Home Blog Page 29

Misteri Kehilangan Tugu Dihadapan Menara Condong Teluk Intan

Pendudukan tentera Jepun dari tahun 1942 sehingga 1945 telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap penduduk di Tanah Melayu, Sarawak dan Borneo Utara.

Kesannya terasa di setiap pelusuk masyarakat dan tidak terkecuali turut dirasai oleh komuniti masyarakat Cina yang ramai dibunuh secara sistematik oleh tentera Jepun.

Kisah pembunuhan beramai-ramai dan penyeksaan secara terbuka yang dilakukan oleh tentera Jepun masih lagi diceritakan sehingga ke hari ini. Bahkan permohonan maaf kerajaan Jepun atas peristiwa silam yang pernah berlaku masih lagi tidak dapat menyembuhkan luka kehilangan ahli keluarga tersayang akibat jenayah perang yang dilakukan itu.

Disebabkan itu komuniti Cina telah menubuhkan Malayan People’s Anti Japanese Army yang berorientasikan untuk menjalankan serangan secara gerila dan sabotaj ke atas fasiliti dan infrastruktur asas bagi melemahkan tentera Jepun.

Namun tindakan mereka ini memburukkan lagi keadaan kerana selepas setiap serangan yang dilakukan, tentera Jepun akan menyasarkan masyarakat awam Cina sebagai mangsa untuk membalas dendam.

Disebabkan itu selepas Perang Dunia Kedua tamat, banyak tugu peringatan dibina bagi memperingati peristiwa yang meninggalkan kesan sangat mendalam terhadap diri mereka. Tugu-tugu ini dapat dilihat di Singapura dan Pulau Pinang serta kawasan yang mempunyai ramai orang Cina.

Manakala komuniti cina di Teluk Intan telah mendirikan sebuah tugu dihadapan Menara Condong Teluk Intan sebagai tanda kejayaan menghalau tentera Jepun keluar dari Malaya.

Namun tidak diketahui pihak manakah yang membina tugu ini. Terdapat pihak yang mengatakan bahawa ia dibina oleh pihak yang pro komunis. Ada juga yang berkata bahawa golongan Cina pro koumintang yang membinanya.

Dengan bentuk seperti obeliks dan terdapat bintang diatasnya, tugu ini kelihatan seperti kebiasaan tugu yang dibina di Negara China dengan rekaan yang banyak terdapat pada tugu binaan komunis.

Pada tugu ini pula terdapat inskripsi dalam bahasa Cina yang bermaksud “Perang Sudah Tamat”. Dua gambar ini mengesahkan bahawa tugu ini sememangnya pernah wujud namun ia tidak pernah direkodkan dalam mana-mana penulisan.

Tetapi hayat tugu ini tidak lama. Tugu yang dibina selepas perang tamat ini kemudiannya telah dirobohkan dan faktor ia dimusnahkan dikatakan lebih bersifat politik. Namun faktor selanjutnya masih tidak diketahui sehingga kini.

Jika anda punyai lebih mempunyai maklumat yang mendalam berkenaan tugu ini, anda boleh komen di ruangan komen agar misterinya dapat dirungkai dan dijadikan iktibar buat generasi kini.

Tuan H.C. Eckhard, Pembesar Istana Perak Pertama Dari Keturunan Eropah

Tuan H.C. Eckhard, Pembesar Istana Perak Pertama Dari Keturunan Eropah

Pada awal tahun 2020 yang lalu sewaktu kami ahli orang Perak sedang menjalankan aktiviti jelajah kawasan bersejarah di Kuala Kangsar, kami terkejut apabila terlihat sebuah makam orang Islam dengan nama Eropah di sekitar Makam Diraja Al Ghufran, Kuala Kangsar.

Sepertimana yang kita tahu, kawasan makam Al Ghufran cukup terkenal di negeri Perak kerana ia menempatkan makam-makam Sultan Perak dan juga untuk golongan pembesar serta kerabat diraja negeri Perak.

Menambah persoalan lagi adalah pada bahagian kepuk kubur tersebut pula ada dinyatakan bahawa Tuan H.C. Eckhard juga telah dilantik sebagai Pengelola Bijaya Diraja (Comptroller of the Royal Household) oleh Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30).

Tuan H.C. Eckhard, Pembesar Istana Perak Pertama Dari Keturunan Eropah

Ia adalah satu perkara yang cukup menarik untuk dikongsikan kepada semua kerana rupa-rupanya pada waktu itu jawatan pembesar juga boleh dikurniakan oleh Sultan Perak kepada orang bukan Melayu.

Malang sekali, tidak ada sebarang maklumat berkenaan dengan pemilik makam ini dan kami hanya mengambil gambar lantas hanya buat carian maklumat melalui internet apabila aktiviti tamat.

Setelah carian di internet dibuat, akhirnya hanya ada satu-satunya sumber maklumat yang boleh diperoleh dari laman Sembang Kuala yang dikelola oleh waris dan kerabat diraja Sultan Perak.

Tuan Eckhardt yang juga dikenali sebagai H.C. Eckhardt dilahirkan pada tarikh 27 April 1877. Beliau adalah merupakan seorang Inggeris berketurunan Jerman yang mana datuk neneknya berasal dari Frankfurt.

Tuan H.C. Eckhard, Pembesar Istana Perak Pertama Dari Keturunan Eropah

Terdapat dua surat yang diterbitkan dalam akhbar New Straits Times oleh anaknya iaitu Ahmad Aris Eckhardt yang menyatakan bahawa ayahandanya adalah merupakan seorang yang sangat bijak dalam matematik meskipun beliau merupakan sarjana dalam bidang kesusasteraan dari University of Cambridge.

Tuan Eckhardt menjalani kerjaya yang panjang dan menarik di Tanah Melayu. Bermula dalam tahun 1899 di Kajang sebagai Penolong Pegawai Daerah dan majistret kelas kedua.

Sejak dari tahun 1911 sehingga tahun 1928 pula, beliau telah memegang jawatan sebagai Penasihat British untuk negeri Perlis, negeri Kelantan dan negeri Kedah.

Tuan H.C. Eckhard, Pembesar Istana Perak Pertama Dari Keturunan Eropah

Dalam tahun 1924, beliau telah menulis sebuah buku yang bertajuk “Land Administration and Land Laws” di Kedah. Dalam tahun yang sama juga beliau telah berkahwin dengan seorang wanita Melayu Kelantan yang bernama Che Wan Fatimah dan sejak itu, beliau dikenali sebagai Aris bin Abdullah selepas memeluk agama Islam.

Sebelum perlantikannya sebagai Dato Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) dalam tahun 1932, Tuan Eckhardt adalah merupakan Komisioner Perdagangan Dan Kastam serta Pengerusi Suruhanjaya Pemberhentian Kerja bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Tuan H.C. Eckhard, Pembesar Istana Perak Pertama Dari Keturunan Eropah

Jawatan Dato Pengelola Bijaya Diraja Perak “The Comptroller of the Royal Household of Perak” adalah merupakan jawatan baru yang diwujudkan yang mana beliau menjawat jawatan berkenaan sejak bersara dari Perkhidmatan Awam Malaya “Malayan Civil Service” sehingga ke akhir hayatnya.

Beliau telah menyumbang bakti berkhidmat kepada tiga Sultan Perak sepanjang hidupnya iaitu sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30), Almarhum Sultan Abdul Aziz (Sultan Perak ke 31) dan Almarhum Sultan Yusuf Izzudin (Sultan Perak ke 32).

Tugasnya sebagai Dato Pengelola Bijaya Diraja Perak adalah untuk memastikan pentadbiran dan segala urusan di Istana Perak berjalan dalam keadaan lancar dan teratur.

Tuan H.C. Eckhard, Pembesar Istana Perak Pertama Dari Keturunan Eropah

Segala perkara yang melibatkan pendidikan dan kebajikan anakanda Sultan dan keluarga diraja Perak sentiasa dekat di hatinya dan beliau sentiasa memastikan bahawa setiap tugasnya akan dilaksanakan dengan baik.

Tuan Eckhardt terus berkhidmat kepada Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Perak ke 30) meskipun selepas Almarhum mangkat dengan kapasiti beliau sebagai Pegawai Tadbir Harta Almarhum Sultan Iskandar.

Tuan H.C. Eckhard, Pembesar Istana Perak Pertama Dari Keturunan Eropah

Beliau telah kembali ke rahmatullah pada tarikh 1 Julai 1955 dan telah diberi penghormatan oleh Sultan Perak untuk dikebumikan di Makam Diraja Al-Ghufran, Kuala Kangsar.

Rujukan:

  • Laman Web Sembang Kuala

Kisah Abdul Aziz Ishak Dari Trong Yang Berani

Aziz Ishak adalah merupakan adik kepada Yusof Ishak yang merupakan Presiden pertama di Singapura dan beliau dilahirkan di Trong, Perak dalam tahun 1913.

Tokoh yang ingin diceritakan dalam artikel kali ini adalah merupakan waris dari keturunan Dato Jenaton yang merupakan bangsawan Minangkabau yang telah berhijrah ke Pulau Pinang sewaktu zaman Sultan Muhammad Jiwa (Sultan Kedah ke 9).

