Home Blog Page 30

Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir

Pada 20 Jun 2020 yang lalu, team orang Perak telah ke Pengkalan Hulu untuk melawat makam Raja Perempuan Che Ning yang merupakan permaisuri Negeri Reman yang terakhir dan berkesempatan melawat ke Istana Singgah Raja Reman di Kampung Selarung, Hulu Perak.

Sebelum jatuhnya kerajaan negeri Reman, jajahan wilayah negeri Reman terbentang luas dari kawasan hulu sungai Patani dan Sungai Tanjung Mas sehinggalah ke kawasan Lenggong di negeri Perak.

Raja Perempuan Che Ning adalah merupakan permaisuri kepada Raja Reman yang terakhir iaitu isteri kepada Tuan Jagong. Pasangan ini punyai 3 orang cahaya mata (2 lelaki dan 1 perempuan) iaitu yang sulung Tuan Menang (anak lelaki), kemudian Tuan Bayan (anak perempuan) dan yang bongsu bernama Tuan Lebeh (anak lelaki).

Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir

Anak Raja Perempuan Che Ning yang bongsu iaitu Tuan Lebeh Long Raya adalah merupakan bakal raja pemerintah negeri Reman setelah kemangkatan kandanya iaitu Tuan Menang.

Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir

Kami cukup bertuah kerana dapat bertemu dengan waris Tuan Lebeh Long Raya sewaktu berada di Istana Singgah Tuan Lebeh Long Raya di Kampung Selarung untuk menceritakan serba sedikit maklumat berkenaan dengan Raja Reman.


Istana Singgah Raja Reman

Menurut penceritaan lisan daripada waris kepada team Orang Perak, Tuan Lebeh Long Raya iaitu anak bongsu kepada Raja Perempuan Che Ning telah dipanggil bermesyuarat di Bangkok dengan raja pemerintah Thailand untuk menyesaikan masalah pengasingan dan keluar negeri Reman daripada jajahan Siam.

Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir

Malangnya Tuan Lebeh Long Raya dikatakan telah dibunuh dan ditolak ke laut sewaktu dalam pelayaran ke destinasi yang ingin dituju. Keberangkatan Tuan Lebeh Long Raya sewaktu bertolak pergi itulah kali terakhir dilihat dan kemudian tidak pernah kembali lagi. Jasad Tuan Lebeh Long Raya tidak ditemui dan hilang begitu sahaja. Begitulah nasib bakal raja yang tidak bermakam dan hilang sehingga ke hari ini.

Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir
Makam Raja Perempuan Che Ning

Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir

Menurut catatan N.A. Halim pula diceritakan bahawa Tuan Lebeh Long Raya telah ditangkap oleh raja pemerintah Thailand dalam tahun 1899 kerana dituduh bersubahat dengan Raja Patani yang bernama Tengku Abdul Kadir.

Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir

Tuduhan subahat itu adalah berkenaan dengan untuk mengasingkan negeri Patani dan negeri Reman dari jajahan pemerintah Thailand. Tuan Lebeh Long Raya dikatakan telah mangkat sewaktu dalam pelayaran ke Bangkok sebelum berdepan untuk menjalani hukuman penjara.

Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir

Suami kepada Raja Perempuan Che Ning iaitu Raja Reman Tuan Jagong pula telah mangkat beberapa minggu selepas puteranya dibawa ke Bangkok. Sejak peristiwa pahit yang melanda keluarganya itu, kesihatan Raja Perempuan Che Ning mula terjejas.

Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir

Setelah termeterainya Perjanjian Bangkok dalam tahun 1909, kesannya yang jelas adalah telah menamatkan konflik sempadan antara Reman dengan Perak dan sekaligus telah menamatkan Kesultanan Reman.


Makam Raja Perempuan Che Ning

Setelah 15 tahun peristiwa pahit itu berlalu, Raja Perempuan Che Ning kemudian mangkat dalam tahun 1915 di Kampung Selarung. Makam Raja Perempuan Che Ning terletak tinggi diatas bukit sejauh lebih kurang 150 meter dari jalan raya.

Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir
Makam Cucu Raja Perempuan Che Ning (Tuan Mat Bin Tuan Lebeh)

Lokasi makam ini telah dipagar dengan seluas 70 kaki x 70 kaki dan terdapat 8 kubur lain yang ada di sana terdiri daripada waris-waris dan keturunan Raja Perempuan Che Ning.

Raja Perempuan Che Ning, Permaisuri Negeri Reman Yang Terakhir

Makam Raja Perempuan Che Ning telah digazet pada tarikh 22 November 1979. Gazet No. P.U.(A)292 Daerah Hulu Perak, Mukim Kroh Lot No.769. Luasnya 20.2m x 20m. Rujukan Fail Jabatan Muzium JM/M/701/PK1 (2).

Rujukan:

  • Tempat-Tempat Bersejarah Perak, N.A. Halim, 1981 – m/s 155
  • Temu bual waris-waris Tuan Lebeh di Istana Singgah, Kampung Selarung

Pawang Jais, Usahawan Di Kampung Gajah 1890 an

Pawang Jais atau nama sebenarnya Haji Mohd Jais bin Ali bin Hamid bin Imam Syawal bin Bilal Alang bin Tok Nojeh adalah merupakan anak ke tiga daripada lima orang adik beradik. Kehidupannya sewaktu usia muda beliau pada zaman itu sama seperti orang lain dengan serba sederhana.

Beliau berkahwin dengan Itam Mengganti binti Imam Kolah atau Hajah Rahmah (nama ditukar ketika mengerjakan Haji di Mekah). Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan enam orang anak iaitu Basir, Mohd Johar, Zahidah, Anjang Saejah@ Rahmah, Abdullah Zahid dan Puteh Sareah. Selepas berkahwin, Haji Jais mula berusaha gigih untuk menyara keluarga.

Dalam kegigihannya bekerja mencari rezeki sehingga telah menerima kepercayaan dari pelbagai pihak. Beliau terkenal sebagai tulang belakang kepada pembinaan tali air untuk kegunaan sawah padi di Kampung Gajah, seperti yang dicatatkan oleh Cecil Wray, Pemangku Majistret Daerah Hilir Perak.

“Pada 25 April 1895, saya terus pergi ke Kampung Gajah pada jam 7.30 pagi bersama Raja Musa, Tok Penghulu dan beberapa orang lain untuk melihat kerja-kerja pembinaan tali air yang sedang diusahakan oleh Tok Penghulu dan Pawang Jais. Kerja-kerja tersebut sedang berjalan lancar. Apabila siap nanti, akan membekalkan air kepada suatu kawasan yang luas, sekarang sudah hampir habis diterokai (sawah padi).”

Pawang Jais, Usahawan Di Kampung Gajah 1890 an

Beliau juga meneroka tanah dan menanam tanaman yang berpotensi ketika itu untuk menambahkan pendapatan keluarga seperti yang telah dicatatkan dalam laporan daripada Majistret Daerah Hilir Perak Ed.J Brewster 10 Jun 1898.

“Saya mulai mudik dari sungai, pada hari yang sama dan membuat lawatan mukim di Kampung Gajah. Saya berjalan lebih kurang empat batu masuk ke arah darat menuju satu perkampungan baru yang dibuka oleh orang Melayu yang paling bertenaga di lembah Sungai Perak, Pawang Jais namanya. Dia sedang menanam kelapa dan kopi Liberia dan dia ada lebih kurang dua puluh lima orang peneroka bersamanya. Kawasan itu tinggi dan mereka berkata tanah di situ subur dan sesuai untuk kelapa.”

Kawasan Kampung Gajah, Pasir Salak dan sekitarnya pada tahun 1895 adalah dalam fasa pemulihan selepas Perang Perak 1875. Pihak British mula berbaik-baik dengan masyarakat Perak selepas dua puluh tahun perperangan tersebut.

Perkara ini dapat dibuktikan, apabila Anjang Abdullah yang merupakan anak Dato Sagor yang ketiga telah dilantik sebagai Penghulu Kampung Gajah dan Pasir Salak pada tahun 1905 walaupun ketika itu Residen Perak ialah E.W Birch yang merupakan anak kepada J.W.W. Birch yang mati dibunuh di Pasir Salak.

