Sejarah Rumah Agam Lama Di Batu Gajah Yang Dipindahkan Ke Terengganu

Bila disebut berkenaan Batu Gajah, sudah tentu yang terlintas dalam fikiran kita ialah Kellie’s Castle yang kini menjadi pusat perlancongan yang mesti dikunjungi jika pelancong berada di sekitar Ipoh dan Batu Gajah. Kellie’s Castle yang dibina oleh William Kellie Smith pada tahun 1915 merupakan antara bangunan rumah agam terindah di Tanah Melayu meskipun tidak berjaya disiapkan.

Dalam artikel kali ini orangperak.com ingin menyentuh mengenai sebuah rumah agam yang indah di Batu Gajah selain Kellie’s Castle namun tidak begitu dikenali dan ironinya bangunan tersebut dibina oleh seseorang yang bertanggungjawab membantu William Kellie Smith memulakan perniagaan di Tanah Melayu.

Sejarah Rumah Agam Lama Di Batu Gajah Yang Dipindahkan Ke Terengganu

Bangunan tersebut ialah rumah agam indah milik Charles Alma Baker yang sebelum ini terletak di berdekatan dengan kelab golf serta kem askar di Batu Gajah. Rumah agam ini dibina jauh lebih awal berbanding Kellie’s Castle. Charles Alma Baker dilahirkan pada tahun 1854 dalam sebuah keluarga British yang merendah diri dan hidup sederhana. Sewaktu dilahirkan, keluarga beliau baru sahaja berhijrah daripada Britain ke New Zealand.

Beliau dinamakan ‘Alma’ sempena pertempuran dimana tentera British bersama tentera Perancis berjaya mengalahkan tentera Rusia dalam Perang Crimea. Melalui hasil kerja keras dan kemahiran bersosial yang tinggi telah berjaya membantu Charles Alma Baker menempa nama di Auckland yang merupakan ibu negara bagi New Zealand.

Beliau kemudiannya mengahwini wanita bernama Florence, yang merupakan anak perempuan kepada tokoh politik dan usahawan terkemuka New Zealand iaitu Sir Frederick Whittaker. Namun keadaan menjadi kucar kacir akibat skandal hubungan luar nikah beliau dengan seorang wanita Maori yang bernama Maria Nikora. Sejurus selepas kejadian tersebut, ketika berumur 36 tahun beliau bersama Florence meninggalkan New Zealand untuk menuju ke India melalui Singapura.

Sejarah Rumah Agam Lama Di Batu Gajah Yang Dipindahkan Ke Terengganu

Ketika singgah sebentar di Singapura, pasangan ini telah terlepas kapal yang sepatutnya mereka naiki untuk ke India. Namun mereka kemudiannya mendapati bahawa terdapat permintaan tinggi kepada pegawai Jurukur di Perak disebabkan industry perlombongan bijih timah yang semakin meningkat disana.

Disebabkan itu mereka kemudiannya memutuskan untuk tidak ke India dan sebaliknya menuju ke Batu Gajah dan seterusnya menetap disitu dari tahun 1890 sehingga beliau meninggal dunia pada 1941 di Pulau Pinang. Kehidupan di Batu Gajah yang menjadi pusat pentadbiran bagi daerah Kinta walaubagaimanpun agak sepi bagi beliau. Kerana populasi mereka yang berketurunan eropah hanya seramai 30 orang dengan hanya 7 orang wanita.

Beliau berjaya menjana pendapatan yang tinggi hasil kontrak jurukur yang dikurniakan oleh kerajaan negeri. Beliau kemudiannya menjalankan kerjasama dengan William Kellie Smith. Pada 1894 beliau memutuskan untuk membina sebuah rumah agam baru untuk menunjukkan hasil kekayaan yang beliau miliki. Tidak diragukan lagi terdapat usahawan-usahawan dikalangan kolonial di Perak yang cemburukan pencapaian yang beliau miliki. Akhbar The Perak Pioneer ketika itu melaporkan:

“Mr Alma Baker is building a fine house facing the Race Course, to be called, probably, Goodwood or Ascot, or some appropriate name of the kind – or maybe, ‘the Bakeries’.”

Terjemahan – “Mr Alma Baker sedang membina sebuah rumah yang sangat indah menghadap Padang Lumba Kuda, yang mungkin dipanggil sebagai Goodwood atau Ascot, atau nama yang lebih sesuai iaitu – mungkin, ‘the Bakeries’.”

Terdapat kemungkinan berlakunya persaingan diantara beliau dengan Kellie Smith dalam menonjolkan kekayaan masing-masing yang akhirnya diterjemahkan melalui usaha Kellie Smith mula membina Kellie’s Castle. Kerajaan negeri menamatkan kontrak jurukur Alma Baker pada 1897 dan beliau kemudiannya menyertai bidang perlombongan dan sesetengah konsesi perlombongan yang beliau miliki lebih berjaya berbanding syarikat lain.

Sejarah Rumah Agam Lama Di Batu Gajah Yang Dipindahkan Ke Terengganu

Beliau juga merupakan pelopor serta menjadi orang pertama yang menggunakan kapal pengorek bijih timah dan beliau menjadi lebih kaya raya hasil perlombongan bijih timah di tanah milik beliau berdekatan Simpang Pulai. Pada 1906 beliau mula mempelbagaikan perniagaan dengan menceburi aktiviti perladangan getah dan selepas mengharungi beberapa kepayahan, beliau akhirnya berjaya menubuhkan Kinta Valley Estate setelah mendapatkan pajakan tanah seluas 2000 ekar dari kerajaan negeri dan pada 1914 ladang yang beliau miliki antara yang terbesar di Malaya.

Selain sibuk menguruskan perniagaan, beliau banyak meluangkan masa seperti membantu kerajaan British mendapatkan dana untuk membiayai tentera British dalam Perang Dunia Pertama, memancing, lumba kuda dan menjalankan kebun di New Zealand. Beliau meninggal dunia di Pulau Pinang pada 8 April 1941 dan telah dikebumikan di tanah perkuburan Kristian Batu Gajah.

Sejarah Rumah Agam Lama Di Batu Gajah Yang Dipindahkan Ke Terengganu

Berkenaan rumah agam beliau di Batu Gajah, setelah kematian beliau pada 1941 rumah berkenaan telah tidak lagi dihuni dan dibiarkan terbiar dimamah zaman. Namun pada 2004, rumah berkenaan telah dibeli oleh seorang peguam dari Terengganu. Kediaman tersebut kemudiaanya dibuka satu persatu dan dipindahkan dan dibina semula sejauh 764km ke tapak bersebelahan dengan pantai di Kampung Telaga Papan, Setiu, Terengganu. Pemilik baharu kediaman tersebut telah memilih untuk menamakan kediaman tersebut sebagai ‘Ombak’.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here