Ayahnya yang bernama Ishak bin Ahmad adalah orang Asia pertama yang dilantik sebagai Pemangku Pengarah Jabatan Perikanan bagi Negeri-Negeri Selat dan Melayu Bersekutu.

Kisah Abdul Aziz Ishak Dari Trong Yang Berani

Mereka sekeluarga telah mengikut ayahnya berpindah ke Singapura dalam tahun 1923. Aziz telah bersekolah rendah di Victoria Bridge School dan seterusnya meyambung pelajaran di Raffles Institution.

Aziz Ishak pernah berkerja sebagai Pegawai Perikanan sewaktu ketika usia mudanya dan pada tahun 1935 ketika berusia 22 tahun, beliau telah diarahkan untuk bertugas di Kuala Kurau, Perak.

Tersebutlah satu riwayat sewaktu zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau yang pada waktu itu sedang menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Perikanan di Majlis Pembandaran, Singapura.

Aziz Ishak telah dipukul oleh Kempeitai Jepun kerana enggan memberikan lesen kelong kepada seorang pemborong yang merupakan tentera laut Jepun kerana hendak berniaga di tempat yang telah dikhaskan untuk nelayan-nelayan tempatan.

Kisah Abdul Aziz Ishak Dari Trong Yang Berani

Sebelum pegawai Jepun tersebut hendak marah dan memukulnya, Aziz Ishak telah mencampakkan sebuah fail ke mukanya. Tindakan beliau itu telah menyebabkan beliau dibawa ke dalam sebuah bilik dan ditumbuk serta diterajang selama 20 minit sehingga menyebabkan hidungnya berdarah.

Selepas Jepun menyerah kalah, abangnya iaitu Yusof Ishak telah menjemputnya untuk membangunkan Utusan Melayu. Oleh itu, beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pegawai Perikanan.

Dalam tahun 1946, Aziz Ishak bersama-sama dengan Thaharuddin dan A. Samad Ismail telah menubuhkan Gerakan Angkatan Melayu Muda (GERAM) di Singapura yang cenderung kepada pro Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Pada tahun 1951 pula, Aziz Ishak selaku wakil Utusan Melayu telah ditugaskan untuk ke London supaya dapat buat liputan tentang pertabalan Queen Elizabeth II.

Diceritakan bahawa Aziz Ishak telah melaporkan Perdana Menteri Britain, Winston Churchill sering duduk dan bangun ketika upacara pertabalan. Beliau juga telah menyifatkan upacara pertabalan tersebut seperti wayang Cina kerana beberapa pekerja menyapu sampah permaidani ketika acara pertabalan berlangsung.

Akibat daripada laporan beliau itu, Sir Gerald Templer yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya telah memanggil Aziz ke pejabatnya untuk soal siasat.

Sewaktu di dalam bilik tersebut, Aziz Ishak telah digelar sebagai “rat reporter” (wartawan tikus) oleh Templer. Ketika mahu keluar dari bilik, Templer terus memaki dan mencabarnya agar pertengkaran mereka itu dilaporkan di dalam dada akhbar Utusan Melayu.

Kisah Abdul Aziz Ishak Dari Trong Yang Berani

Aziz Ishak menjawab, beliau akan menulis kejadian ini lalu menghempaskan pintu dengan kuat tetapi malangnya hanya berbunyi perlahan kerana pintu tersebut mempunyai spring untuk menghalang hentaman.

Setelah menyertai pelbagai pertubuhan politik sejak muda seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), GERAM, UMNO dan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), akhirnya dalam tahun 1953, Aziz Ishak telah dilantik sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Syarikat Kerjasama di bawah Kabinet Tunku Abdul Rahman.

Ketika Khir Johari bertugas di luar negeri, beliau telah memangku jawatan Menteri Pelajaran. Satu peristiwa telah berlaku berkenaan dengan pelajar-pelajar Maktab Perguruan Bahasa telah mengadakan mogok kerana membantah tindakan pengetuanya seorang pegawai berbangsa Inggeris.

Sebuah Jawatankuasa ditubuhkan dan Aziz Ishak dan beliau telah mengambil tindakan tegas dengan melucutkan jawatan Pengetua tersebut. Selain itu, beliau juga telah menukarkan nama Sekolah Umum (nama yang diberikan oleh Khir Johari) kepada Sekolah Kebangsaan yang dipakai hingga hari ini.

Dalam tahun 1961, Aziz Ishak selaku Menteri Pertanian telah mencadangkan Penubuhan Kilang Baja Urea milik kerajaan untuk membantu petani-petani miskin di kampung-kampung.

Malangnya, cadangan beliau itu tidak dipersetujui oleh Tunku Abdul Rahman dengan alasan ianya memerlukan perbelanjaan yang cukup besar dan Aziz Ishak pula beranggapan Tunku mahu mempertahankan kilang baja milik British daripada sebarang persaingan.

Kisah Abdul Aziz Ishak Dari Trong Yang Berani

Pertikaian itu berlanjutan sehinggakan Aziz Ishak telah dipindahkan ke Kementerian Kesihatan. Namun, Aziz Ishak telah menolak perlantikan tersebut dan tindakan beliau itu akhirnya telah membawa kepada pertembungan terbuka.

Kisah Abdul Aziz Ishak Dari Trong Yang Berani

Tunku memecat Aziz Ishak pada tahun 1963 sebagai ahli UMNO. Dengan itu, jawatan Menteri yang disandangnya selama tujuh tahun setengah gugur secara automatik dan beliau telah menjadi rakyat biasa yang tidak mempunyai apa-apa jawatan. Al Fatihah untuk Abdul Aziz Ishak.

Sumber:

  • Zainuddin Maidin, Di Depan Api, Di Belakang Duri, Kisah Sejarah Utusan Melayu 2013.
  • Adam A Kadir, Aziz Ishak; Dewan Masyarakat 1979
  • Abdul Aziz Ishak, Mencari Bako ,1983

Toh Ngah Abdul Ghaffar (Ngah Gapor), Panglima Kinta Ke 5

Dato Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja ke 5, Toh Ngah Abdul Ghaffar bin Dato Panglima Kinta ke 3, Toh Changkat Rembiah (ca 1790 – 1815) merupakan Pemerintah Daerah Kinta yang menjadi Ikon Mistik bagi masyarakat Melayu setempat pada zamannya berikutan kehilangannya yang penuh dengan misteri.

Beliau juga dikenali sebagai Ngah Gapor, Toh Putih, Toh Balai Senam dan Toh Hilang Di Jalan. Beliau memerintah Daerah Kinta berpusatkan Kampung Kepayang (Fair Park, Ipoh) sebagai pusat pemerintahannya.

Isteri beliau bernama Anjang Neh dan dikurniakan beberapa orang anak, antaranya adalah Orang Besar 8, Dato Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja ke 7, Ngah Abdul Jaafar dikenali sebagai Ngah Jabor (ca 1850 – 1876) dan Orang Besar 16, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa, Itam Dewi.

PANGLIMA KINTA KE 5, TOH NGAH ABDUL GHAFFAR (NGAH GAPOR)

Beliau dipercayai telah pergi ke sebuah gunung batu kapur yang penuh dengan unsur misteri yang terletak di Tambun iaitu Gunung Datuk. Tujuan beliau adalah untuk berubat. Upacara penyembuhan dilakukan oleh seorang pawang dalam sebuah balai yang terletak di dalam gunung tersebut.

PANGLIMA KINTA KE 5, TOH NGAH ABDUL GHAFFAR (NGAH GAPOR)

Beliau telah dipercayai hilang ketika upacara tersebut sedang dijalankan dan ghaib ke kawasan air panas dipercayai berkahwin dengan orang bunian yang bernama Puteri Bendang Air Hangat.

PANGLIMA KINTA KE 5, TOH NGAH ABDUL GHAFFAR (NGAH GAPOR)

Sebuah kerusi yang mengadap kiblat dipercayai tempat beliau berubat masih lagi ada di dalam gunung ini sehingga ke hari ini. Oleh kerana beliau hilang secara misteri, beliau telah diberi gelaran Toh Hilang Di Jalan.

Sumber rujukan utama:

  • Kinta Valley: Pioneering Malaysia’s Modern Development, tulisan Salma Nasution Khoo, Abdur-Razzaq Lubis.
  • Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Di Raja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa, susunan Tuan Haji Fazil Shuhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3).
  • Kenali Kampung Kepayang, arahan Mukriz Mahader terbitan Astro AWANI.
  • Dokumentari Tanah Secupak: Kampung Kepayang, arahan Faizal Zainol terbitan Continuallybebas.
  • Dokumentari Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang yang Terakhir: Toh Ngah Abdul Jaafar atau Ngah Jabor, arahan Faizal Zainol terbitan Continuallybebas.

Perkembangan Perlombongan Bijih Timah Di Klian Intan

0

Klian Intan merupakan salah sebuah kawasan yang dikenali sebagai kawasan perlombongan bijih timah yang terletak di negeri Perak dan boleh dikatakan sebagai tapak perlombongan yang tertua di Perak. Klian Intan pada abad ke-17 masihi sangat dikenali ramai termasulah dalam kalangan para pedagang Portugis yang memiliki penempatan di Melaka.

