Sejarah terukir apabila Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) telah berjaya melancar dan menamakan Kapal Tempur Pesisir Pantai Gowind pertama negara ini. Upacara ini berlansung di Limbungan Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) Lumut pada 24 Ogos 2017. Kapal pertama dalam kelas ini dinamakan sebagai KD Maharaja Lela.
Kapal tersebut yang telah diberikan nombor 2501, telah dilancarkan oleh Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah juga telah mencemar duli berangkat bagi menghadiri upacara gilang gemilang ini. Turut hadir dalam perlancaran kapal tempur tersebut ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Tentera Laut Malaysia Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Serentak dengan perlancaran kapal tersebut, Permaisuri Perak turut menamakan kapal tempur tersebut sebagai KD Maharaja Lela, sempena nama Dato Maharaja Lela yang bertanggungjawab menentang penjajah British dan akibat daripada perjuangan tersebut beliau telah dihukum gantung pada tahun 1877.
KD Maharaja Lela merupakan kapal pertama daripada 6 buah Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang ditempah oleh Tentera Laut Malaysia dengan nilai kontrak sebanyak 9 bilion ringgit telah dianugerahkan kepada Boustead pada Julai 2014. Menurut spesifikasi yang disediakan oleh Tentera Laut Malaysia, kapal tersebut mempunyai berat sebanyak 3000 tan, panjang 111 meter dan tinggi 16 meter.
Kapal tersebut mengikut mengikut reka bentuk kapal Gowind milikt Perancis dan telah dipertingkatkan dengan sistem pengesan infra merah, mengurangkan kadar pengesanan radar dari musuh dan bersifat halimunan. Kapal ini akan mempunyai krew seramai 118 orang termasuk 8 pegawai dan turut mampu membawa sebuah helikopter.