Perak selebihnya dalam zaman moden boleh berada di bandar Kuala Kangsar? Ia jelas berada di sebelah kiri sungai Perak dan bertentangan dengan perjanjian tersebut.
Tidak ada sebarang jawapan terbaik untuk menjelaskan hal ini kerana penceritaan diatas hanya berdasarkan penceritaan turun temurun dan tiada bukti sahih serta kajian lengkap yang dijalankan oleh sejarawan.
Berikutan dengan itu, sejak bila pula sultan Perak mula dimakamkan di sebelah kiri sungai Perak? Segalanya bermula sejak zaman pemerintahan Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28).
Kononnya pada suatu hari gajah milik Raja Idris (masih Raja Muda) yang bernama Kulub Chandan telah lari dan hilang di hutan. Raja Idris bersama-sama dengan pengikutnya kemudian pergi mencari sehingga ke kaki Gunung Bubu.
Setibanya di kaki Gunung Bubu, Raja Idris telah bertembung dengan seorang orang tua berjanggut panjang yang memakai jubah putih. Dengan tidak semenanya, orang tua tersebut datang sembah lalu berkata.
“Tuanku adalah bakal menjadi Sultan Perak dan manakala tuanku telah ditabalkan menjadi Sultan kelak, jangan lah bersemayam di Sayong lagi tetapi hendaklah tuanku membuat istana di atas bukit yang di pinggir Batang Hari Perak. Maka gajah yang bernama Kulup Chandan itu hendaklah tuanku bebaskan tujuh hari selepas daripada pertabalan tuanku itu.”
Berikutan dengan peristiwa ini, setelah Sultan Idris I ditabalkan menjadi Sultan Perak, baginda adalah yang pertama memecah tradisi dengan membina istana dan bersemayam di sebelah kiri Sungai Perak.
Penceritaan ini adalah berdasarkan cerita rakyat yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Tidak diketahui kebenaran kisah ini kerana tiada rekod berfakta yang dijumpai. Ada juga yang mendakwa bahawa kisah ini adalah penceritaan oleh Sultan Idris selepas mendapat mimpi. Wallahualam.
Rujukan:
- Sejarah Perak 1977, A. Halim Nasir
- MHJ 2:2 1955, N.J. Ryan
- JSBRAS No 48 1907, Jeragan Abdul Shukor