Kawasan perlombongan tertua ini bergitu kaya dengan hasil bijih timah telah menyebabkan ramai dalam kalangan para pedagang Portugis telah membuat catatan awal bagi mengambarkan mengenai kawasan tersebut sebagai sebuah kawasan yang sangat berkembang pesat melalui aktiviti perdagangan biji timah [1].

Perak semakin terkenal dengan dunia luar sebagai pengeluar bijih timah. Ini terbukti pada era portugis memerintah Melaka [2]. Negeri Perak dibuka sekitar abad ke-16 Masihi dan memiliki peranannya yang tersendiri iaitu sebagai negeri utama yang membekalkan bijih timah kepada pedagang Barat terutamanya para pedagang Portugis yang singgah di pelabuhan Melaka [3].

Perak pada awalnya merupakan sebuah penempatan yang kecil di sepanjang Hulu dan juga Hilir Perak kemudiannya semakin bertambah jumlah penduduknya. Menurut catatan Tome Pires pada tahun 1515 penduduk negeri Perak dianggarkan berjumlah sekitar 200 orang sahaja.

Namun bergitu setelah dibuka sebagai sebuah negeri, laporan Belanda telah menjelaskan bahawa penduduknya semakin meningkat kepada 5000 orang pada tahun 1621.

Perak sering kali dilawati dan merupakan pelabuhan utama untuk perdagangan bijih timah. Disini dijumpai sekitar banjaran gunung yang terdapat lombong-lombong bijih timah yang besar sehingga tiap-tiap tahun lebih daripada 300 bahara* [4] bijih timah dibekalkan pada kapten Melaka dan para saudagar dari negara India [5].

Perkembangan Perlombongan Bijih Timah Di Klian Intan

Pekan Klian Intan juga sememangnya pernah mencuri perhatian akhbar yang telah melaporkan mengenai pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu Chin Peng yang pernah berada di Klian Intan sebelum dibawa ke Baling bagi menghadiri sebuah event yang bersejarah iaitu Peristiwa Baling 1955. Penulis ingin memetik kata-kata Chin Peng sendiri berhubung dengan kenyataan tersebut melalui karya Chin Peng: My Side of History.

Close to the Malayan Frontier, was no more than a two –hour trek from the agreed rendezvous point with the British officer who would escort me to Baling. If we were to reach the outskirts of the disused Gunong Paku tin mine bye the appointed time-10 00 o’clock the following morning – we would have to de-camp and be moving by 8.00 0’clock at the latest [6].

Pada peringkat awal aktiviti melombong bijih timah di Klian Intan hanya dijalankan di lembah-lembah Gunung Paku. Namun bergitu, bahagian atas gunung tersebut boleh dikatakan bahawa tidak pernah diusik walaupun diketahui memiliki banyak biji timah yang belum diterokai [7].

Hal ini berlaku demikian kerana para pekerja lombong bimbang sekiranya mereka menerokai bahagian atas gunung akan menganggu ketenteraman Jin-Jin penunggu gunung (mengikut kepercayaan mereka).

Pada waktu itu kefahaman masyarakat yang beragama Islam secara umum adalah hanya sekadar berkaitan dengan soal ibadah sahaja. Hal ini tidak hairan apabila wujud kepercayaan tersebut [8].

The local hereditary “Pawang” climbed to the top of the hill periodically sacrifice a buffalo to the Jin [9].

Klian Intan memainkan perananya yang tersendiri pada satu masa dahulu yang juga mewujudkan pertikaian isu sempadan terutamanya antara penduduk Perak dengan Reman yang bakal dibincangkan pada huraian seterusnya. Sehingga tahun 1963, aktiviti perlombngan biji timah di Klian Intan dipercayai telah berlangsung lebih daripada 100 tahun.

Perkembangan Perlombongan Bijih Timah Di Klian Intan

Menariknya, kewujudan hasil bijih timah ini telah memberikan manfaat kepada penduduk Klian Intan terutamanya melalui Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd yang kekal beroperasi sehingga hari ini.

Antony Werndly pada tanggal 10 September 1770 telah mengemukakan cadangan kepada pihak berkuasa negeri Perak agar mereka mengambil tindakan yang lebih berkesan terhadap kawasan perlombongan yang berperanan untuk membekalkan bijih timah kepada para pedagang.

Antony Werndly merupakan salah seorang wakil Belanda yang sangat memerlukan bahan galian tersebut. Hal ini menyebabkan beliau telah mendesak Paduka Seri Sultan Mahmud supaya bertindak agresif dalam usaha menuntut pertuanan Perak.

Beliau berpendapat bahawa keupayaan pasukan tentera bersenjata perlu dihantar secepat mungkin ke kawasan yang dituntut agar beliau dapat membuktikan hak kedaulatan Perak terhadap kawasan perlombongan berkenaan.

He argued forcibly for stronger action to enforce Perak right’s over the rich tin areas in Kerian and Ulu Perak, pointing out that it was not only the Company which suffered. Sultan Mahmud himself had told Werndly that he had received nether tolls nor taxes from Penghulu Boton. The Ducth envoy found a ready supporter in the Raja Muda, whose opinion of the VOC contract had clearly altered since he had voiced his opposition in the previous reign [10].

Pada bulan November 1768, Seri Bija Diraja telah dihantar ke Patani bagi menyelesaikan masalah pertikaian terhadap kawasan perlombongan Klian Intan bersamanya ialah sepucuk surat yang dialamatkan kepada pembesar Patani.

Surat tersebut juga telah dikirimkan kepada Sultan Mohammad Jiwa (Kedah) berhubung dengan penglibatan rakyatnya dan juga kedudukan Klian Intan, Klian Indah serta Rui (berhampiran negeri Kedah).

Sungguh pun bergitu, sehingga bulan Februari tahun 1769 Perak masih belum menerima sebarang jawapan. Pada bulan oktober 1769 surat jawapan daripada Sultan Mohammad Jiwa telah diterima yang menjelaskan bahawa baginda enggan campur tangan dalam krisis tersebut.

Baginda juga tidak membuat sebarang tuntutan terhadap kawasan perlombongan Klian Intan, Klian Indah dan juga Rui. Persoalannya, bagaimana pula jawapan daripada pemerintah Patani berhubung masalah tersebut?

Pihak Patani terus mengingatkan serta mengulangi pengkriktirafan Paduka Seri Sultan Mahmud Syah sendiri mengenai hak-hak Penghulu Unun yang memiliki kekuasaan di Rui dan juga Klian Indah.

Hal ini sememangnya menimbulkan kemarahan Perak kerana nilai bijih timah semakin meningkat dan menjadi persaingan dalam kalangan para pedagang asing terutamanya Belanda. Situasi ini menyebabkan berlakunya perang antara Perak dan Reman (Sebahagian Patani, kini dalam Thailand).

Peperangan antara kedua-dua pihak ini sangat menarik pada pandangan penulis untuk dibincangkan kerana ia melibatkan sebanyak 3 siri peperangan.

Perang Perak-Reman buat pertama kalinya tercetus pada tahun 1826 yang menyaksikan tentera Perak dibawah pimpinan Dato Seri Maharaja Lela (bukan individu yang terlibat dalam pembunuhan J.W.W Birch).

Tentera Perak yang terdiri daripada penduduk Hilir dan juga Rantau Ulu Perak telah menyerbu dan merampas kawasan perlombongan yang terletak di Selatan Reman. Mereka juga telah berjaya untuk menduduki kawasan-kawasan tertentu seperti Klian Intan, Keroh, Kuala Kepayang hingga Kapeh (Kini Betong, Thailand).

Arahan dikeluarkan oleh pemerintah Reman agar para tentera mereka menduduki Selatan Reman dan menguasai semula kawasan-kawasan seperti Klian Intan, Kapeh dan juga Keroh.

Namun bergitu, mereka gagal menguasai kubu Kuala Kepayang. Hal ini menyebabkan Raja Shahid masih bertahan di Kuala Kepayang dan beliau ditugaskan untuk mengutip cukai bijih timah dan juga beras yang dibawa mudik melewati Kuala Kepayang dan juga Sungai Rui sebagai sumber pendapatan Perak. Kawasan perlombongan Klian Intan, Keroh, dan juga Kapeh jatuh ke tangan pihak lawan dikuasai oleh Tok Nang Sikuat (Anak perempuan Raja Reman).

Tentera Perak buat kali kedua menyerang pihak musuh telah memaksa Tok Nang Sikuat mengumpul kekuatan ketenteraan dalam kalangan penduduk Reman yang dipimpin oleh Menkong* Deleha [11].

Namun bergitu, tentera Perak terperangkap dalam sebuah serangan hendap yang berlaku di Lepang (berhampiran sempadan Perak- Selatan Thailand). Situasi tersebut telah menyebabkan ramai tentera Perak bawah pimpinan Andika Raja Meor Abdullah terkorban dan menyebabkan Perak sekali lagi tewas dalam pertempuran.