Getah mula ditanam secara besar-besaran di Perak sekitar 1890an. Mengikut cerita lisan keluarga Haji Jais, ada seorang Penyelidik British yang mengkaji tentang flora dan fauna di Perak dan membekalkan benih getah kepada Haji Jais.

Penyelidik British itu menyuruh Haji Jais menanam getah secara besar-besaran di Kampung Gajah. Saranan tersebut kemudian disambut baik oleh Haji Jais dan beliau mula menanam getah ratusan ekar luasnya di Changkat Taboh. Tanaman getah tersebut telah memberikan hasil yang cukup lumayan kepada beliau ketika itu.

Mohamed Jabar atau Ngah Jabor yang merupakan seorang usahawan lombong bijih timah di Kampar telah kembali ke Kampung Gajah setelah sekian lama berada di Kampar.

Kebetulan pada ketika itu, beliau telah menerima 200 ekar tanah daripada kerajaan negeri Perak. Beliau berjumpa dengan Haji Jais untuk meminta tunjuk ajar dan nasihat bagi menanam getah di tanah kepunyaannya. Mereka bersahabat seterusnya berbesan apabila Mohamed Jabar menjodohkan anaknya Itam Hajar dengan Basir iaitu anak kepada Haji Jais.

Pawang Jais, Usahawan Di Kampung Gajah 1890 an

Pendapatan hasil daripada getah yang agak lumayan pada ketika itu membolehkan Haji Jais menyumbangkan wang ringgitnya untuk membangunkan sebuah Masjid di Kampung Tengah bersama-sama dengan masyarakat Kampung Gajah pada tahun 1910.

Masjid ini kini dikenali sebagai Masjid Lama Kampung Gajah. Selain itu beliau juga turut mendirikan sebuah surau sekitar tahun 1930an yang dikenali sebagai Madrasah Jaiziyah.

Surau ini berperanan sebagai pusat pengajian asas untuk anak-anak muda di Kampung Gajah sebelum melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi di tempat lain.

Surau ini dikendalikan oleh menantunya iaitu Haji Abdul Hamid bin Abdul Latif yang merupakan lulusan Pondok Sungai Dua, Pulau Pinang. Setelah menabur jasa dan baktinya selama puluhan tahun dari segi ekonomi dan sosial untuk masayarakat Kampung Gajah dan sekitarnya, Haji Jais atau dikenali Pawang Jais meninggalkan dunia dalam tahun 1948.

Sumber:

  • Haji Md. Shaharudin bin Mansur, Sebahagian Dari Rumpun Keluarga Tok Nojeh dari Changkat Tuntung, Mukim Pulau Tiga Kurun ke 17, Januari 1977
  • Hashim Sam, Orang biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921)
  • Persatuan Sejarah Malaysia, 2000

Kisah Maharaja Abu Bakar Johor Diminta Memujuk Maharajalela Menyerah Diri

Perang Perak yang bermula sejurus selepas Residen British Pertama Negeri Perak, J.W.W. Birch terkorban pada 2 November 1874 di Pasir Salak akhirnya tiba ke pengakhirannya apabila tentera British yang dibawa masuk dari India dan Hong Kong menang dalam pertempuran terakhir di Kampung Kledang, Enggor dan Prek.

Dalam pertempuran di Prek (sebuah tempat yang terletak kira-kira 3.2 kilometer dari Enggor), pasukan Melayu yang bertahan telah melepaskan tembakan terhadap pasukan British yang menghampiri kubu mereka.

Kisah Maharaja Abu Bakar Johor Diminta Memujuk Maharajalela Menyerah Diri

Dengan itu pasukan British di bawah Kapten Barnett dan Kapten Churchill membalas serangan itu. Setelah kampung tersebut diduduki, sebanyak 15 rumah telah dibakar termasuklah rumah milik Seri Lela Paduka dan Kadir yang mengetuai serangan terhadap British.

Selepas serangan terakhir tersebut, pemimpin dan pengikut yang terlibat dalam perjuangan menentang British di Perak gagal mengatasi kemaraan pasukan tentera British.

Mereka terpaksa berundur dan bersembunyi di kawasan pendalaman. Selain daripada itu ada yang mengambil keputusan untuk menyerah diri. Tindakan itu diambil disebabkan lahirnya tanggapan dikalangan mereka bahawa perjuangan mereka sudah tidak bermakna lagi.

Kemudian gerakan Raja Mahmud dan Raja Indut, keduanya dari Selangor yang mengawal Sungai Dedap atas arahan Swettenham telah menyebabkan bekalan dan jalan keluar bagi pasukan Dato Maharaja Lela tersekat serta menyukarkan lagi usaha beliau untuk menyelamatkan diri.

Kisah Maharaja Abu Bakar Johor Diminta Memujuk Maharajalela Menyerah Diri

Penglibatan Maharaja Johor dalam insiden Perang Perak ini bermula apabila Gabenor Sir William Jervois berpendapat adalah lebih baik dan lebih selamat jika Sultan Ismail yang berada dalam buangan di Kedah dihantar ke Johor sebagai tahanan dan dikawal rapi.

Beliau pula mengharapkan Maharaja Abu Bakar akan menyediakan keselesaan yang perlu kepada Sultan Ismail. Dalam usaha ini Gabenor Jervois menghubungi Maharaja Abu Bakar dalam suratnya yang bertarikh 27 Mac 1876, memaklumkan bahawa Sultan Ismail, dua orang putera baginda, Dato Nara, Panglima Perang Semaun dan 13 orang pembantu akan dihantar ke Johor Bahru pada tengah hari 27 Mac 1876 menggunakan kapal perang H.M.S. Ringdove.

Gabenor berharap Maharaja Abu Bakar menerima Sultan Ismail. Oleh kerana Sultan Ismail bersifat sebagai orang tahanan, Gabenor meminta Maharaja Abu Bakar tidak memberi penghormatan kepada baginda.

Kisah Maharaja Abu Bakar Johor Diminta Memujuk Maharajalela Menyerah Diri

Dalam pada itu, Gabenor bercadang membawa keluarga Sultan Ismail yang masih berada di Kedah ke Johor. Maharaja Abu Bakar menerima cadangan gabenor ini. Baginda juga memberi jaminan untuk mengawasi Sultan Ismail.

Sultan Ismail tiba di Johor Bahru pada petang 27 Mac 1876 dan sejurus tiba, baginda diletakkan dibawah kawalan Maharaja Abu Bakar sebagai tahanan di Johor.

Dalam gerakan untuk memburu para pemimpin yang terlibat dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan Perak, pihak British telah mengeluarkan pengisytiharan tawaran hadiah.

Kisah Maharaja Abu Bakar Johor Diminta Memujuk Maharajalela Menyerah Diri

Pada 13 Januari 1876, tawaran hadiah sebanyak $6,000 dikeluarkan kepada sesiapa yang berjaya menangkap Dato Maharaja Lela, dan $3000 tiap-tiap seorang bagi sesiapa yang berjaya menangkap Dato Sagor dan Pandak Indut.

Dato Maharaja Lela selepas pertempuran, beliau bersama pengikutnya telah berundur ke Patani. Disebabkan itu Gabenor Sir William Jervoid telah menulis surat bertarikh 30 Disember 1875 kepada T.G.Knox di Bangkok memohon kerajaan Siam mengarahkan Raja Patani supaya tidak menerima kedatangan Dato Maharaja Lela dan pengikutnya.

T. G. Knox mengambil tindakan susulan dengan menulis surat kepada Chao Phya Surawongse Way Waddhu Phra Kalahom, Menteri Jajahan Selatan bertarikh 21 Januari 1876, mohon mengarahkan Raja Melayu di Selatan Thailand supaya tidak menerima pelarian Perak.

Beliau juga diminta menangkap pelarian tersebut dan menyerahkannya kepada kerajaan British. Kerajaan Siam melalui Pemangku Raja berjanji akan menghantar kapal perang ke Senggora (Songkhla) di bawah Pesuruhjaya Siam.

