31.5 C
Ipoh
Tuesday, 10 September 2024

Peristiwa Letupan Bom Keretapi Di Batu Gajah 1973

- Advertisement -
- Advertisement -

Peristiwa letupan bom keretapi yang berlaku dekat dengan stesen keretapi di Batu Gajah pada tarikh 22 Jun 1973 semakin dilupakan. Buat warga emas di sekitar kawasan Batu Gajah mungkin masih ingat akan ceritanya tentang peristiwa ini yang pada masa itu amat heboh diperkatakan.

Akibat daripada peristiwa letupan bom yang berlaku di stesen keretapi Batu Gajah itu, seramai 13 orang telah cedera dan 2 orang daripadanya telah meninggal dunia. Letupan bom tersebut berlaku kira-kira 1.40 tengah hari pada tarikh 22 Jun 1973.

Letupan bom yang mengorbankan seramai 2 orang penumpang itu berlaku dalam gerabak keretapi penumpang kelas ke 3. Keretapi tersebut dalam perjalanan laluan kebiasaannya dari Kuala Lumpur untuk ke Pulau Pinang. Kebanyakan penumpang dalam gerabak keretapi tersebut terdiri daripada ramai anggota batalion ke 11 Askar Melayu. Mereka pewira negara ini adalah anggota dari Kluang, Johor yang dalam perjalanan ke sempadan Malaysia – Thailand untuk bertugas disana.

Dari kesemua 11 orang mangsa letupan bom tersebut empat darinya adalah orang awam, enam orang tentera dan seorang polis hutan. Seorang daripada orang awam adalah seorang wanita yang sedang hamil dan juga merupakan isteri kepada seorang mangsa.

Seorang yang terbunuh dalam letupan bom tersebut adalah orang awam dan Kementerian Pertahanan ada buat pengumuman di Kuala Lumpur pada sebelah petang keesokan harinya untuk mengumumkan tentang seorang tentera yang terbunuh itu bernama Darman bin Mat yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan.

Darman yang merupakan seorang tentera dikatakan meninggal dunia sejurus selepas letupan bom tersebut berlaku. Hal ini adalah kerana bom tersebut meledak dibawah kerusinya. Jenazah Darman bin Mat telah diterbangkan ke Kelantan pada keesokan paginya selepas peristiwa tersebut untuk dikebumikan di kampung halaman arwah.

Orang awam yang terbunuh sewaktu letupan bom tersebut adalah individu yang bernama Khalid bin Awang yang berasal dari Kulim, Kedah. Arwah dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampungnya halamannya dan arwah telah meninggal dunia pada jam 4.00 pagi di Hospital Besar, Ipoh semasa sedang dapatkan rawatan.

Empat individu yang tercedera dari letupan itu dikatakan parah dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Besar Ipoh. Seorang daripada mereka adalah seorang pegawai polis yang bernama Taharuddin Bin Idris dari batalion ke 8 polis hutan yang bertugas di negeri Johor.

Sementara 7 orang mangsa selebihnya dirawat di Hospital Batu Gajah. Antara mereka adalah Korporal Abu Bakar bin Ayob yang berusia 26 tahun dan isterinya yang sedang hamil berusia 20 tahun dan seorang lagi mangsa adalah tentera bernama Osman bin Ismail berusia 23 tahun.

Peristiwa Letupan Bom Keretapi Di Batu Gajah 1973
keadaan gerabak yang rosak akibat letupan bom

Akibat daripada letupan bom tersebut, bumbung gerabak penumpang telah berlubang besar dan tingkap serta tempat duduk di dalam gerabak itu telah rosak teruk. Serpihan-serpihan bom juga turut ditemui berselerak dalam gerabak tersebut. Ketua pegawai polis Perak iaitu Timbalan Pesuruhjaya Mahmood bin Mohd Yunus dan pemerintah bridget ke 2 infanteri Malaysia Brig. Jeneral Abdul Latiff Bin Hussein serta beberapa orang pegawai polis dan tentera telah datang ke lokasi kejadian untuk jalankan siasatan lanjut.

Setelah siasatan dijalankan, pihak polis percaya bahawa letupan bom itu berlaku dan berpunca daripada sebutir bom lontar yang terledak dengan tidak sengaja. Bom itu dipercayai berada dalam sebuah beg tentera yang diletakkan di bawah tempat duduk yang terbunuh iaitu Darman bin Mat yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan.

Letupan tersebut telah menyebabkan perjalanan keretapi yang membawa sebanyak 22 gerabak itu tergendala selama beberapa jam. Gerabak yang telah rosak akibat daripada letupan itu terletak yang ke enam dari hadapan dan ia tinggalkan di stesen keretapi Batu Gajah.

Gerabak-gerabak yang selebihnya dibawa dan perjalanan ke destinasi diteruskan dengan membawa kira-kira 500 orang penumpang kira-kira tepat jam 3.25 pagi. Kopral Abu Bakar ketika ditemu ramah oleh wartawan Berita Harian di hospital berkata bahawa dia duduk bersama isterinya dan mereka dalam perjalanan pulang ke kampung isterinya yang bernama Normah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurutnya lagi, dia sedang tidur lena dan terjaga apabila letupan tersebut berlaku dan gerabak itu bergegar dengan kuat. Dalam masa yang sama, dia juga terasa dahinya seperti kena pukul dan keadaan dalam gerabak sangat bising dengan jeritan penumpang yang lain. Melihat dalam keadaan dalam gerabak pada waktu itu amat menakutkan. Seluruh ruang gerabak gelap dengan asap putih tebal serta melihat keadaan isteri yang hamil disebelah dirinya yang juga cedera amat menakutkan.

Sumber dan rujukan:

  • Berita Harian 23 June 1973
- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here