Perak bagi menghadapi siri peperangan ketiga bawah pimpinan Sultan Abdullah Muhammad Syah telah bertindak lebih bersedia dengan membina kubu-kubu perlindungan di Sepanjang lembah sempit di sekitar kawasan Kuala Kua.

Sungguh pun bergitu, strategi daripada pihak Patani lebih licik iaitu mereka menyerang daripada arah lereng bukit dan melemahkan angkatan tentera Perak.

Perak melakukan serangan balas dengan menyerang tentera Reman ketika mereka sedang tidur di Jambai. Ramai dalam kalangan tentera musuh terbunuh dan terdapat dalam kalangan mereka yang menyorok dalam hutan serta mengambil keputusan menyerah diri akibat dikepung oleh tentera Perak.

Mengkong Deleha mengalami kecederaan yang parah dan akhirnya meninggal dunia [12] (dikebumikan di Betong) . Justeru, berakhirnya siri peperangan antara Perak dan Reman yang bermula pada tahun 1826 hingga tahun 1856.

Namun, Reman masih menguasai kawasan-kawasan penting yang pernah direbuti melalui perang Perak-Reman. Perjanjian bersejarah yang dikenali sebagai perjanjian Bangkok telah ditandatangani pada 10 Mac 1909 antara Menteri Laur Siam, Putera Devawongse Varoprkar dan juga Jens I. Westengrad (Pihak Siam) bersama Ralph Paget (Pihak British).

Salah satu syarat perjanjian ini ialah negeri-negeri Melayu Utara, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pulau Langkawi, Selatan Lengeh dan juga Selatan Reman akan diserahkan kepada pentadbiran Britsih di Tanah Melayu.

Campur tangan Inggeris secara rasmi di Negeri-negeri Melayu Tidak bersekutu bermula dengan negeri Kelantan setelah berlakunya Perjanjian Inggeris–Siam. Ia kemudiannya diikuti oleh negeri-negeri lain [13].

Berlaku perubahan sempadan pada tahun 1884 hingga ke kawasan Gerik telah menyebabkan daerah Hulu Perak menjadi lebih luas dengan memasukkan lembah Lenggong yang meliputi Kota Tampan dan juga Temelong.

Ferdinando Carlo Bozzolo merupakan salah seorang individu yang dilantik menjadi pemungut Cukai dan juga Hakim bagi mentadbir daerah Hulu Perak yang baharu pada 1 Januari tahun 1885.

Sehubungan dengan itu, beliau merupakan bangsa Eropah pertama yang menjawat jawatan pegawai tinggi British yang berkuasa di kawasan Hulu Perak.

Hal ini menyebabkan fungsi pentadbiran awal kolonial British di Perak dapat dipenuhi dengan baik. Persoalannya adakah setelah berlakunya peluasan kawasan ni memberikan keuntungan kepada pihak Kolonial British? Hakikatnya kawasan ini tidak memberikan sebarang keuntungan pada peringkat awal kerana kawasan tersebut dipenuhi oleh hutan rimba.

Terdapat sebuah syarikat perlombongan milik Helms (bangsa Denmark) iaitu The Ulu Temelong Hydraulic Tin yang diuruskan oleh Mackie namun tidak lama beroperasi syarikat tersebut terpaksa ditutup.

Hulu Perak telah mengalami peluasan kawasan buat kali kedua yang dikenali juga sebagai perubahan batu perenggannya sehingga ke kampung Gerik kecuali kawasan Kerunai.

Pada ketika ini aktiviti perlombongan bijih timah di Klian Intan diusahakan oleh dua buah syarikat yang memajak kawasan Gunung Paku sejak tahun 1903 iaitu syarikat Rahman Tin (pengurusnya Cecil Pearse) dan juga syarikat Rahman Hydraulic Tin (pengurusnya J.D. Kemp).

Menariknya, kedua-dua syarikat ini telah bergabung menjadi Rahman Hydraulic Tin Limited bebekalkan modal permulaan sebanyak $2 juta yang memiliki kawasan seluas 1.327 ekar [14].

“The Rahman Hydraulic Mine, Mr. Pearce, Manager has about 600 acres of land all around Mr. Kemp’s hill top. There is a considerable area of land to be worked, and the output for the next twelve months is estimated at 4.000 pikuls. Tin and tin ore is exported via Becha Deradap to Baling in Kedah, where its is taken in boats down the Kuala Ketil and Muda rivers to Kuala Muda, and thence to Peneng” [15].

Justeru kemasukan Selatan Reman yang sememangnya kaya dengan hasil galian dan juga sumber perhutanan telah menambahkan satu pertiga keluasan jajahan takluk negeri Perak.

Kewujudan sempadan antarabangsa Tanah Melayu-Siam (Malaysia-Thailand) telah menyebabkan masalah-masalah seperti hak pertuanan dan juga perebutan kuasa berjaya diselesaikan [16].

Kehadiran British ke Klian Intan sememangnya telah mengubah kaedah perlombongan bijih timah dengan menggunakan jentera berbeza dengan kaedah lama yang menggunakan Pawang bagi mengetahui lokasi keberadaan bijih timah.

Kaedah yang digunakan British menurut Frank Swettenham melalui karyanya iaitu British Malaya (Terjemahan Khairul Asraf Shah) menjelaskan bahawa British mengetahui kehadiran keberadaan bijih timah melalui aktiviti mengorek, melalui rupa permukaan yang berdekatan dengan lombong yang telah wujud [17].

Pada tahun 1930-an, kawasan perlombongan Klian Intan ini merupakan salah sebuah kawasan perlombongan yang paling lengkap di Tanah Melayu. Memiliki kemudahan yang cukup sebagai pusat pengeluaran tenaga elektrik sendiri bagi menjalankan jentera-jentera pengangkut bijih timah tergantung dengan menggunakan aerial ropeways.

Semasa Jepun menyerang Malaya, RHTL tidak beroperasi dan hal ini telah menyebabkan para pekerja syarikat tersebut telah kehilangan kerja. Namun bergitu, tidak lama kemudian Jepun telah bertindak mengumpulkan semua pekerja lombong di bangunan pentadbiran RHTL. Mereka diarahkan berhimpun dan mendengar ucapan yang disampaikan oleh pihak Jepun.

“British telah pergi dari sini. Sekarang Jepun akan ambil alih. Jepun mahu kawasan lombong ini berjalan seperti biasa. Awak semua tidak perlu takut kerana kami adalah syarikat yang diarahkan oleh Jepun untuk datang ke Klian Intan dan jalankan semula operasi lombong. Pekerja semua boleh bekerja seperti biasa kerana kalau awak tidak bekerja hidup awak akan menjadi susah” [18].

Disebalik frasa “berjalan seperti biasa” sebenarnya terdapat lombong- lombong Cina yang pernah memihak kepada kerajaan China telah dirampas oleh Jepun.

Hal ini berlaku demikian kerana perasaan tidak senang Jepun terhadap orang-orang Cina apabila mereka pernah berperang dengan China. Jepun juga melakukan kezaliman terhadap penduduk China sehingga menyebabkan wujudnya perasaan dendam dalam hati mereka (Anti-Jepun) dalam kalangan orang-orang Cina.

Salah satu peristiwa yang mengambarkan kekejaman tersebut ialah Rape of Nanking

“When the city fell on December 13th 1937, Japanese soldiers began an orgy of cruelty seldom if ever matched in world history. Tens of thousands of young men were rounded up and herded to the outer areas of the city, where they were mowed down by machine guns, used for bayonet practice, or soaked with gasoline and burned alive” [19].

Walaupun pada peringkat awal pemerintahan Jepun mereka telah berjaya meningkatkan hasil pengeluaran bijih timah. Namun bergitu, menjelang tahun 1944, jumlah pengeluaran bijih timah hanya sebanyak 2,373 pikul.

“Masa pemerintahan Jepun semua orang hidup susah. Mau makan pun susah. Orang Cina masuk hutan pergi tanam beras. Orang lelaki, perempuan semua pergi tanam. Tak tanam susah mau hidup. Sayur pun tanam sendiri juga. Masa tu semua orang pun susah nak dapat makan” [20].

Akibat daripada berkembangnya aktiviti penanaman pada maka sekali gus menyebabkan meningkatnya penggunaan tanah daripada 113 530 ekar pada tahun 1941 kepada 143 498 ekar pada tahun 1942 [21].

Jepun menyerah kalah pada tanggal 15 Ogos 1945. Hal ini menyebabkan syarikat–syarikat perlombongan British bertindak menempatkan semula kedudukan masing-masing di Tanah Melayu untuk kembali beroperasi.

Mereka bertindak untuk memulihkan industri tersebut agar dapat memastikan faedah kewangan syarikat-syarikat tersebut diperoleh kembali. Hal ini secara tak langsung mampu memulihkan semula ekonomi di Klian Intan. Terdapat beberapa pembaharuan yang dilakukan oleh British antaranya ialah

  1. Jawatankuasa Pemeriksaan Timah telah mengkelaskan kapal korek milik eropah kepada empat kategori yang berbeza bergantung kepada masa yang diperlukan untuk pemulihan semula.
  2. British mengadakan kerjasama dengan Jabatan Tanah dan Galian pada tahun 1950. Hasil kerjasama tersebut telah menyebabkan mereka yang layak mendapat lessen untuk membeli bijih timah [22].