Kisah Maharaja Abu Bakar Johor Diminta Memujuk Maharajalela Menyerah Diri

Sementara itu Gabenor juga meminta bantuan Sultan Kedah menangkap Dato Maharaja Lela sekiranya beliau datang ke Kedah. Sultan Kedah menyatakan kesanggupan untuk menyerahkan Dato Maharaja Lela dan pengikutnya sekiranya didapati mereka lari ke Kedah.

W.E.Maxwell dan pasukannya telah ditugaskan untuk menjejaki Dato Maharaja Lela. Setelah berada tidak lama di Kampung Kerni, Reman, Dato Maharaja Lela kembali semula ke Perak.

Beliau tinggal bersama Seri Paduka Lela di sebuah kampung kecil, di antara Kampung Salak dan Kampung Kepayang kira-kira 10 kilometer dari Kota Lama.

Disebabkan tu, Gabenor Jervois cuba untuk mendapatkan khidmat Maharaja Abu Bakar dari Johor untuk menangkap Dato Maharaja Lela. Maharaja Abu Bakar bersetuju dengan kemudian menghantar utusan yang diketuai oleh Orang Kaya Abdul Rahman bagi memulakan rundingan.

Kisah Maharaja Abu Bakar Johor Diminta Memujuk Maharajalela Menyerah Diri

Utusan ini diarahkan untuk memaklumkan kepada Dato Maharaja Lela bahawa perbicaraan yang adil akan dijalankan sekiranya beliau menyerah diri. Rombongan ini berangkat ke Perak melalui Kedah dan tiba di Kuala Kangsar pada 16 Jun 1876.

Orang Kaya Abdul Rahman bertemu dan berbincang dengan Dato Maharaja Lela di Hulu Perak. Dalam perbincangan itu, Dato Maharaja Lela menyatakan bahawa beliau sanggup untuk menyerah diri tetapi hendaklah diletakkan di bawah perlindungan Maharaja Abu Bakar.

Pada 26 Jun 1876 Orang Kaya Abdul Rahman kembali ke Kuala Kangsar dengan membawa bersamanya Ngah Jabor. Kesediaan Dato Maharaja Lela berangkat ke Johor dimaklumkan oleh J.G. Davidson kepada Gabenor Jervois.

Dengan itu Gabenor Jervois meminta Maharaja Abu Bakar menghantar kapalnya ke Perak bagi membawa Dato Maharaja Lela dan pengikutnya ke Johor bagi mendapat perlindungan. Beliau seterusnya meminta Davidson untuk memaklumkan kepada Dato Maharaja Lela bahawa Maharaja Abu Bakar akan menghantar kapal baginda, Panti untuk membawa Dato Maharaja Lela dan pengikutnya ke Johor nanti.

Kisah Maharaja Abu Bakar Johor Diminta Memujuk Maharajalela Menyerah Diri

Pada 3 Julai 1876 kapal Panti tiba di Pulau Pinang. Rombongan kali ini terdiri daripada saudara kepada Maharaja Johor, William Hole, Setiuasaha Sulit Maharaja dan 20 orang pegawai dari kerajaan Johor.

William Hole membawa surat daripada Sultan Ismail kepada Dato Maharaja Lela yang menyatakan baginda dilayan dengan baik oleh British. William Hole mencadangkan surat ini dibawa oleh saudara Maharaja Abu Bakar sendiri untuk diserahkan kepada Dato Maharaja Lela.

Ngah Jabor disyorkan untuk sama-sama berangkat bagi mempengaruhi Dato Maharaja Lela dan pengikutnya untuk ke Johor menaiki kapal Panti. Gabenor Jervois kemudiannya bersetuju dengan cadangan William Hole ini.

Pada 6 Julai 1876, kapal Panti berlepas ke Larut dan kemudiannya ke Kuala Kangsar. Pada 8 Julai 1876, terdapat laporan bahawa Dato Maharaja Lela berada di Kota Lama.

Kisah Maharaja Abu Bakar Johor Diminta Memujuk Maharajalela Menyerah Diri

Dengan itu William Hole, saudara Maharaja Abu Bakar dan Orang Kaya Abdul Rahman berangkat ke Hulu Perak bagi bertemu Dato Maharaja Lela. Di antara yang hadir bersama-sama Dato Maharaja Lela ialah Pandak Indut dan Tok Seri Lela.

Setelah menyerahkan surat Sultan Ismail dan berbincang, utusan William Hole pulang ke Kuala Kangsar. Dato Maharaja Lela pula pulang menemui keluarganya. Selepas beberapa ketika mengambil masa untuk berbincang dan berunding, Dato Maharaja Lela akhirnya mengambil keputusan untuk berangkat ke Johor dengan kapal Panti.

Akhirnya, pada 13 Julai 1876, Dato Maharaja Lela, Pandak Indut dan Ngah Jabor dibawa menaiki kapal Panti dari Larut ke Singapura. Mereka tiba di Singapura pada 20 Julai 1876. Seterusnya Dato Maharaja Lela dan pengikutnya diserahkan di bawah jagaan Maharaja Abu Bakar di Johor.

Setelah menyerahkan Dato Maharajalela dan pengikutnya kepada kerajaan Johor seperti yang disepakati dalam rundingan sebelum ini, Gabenor Jervois kemudiannya memberi tempoh selama lima hari kepada Maharaja Abu Bakar untuk menyerahkan Dato Maharaja Lela dan pengikutnya kepada Kerajaan Negeri-Negeri Selat untuk menghadapi tindakan undang-undang.

Kisah Maharaja Abu Bakar Johor Diminta Memujuk Maharajalela Menyerah Diri

Gabenor Jervois kemudiannya memuji Davidson dan William Hole di atas kejayaan besar membawa Dato Maharaja Lela dan pengikutnya ke Singapura. Di samping itu, beliau turut mengucapkan terima kasi kepada Maharaja Abu Bakar.

Langkah Dato Maharaja Lela menyerah diri ini dikatakan dibuat kerana beliau bimbang dirinya akan terkorban di dalam hutan dibunuh oleh mereka yang tidak mahu beliau memberi keterangan tentang pembunuhan J.W.W. Birch.

Pada 21 Julai 1876, Dato Maharaja Lela telah menyerahkan dokumen yang menyatakan bahawa Sultan Abdullah merupakan pemimpin yang bertanggungjawab memberi arahan kepada Seputum untuk membunuh J.W.w. Birch.

Surat ini ditulis atas kertas kosong dan ditandantangani serta dicap mohor oleh Sultan Abdullah. Dato Maharaja Lela, Ngah Jabor dan Pandak Indut kemudian mengeluarkan kenyataan yang menafikan penglibatan mereka dalam pakatan membunuh J.W.W. Birch.

Dalam pada itu, Gabenor Jervois memaklumkan kepada Maharaja Abu Bakar meminta supaya memanjangkan kepada Dato Maharaja Lela, Ngah Jabor, Pandak Indut, Panjang Bur dan Che Ali supaya menyerah diri terlebih dahulu kepada kerajaan British. Barulah mereka akan dibicarakan dengan adil. Sekiranya mereka didapati tidak bersalah sebagaimana tuduhan yang dikenakan keatas mereka, mereka akan dibebaskan.

Setelah mendapat janji mulut daripada Gabenor dan jaminan oleh Maharaja Abu Bakar bahawa mereka akan diadili di mahkamah dan boleh mendapatkan bantuan guaman, barulah Dato Maharaja Lela dan pengikutnya sanggup menyerah diri.

Dengan itu Maharaja Abu Bakar menulis surat kepada Gabenor pada 29 Julai 1876 menyatakan Dato Maharaja Lela dan pengikutnya secara sukarela akan menyerah diri dengan jaminan diadili di mahkamah.

Surat itu dibawa oleh Dato Bentara Setiuasaha Kerajaan Johor dan William Hole, Setiausaha Sulit Maharaja Johor kepada Gabenor. Gabenor pula menyatakan bahawa kenyataan Maharaja Johor di dalam suratnya tentang pengadilan di mahkamah adalah tepat dan tindakan yang diambil adalah mengikut undang-undang.

Kisah Maharaja Abu Bakar Johor Diminta Memujuk Maharajalela Menyerah Diri

Dato Maharaja Lela dan pengikutnya akhirnya datang menyerah diri kepada kerajaan British di Singapura pada 30 Julai 1876. Perbicaraan yang akan diadakan nanti adalah berdasarkan bidang kuasa negeri Perak. Gabenor Jervois menyatakan bahawa mereka yang ditahan akan diberi layanan yang memuaskan oleh kerajaan British.

