Antah Berantah adalah perkataan yang berasal dari negara jiran kita iaitu negara Indonesia. Ia memberi maksud bahawa ianya wujud di dalam dunia khayalan atau di dalam dunia dongeng sahaja.
Selain itu, ia juga tidak diketahui dimanakah lokasi yang sebenarnya dan ianya penuh dengan misteri yang tidak dapat terungkai. Semuanya samar-samar dan tidak ada jawapan yang tepat untuknya seterusnya ia akan terus kekal misteri lalu menjadi mitos kemudian hari.
Mungkin tidak ramai yang tahu akan apakah itu sebenarnya Antah Berantah yang dimaksudkan di Beruas ini. Ada beberapa versi yang dapat kami dengar tentang Antah Berantah apabila kami turun ke Beruas dan bertanyakan kepada orang-orang lama disana.
Ada yang mengatakan bahawa Antah Berantah ini sebenarnya adalah laluan buat kapal pedagang untuk ke Kota Beruas dari Pantai Remis dan satu lagi versi lain adalah ianya adalah sebuah padang yang penuh dengan lagenda serta misteri.
Walau apapun sebenarnya Antah Berantah, ia akan terus kekal misteri sehingga entah bila kerana tiada bukti-bukti kukuh untuk diketengahkan dan tiada sumber-sumber sahih untuk dikaji.
Menurut cerita penduduk setempat, sungai Beruas kini yang kecil itu sebenarnya pada waktu dahulu adalah jauh lebih besar sehinggakan ianya membolehkan kapal-kapal pedagang yang datang dari seluruh pelusuk dunia masuk dan belayar sehingga sampai ke Kota Beruas.
Berdekatan dengan kawasan Sungai Beruas ini terdapat satu kawasan yang agak luas dan dipenuhi dengan rimbunan pokok-pokok. Ramai yang percaya bahawa disitulah kedudukan dan lokasi sebenar Padang Antah Beratah yang menjadi lagenda kisah-kisah melayu dan juga terselit dalam cerita dongeng Melayu lama yang selalu melibatkan kisah pergaulan antara manusia dengan penduduk di kayangan dari langit.
Untuk pengetahuan anda semua pembaca setia orangperak.com, padang Antah Berantah ini dikatakan adalah lokasi sebenar berlakunya pembunuhan beramai-ramai sewaktu peperangan besar pada zaman dahulu.
Ianya merujuk kepada kisah tentang Raja Suran dari India menyerang Kerajaan Gangga Negara yang diperintah oleh Raja Gangga Shah Johan. Kesan dari peperangan ini adalah menyebabkan Kerajaan Gangga Negara tewas dan lenyap dari dunia.
Menurut buku Sulalatus Salatin atau kini dikenali dengan nama baru iaitu Sejarah Melayu, didalamnya ada menyebut tentang jumlah angkatan perang yang mengikut Raja Suran menyerang Kerajaan Gangga Negara.
Secara kasarnya disebut ia terdiri daripada 1,200 “laksa” orang. Laksa adalah mewakili kepada 10,000 orang. Maka oleh itu, jika 1,200 orang didarapkan dengan 10,000 orang, jawapannya bersamaan dengan 12 juta orang!
Tidak dapat digambarkan betapa ramainya tentera angkatan perang pada waktu itu yang sedang berperang. Kiraan ini tidak dicampurkan dengan angkatan tentera dari Kerajaan Gangga Negara lagi.
Namun kesahihan kisah ini tidak dapat dibuktikan dan ianya adalah cuma cerita yang diperturunkan sahaja. Sepertimana yang diberitahu sebelum ini, tiada bukti yang kukuh untuk dirujuk dan tiada lagi sumber-sumber sahih yang boleh dikaji. Berkemungkinan, ianya akan dikekalkan misteri sepanjang masa.