Klian Intan pada hari ini masih bertahan sebagai salah satu kawasan perlombongan di Perak. Sejarah telah mencatatkan kehadiran beramai-ramai para pelombong daripada pelbagai tempat terutamanya orang-orang Melayu dari Patani, Perak, dan Kedah.

Situasi ini juga berlaku dalam kalangan orang-orang Cina mereka juga berusaha gigih tanpa mengira penat lelah dalam mencari rezeki melalui aktiviti perlombongan bijih timah di Klian Intan.

Terutamanya orang-orang British sanggup datang bagi merealisasikan hasrat mereka iaitu menguasai sumber terpenting tersebut. Portugis pula lebih awal sampai di Klian Intan bagi menjalankan aktiviti perdagangan bijih timah. Tidak ketinggalan juga VOC bertindak menggantikan Portugis bagi memonopoli perdagangan bijih timah di bumi Klian Intan.

Penulis sangat kagum dengan keupayaan RHTL memiliki stesen hidroelektriknya sendiri. Adalah sangat unik apabila sesebuah kawasan perlombongan di negara kita sekiranya memiiki keupayaan tersebut pada ketika itu (Pertenggahan abad ke-20).

Stesen hidroelektrik ini juga tidak hanya berfungsi dalam aktiviti perlombongan malah ia juga turut mendatangkan faedah kepada penduduk sekitarnya.

Pada tahun 1954 kerajaan mula mengambil alih peranan yang dimainkan oleh RHTL iaitu membekalkan tenaga elektrik terhadap penduduk secara terus di mukim Kroh.

Nota Kaki :

  1. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2017, hlm.24.
  2. Adnan Hj Nawang, Perak: dahulu dan sekarang, Persatuan Muzium Malaysia,Kuala Lumpur,1988,hlm.36.
  3. Talib Samat, Tengku Menteri: Kisah Tokoh Korporat Bijih Timah Melayu Terulung Long Jaafar dan Ngah Ibrahim Pengasas Taiping Bandar Warisan 1790 hingga 1895, PTS AKADEMIA, Selangor, 2014, hlm.32.
  4. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2017, hlm.25.
  5. Chin Peng,My Side of History, Media Masters Publishing Sdn Bhd, Ipoh, 2003,hlm.368.
  6. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2017, hlm.83.
  7. Ishak Saat, Radikalisme Melayu Perak 1945-1970, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2014, hlm. 72.
  8. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2017, hlm.101.
  9. Ibid,hlm 36.
  10. Mengkong (Setaraf dengan jawatan penghulu)
  11. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2017, hlm.50.
  12. Zaini Nasohah, Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia: Sebelum dan Menjelang Merdeka, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Selangor, 2004, hlm.29.
  13. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, 2017, hlm.65-70.
  14. Ibid hlm.70.
  15. Ibid,hlm.72.
  16. Khairul Asraf Shah, Terjemahan British Malaya karya Frank Swettenham, Geroda Merah Press, Kuantan,2018,hlm. 287.
  17. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2017, hlm.89.
  18. Iris Chang, The Rape of Nanking: The Forgotten Holocaust of World War
  19. II, Basic Book, New York, 1991, hlm.2.
  20. Mohamad Rashidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain, Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi, Universiti Sains Malaysia, 2017, Pulau Pinang hlm.90-91.
  21. Ibid, hlm.91.
  22. Ibid,hlm.94.

Rujukan:

  • Adnan Hj Nawang.1988. Perak : Dahulu dan Sekarang. Kuala Kumpur: Persatuan Muzium Malaysia
  • Chin Peng. 2003. My Side of History. Ipoh: Media Masters Publishing Sdn Bhd
  • Ishak Saat. 2014. Redikalisme Melayu Perak 1945-1970. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia
  • Iris Chang.1991. The Rape of Nanking: The Forgotten Holocaust of World War II. New York: Basic Book
  • Khairul Asraf Syah.2018. Tejemahan British Malaya karya Frank Swettenham. Kuantan: Geroda Press
  • Mohamad Rasidi Pakri & Nik Haslinda Nik Hussain.2017. Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
  • Talib Samat.2014. Tengku Menteri: Kisah Tokoh Koporat Bijih Timah Melayu Terulung Long Jaafar. Selangor: PTS Akademia
  • Zaini Nasolah.2004. Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia: Sebelum dan Menjelang Merdeka. Selangor: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

Keupayaan Sultan Perak Menyekat Pengaruh Kongsi Gelap Melayu Awal Abad 20

Sultan Idris I yang memegang pemerintahan negeri Perak sejak tahun 1887 hingga tahun 1918 begitu bimbang dengan pengaruh kongsi gelap atau jemaah gelap di kalangan masyarakat Melayu pada waktu itu (1900).

Ini kerana, pengaruh kumpulan Bendera Putih dan Bendera Merah yang berasal dari Pulau Pinang, turut melibatkan pegawai rendah kerajaan seperti anggota polis, penghulu, guru sekolah, kerani serta keturunan Orang-Orang Besar Negeri Perak.

Setelah pelbagai undang-undang dipekenalkan turut gagal untuk menyekat pengaruh kongsi gelap ini, maka pada tarikh 24 Mac 1903 Sultan Idris I telah memperkenalkan satu pengisytiharan yang berbunyi:

“Bahwasanya maka adalah kita Paduka Seri Sultan Idris Murshid – Aatham Shah, G.C.M.G Ibni Al Marhum Iskandar Shah, serta dengan nasihat Tuan G.P Rodger, G.M.G British Resident Negeri Perak, telah membri katahwi pada sakelian bangsa yang di dalam jajahan seluruh negeri ini sekarang, yang kita dengan sehabis-habis akhtiar menjalankan kuasa kita, iaitu menegahkan.

Jangan siapa-siapa perbuat mufakat mengadakan kongsi gelap, atau mencampuri pada mana-mana ketuan-an yang handak mengadakan Kongsi Gelap baik Bendera Putih atau Merah, atau apa-apa warna yang menunjukkan perkara juma’ah sekali-kali tiada kita benarkan, maka jikalau siapa merika yang membuat pekerjaan ini atau menyertai mufakatnya, apabila kita katahwi dapat trang hal itu nyatalah kita buangkan merika itu daripada ini negri atau dipenjarakan dengan berlanjutan masanya serta denda juga telah dipatutkan ke atas kesalahan yang demikian itu”.

Keupayaan Sultan Perak Menyekat Pengaruh Kongsi Gelap Melayu Awal Abad 20

Selain mengeluarkan pengisytiharan tentang larangan menyertai jemaah gelap atau kongsi gelap, Sultan Idris turut memperkenalkan Enekmen pada 1904 yang mengisyaratkan setiap lelaki Islam yang berumur 16 tahun ke atas, yang tinggal dalam lingkungan tiga batu dari masjid wajib hadir setiap kali sembahyang Jumaat dan mestilah mendengar ceramah yang disampaikan oleh Imam atau ulama (tentang larangan menyertai kongsi gelap) selepas menunaikan sembahyang.

Kegagalan menghadiri sembahyang dan ceramah tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh kadhi atau jawatankuasa masjid akan dikenakan hukuman denda di mahkamah penghulu sebanyak 50 sen bagi setiap kesalahan.

Sultan Iskandar Shah yang memerintah negeri Perak sejak tahun 1918 hingga tahun 1938 telah menyambung usaha Sultan Idris I untuk menyekat pengaruh kongsi gelap.

Baginda pernah membangkitkan isu penglibatan orang Melayu dalam kongsi gelap dalam satu mesyuarat Majlis Undang-Undang Kerajaan 1931. Baginda turut mengetuai jawatankuasa penyiasatan mengenai kongsi gelap Melayu yang turut disertai Residen British, Raja Muda dan Raja di Hilir.

Keupayaan Sultan Perak Menyekat Pengaruh Kongsi Gelap Melayu Awal Abad 20

Baginda juga mengisytiharkan akan memberi keampunan (dari segi undang-undang) kepada sesiapa sahaja yang bertaubat dan berjanji tidak menyertai jemaah gelap lagi di hadapan baginda.

Oleh itu Sultan Iskandar melakukan lawatan dari kampung ke kampung untuk memberi nasihat kepada orang ramai agar meninggalkan kegiatan kongsi gelap. Usaha Sultan ini berjaya mengurangkan pengaruh kongsi gelap, apabila dilaporkan 1000 hingga 2000 orang Melayu bersumpah untuk meninggalkan kongsi gelap di hadapan baginda.

Kongsi gelap yang terkenal di Perak pada ketika itu ialah Bendera Putih dan Bendera Merah. Kedua-duanya berasal dari Pulau Pinang dan ditubuhkan oleh keturunan India Muslim.

Dipercayai wujud sejak tahun 1830an, tetapi mempunyai stuktur organisasi yang kukuh hanya pada tahun 1850an. Ketua Bendera Putih pada tahun 1850an ialah Dato’ Che’ Me dan ketua Bendera Merah pada tahun 1867 ialah Che’ Long.