Earl of Carnavon bagi pihak kerajaan British meminta Gabenor Sir William Jervois menyampaikan ucapan terima kasih kepada Maharaja Johor yang membantu sehingga tertangkapnya Dato Maharaja Lela dan pengikutnya. Seputum pula ditangkap oleh Mahmin, Odah Pulau, Alang Rupah, Odah Mat Kasim dan Si Kumbang di Lambor.

Rujukan:

  • Pasir Salak: Pusat Gerakan menentang British di Perak oleh Prof Madya Dr Abdullah Zakaria Ghazali

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Syeikh Tahir Jalaluddin sebenarnya merupakan seorang anak Melayu Minangkabau yang telah berhijrah dan menetap di Tanah Melayu. Di belakang namanya kerap disunting perkataan “Al-Azhari, Al-Falaki Assyahir” iaitu bererti beliau merupakan keluaran Universiti al-Azhar di Mesir dan seorang ahli Falak yang terkenal.

Nama lengkap Syeikh Tahir Jalaluddin ialah Muhamad Tahir bin Syeikh Muhammad. Beliau dilahirkan pada hari Selasa, 4 haribulan Ramadhan, tahun 1286 Hijrah bersamaan 7 haribulan Disember 1869 Masehi di Empat Angkat (Ampek Angkek), Bukit Tinggi Sumatera Barat.

Ayah beliau iaitu Syeikh Muhamad merupakan seorang ulamak terkenal di Sumatera. Di dalam masyarakat Minangkabau Syeikh Muhammad lebih dikenali dengan nama Tuanku Muhammad atau Tuanku Tjangking.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Kedua-dua ibu bapanya meninggal ketika Syeikh Tahir baru berusia dua tahun. Oleh kerana Syeikh Tahir masih kanak-kanak lagi ketika ditinggalkan oleh ayah dan ibunya, beliau telah dipelihara oleh ibu saudara di sebelah pihak ibunya.

Menjelang usianya lebih kurang sebelas tahun, ibu saudaranya telah menghantar beliau menuntut ilmu di Mekah. Di Mekah beliau tinggal bersama sepupunya Syeikh Ahmad Khatib yang menjadi pemimpin Mazhab Imam Syafie di Masjid al-Haram.

Syeikh Tahir telah datang ke Mekah pada tahun 1297H (1880 m) bersama datuk sepupunya Haji Abdul Rahman. Di Mekah beliau tinggal bersama Syeikh Ahmad Khatib di dalam pemeliharaan al-Syeikh Muhammad Salleh Kardabi Fidullah al-Kurdi.

Pelajaran asas yang diterimanya di sini ialah mengaji al-Qur’an dan mentajwidkan Qur’an daripada Tuan Syeikh Abdul Haq. Pelajaran lain berhubung dengan keugamaan dipelajarinya dari Syed Umar Syah, Syeikh Muhammad al-Khayyat, Syed Barkasyah dan sepupunya sendiri Syeikh Ahmad Khatib.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Dalam jangka masa dua belas tahun Syeikh Tahir menetap di Mekah, beliau berpeluang mempelajari ilmu-ilmu ugama dengan mendalam. Banyak daripada ajaran-ajaran sepupunya, Syeikh Ahmad Khatib telah mempengaruhi jiwa Syeikh Tahir teristimewa berhubung dengan masalah amalan beragama umat Islam yang dikatakan bercampur aduk dengan amalan bida’ah.

Syeikh Ahmad Khatib juga merupakan seorang guru yang bertauliah bagi masyarakat Jawi di Mekah pada waktu itu. Hasil dari pergaulan dengan Syeikh Ahmad Khatib telah mendorong Syeikh Tahir belajar ilmu agama dengan lebih mendalam lagi dari guru-guru lain di Mekah seperti yang telah disebutkan tadi.

Dengan ini ketokohan beliau dari segi keagamaan setanding dengan gurunya yang menjadi kebangaan kepada masyarakat Melayu Indonesia dan Tanah Melayu.

Setelah tujuh tahun berada di Mekah, pada tahun 1304H (1884 M) beliau pulang ke tanah airnya, Minangkabau. Pada tahun berikutnya beliau kembali semula ke Mekah untuk menyambung pelajarannya.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Beliau telah berkahwin buat pertama kalinya pada tahun 1306 H. (1886 M) dengan seorang gadis bernama Aisyah binti Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail Al-Khalid Kabul.

Hasil perkongsian hidup dengan isterinya itu mereka beroleh dua orang anak tetapi kedua-duanya meninggal dunia di Mekah ketika Syeikh Tahir berada di sana.

Semenjak beliau tinggal di Mekah pada tahun 1297 H (1880 M.), beliau mula mendalami ilmu al-Quran. Seterusnya beliau mempelajari Ilmu Nahu (grammer), Bayan (Ilmu ucapan dan keterangan yang fasih), Ma’ani (ilmu makna-meaning), Badi’a (ilmu boleh mengenal pertuturan), Tauhid (ilmu mengenal Tuhan), Fekah (ilmu undang-undang), Usul Fikah (ilmu mengetahui asal undang-undang), Hadis (ilmu mengetahui perkataan, perbuatan dan kelakuan Rasul), Tafsir (ilmu menghuraikan makna-makna al-Qur’an), Hisab (ilmu kira-kira), Hisab Bidasab (Ilmu kira-kira sukat menyukat), Hai-ah (ilmu bintang) dan ilmu Falak (ilmu membicarakan matahari, bulan dan bintang-bintang beredar).

Berdasarkan ilmu yang dipelajarinya itu adalah tidak menghairankan jika dia sangat mahir dalam soal yang berhubungan dengan masalah agama Islam.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Syeikh Tahir dikatakan telah datang ke Tanah Melayu menjelang tahun 1899. Dalam tahun itu beliau telah mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis Perak dari suku Rawa, bernama Aishah binti Haji Mustafa binti Datuk Menteri pada 28hb September 1899.

Didapati beliau ini seorang yang tidak mudah berasa senang hati untuk tinggal menetap di satu-satu tempat. Sehingga tatkala beliau menetap di Tanah Melayu, beliau kerap belayar ke negeri-negeri di Indonesia dan negeri-negeri Timur Tengah, melawat sanak saudara, memberi ceramah-ceramah ugama dan sebagainya.

Di Perak setelah Syeikh Tahir berkahwin dengan isterinya Aishah binti Datuk Menteri, beliau mula menjalankan kerja-kerja harian untuk menyara keluarganya. Boleh dikatakan beliau seorang yang suka hidup berdikari.

Pada tahun 1900 M. beliau pernah membuka kedai kain di Ipoh. Asas perniagaan ini dimulakan oleh bapa mertua beliau yang dikatakan agak `berada’ juga.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Namun demikian kerja berjual kain itu hanya berjalan setakat setahun sahaja. Selepas itu beliau telah belayar lagi ke Kepuluan Indonesia pada tahun 1901 melalui Tanah Jawa, Bali, Beliling, Ampanan, Sumbawa, Bima dan Makasar.

Dalam lawatannya itu ada kemungkinan beliau telah menyebarkan buah fikirannya mengenai ilmu agama ditempat-tempat yang di lawatinya.

Dalam tahun yang sama beliau berpindah pula ke Johor Baharu. Di Johor Baharu beliau dijemput oleh Yang Mulia Tengku Omar bin Ahmad, Hakim Besar Johor, bagi mengajar hakim-hakim pengadilan di mahkamah Johor.

Diantara hakim-hakim yang mendapat tunjuk ajar beliau ialah Ungku Ismail bin Ahmad, Ungku Abdul Rahman bin Abdul Majid dan lain-lain pengadil bangsa Melayu.

Tugas mengajar hakim-hakim tersebut berlangsung selama lebih kurang tiga tahun. Dalam masa beliau bertugas inilah, Sultan Idris (1887-1916) sebagai Sultan Perak mengajak beliau ke London kerana menghadiri kemahkotaan King George pada 22 Jun, 1911.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Pada 3hb Julai 1912 beliau meletakkan jawatan sebagai guru kepada hakim-hakim di Johor Baharu, dan mulai tahun 1914 beliau bertugas pula sebagai guru di sekolah Agama Johor Baharu dan menjadi Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Johor (Nazir).

