Tragedi Hitam Insiden Runtuhan Gunung Cheroh, Ipoh

Ada satu kisah tragik yang semakin dilupakan hari ini yang melanda negeri Perak. Pada waktu malam yang dingin bertarikh 18 Oktober 1973 ketika hujan lebat membasahi tanah di bumi Kampung Kacang Putih. Kampung Kacang Putih ini adalah sebuah kampung yang terletak di Gunung Cheroh, Ipoh. Pada waktu itu, hujan turun dengan kerap dan lebatnya setiap minggu mungkin kerana musim hujan monsun yang melanda negara kita.

Pada waktu itu, sambutan deepavali akan menjelma dalam seminggu lagi, ada juga sesetengah penduduk kaum India disana terutamanya tidak berada di kawasan kampung kerana sibuk ke bandar untuk membeli barangan persiapan untuk sempena sambutan deepavali yang bakal menjelma. Ada juga segelintir daripada mereka yang hanya duduk di dalam rumah tidak kemana-mana kerana hujan turun dengan lebatnya sepanjang minggu.

Keheningan malam yang didendangkan bunyi hujan lebat itu tiba-tiba digemparkan dengan satu tragedi yang amat dasyat dan tidak mungkin akan dapat dilupakan oleh waris mangsa. Pada malam yang malang itu, dengan tiba-tiba sahaja satu bunyi aneh yang amat kuat dapat didengar oleh penduduk setempat. Bunyinya yang kuat dengan bergema-gema itu amat menakutkan seumpama sesuatu telah jatuh dari langit untuk menghentam bumi.

Tragedi Hitam Insiden Runtuhan Gunung Cheroh

Jam menunjukkan lebih kurang pukul 9 malam. Ramai penduduk yang ada di kediaman mereka meninjau keadaan diluar rumah untuk mencari-cari punca bunyi kuat yang amat menakutkan itu. Dapatkah anda pembaca setia orangperak.com bayangkan situasi mereka yang berdebar-debar dan bingung dengan keadaan yang sedang mereka hadapi itu? Kami sendiri tidak dapat kami gambarkan kegusaran dalam hati jika berada di tempat mereka.

Tanpa diduga, malam yang sepi ditemani hujan lebat di Kampung Kacang Putih bertukar jadi malam yang penuh bala petaka. Bunyi aneh bergema dan dentuman yang amat seram mereka dengarkan tadi sebenarnya adalah Gunung Cheroh yang sedang runtuh. Runtuhan Gunung Cheroh melanda Kampung Kacang Putih dan dalam sekelip mata telah memusnahkan 20 biji rumah, kedai-kedai, kandang ternakan lembu dan kambung.

Serpihan runtuhan Gunung Cheroh terdiri daripada bongkah-bongkah batu kapur pelbagai saiz. Ada yang bersaiz kecil dan ada juga satu daripadanya punyai saiz gergasi seberat melebihi berpuluh-puluh tan. Lantas mereka yang tidak terkena runtuhan terus pergi memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa yang dihempap oleh runtuhan Gunung Cheroh tersebut. Ada yang cedera parah dan ada juga yang mati di tempat kejadian.

Penduduk setempat yang datang menghulurkan bantuan cuba menggali tanah untuk membantu mereka yang terperangkap dibawah runtuhan sementara menunggu bantuan bomba dan pasukan penyelamat sampai. Operasi mencari dan menyelamat disertai lebih 500 orang termasuk daripada beberapa pertubuhan sukarela. Sedihnya pada waktu itu melihat keadaan mangsa yang dikeluarkan. Ada yang tinggal cebisan daging, ada yang hilang anggota badan dan ada yang berkecai.

Tragedi Hitam Insiden Runtuhan Gunung Cheroh

Mereka yang terselamat di dalam runtuhan tersebut terus dibawa terus ke Hospital Besar Ipoh (HBI) yang mana hari ini dikenali dengan nama Hospital Raja Permaisuri Bainun. Menteri Besar Perak pada waktu itu adalah Datuk Seri Kamaruddin Isa. Beliau juga turut turun ke kawasan nahas pada jam 3 pagi beberapa jam selepas kejadian berlaku. Datuk Seri Kamaruddin Isa dikatakan bergegas pulang dari Kuala Lumpur sebaik dimaklumkan tragedi berkenaan.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, operasi menyelamat dihentikan beberapa jam selepas matahari menjelma mendekati tengah hari. Pasukan penyelamat mengambil keputusan untuk menghentikan gerakan mencari dan menyelamat lantas mereka terpaksa membiarkan mayat yang belum ditemui terus berada di bawah batu yang bersaiz gergasi berkenaan.

Terdapat kira-kira 12 mayat ditemui selepas usaha mencari gali dan dipercayai kira-kira terdapat 30 lagi mayat yang sebahagian besarnya kaum India masih lagi tertanam di bawah runtuhan batu besar tersebut dan mayat mereka masih gagal untuk dibawa keluar sehingga ke hari ini. Tragedi ini adalah antara yang paling tragik yang pernah berlaku di dalam negara kita.

Berikutan dengan kejadian yang malang ini, kerajaan negeri Perak telah memutuskan untuk memindahkan 120 penduduk yang masih tinggal di Kampung Kacang Putih pada waktu itu ke tempat lain selepas menyedari yang lokasi itu tidak lagi selamat untuk diduduki. Kebanyakan daripada mereka berpindah ke kawasan penempatan baru di Buntong, Ipoh dan nama Kampung Kacang Putih dikekalkan.

Tragedi Hitam Insiden Runtuhan Gunung Cheroh

Tahun ini 2017, walaupun sudah 44 tahun tragedi hitam ini berlalu, dikatakan bongkah batu besar yang masih ada dalam kedudukan asalnya sejak kejadian runtuhan itu berlaku dan menjadi sebagai batu peringatan untuk memperingati kisah tragedi yang melanda kawasan tersebut lantas menjadi batu nisan buat puluhan mayat yang dihempap mati dan berada dibawahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

+ 37 = 47