Kawasan-kawasan yang dipengaruhi oleh kumpulan Bendera Putih dan Bendera Merah melibatkan seluruh negeri Perak dari utara hingga ke selatan, melibatkan Kerian, Lubuk Merbau, Beruas, Setiawan, Pasir Panjang, Bota, Lambor Kanan, Pulau Tiga serta Batang Padang. Pengaruh jemaah gelap atau kongsi gelap ini paling kuat di Kuala Kangsar.

Jemaah atau kongsi gelap ini turut berselindung melalui penubuhan kelab bolasepak. Kumpulan Bendera Putih misalnya merekrut ahli melalui Kelab Bolasepak Muslim Jelutong di Sungai Siput Utara dan Kuala Kangsar.

Manakala Kelab Bolasepak Darul Makmur meluaskan pengaruhnya di Manong, Telok Anson (Teluk Intan) dan Bagan Datoh. Keahlian kumpulan Bendera Putih dan Merah di Perak kebiasaanya terdiri daripada bangsa Melayu.

Kecuali di sesetengah tempat seperti yang berlaku di Beruas, pada tahun 1921, di mana orang Cina turut menyertainya. Upacara melafazkan sumpah Bendera Putih dan Bendera Merah juga bercampur dengan atucara Cina, seperti yang dicatatkan pada bulan Disember 1925, orang Melayu di Pasir Salak dari Bendera Putih telah menjalankan upacara “potong ayam”, iaitu dengan memasukkan darah jari ke dalam cawan, kemudian cawan itu dipecahkan.

Kemudian mereka akan menjunjung Al Quran ketika sumpah dilafazkan, bagi membezakan dengan upacara kongsi gelap Cina. Selain daripada dua kongsi gelap yang berasal dari Pulau Pinang ini, terdapat Kongsi Gelap Sungai Perak, yang merupakan kongsi gelap paling berpengaruh di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Keupayaan Sultan Perak Menyekat Pengaruh Kongsi Gelap Melayu Awal Abad 20

Pengaruh Kongsi Gelap Sungai Perak begitu kuat di kampung Melayu di sepanjang Sungai Perak dari Gerik hingga ke Teluk Anson. Pada tahun 1931 seorang ketuanya yang bernama Hashim telah ditangkap dan empat orang pemimpinnya dibuang negeri ke Labuan. Manakala pada tahun 1933 pula 23 orang ahlinya telah dipenjarakan, enam orang dibuang daerah serta 85 orang dikenakan ikat jamin oleh mahkamah.

Sumber:

  • Mahani Musa, Kongsi Gelap Melayu Di Negeri-Negeri Utara Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu 1821-1940an
  • MBRAS Monograph N0.36
  • 2003- M.A Fawzi Basri, Cempakasari,Sejarah Kesultanan Negeri Perak

Kisah Dendam Gajah Kepada Manusia Di Hulu Perak

Peristiwa gajah mengamuk membalas dendam terhadap manusia yang menggemparkan seluruh negara dalam tahun 1962 adalah berpunca daripada sifat buruk manusia sendiri.

Kisahnya pada waktu petang hari Selasa bertarikh 4 May 1962, seekor gajah liar yang tua telah ditembak mati sewaktu dalam misi mencari dan memburu gajah tersebut dijalankan di dalam hutan Gerik, Hulu Perak kerana telah membunuh seorang wanita tua.

Tuan James Aw selaku Pemangku Ketua Pegawai Mergastua yang turut sama dalam operasi itu menyatakan bahawa setelah bangkai gajah liar tua itu diperiksa, didapati terdapat banyak kesan luka lama akibat daripada bekas puluru.

Dengan melihat kepada kesan luka lama akibat daripada bekas peluru itu, dapat disimpulkan bahawa gajah liar tua itu sengsara dengan perbuatan manusia sehingga menyebabkan ia menjadi liar dan merasakan manusia itu merbahaya kepada dirinya.

Peringatan demi peringatan seringkali diberikan kepada orang awam yang gemar memburu di hutan agar tidak menembak sebarangan gajah atau haiwan-haiwan lain sesuka hati kerana untuk mengelakkan peristiwa seperti ini berlaku lagi kemudian hari.

Sewaktu zaman tahun 1962 itu, tidak ramai orang yang punyai senapang yang boleh membunuh seekor gajah. Oleh kerana kurang kesedaran tentang kepentingan alam, pemburu yang tidak bertanggung-jawab hanya mencederakan gajah sekadar untuk menghalau apabila terserempak.

Berkenaan dengan peristiwa gajah mengamuk membalas dendam terhadap manusia itu tadi, satu laporan polis telah dibuat oleh sekumpulan penanam tembakau yang juga merupakan kenalan kepada mangsa.

Menurut laporan tersebut, sekumpulan penanam-penanam tembakau termasuk mangsa sedang berjalan di dalam hutan untuk menuju ke kebun tembakau mereka. Sewaktu dalam perjalanan, mereka telah terserempak dengan seekor gajah tua yang cukup besar.

Kisah Dendam Gajah Kepada Manusia Di Hulu Perak
gambar hiasan

Tidak sempat buat apa-apa, gajah tua itu segera lari menerkam dan melilit mangsa dengan belalainya. Mangsa itu adalah seorang perempuan bernama Lau Chai dan berusia 54 tahun.

Setelah puas melilit mangsa sehingga lunyai, lalu dicampakkan mangsa sejauh lebih kurang 27 meter. Tidak cukup dengan itu, mangsa turut dipijak-pijak oleh gajah tersebut sehingga mangsa tidak bernyawa lagi.

Tindakan gajah liar tua itu seolah-olah melepaskan dendam kepada manusia yang pernah menyakiti dirinya walaupun individu yang berbeza. Bencinya terhadap manusia dapat dilihat dengan jelas.

Kisah Dendam Gajah Kepada Manusia Di Hulu Perak
gambar hiasan

Kenalan Lau Chai yang turut berada di tempat kejadian sempat melarikan diri dan terus mengadukan hal tersebut kepada pihak polis. Kemudian satu operasi mencari dan memburu gajah tersebut telah dijalankan oleh 4 orang pegawai dari Jabatan Mergastua Perak yang diketuai oleh Encik Ayer Shah Bin Mohamed Panjang.

Encik Ayer Shah adalah individu yang pernah menyelamatkan Tuan James Aw dalam tahun 1960 apabila 3 ekor gajah secara tiba-tiba menerkam dan menyerang Tuan James Aw sewaktu berada di hutan dalam daerah Sungkai.

Dengan tindakan pantas Encik Ayer Shah, nyawa Tuan James Aw dapat diselamatkan dengan merebahkan gajah yang menyerang itu dengan sekali tembak sahaja dari dekat.

Gajah liar tua yang menyerang Lau Chai itu mempunyai ketinggian 9 kaki dan ukur lilit diameter kakinya adalah sebesar 18 inci. Gadingnya pula seberat 20 kg dan umur gajah tersebut dijangkakan kira-kira 40 tahun.

Kisah ini adalah peristiwa yang benar-benar berlaku dan direkodkan supaya dapat dijadikan sebagai pedoman dan pengajaran kepada kita hari ini agar kesilapan yang lalu tidak diulangi lagi.

Rujukan:

  • Berita Harian, 5 May 1962

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang

0

Sejarah awal penggunaan setem bagi urusan surat-menyurat di Tanah Melayu diketahui bermula sejak abad ke 19 lagi apabila setem British dari India mula digunakan.

Dalam tahun 1874, negeri Perak telah berada di bawah naungan British setelah perjanjian Pangkor dimanterai. Sebenarnya, penggunaan setem di Tanah Melayu untuk urusan surat menyurat telah bermula sebelum 1874 lagi.

Hal ini dapat dibuktikan dengan setem wajah Ratu Victoria yang dikeluarkan buat kali pertama kali pada bulan Disember 1867 berikutan dengan tertubuhnya Negeri-Negeri Selat yang melibatkan kawasan Dinding di Perak sebagai tanah jajahan pemerintahan British.

Sebelum penubuhan Negeri-Negeri Selat, segala urusan pos di negeri-negeri ini terletak di bawah kawalan Pejabat Pos India yang terletak di Culcutta, India.

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1878 – Setem Straits Settlements (Queen Victoria) dicetak dengan lambang bulan bintang dan huruf P

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1880 – 1891 – Setem Straits Settlements (Queen Victoria) dicetak dengan perkataan PERAK

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1892 – Setem Harimau Malaya Menerkam dengan nama PERAK

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1895 – 1899 – Setem Kepala Harimau Malaya dengan nama PERAK (Nilai rendah) dan Setem Gajah Berarak dengan nama PERAK (Nilai Tinggi)

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1900 – Permulaan Pengunaan Setem Federated Malay States (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu).