Ternyata kemudian sewaktu menjawat jawatan tersebut beliau berasa tidak puashati dengan system pendidikan dan cara pentadbiran sekolah-sekolah agama waktu itu.

Dalam suratnya kepada Yang Di Pertua Jabatan Pendidikan Negeri Johor, beliau menyatakan dukacitanya kerana “tidak boleh menjalankan peraturan pelajaran yang terlebih berfaedah dan berguna bagi kanak-kanak yang belajar”. Beliau akhirnya meminta berhenti kerja pada tahun 1916.

Dua tahun setelah kembali ke Perak pada tahun 1920, beliau telah diminta oleh rakan seperjuangan Syed Syeikh bin Ahmad Al-Hadi, untuk menjadi guru di Madrasah Al-Masyhur Al-Islammiyah di Pulau Pinang bersama-sama seorang rakannya Syeikh Abdullah Maghribi.

Khidmat beliau di Madrasah itu pun tidak lama kerana beliau telah jatuh sakit. Di Al-Masyhur beliau ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran Ilmu Falak kepada pelajar-pelajar Madrasah itu. Menjelang tahun 1923, beliau berangkat pula ke Medan dan Deli untuk berubat dan melawat tanah tumpah darahnya Minangkabau selama enam bulan.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Sebagai seorang alim yang mempunyai kedudukan baik dimata masyarakat, beliau begitu dihormati. Jawatan-jawatan yang dipegangnya semasa berada di Perak dan juga di Johor membuktikan tenaga dan ilmunya mendapat perhatian.

Pengetahuannya banyak dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakatnya. Beliau sering diberi kepercayaan untuk membantu menyelesaikan masalah hukum agama berdasarkan keilmuannya yang luas baik di dalam Ilmu Falak mahupun yang berhubung dengan soal keagamaan.

Sebagai seorang ahli Falak, beliau sering dihadapkan dengan pertanyaan-pertanyaan berhubung dengan cara menggunakan Ilmu Hisab bagi menentukan tarikh berpuasa dan berhari raya.

Banyak daripada pertanyaan-pertanyaan tersebut datang dari penduduk di Tanah Melayu mahupun dari Indonesia. Pandangan beliau mengenai tarikh kemunculan anak bulan Ramadhan atau pun bila berlakunya gerhana matahari, sering kali disiarkan diakhbar-akhbar tempatan.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Selain itu beliau juga sangat mengambil berat tentang amal kebajikan di dalam masyarakatnya. Misalnya beliau sangat memberatkan pentingnya sesebuah masjid itu mempunyai kiblat yang betul dan tepat mengikut hala Kaabah di Mekah.

Beliau berpendapat bahawa sembahyang tanpa menghadapi arah kiblat yang tepat adalah tidak sah. Dengan itu beliau merasa bertanggungjawab bagi membetulkan kiblat masjib oleh kerana beliau memahami Ilmu Falak.

Memandangkan betapa pentingnya kiblat bagi syarat sah sembahyang orang Islam, Syeikh Tahir pernah dilantik oleh Sultan Idris, Perak untuk menjadi pemeriksa kiblat diseluruh negeri Perak.

Beliau pernah melahirkan kekesalannya kerana terdapat banyak mihrab masjid yang tidak sehala dengan arah kiblat. Misalnya ketika beliau menjadi pemeriksa kiblat masjid-masjid di Perak pada tahun 1900 beliau telah melapurkan bahawa terdapat banyak masjid-masjid di Tanah Melayu tidak menuju hala kiblat yang tepat seperti mana yang berlaku kepada masjid di Teluk Anson, Perak.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Selain itu didapati juga masjid-masjid di Pulau Pinang, masjid di Kuala Lumpur dan Masjid Sultan di Kampung Gelam, Singapura turut tidak mengikut hala kiblat yang betul.

Ekoran dari timbulnya kekeliruan dalam hal berkaitan dengan hala kiblat masjid, Syeikh Tahir telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan dua buah buku.

Buku Pati Kiraan pada menentukan waktu yang Lima dan hal Kiblat dengan Logarithma, diterbitkan di Singapura melalui al-Ahmadiah Press pada tahun 1938.

Seterusnya pada tahun 1951 diterbitkan pula buku Natijah al-Ummi (pendapat kira-kira pada takwim tarikh Hijrah dan Miladi, hala kiblat Mazhab Shafii).

Keilmuan beliau dalam bidang Ilmu Falak menyebabkan beliau digelar sebagai Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Falaki. Mengenai pentingnya ilmu falak itu beliau pernah menyatakan bahawa: “Ilmu Falak itu suatu ilmu yang mulia bagi menyukat, menimbang perjalanan bulan dan matahari”. Kenyataan beliau itu dilihat bersesuaian dengan sabda Rasul Allah yang mengatakan, “sebaik-baik hamba Allah itu mereka yang mengintai-intai matahari dan bulan dan naung bagi mendirikan sembahyang”.

Berdasarkan kepada sabda Nabi itu Syeikh Tahir sangat menitik beratkan kepentingan mempelajari Ilmu Falak. Pentingnya pengetahuan ilmu Falak bagi orang Islam dikatakan berkait rapat dengan soal kiblat dalam sembahyang, menentukan waktu sembahyang serta menetapkan tarikh berpuasa dalam bulan Ramadhan dan berhari raya.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Kemahiran Syeikh Tahir dalam bidang Ilmu Falak menunjukkan beliau mempunyai minat yang mendalam tentang Ilmu Hisab atau matematik. Beliau turut mengecam mereka-mereka yang tidak mahu menghargai kepentingan Ilmu Hisab untuk menentukan tarikh berpuasa dan berhari raya.

Menurut Syeikh Tahir penggunaan cara Hisab untuk menentukan tarikh berpuasa dan berhari raya adalah penting terutama jika berlaku cuaca buruk yang tidak memungkinkan kelihatan anak bulan untuk menandakan hari mula berpuasa dan berhari raya.

Menurut beliau bagi mereka yang tidak mahu menggunakan kaedah Hisab untuk menentukan tarikh berpuasa dan berhari raya samalah juga mereka itu seperti manusia yang jahil. Kejahilan mereka menyebabkan mereka hanya mengikut pendapat orang hingga menyebabkan berlaku puasa yang terdahulu sehari daripada sepatutnya dalam bulan Ramadhan.

Dalam soal kiblat pula beliau mengatakan orang Islam wajib mempelajari arah kiblat, dan wajib pula menyebarkan pengetahuannya itu. Mengenai hal ini beliau mengatakan:

Tiada boleh `berijtihad’ pada kiblat itu melainkan orang yang ada celik matanya dan mengetahui dalil-dalil kiblat seperti bintang-bintang, matahari dan bulan dan selemah-lemahnya angin dan sekuat-kuatnya khutub dan tiada boleh ia bersandar semata-mata sangka dengan tidak tanda dan dalil.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Beliau juga berpendapat bahawa orang-orang yang buta dikecualikan daripada mempelajari dalil kiblat demikian juga orang-orang celik yang tidak mampu mempelajarinya. Betapa pun mereka harus mengikut petunjuk orang-orang yang arif tentang dalil kiblat.

Kenyataan-kenyataan beliau yang disiarkan diakhbar-akhbar mengenai banyaknya masjid-masjid di Tanah Melayu dan Sumatera yang tidak mengikut hala kiblat, akhirnya menimbulkan kesedaran orang ramai.

Kesannya di Tanah Melayu orang ramai juga turut mengakui banyak daripada masjid-masjid di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan lain-lain tidak mengikut hala kiblat yang betul. Mengenai keadaan ini seorang pembaca pernah mengulas:

Kedudukan ugama kita adalah di dalam kucar kacir. Satu-satunya yang menjadi suasana di dalam masyarakat ugama kita ialah masalah kiblat masjid dan masalah ini telah menjadi soal yang hangat di dalam masyarakat ugama kita.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Meskipun kesan daripada persoalan kiblat ini membuka mata masyarakat tentang banyak kesilapan hala kiblat yang berlaku di masjid-masjid Tanah Melayu, namun pendedahan ini menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan pihak-pihak tertentu.

