Keupayaan Sultan Perak Menyekat Pengaruh Kongsi Gelap Melayu Awal Abad 20

Sultan Idris I yang memegang pemerintahan negeri Perak sejak tahun 1887 hingga tahun 1918 begitu bimbang dengan pengaruh kongsi gelap atau jemaah gelap di kalangan masyarakat Melayu pada waktu itu (1900).

Ini kerana, pengaruh kumpulan Bendera Putih dan Bendera Merah yang berasal dari Pulau Pinang, turut melibatkan pegawai rendah kerajaan seperti anggota polis, penghulu, guru sekolah, kerani serta keturunan Orang-Orang Besar Negeri Perak.

Setelah pelbagai undang-undang dipekenalkan turut gagal untuk menyekat pengaruh kongsi gelap ini, maka pada tarikh 24 Mac 1903 Sultan Idris I telah memperkenalkan satu pengisytiharan yang berbunyi:

“Bahwasanya maka adalah kita Paduka Seri Sultan Idris Murshid – Aatham Shah, G.C.M.G Ibni Al Marhum Iskandar Shah, serta dengan nasihat Tuan G.P Rodger, G.M.G British Resident Negeri Perak, telah membri katahwi pada sakelian bangsa yang di dalam jajahan seluruh negeri ini sekarang, yang kita dengan sehabis-habis akhtiar menjalankan kuasa kita, iaitu menegahkan.

Jangan siapa-siapa perbuat mufakat mengadakan kongsi gelap, atau mencampuri pada mana-mana ketuan-an yang handak mengadakan Kongsi Gelap baik Bendera Putih atau Merah, atau apa-apa warna yang menunjukkan perkara juma’ah sekali-kali tiada kita benarkan, maka jikalau siapa merika yang membuat pekerjaan ini atau menyertai mufakatnya, apabila kita katahwi dapat trang hal itu nyatalah kita buangkan merika itu daripada ini negri atau dipenjarakan dengan berlanjutan masanya serta denda juga telah dipatutkan ke atas kesalahan yang demikian itu”.

Keupayaan Sultan Perak Menyekat Pengaruh Kongsi Gelap Melayu Awal Abad 20

Selain mengeluarkan pengisytiharan tentang larangan menyertai jemaah gelap atau kongsi gelap, Sultan Idris turut memperkenalkan Enekmen pada 1904 yang mengisyaratkan setiap lelaki Islam yang berumur 16 tahun ke atas, yang tinggal dalam lingkungan tiga batu dari masjid wajib hadir setiap kali sembahyang Jumaat dan mestilah mendengar ceramah yang disampaikan oleh Imam atau ulama (tentang larangan menyertai kongsi gelap) selepas menunaikan sembahyang.

Kegagalan menghadiri sembahyang dan ceramah tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh kadhi atau jawatankuasa masjid akan dikenakan hukuman denda di mahkamah penghulu sebanyak 50 sen bagi setiap kesalahan.

Sultan Iskandar Shah yang memerintah negeri Perak sejak tahun 1918 hingga tahun 1938 telah menyambung usaha Sultan Idris I untuk menyekat pengaruh kongsi gelap.

Baginda pernah membangkitkan isu penglibatan orang Melayu dalam kongsi gelap dalam satu mesyuarat Majlis Undang-Undang Kerajaan 1931. Baginda turut mengetuai jawatankuasa penyiasatan mengenai kongsi gelap Melayu yang turut disertai Residen British, Raja Muda dan Raja di Hilir.

Keupayaan Sultan Perak Menyekat Pengaruh Kongsi Gelap Melayu Awal Abad 20

Baginda juga mengisytiharkan akan memberi keampunan (dari segi undang-undang) kepada sesiapa sahaja yang bertaubat dan berjanji tidak menyertai jemaah gelap lagi di hadapan baginda.

Oleh itu Sultan Iskandar melakukan lawatan dari kampung ke kampung untuk memberi nasihat kepada orang ramai agar meninggalkan kegiatan kongsi gelap. Usaha Sultan ini berjaya mengurangkan pengaruh kongsi gelap, apabila dilaporkan 1000 hingga 2000 orang Melayu bersumpah untuk meninggalkan kongsi gelap di hadapan baginda.

Kongsi gelap yang terkenal di Perak pada ketika itu ialah Bendera Putih dan Bendera Merah. Kedua-duanya berasal dari Pulau Pinang dan ditubuhkan oleh keturunan India Muslim.

Dipercayai wujud sejak tahun 1830an, tetapi mempunyai stuktur organisasi yang kukuh hanya pada tahun 1850an. Ketua Bendera Putih pada tahun 1850an ialah Dato’ Che’ Me dan ketua Bendera Merah pada tahun 1867 ialah Che’ Long.

Kawasan-kawasan yang dipengaruhi oleh kumpulan Bendera Putih dan Bendera Merah melibatkan seluruh negeri Perak dari utara hingga ke selatan, melibatkan Kerian, Lubuk Merbau, Beruas, Setiawan, Pasir Panjang, Bota, Lambor Kanan, Pulau Tiga serta Batang Padang. Pengaruh jemaah gelap atau kongsi gelap ini paling kuat di Kuala Kangsar.

Jemaah atau kongsi gelap ini turut berselindung melalui penubuhan kelab bolasepak. Kumpulan Bendera Putih misalnya merekrut ahli melalui Kelab Bolasepak Muslim Jelutong di Sungai Siput Utara dan Kuala Kangsar.

Manakala Kelab Bolasepak Darul Makmur meluaskan pengaruhnya di Manong, Telok Anson (Teluk Intan) dan Bagan Datoh. Keahlian kumpulan Bendera Putih dan Merah di Perak kebiasaanya terdiri daripada bangsa Melayu.

Kecuali di sesetengah tempat seperti yang berlaku di Beruas, pada tahun 1921, di mana orang Cina turut menyertainya. Upacara melafazkan sumpah Bendera Putih dan Bendera Merah juga bercampur dengan atucara Cina, seperti yang dicatatkan pada bulan Disember 1925, orang Melayu di Pasir Salak dari Bendera Putih telah menjalankan upacara “potong ayam”, iaitu dengan memasukkan darah jari ke dalam cawan, kemudian cawan itu dipecahkan.

Kemudian mereka akan menjunjung Al Quran ketika sumpah dilafazkan, bagi membezakan dengan upacara kongsi gelap Cina. Selain daripada dua kongsi gelap yang berasal dari Pulau Pinang ini, terdapat Kongsi Gelap Sungai Perak, yang merupakan kongsi gelap paling berpengaruh di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Keupayaan Sultan Perak Menyekat Pengaruh Kongsi Gelap Melayu Awal Abad 20

Pengaruh Kongsi Gelap Sungai Perak begitu kuat di kampung Melayu di sepanjang Sungai Perak dari Gerik hingga ke Teluk Anson. Pada tahun 1931 seorang ketuanya yang bernama Hashim telah ditangkap dan empat orang pemimpinnya dibuang negeri ke Labuan. Manakala pada tahun 1933 pula 23 orang ahlinya telah dipenjarakan, enam orang dibuang daerah serta 85 orang dikenakan ikat jamin oleh mahkamah.

Sumber:

  • Mahani Musa, Kongsi Gelap Melayu Di Negeri-Negeri Utara Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu 1821-1940an
  • MBRAS Monograph N0.36
  • 2003- M.A Fawzi Basri, Cempakasari,Sejarah Kesultanan Negeri Perak

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here