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1901 – 1934 – Setem Federated Malay States Harimau Malaya (Nilai rendah) dan Gajah Berarak (Nilai tinggi)

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1935 – 1937 – Setem potret Sultan Iskandar of Perak (sisi kepala tepi) dengan nilai 1cent – $5

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1938 – 1941 – Setem potret Sultan Iskandar of Perak dengan nilai 1cent – $5

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1941 – Pendudukan Jepun

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1942 – Setem Sultan Iskandar of Perak (Sisi kepala tepi dan Wajah Sultan) dicetak (overprinted) dengan perkataan Dai Nippon 2602 Malaya atau Bahasa Jepun

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1943 – 1944 – Setem Jepun Malaya

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1945 – Setem Straits Settlements (King George VI) dicetak (overprinted) dengan huruf B.M.A (British Milatary Admistration)

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1948 – Setem khas Jubli Perak Perkahwinan King George VI dan Queen Elizabeth (Nilai 10 cent dan $5 sahaja) dengan perkataan MALAYA – PERAK

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1949 – Setem khas Ulangtahun ke-75 Universal Postal Union (nilai 10c, 15c, 25c dan 50c sahaja) dengan perkataan MALAYA PERAK

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1950 – Setem potret Sultan Yusuff Izzuddin Shah (Nilai 1c hingga $5) dengan tulisan MALAYA manakala PERAK ditulis dalam Jawi

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1953 – Setem khas Pertabalan Queen Elizabeth II (nilai 10c sahaja) dengan tulisan MALAYA PERAK

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1957 – 1964 – Setem Motif tempatan dengan potret kecil Sultan Yussuf Izzuddin Shah (nilai 1c hingga $5) dengan tulisan MALAYA PERAK

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1963 – Setem khas Pertabalan Sultan Idris Shah II (nilai 10c sahaja)

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1965 – 1970 – Setem motif bunga Orkid dengan potret kecil Sultan Idris II (nilai 1c hingga 20c) dengan tulisan MALAYSIA PERAK

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1971 – 1978 – Setem motif Rama-rama dengan potret kecil Sultan Idris II (nilai 1c hingga 20c) dengan tulisan MALAYSIA PERAK

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1979 – 1985 – Setem motif Bunga-bungaan dengan potret kecil Sultan Idris II (nilai 1c hingga 25c) dengan tulisan Malaysia Perak

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1985 – Setem khas Pertabalan Sultan Azlan Shah (nilai 15c, 20c, $1)

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


1986 – 2006 – Setem motif Pertanian dengan potret kecil Sultan Azlan Shah (nilai 1c hingga 30c)

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


2007 – 2015 – Setem motif Bunga-bungaan dengan potret kecil Sultan Azlan Shah (nilai 5sen hinga 50sen)

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


2009 – Setem Khas Jubliee Perak pemerintahan Sultan Azlan Shah

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


2015 – Setem khas Pertabalan Sultan Nazrin Shah (nilai 60sen, 80sen, RM 1.20)

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


2016 – 2018 – Setem motif Bunga-bungaan dengan potret kecil Sultan Nazrin Shah (nilai 10sen hingga 60sen)

Sejarah Setem Di Negeri Perak Sejak 1874 Hingga Sekarang


2018 – Setem motif Orkid Liar dengan potret kecil Sultan Nazrin Shah (nilai 5sen hingga 50sen)

Seperti yang tertera dalam gambar-gambar yang disertakan dalam artikel ini, evolusi reka bentuk setem di negeri Perak dapat dilihat semakin berkembang dari pelbagai sudut dan melaluinya, secara tidak langsung kita dapat ketahui jalan penceritaan zaman pentadbiran di negeri Perak sehingga ke hari ini.

Inilah yang menyebabkan setem-setem lama menjadi mahal nilainya dan menjadi kegilaan buat pengumpul setem-setem lama. Mungkin buat sesetengah pihak, setem lama ini hanya secebis kertas yang tidak berguna kerana langsung tidak mendalami kisah sejarah terdahulu.

Perincian Sidang Mahkamah Kes Pembunuhan Birch Ke Atas Seputum Pada Mac 1876

Setelah pertempuran diantara tentera British dan pejuang Melayu berakhir di Enggor, pahlawan-pahlawan Melayu mula berundur untuk menyelamatkan diri. Pada waktu ini tentera British mula menumpukan perhatian kepada gerakan untuk memburu mereka yang terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch.

Usaha pihak British ini turut disertai oleh orang-orang Melayu, Bugis, Rawa dan Mandaling terutama yang datang dari luar negeri Perak. Hasilnya Seputum telah berjaya ditangkap oleh Mahmin, Odah Pulau, Alang Rupah, Odah Mat Kasim dan Si Kumbang di Lambor.

Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad telah dipenjara dan kemudian dihadapkan ke mahkamah pada bulan Mac 1876 bagi menghadapi pendakwaan atas tuduhan terlibat secara lansung terhadap pembunuhan Residen British Negeri Perak.

Mereka dibicarakan dalam mahkamah Melayu milik kerajaan negeri Perak. Justeru itu Raja Idris telah dilantik oleh Sultan Abdullah sebagai hakim bagi membicarakan kes ini.

Manakala Gabenor Sir William Jervois pula melantik J.G. Davidson, Residen British Selangor sebagai penilai perbicaraan dengan dibantu oleh F.Swettenham.

Perincian Sidang Mahkamah Kes Pembunuhan Birch Ke Atas Seputum Pada Mac 1876

Pemilihan dan perlantikan ini dibuat berdasarkan pengalaman mereka yang luas. J.G. Davidson mempunyai pengalaman dalam bidang undang-undang dan beliau ketika itu menjawat jawatan sebagai Residen British pertama untuk negeri Selangor. F.Swettenham pula berpengalaman dalam bidang pentadbiran di Tanah Melayu dan beliau juga merupakan pemangku jawatan Residen British Perak.

Pada 3 Mac 1876, mahkamah di Bandar Baru memulakan persidangan. Raja Idris sebagai hakim, Davidson dan Swettenham sebagai penilai. Manakala tertuduh pula terdiri daripada Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad telah dihadapkan di mahkamah dengan tuduhan membunuh J.W.W. Birch, jurubahasa Mat Arshad, Din pendayung dan Hend Sheer Singh, salah seorang pegawai residen di Pasir Salak pada 2 November 1875.

Perincian Sidang Mahkamah Kes Pembunuhan Birch Ke Atas Seputum Pada Mac 1876

Pertuduhan telah dibacakan secara terperinci kepada tertuduh dan apabila hakim meminta pengakuan, mereka telah mengaku tidak bersalah atas setiap pertuduhan tersebut. Setelah mendengar pengakuan tersebut, mahkamah memulakan perbicaraan dengan memanggil Hamid yang merupakan saksi untuk memberi keterangan. Hamid menceritakan J.W.W. Birch datang bersama rombongan, tiba dan bermalam di Pasir Salak.

Pada pagi 2 November 1875, pukul 6 pagi Leftenan Abbott dengan pasukan sepoi telah pergi berburu di Kampung Gajah. Manakala Jurubahasa Mat Arshad pergi melekatkan surat pengisytiharan di kedai emas Cina.

Beliau kemudian menerangkan bahawa Mat Arshad selepas itu ditikam dalam pertengkaran. Hamid menyatakan Seputum ada pada ketika itu dan berteriak dengan kata amuk. Beliau mengenali Seputum kerana Seputum mengidap penyakit kulit aneh dan untut di sebelah kakinya.

Hamid juga menyatakan Si Gondah ada pada 2 November 1875 di Pasir Salak telah membawa lembing dan berteriak amuk. Dalam pada itu Hamid tidak dapat memastikan sama ada Ngah Ahmad ada atau tida ketika J.W.W. Birch dibunuh.

Kemudiannya Koh Ah Yong, tukang emas dipanggil memberi keterangan. Beliau menyatakan pada hari surat pengisytiharan dilekatkan oleh jurubahasa Mat Arshad, beberapa orang yang berkumpul di Pasir Salak, termasuk Ngah Ahmad mengoyak surat pengisytiharan dan diserahkan kepada Dato Maharaja Lela.

Perincian Sidang Mahkamah Kes Pembunuhan Birch Ke Atas Seputum Pada Mac 1876

Sementara itu Seputum membawa dua batang lembing dalam perhimpunan itu. Koh Ah Yong menyatakan Seputum telah menetak J.W.W. Birch dengan parang panjang di kepala sebanyak tiga kali.

Seterusnya beliau menyatakan tidak nampak Si Gondah, sebaliknya melihat Ngah Ahmad membawa dua batang lembing dan sebilah keris. Setelah mendengar penjelasan tersebut, perbicaraan kemudiannya ditangguhkan untuk hari tersebut.

Pada 4 Mac 1876, mahkamah bersidang semula. Koh Ah Yong sekali lagi dipanggil bagi memberi keterangan. Pada kali ini beliau menerangkan mayat J.W.W. Birch dijumpai oleh orang Bugis dan beliau mengakhiri pengakuannya. Berikutnya mahkamah memanggil Hoo Ah Choey untuk memberi keterangan.

Hoo Ah Choey dalam keterangan kepada mahkamah menyatakan bahawa Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad berada di tebing sungai pada 2 November 1875. Seputum mengoyak surat pengisytiharan dan menetak dua kali J.W.W. Birch ketika berada di dalam air.