Misalnya Syeikh Tahir pernah dibicarakan oleh mahkamah di Pulau Pinang oleh kerana beliau menjalankan penyiasatan letak kiblat di masjid Pulau Pinang. Pendapat beliau juga pernah ditentang oleh seorang pembaca akhbar yang menganggap soal kiblat itu tidak penting digembar-gemburkan, memadailah jika sembahyang menghadap kekiri atau kanan kiblat.

Melihat kepada ramai lagi mereka yang tidak memahami Ilmu Falak dan kepentingannya dalam soal agama, beliau terus menyebarkan ilmunya walaupun ketika beliau sudah tua dan uzur.

Kegigihannya menyumbangkan tenaga untuk menyebarkan pengetahuan ini amat jelas kelihatan. Misalnya ketika beliau berusia 79 tahun beliau telah pergi ke Bangkok di Thailand untuk mengajar kira-kira hala kiblat.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Menjelang usia 83 tahun, Syeikh Tahir dijemput pula oleh pihak Jabatan Agama Johor untuk mengajar Ilmu Falak kepada kakitangan jabatan itu. Ini dilakukan selama enam bulan dengan berulang alik dari Kuala Kangsar ke Johor Baharu.

Sheikh Muhammad Tahir telah melahirkan karya-karya yang meliputi beberapa bidang. Yang paling penting dari sudut Falak Syar’i ialah kitab Natijatul’Umur (diterbitkan pada tahun 1357 H./ 1936 M.) iaitu kira-kira untuk Taqwim Hijrah dan persamaannya dengan Taqwim Miladi (Masehi), hala kiblat, dan waktu solat untuk sepanjang zaman; dan Kitab Jadual Pati Kiraan iaitu panduan untuk menentukan waktu solat dan arah kiblat berserta logarithms untuk mengiranya (diterbitkan pada tahun 1362 H./ 1941 M.).

Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari telah kembali ke rahmatullah pada pagi Jumaat 21 Rabiulawal 1377 (bersamaan 26 Oktober 1956) pada usia 87 tahun, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Baru, Kuala Kangsar, Perak.

Sheikh Muhammad Tahir Jalaludin, Ulama Falak Terkenal Alam Melayu

Jabatan Muzium Negara Malaysia telah mengistiharkan tempat pemakaman beliau sebagai makam bersejarah untuk memperingati jasa beliau. Kini Kerajaan Negeri Pulau Pinang menamakan sebuah Pusat Observatori di Pantai Acheh Pulau Pinang sebagai Pusat Falak Sheikh Tahir, bagi memperingati peranan dan ketokohan beliau dalam bidang Falak.

Rujukan:

  • Kertas kerja Mohd Sarim Hj. Mustajab, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Malaysia Sabah
  • Tempat-Tempat Bersejarah Perak, N.A. Halim
  • Laman Web Pejabat Mufti Pulau Pinang

Makam Laksamana Aceh Di Kampung Pulau, Lambor Kiri

Pada pagi 13 Jun 2020 yang lalu, team Orang Perak telah berkesempatan untuk melawat ke makam Laksamana Aceh yang terletak di Kampung Pulau, Lambor Kiri bersama-sama dengan sahabat dan kenalan dari Selangor.

Sultan Muhammad Shah (Sultan Perak Ke 14)

Nama sebenar baginda Sultan Muhammad Shah adalah Raja Bisnu dan baginda adalah putera kepada Yang Dipertuan Muda Mansur Shah. Baginda juga adalah merupakan adinda kepada Sultan Muzaffar Shah III (Sultan Perak Ke 13).

Sewaktu zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III (Sultan Perak Ke 13), telah berlaku salah faham antara dua beradik diraja ini dan telah memberikan kesan cukup bersejarah dalam negeri Perak yang mana kesultanan negeri Perak telah berpecah kepada dua.

Kisah ini berlaku antara tahun 1742 hingga tahun 1743. Pada waktu itu, Raja Bisnu telah diangkat oleh orang besar-besar yang menyebelahi baginda untuk menjadi Sultan Perak dengan gelaran Sultan Muhammad Shah.

Baginda Sultan Muhammad Shah memerintah bahagian hilir negeri Perak dan dalam pada masa yang sama Sultan Muzaffar Shah III memerintah bahagian yang selebihnya.

Sultan Muhammad Shah (Sultan Perak Ke 14)

Terdapat satu peristiwa dimana Daing Celak (Yamtuan Muda Riau) yang membawa orang Bugis datang untuk menyerang negeri Perak dalam tahun 1742 untuk masuk campur tentang hal perpecahan kuasa kesultanan di negeri Perak.

Tidak lama selepas itu, Daing Celak pulang ke Riau lantas kemudian Sultan Muhammad Shah dan Sultan Muzaffar Shah III pun berdamai. Sultan Muhammad Shah telah melepaskan gelaran baginda sebagai Sultan Perak Ke 14 untuk memberi ruang kepada Sultan Muzaffar Shah III terus memerintah negeri Perak.

Sultan Muhammad Shah (Sultan Perak Ke 14)

Sultan Muhammad Shah kemudian kembali dengan gelaran Yang Dipertuan Muda dan bersemayam di Pulau Tiga. Sultan Muhammad Shah telah mangkat dalam tahun 1750 dan dimakamkan di Pulau Tiga dengan gelaran Marhum Aminullah.

Lokasi makam asal baginda Sultan Muhammad Shah telah jatuh ke dalam sungai Perak dan telah dipindahkan berdekatan dengan makam Sultan Mahmud Shah I (Sultan Perak ke 8) sewaktu zaman pemerintahan Sultan Idris II.

Rujukan:

  • Sejarah Perak, Buyung Adil, m/s 32

Kulop Kinta, Toh Changkat Piatu Bin Sultan Mansur Shah I

Kulop Kinta adalah satu gelaran yang bermaksud Kepala Kinta atau Ketua Kinta. Pemegang tunggal bagi gelaran ini adalah Toh Changkat Piatu bin Sultan Mansur Shah I (Sultan Perak ke 2).

Sultan Mansur Shah I telah memperisterikan anak gadis Tok Batin (Ketua Orang Asli – Suku Semang) di Kuala Kinta. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan anakanda yang bernama Toh Changkat Piatu yang merupakan Pemerintah Daerah Kinta.

Toh Changkat Piatu merupakan adinda kepada Sultan Ahmad Tajuddin Shah (Sultan Perak ke 3) dan Sultan Tajul Ariffin Shah (Sultan Perak ke 4). Anakanda beliau bernama Toh Chandang bin Kulop Kinta (Maharaja Kinta), Toh Changkat Piatu.

Gelaran Maharaja Kinta yang diberikan kepada anakanda beliau telah dianugerahkan oleh Sultan Muzaffar Shah II (Sultan Perak ke 10) yang juga merupakan anakanda saudara beliau.

Cucunda beliau bernama Toh Tambak bin Maharaja Kinta (Panglima Kinta I), Toh Chandang telah berkahwin dengan Toh Puan Intan binti Toh Senongsa Seri Nara Wangsa IV, Tok Nyior Manis yang merupakan miut kepada Tun Kelalang bin Tun Saban Balik iaitu Pemerintah Melayu Pertama Daerah Kinta sejak 1528.

Kulop Kinta, Toh Changkat Piatu bin Sultan Mansur Shah I

Hasil perkahwinan antara mereka menyebabkan keluarga ini memegang dua jawatan utama dalam Daerah Kinta iaitu Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Di Raja (Orang Besar Lapan) yang memerintah Daerah Kinta dan dibantu oleh Toh Senongsa Seri Nara Wangsa (Orang Besar Enam Belas) yang mengetuai Kampung Kepayang.

Kulop Kinta, Toh Changkat Piatu bin Sultan Mansur Shah I

Terdapat satu kisah mitos yang menceritakan tentang Toh Changkat Piatu bersama pengikut-pengikutnya berlayar menyusuri Sungai Kinta. Ketika dalam pelayaran tersebut, mereka mengalami sesuatu yang aneh apabila melalui kawasan pergunungan batu kapur di Gunung Cheroh. Jarak antara Gunung Cheroh dan Kuala Kinta kira-kira 100km melalui aliran sungai.

