Penulis Kamus Arab Melayu Yang Paling Unggul Dari Perak

Dr. Syeikh Mohamad Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi adalah seorang tokoh dalam bidang persuratan terutamanya dalam bidang bahasa Arab, ilmu Hadith, tafsir dan fiqah. Hasil daripada kerjanya yang paling unggul di seluruh nusantara sehingga ke hari ini sejak ia dibukukan adalah kamus Al-Marbawi. Kamus Al-Marbawi (Arab – Melayu) ditulis oleh beliau diterbitkan dalam tahun 1950 an di Malaysia.

Kamus Al-Marbawi ini boleh didapati dalam dua saiz yang berbeza iaitu saiz besar dan saiz kecil. Kamus ini diterbitkan oleh banyak penerbit termasuk Darul Nu’man dan Darul Fikir. Sehingga ke hari ini, kamus yang ditulis olehnya itu diulang cetak tidak kurang daripada 25 kali. Kamus Arab-Melayu ini mengandungi sebanyak 18,000 kalimah Arab yang diberi makna bahasa Melayu dan 700 kalimah yang diterangkan dengan gambar. Kamus popular ini ditulis dalam Tulisan Jawi dan disusun menurut kaedah yang mudah dibaca dan difahami.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Dr. Syeikh Mohamad Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi dilahirkan di sebuah kampung bernama Misfallah di Makkah pada tarikh 10 Mei 1896. Ibu bapa beliau pula berasal dari Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar. Sejak ketika beliau berusia 10 tahun, beliau sudah berkebolehan dan mampu untuk menghafal kitab Al-Quran sebanyak 16 juzuk dan di samping itu juga menghafal beberapa buah kitab lain. Pada tahun 1905, mereka sekeluarga akhirnya pulang ke Tanah Melayu.

Sekembalinya ke tanah air, Dr. Syeikh Mohamad Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Lubok Merbau yang mana kini dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi. Seterusnya beliau melanjutkan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok, antaranya adalah Pondok Wan Mohammad, Bukit Chandan yang terletak di Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Madrasah Idrisiah), Pondok Tuan Hussien Al-Masudi di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad al-Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas dan berkhidmat sebagai guru agama di negeri Perak.

Penulis Kamus Arab Melayu Yang Paling Unggul Dari Perak

Pada tahun 1924, beliau menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dan berjaya memperoleh Ijazah ‘Aliyah (tertinggi). Beliau merupakan antara individu yang terawal dalam melanjutkan pengajiannya di Mekah. Semasa berada di Mekah, beliau menyusun kamus Arab-Melayu atau dikenali sebagai Kamus Al-Marbawi yang diterbitkan dalam tahun 1937 dan telah diulang cetak lebih daripada 25 kali.

Kamus yang unggul ini pada mulanya disusun oleh tiga individu iaitu Syeikh Mohamad Idris sendiri, Syeikh Juned Tola dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Namun, ketika dua tokoh yang terakhir ini kembali ke tanah air dan tidak menyiapkan kamus tersebut lalu karya itu diteruskan sendiri oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai pengarang kamus tersebut. Atas sumbangan dan jasa besar dalam keagamaan dan persuratan, Syeikh Mohamad Idris telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Julai 1980.

Penulis Kamus Arab Melayu Yang Paling Unggul Dari Perak

Pada 28 Ogos 1987 pula, Syeikh Mohamad Idris diisytihar sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan yang pertama dalam negara kita. Pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak Almarhum Sultan Azlan sempena hari keputeraan baginda. Beliau ialah seorang tokoh ilmuan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya.

Penulis Kamus Arab Melayu Yang Paling Unggul Dari Perak

Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90 an adalah merupakan aset beliau yang amat berharga. Penghayatan beliau dalam ilmu, sifat rendah diri dan punyai sifat dahagakan ilmu yang dimiliki itu tidak dapat dinafikan lagi. Bahkan semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah, beliau dengan terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana merasakan dirinya masih kekurangan ilmu.

Apa yang menariknya dalam satu kejadian lain, beliau telah dilihat mengambil wudhu dengan menggunakan air yang sangat minimum yang tidak habis segayung air. Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja berdakwah. Pengembaraan ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada beliau.

Penulis Kamus Arab Melayu Yang Paling Unggul Dari Perak

Atas dasar ingin melihat lebih ramai muda-mudi memperolehi pendidikan yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Ma’al Hijrah untuk membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya serta beberapa orang tenaga pengajar luar.

Syeikh Mohamad Idris telah kembali ke Rahmatullah ketika berusia 93 tahun pada hari Jumaat bertarikh 13 Oktober 1989 tepat jam 8.30 pagi di Hospital Besar Ipoh, Perak. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Merbau yang terletak di Kuala Kangsar, Perak bersebelahan dengan pusara isteri beliau bernama Khadijah binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu.

Penulis Kamus Arab Melayu Yang Paling Unggul Dari Perak

Untuk mengenang jasa beliau yang sangat banyak memberi manfaat kepada masyarakat kita pada hari ini, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dikenali sebagai Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga telah diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.