Manakala Si Gondah dan Ngah Ahmad melaungkan amuk. Kedua-duanya ada membawa keris dan lembing. Seterusnya keterangan tersebut, J.J. Keyt, kerani residen pula dipanggil oleh mahkamah untuk memberi keterangan.

J.J. Keyt menyatakan kepada mahkamah bahawa setelah diarah oleh Timbalan Pesuruhjaya (W.E. Maxwell), beliau telah mencatatkan pengakuan Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad ketika mereka di dalam penjara.

Perincian Sidang Mahkamah Kes Pembunuhan Birch Ke Atas Seputum Pada Mac 1876

Ketiga-tiga kenyatakan ini dibacakan di dalam mahkamah. Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad akhirnya mengesahkan pengakuan masing-masing kepada J.J. Keyt. Pengakuan ini menyentuh peristiwa yang berlaku di Pasir Salak.

Kemudiannya Hajjah Fatimah dipanggil bagi memberi keterangan. Beliau menyatakan pada malam selepas J.W.W. Birch dibunuh, sekumpulan orang-orang bersenjata telah datang ke rumahnya.

Di antara mereka ialah Si Gondah dan mereka merancang hendak menyerang Bandar Baharu. Begitu juga dengan Haji Mohamed Amin yang turut menyatakan Si Gondah ada di dalam kumpulan yang hendak menyerang Bandar Baharu.

Selain itu Haji Mohamed menyatakan bahawa Si Gondah ada menyebut perkataan Amuk. Manakala Inspektor Lagis bin Suboh, ketika memberi keterangan di mahkamah memaklumkan perincian tentang luka dan kecederaan yang terdapat pada badan J.W.W. Birch dan Mat Arshad.

Setelah Inspektor Lagis memberi keterangan, pendakwaan ke atas tertuduh ditutup. Tertuduh pula memaklumkan kepada mahkamah mereka tidak mempunyai saksi untuk memberi keterangan.

Walaupun begitu, hakim memberi peluang kepada tertuduh untuk memberi keterangan. Seputum dalam keterangannya bersuara bahawa sama ada beliau terlibat atau tidak, kedua-duanya sama sahaja baginya.

Perincian Sidang Mahkamah Kes Pembunuhan Birch Ke Atas Seputum Pada Mac 1876

Ini kerana sekiranya beliau tidak terlibat dengan pembunuhan J.W.W. Birch, Dato Maharaja Lela mengugut akan membakar rumah dan merampas hartanya. Oleh kerana beliau merupakan buruh di bawah pentadbiran Dato Maharaja Lela, jika tidak menjalankan tugas yang diberikan, Dato Maharaja Lela akan membunuhnya.

Dalam pada itu Seputum turut menyatakan, jika dia melakukan kesalahan, maka itu adalah dalam menjalankan tugas yang disuruh Dato Maharaja Lela. Begitu juga Si Gondah menyatakan dia diarahkan oleh Dato Maharaja Lela.

Sekiranya beliau ingkar, rumahnya akan dibakar dan anak isteri beliau akan diambil. Manakala Ngah Ahmad pula menyatakan yang dia tidak ada ketika J.W.W. Birch dibunuh. Beliau tiba di tebing sungai setelah pembunuhan tersebut sudah berlaku.

Selepas mendengar keterangan Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad, mahkamah menangguhkan sidangnya yang telah bermula dari jam pukul 8 pagi, 4 Mac 1876. Pada 5 Mac 1876, mahkamah bersidang semula.

Perincian Sidang Mahkamah Kes Pembunuhan Birch Ke Atas Seputum Pada Mac 1876

Dalam menggulung penghujahan perbicaraan ini, Hakim Raja Idris memaklumkan kepada Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad yang beliau mendengar semua keterangan sepanjang mahkamah bersidang.

Seterusnya beliau memaklumkan keputusan bahawa kesemua tertuduh telah didapati bersalah dan mahkamah memutuskan bahawa setiap tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Walaupun begitu, Hakim Raja Idris menyatakan yang hukuman gantung hanya akan dilaksanakan setelah disahkan oleh Sultan.

Keputusan mahkamah ini dihantar kepada Gabenor dan dibincangkan dalam Majlis Kerja yang dipengerusikan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat. Majlis Kerja berpuas hati dengan bukti tuduhan ke atas Seputum dan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.

Namun begitu Majlis Kerja berpendapat, walaupun Si Gondah dan Ngah Ahmad hadir ketika J.W.W. Birch dibunuh, tiada bukti yang kukuh menyatakan mereka terlibat dengan pakatan untuk membunuh J.W.W. Birch.

Perincian Sidang Mahkamah Kes Pembunuhan Birch Ke Atas Seputum Pada Mac 1876

Dengan itu Majlis Kerja terpaksa campur tangan dalam keputusan Mahkamah Melayu melalui Gabenor. Gabenor mengarahkan Timbalan Pesuruhjaya Perak menasihati Sultan Abdullah untuk meminda hukuman ke atas Si Gondah dan Ngah Ahmad kepada penjara seumur hidup.

Seputum telah digantung sampai mati di Bandar Baru pada 20 Mei 1876. Jenazahnya kemudian dibawa ke Pasir Salak dan dikebumikan disana.

Rujukan:

  • Pasir Salak: Pusat Gerakan menentang British di Perak oleh Prof Madya Dr Abdullah Zakaria Ghazali

Tun Kelalang, Pemerintah Melayu Terawal di Daerah Kinta

Satu ketika dahulu, kawasan Kinta adalah merupakan sebuah daerah atau negeri yang didiami oleh kaum Orang Darat yang juga merupakan masyarakat Orang Asli Suku Semai.

Pada tahun 1528, Tun Kelalang yang merupakan anak kepada Pemerintah Hulu Perak, Tun Saban Balik telah menyusur ke hilir Sungai Perak dan memasuki ke salah sebuah cabang sungainya iaitu Sungai Kinta lalu membuka sebuah penempatan yang dinamakan Kampung Kepayang yang terletak di dalam Mukim Ulu Kinta.

Tun Kelalang adalah merupakan Pemerintah Melayu Terawal di Daerah atau Negeri Kinta. Keturunan beliau telah berasimilasi dengan kaum Orang Darat melalui perkahwinan sesama mereka.

Keturunan beliau memegang jawatan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa. Toh Senongsa Seri Nara Wangsa yang pertama adalah merupakan anak beliau iaitu Toh Pasir Panjang bin Tun Kelalang. Pusat pemerintahan bagi pemegang gelaran ini adalah bertempat di Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh.

Pemerintah Melayu Terawal di Daerah Kinta, Tun Kelalang

Gelaran Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ini kemudian diserap ke dalam Sistem Monarki Kesultanan Negeri Perak sebagai Orang Besar 16 setelah berlakunya perkahwinan antara anak perempuan kepada Toh Senongsa Seri Nara Wangsa ke 4, Toh Nyior Manis iaitu Toh Puan Intan dengan anak lelaki kepada Maharaja Kinta Toh Chandang iaitu Toh Tambak.

Pemerintah Melayu Terawal di Daerah Kinta, Tun Kelalang

Hasil daripada perkahwinan ini menyebabkan gelaran Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa dipegang oleh ahli keluarga yang sama.

Kelaziman anak sulung akan memegang gelaran Orang Besar 8, Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja manakala adindanya akan memegang jawatan Orang Besar 16, Toh Senongsa Seri Nara Wangsa.

Pemerintah Melayu Terawal di Daerah Kinta, Tun Kelalang

Toh Senongsa Seri Nara Wangsa yang terakhir adalah merupakan Toh Itam Dewi bin Panglima Kinta ke 5, Toh Ngah Abdul Ghaffar. Penglibatan beliau dan kekandanya iaitu Panglima Kinta ke 7, Ngah Abdul Jaafar atau Ngah Jabor dalam pembunuhan JWW Birch menyebabkan beliau dibuang negeri ke Skudai, Johor bersama Sultan Perak yang ke 25, Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah dan seterusnya gelaran Toh Senongsa Seri Nara Wangsa dimansuhkan dalam Sistem Monarki Kesultanan Negeri Perak oleh British.

Pemerintah Melayu Terawal di Daerah Kinta, Tun Kelalang

Setelah tamat tempoh buang negeri. Beliau kembali ke Kampung Kepayang. Makam beliau terletak di kawasan perkuburan Islam Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh.

Rujukan:

  • Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Di Raja dan Toh Senongsa Seri Nara Wangsa, susunan Tuan Haji Fazil Shuhaimi Talib terbitan Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3).
  • Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia, tulisan Dr. Adib Vincent Tung terbitan Perak Academy.
  • Kenali Kampung Kepayang, arahan Mukriz Mahader terbitan Astro AWANI.
  • Dokumentari Tanah Secupak: Kampung Kepayang, arahan Faizal Zainol terbitan Continuallybebas
  • Dokumentari Dato Panglima Kinta Pasak Kepayang yang Terakhir: Toh Ngah Abdul Jaafar atau Ngah Jabor, arahan Faizal Zainol terbitan Continuallybebas.
  • Papers on Malay Subjects, tulisan R.J. Wilkinson.
  • Pasir Salak, Pusat Gerakan Menentang British di Perak, tulisan Abdullah Zakaria Ghazali.