Hendak dijadikan cerita, kapal yang dinaiki mereka tidak dapat meneruskan pelayaran apabila sampai di kaki Gunung Cheroh kerana laluan yang sempit dan tidak dalam. Di tepian Gunung Cheroh, mereka terdengar alunan irama bergenta seperti loceng lalu mereka berhenti.

Tiba-tiba seekor cicak kubing melompat ke air untuk menyeberang. Setiap kali cicak tersebut berhenti, irama bergenta itu hilang. Lalu berkata Toh Changkat Piatu, “maka dengarlah itu, sungai ini dinamakan Genta, dek kerana alunan itu.” lalu cicak kubing itu hilang bersama alunan bergenta itu sebaik sahaja ia berjaya ke seberang.

Pada satu malam, Toh Changkat Piatu bermimpi didatangi jin penunggu Gunung Cheroh bernama Genta. Dalam mimpi itu, jin tersebut telah memberi ilham dan restu kepada Toh Changkat Piatu untuk menggunakan gelaran Kulop Genta dan memberitahu Toh Changkat Piatu bahawa beliau dan keturunannya akan menjadi Orang Besar Daerah Kinta satu hari nanti.

Kulop Kinta, Toh Changkat Piatu bin Sultan Mansur Shah I

Berikutan dengan mimpi tersebut, Toh Changkat Piatu memilih nama Kulop Genta sebagai gelaran untuk dirinya dan terus mengambil keputusan untuk menetap di sini bersama-sama dengan pengikut-pengikutnya. Beliau telah berkahwin dengan anak gadis Tok Batin (Ketua Orang Asli – Suku Temiar) yang bernama Puteri Mazwin.

Pengaruh penulisan jawi membuatkan Genta hari ini disebut Kinta dan ia dibantu oleh adaptasi Eropah atas nama tersebut sejak 200 tahun lalu. Kinta adalah pelat sebutan Cina yang digunakan Inggeris dalam dokumentasi. Genta telah lama-kelamaan dibaca sebagai Kinta oleh komuniti Cina dan penjajah Inggeris.

Sumber:

  • Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja (Pasak Paloh – Pasak Kepayang), susunan Fazil Shuhaimi Talib terbitan Persatuan Keturunan Panglima Kinta
  • Riwayat Kinta, tulisan Abdul Talib Ahmad terbitan Pustaka Rusna
  • Titles and Ceremonialitions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia, tulisan Dr. Adib Vincent Tung terbitan Perak Academy
  • Kenali Kampung Kepayang, arahan Mukriz Mahader terbitan Astro AWANI
  • Dokumentari Tanah Secupak: Kampung Kepayang, arahan Faizal Zainol terbitan Continuallybebas
  • Dokumentari Panglima Kinta Pasak Kepayang yang Terakhir: Ngah Jabor @ Toh Gemok, arahan Faizal Zainol terbitan Continuallybebas

Sultan Muzaffar Shah III (Sultan Perak Ke 13)

Setelah Sultan Alauddin Mughayat Shah (Sultan Perak ke 12) mangkat pada tahun 1728, adinda Sultan Perak ke 12 iaitu Raja Muda Raja Inu telah diangkat menjadi Sultan Perak ke 13 dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah III.

Setelah diangkat menjadi Sultan Perak, baginda bersemayam di Berahman Indera yang kini dikenali sebagai Bota Kanan. Adinda kepada Sultan Muzaffar Shah III iaitu Raja Bisnu pula diangkat menjadi Yang Dipertuan Muda (Sultan Muda) dengan gelaran Yang Dipertuan Muda Muhammad Shah.

Yang Dipertuan Muda Muhammad Shah bersemayam di Pulau Tiga mempunyai 4 orang putera iaitu Raja Iskandar, Raja Kimas, Raja Alauddin dan Raja Bongsu.

Sewaktu zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, orang Bugis yang diketuai oleh Daing Celak (Yamtuan Riau yang kedua) bersama-sama dengan orang Bugis dari Selangor telah datang menyerang negeri Perak dalam tahun 1742.

Dalam masa yang sama, Sultan Muzaffar Shah III punyai masalah berselisihan faham dengan adinda baginda Yang Dipertuan Muda Muhammad Shah. Orang Bugis mengambil kesempatan atas perselisihan itu dengan menyokong serta menyebelahi Yang Dipertuan Muda Muhammad Shah.

Sultan Muzaffar Shah III (Sultan Perak Ke 13)

Dengan permuafakatan antara orang Bugis dengan Yang Dipertuan Muda Muhammad Shah yang telah terjalin, Yang Dipertuan Muda Muhammad Shah telah diangkat menjadi Sultan Perak dengan gelaran Sultan Muhammad Shah.

Inilah buat kali pertama berlaku dalam sejarah negeri Perak apabila terdapat dua orang sultan yang memerintah negeri Perak pada satu masa yang sama. Hal ini telah menyebabkan kuasa kesultanan negeri Perak telah berpecah dua. Boleh rujuk artikel Perak Pernah Punyai 2 Sultan Dalam Pertengahan Abad Ke 18 untuk penceritaan lebih lanjut.

Menurut rekod penceritaan dalam buku Misa Melayu, Sultan Muzaffar Shah III yang bersemayam di Berahman Indera telah berpindah ke Kuala Kangsar setelah berselisihan faham dengan adinda baginda.

Sewaktu di Kuala Kangsar, baginda Sultan Muzaffar Shah telah menaikkan pangkat “Orang Besar Empat” baginda iaitu Raja Alang menjadi Bendahara, Megat Pintal menjadi Orang Kaya Besar, Megat Mu’tabar menjadi Temenggung dan Pakih Yusuf menjadi menteri.

Orang besar-besar Perak yang tinggal di Pulau Tiga pula telah mengangkat Yang Dipertuan Muda Muhammad Shah menjadi sultan dengan gelaran Sultan Muhammad Shah. Pada waktu itu, negeri Perak punyai dua orang sultan.

Sewaktu negeri Perak punyai dua orang sultan pemerintah, dari satu tempat yang bernama Pachat ke hulu (utara) adalah dibawah pemerintah Sultan Muzaffar Shah manakala dari Pachat ke hilir (selatan) hingga ke Kuala Perak dibawah pemerintahan Sultan Muhammad Shah.

Sultan Muzaffar Shah III (Sultan Perak Ke 13)

Perselisihan faham antara dua orang anak gahara ini tidak berpanjangan. Sultan Muhammad Shah sendiri kemudian telah mencadangkan kepada kandanya untuk berdamai. Setelah berdamai, Sultan Muhammad Shah tidak lagi memakai gelaran sultan dan kembali menggunakan gelaran Yang Dipertuan Muda.

Sultan Muzaffar Shah III kemudian telah berkenan untuk mengangkat Raja Iskandar (anakanda kepada Sultan Muhammad Shah) untuk menjadi Raja Muda dan segala hal pentadbiran kerajaan negeri Perak diserahkan kepada Raja Muda Iskandar.

Tidak lama kemudian, Raja Muda Iskandar dikahwinkan dengan puteri Sultan Muzaffar Shah III yang bernama Raja Budak Rasul. Adinda kepada Raja Muda Iskandar yang bernama Raja Kimas pula telah diangkat menjadi Raja Kecil Muda.

Setelah Sultan Muzaffar Shah III kembali ke Berahman Indera, baginda telah mengangkat “Orang Besar Empat” yang baru untuk menggantikan orang besar-besar yang telah dilantik baginda di Kuala Kangsar sebelum ini.

Mereka yang baru dilantik adalah Megat Pendia menjadi Bendahara dengan gelaran Bendahara Oaduka Seri Maharaja, Tan Marasin menjadi Orang Kaya Besar dengan gelaran Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja, Tan Bantan menjadi Temenggung dengan gelaran Temenggung Paduka Raja dan Sharif Husain menjadi menteri dengan gelaran Orang Kaya Menteri Seri Paduka Tuan.

Sewaktu zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III dalam tahun 1743, seorang Raja Bugis bernama Daing Selaili dengan gelaran Haji Besar telah datang melawan perompak dan lanun yang berada di sekitar Pulau Sembilan, Perak.

