Teluk Intan sememangnya terkenal dengan mercu tanda yang terkenal seperti Menara Condong Teluk Intan serta tempat-tempat menjamu selera yang banyak di bandar ini.
Namun tidak ramai orang yang tahu akan kewujudan Batu Tenggek yang merupakan mercu tanda yang berada di persimpangan jalan masuk ke bandar Teluk Intan
Terletak di simpang empat Jalan Changkat Jong – Bandar Teluk Intan dengan berhadapan dengan pejabat cawangan Tabung Haji, tersergam sebuah tugu batu peringatan Memorial Perang Dunia yang dikenali sebagai Batu Tenggek Teluk Intan.
Batu Tenggek ini seringkali dimasukkan dalam senarai lokasi tumpuan perlancong namun tidak banyak maklumat yang ada mengenai kewujudan batu tenggek tersebut.
Tidak banyak tugu peringatan yang didirikan menggunakan sebongkah batu granit besar seperti yang ada di Teluk Intan ini. Ini membuatkan Tugu Memorial Perang Dunia Teluk Intan ini sebagai sesuatu yang unik, mungkin ia merupakan satu-satunya tugu sepertinya di Malaysia.
Idea untuk membina sebuah Memorial Perang Dunia Pertama bagi memperingati mereka yang terkorban dalam perang tersebut telah dicadangkan oleh Persatuan Peladang Perak Tengah (Central Perak Planters Association) seawal tahun 1917, iaitu ketika Perang Dunia tersebut masih lagi berlansung di Eropah.
Cadangan ini telah diterima dengan baik oleh hampir kebanyakkan cawangan persatuan ini dengan cawangan Batang Padang dan Taiping telah bersetuju untuk menyertai pembinaan tugu tersebut dan seterusnya melantik Merss.
Jenkins dan Tate sebagai sub-komiti bagi mempertimbangkan cadangan tersebut. Cawangan dari Teluk Anson juga bersetuju, namun memilih untuk mendirikan sendiri tugu tersebut di Bandar Teluk Anson.
Memorial Perang Dunia ini telah dirasmikan oleh Sir Theodore Fraser, General Officer Commanding (G.O.C.) Malaya pada hari Jumaat, 16 Januari 1926. Tugu ini dibina dengan menggunakan sebongkah batu granit besar dan diletakkan diatas sebuah pentas asas yang dibuat daripada konkrit.
Tugu batu ini telah didirikan di persimpangan Jalan Dew serta Jalan Batak Rabit dan ianya terletak diperkarangan Kelab Lower Perak. Perasmian ini diiringi dengan upacara daripada pihak tentera dan Jeneral Fraser seterusnya memberikan ucapan.
Tiada nama yang diukir pada tugu tersebut kerana tiada rekod berkenaan penduduk dari Teluk Anson yang keluar menyertai Perang Dunia Pertama di Eropah.
Jeneral Fraser kemudiannya diraikan dalam sebuah upacara makan malam sebagai tetamu khas dari Malay States Volunteer Rifles (M.S.V.R). Tiada maklumat yang lebih lanjut berkenaan pihak yang sebenarnya bertanggungjawab dalam pembinaan memorial ini.
Pada pentas konkrit yang menjadi asas kepada batu granit tersebut, terdapat ukiran “1914-1918” berserta sebuah puisi ditulis oleh seorang penyair dan penulis berbangsa Inggeris bernama Laurence Binyon yang bertajuk “For the Fallen”;
“At the going down of the sun and in the morning
We will remember them.”
Selepas Perang Dunia Kedua tamat, ukiran “1939 – 1945” pula ditambah dibahagian bawah syair tersebut. Namun akibat terdedah kepada panas dan hujan, ukiran tersebut semakin lama semakin pudar dan kini sangat sukar untuk dilihat.
Terdapat lagenda tempatan berkenaan Batu Tenggek ini. Menurut cerita lisan dari penduduk asal di Teluk Intan, mereka menyatakan bahawa batu tersebut asalnya hanya sebesar kotak mancis sahaja ditinggalkan disitu oleh tentera British.
Namun lama kelamaan ianya semakin membesar sehingga ke bentuk hari ini dan akan terus membesar. Namun, tidak ada sumber sahih yang ada untuk dijadikan rujukan selain dari cerita dari orang-orang lama.