Hasil bantuan daripada Daing Selaili itu kemudian beliau telah dikahwinkan dengan adinda baginda Sultan Muzaffar Shah III iaitu Raja Tengah. Daing Selaili kemudian telah dilantik menjadi mufti di negeri Perak.

Daeng Selaili kemudian juga telah dijadikan sebagai orang besar Perak dengan gelaran Maharaja Lela Tan Tela Putera Pancung Tak Bertanya dan dijadikan sebagai pengawal peribadi kepada Sultan Perak. Tidak seperti orang besar yang lain, Daeng Selaili telah diberikan kuasa boleh memancung sesiapa sahaja yang bersalah kepada sultan dengan tanpa meminta izin terlebih dahulu daripada sultan.

Sultan Muzaffar Shah III (Sultan Perak Ke 13)

Dalam rekod buku Misa Melayu juga ada menceritakan sewaktu zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III yang mana Sultan Berkabat Anak Raja Kecil Minangkabau bersama-sama dengan raja-raja Bugis yang bernama Daing Matkah dan Daing Celak telah datang melanggar Bukit Gantang di negeri Perak.

Namun mereka yang datang menyerang Bukit Gantang telah dikalahkan oleh orang Perak dengan pimpinan Raja Muda Iskandar, Raja Kecil Muda dan Bendahara Megat Pendia.

Setelah memerintah negeri Perak selama 26 tahun, Sultan Muzaffar Shah III telah mangkat di Berahman Indera (Bota Kanan) dalam tahun 1756 dan telah dimakamkan disana dengan gelaran Marhum Haji Allah.

Sultan Alauddin Mughayat Shah (Sultan Perak ke 12)

Dalam tahum 1720, setelah mangkatnya pemerintah negeri Perak yang ke 11 iaitu Sultan Mahmud Iskandar Shah, anak saudara almarhum yang bernama Raja Radin telah diangkat menjadi Sultan Perak yang ke 12.

Raja Radin adalah merupakan putera kepada Raja Mansur dan cucuanda kepada Sultan Mudzaffar Shah II (Sultan Perak ke 10). Baginda telah diangkat menjadi Sultan Perak yang ke 12 dengan gelaran Sultan Alauddin Mughayat Shah.

Geronggong menjadi lokasi tempat bersemayam buat Sultan Alauddin Mughayat Shah. Baginda bersemayam disana bersama dengan adinda baginda bernama Raja Inu yang telah diangkat menjadi Raja Muda.

Dalam sejarah Johor-Riau ada menceritakan tentang sewaktu Sultan Alauddin Mughayat Shah memerintah. Daing Merewah yang bergelar Kelana Jaya Putera, Yamtuan Muda Riau yang pertama telah datang melanggar negeri Perak.

Serangan yang dibuat oleh Daing Merewah itu telah dibantu dengan bantuan orang-orang Bugis di Selangor dalam tahun 1728. Dalam serangan itu telah memberi kesan kacau bilau dan menghuru-harakan pergerakan ekonomi di negeri Perak.

Sungguhpun serangan demi serangan dibuat oleh mereka, namun negeri Perak masih tidak dapat ditawan dan masih berdiri teguh kebal melawan musuh. Ada beberapa pandangan berpendapat bahawa Raja Inu (adinda kepada Sultan Perak) yang asalnya tinggal di Bernam telah membantu Daing Merewah menyerang Perak kerana ingin merebut takhta. Namun tidak ada sumber dan bukti yang sahih.

Sultan Alauddin Mughayat Shah mangkat dalam tahun 1728 dan telah dimakamkan di Geronggong dan baginda telah digelar sebagai Marhum Sulong. Makam almarhum pernah jatuh ke sungai Perak dan telah dipindahkan ke darat serta dibaikpulih sewaktu zaman pemerintahan Sultan Idris II.

Kampung Kepayang, Penempatan Melayu Terawal di Ipoh

Dalam tahun 1528, Tun Kelalang yang merupakan anak kepada Pemerintah Hulu Perak iaitu Tun Saban telah menyusur ke Hilir Sungai Perak dan memasuki salah sebuah cabang sungainya iaitu Sungai Kinta.

Apabila sampai di satu kawasan, Tun Kelalang telah membuka sebuah penempatan yang dinamakan sebagai Kampung Kepayang dan lokasinya terletak di dalam Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta, Perak.

Sultan Perak yang ke 2 iaitu Sultan Mansur Shah telah memperisterikan seorang anak kepada Ketua Orang Asli (Tok Batin) di Kuala Kinta dan telah dikurniakan anak yang bernama Toh Changkat Piatu yang juga dikenali sebagai Kulop Kinta.

Kampung Kepayang, Penempatan Melayu Terawal di Ipoh

Toh Changkat Piatu berkahwin dengan gadis Orang Asli yang bernama Puteri Mazwin. Mereka telah dikurniakan anak yang bernama Toh Chandang yang diberi gelaran sebagai Maharaja Kinta oleh Sultan Perak yang ke 5, Sultan Muzaffar Shah II.

Kampung Kepayang, Penempatan Melayu Terawal di Ipoh

Perkahwinan antara keturunan Tun Kelalang dengan keturunan Sultan Mansur Shah membenihkan keturunan Panglima Kinta yang mewarisi jawatan Panglima Kinta Bangsa DiRaja (Orang Besar Lapan) dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa (Orang Besar Enam Belas).

Panglima Kinta Bangsa Di Raja mewakili Sultan Perak untuk memerintah Daerah Kinta dan dibantu oleh Toh Senongsa Seri Nara Wangsa yang bertugas mentadbir Kampung Kepayang yang terletak di dalam Daerah Kinta.

Kampung Kepayang, Penempatan Melayu Terawal di Ipoh

Dahulunya Kampung Kepayang merupakan Pusat Pemerintahan bagi Daerah Kinta. Penglibatan Panglima Kinta ke 7, Toh Ngah Abdul Jaafar juga dikenali sebagai Toh Ngah Jabor / Toh Gemok dan adindanya Toh Senongsa Seri Nara Wangsa, Itam Dewi dalam pembunuhan Residen British Pertama di Pasir Salak.

Kejadian tersebut telah mencetuskan Perang Perak 1875 lalu apabila berakhirnya Perang Perak 1875, status kampung ini sebagai Pusat Pemerintahan bagi Daerah Kinta seolah-olah dilenyapkan oleh British.

Kampung Kepayang, Penempatan Melayu Terawal di Ipoh

Toh Ngah Abdul Jaafar (Ngah Jabor / Toh Gemuk) yang juga merupakan Panglima Kinta Pasak Kepayang yang terakhir telah dipenjarakan di Singapura (1877 hingga 1887) dan dibebaskan secara senyap oleh Sultan Perak yang ke 28, Sultan Idris Shah.

Manakala Toh Senongsa Seri Nara Wangsa, Itam Dewi telah menerima hukuman buang negeri ke Johor bersama Sultan Perak yang ke 25, Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah. Selain itu, jawatan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa dimansuhkan dalam struktur Kesultanan Negeri Perak.

Kampung Kepayang, Penempatan Melayu Terawal di Ipoh

Sumber Rujukan Utama:

  • “Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Di Raja”, susunan Fazil Shuhaimi Talib.
  • “Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia”, tulisan Dr. Adib Vincent Tung.
  • “Kenali Kampung Kepayang”, arahan Mukriz Mahader terbitan Astro AWANI.
  • “Dokumentari Tanah Secupak: Kampung Kepayang”, arahan Faizal Zainol terbitan Continuallybebas.
  • “Dokumentari Panglima Kinta Pasak Kepayang yang Terakhir: Ngah Abdul Jaafar”, arahan Faizal Zainol.
  • “Cempaka Sari – Sejarah Kesultanan Negeri Perak”, tulisan Kolonel Prof. Dato’ Dr. Ahmad Fawzi Basri.
  • “Pasir Salak, Pusat Gerakan Menentang British di Perak”, tulisan Abdullah Zakaria Ghazali.

Sumber Lisan:

  • YDH Toh Muda Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja, Dato Ab. Wahab bin Dato Seri Azizul Hassan, Orang Besar Jajahan Kinta.