Buat rakyat yang merasa pada zaman 70 an sehingga awal 80 an semestinya tidak melupai jasa dan kenangan pemerintahan Almarhum Sultan Idris Shah II yang merupakan Sultan Perak ke 33.
Pada kali ini orangperak.com ingin menceritakan kisah hidup dan jasa yang sangat besar yang pernah Almarhum curahkan kepada rakyat negeri Perak sepanjang Almarhum memerintah negeri ini buat kenangan kita semua. Semoga tetap kekal kenangan tersebut buat kita semua.
Almarhum Sultan Idris Shah II merupakan anakanda sulung kepada Sultan Perak ke 30. Bonda baginda ialah Raja Perempuan Kelsom dan ayahanda baginda iaitu Sultan Iskandar Shah sudah menjadi Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan selama enam tahun dari (dari tahun 1918-1938) sewaktu Raja Idris diputerakan pada subuh 15 Ogos 1924 di Istana Negara (sekarang Istana Iskandariah) dekat Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Baginda memulakan pelajaran di Clifford School Kuala Kangsar dan kemudian menyambung pengajian peringkat menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Namun pengajian baginda dalam kelas Senior Cambridge di Kolej Melayu Kuala Kangsar tergendala apabila Jepun datang menjajah Tanah Melayu pada lewat 1941.
Pada tahun 1944, apabila Perang Pasifik sudah tidak lagi memihak kepada Jepun, Raja Idris dengan galakan dan semangat dari Almarhum Sultan Abdul Aziz yang juga merupakan ayahanda saudara baginda, telah menyertai Giu Tai yang merupakan pasukan sukarelawan yang ditubuhkan Jepun bagi membentuk pertahanan di Tanah Melayu untuk menentang penaklukan semula Tanah Melayu daripada Tentera Bersekutu.
Tujuan utama baginda menyertai Giu Tai adalah untuk secara samaran memberikan senjata seramai mungkin orang-orang Melayu supaya diketika Tentera Bersekutu memulakan menyerang Jepun di Tanah Melayu, orang-orang Melayu akan mengangkat senjata dalam usaha untuk menewaskan penjajah Jepun itu sendiri. Untuk beberapa ketika, Raja Bendahara Idris dan beberapa orang Melayu telah berhubung dengan pegawai daripada Force 136.
Diantara pegawai tersebut ialah Leftenan Kolonel Datuk Peter Dobrée, yang telah mendarat menggunakan payung terjun secara rahsia di dalam hutan di Hulu Perak untuk membantu serangan Tentera Bersekutu serta memberi arahan kepada Giu Tai supaya penyamaran mereka tidak terbongkar. Pihak Jepun melalui risikan mereka sendiri berasa syak wasangka yang tinggi keatas Almarhum Sultan Abdul Aziz dan beberapa kerabat diraja Perak dan merasakan bahawa ada dikalangan kerabat diraja yang menghubungi Pasukan 136.
Dengan itu pihak Jepun telah meletakkan Sultan Abdul Aziz dan pembantu baginda ‘aide-de-camp’ (ADC), Raja Amir bin Raja Razman, serta beberapa pembesar lain dalam di dalam istana dan menempatkan pegawai Jepun untuk memerhatikan pergerakan pembesar-pembesar sepanjang masa.
Rancangan untuk penaklukan bersenjata ke atas Tanah Melayu oleh Tentera Bersekutu akhirnya dibatalkan apabila pihak Jepun menyerah kalah setelah pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945. Raja Bendahara Idris kemudiannya menjawat jawatan dalam Setiausaha Kerajaan Negeri pada 1946.
Pada tahun 1934, baginda memperoleh jawatan pertama dalam Raja-Raja Bergelar apabila baginda telah dilantik sebagai Raja Di-Hilir Perak setelah kemangkatan Raja Sir Chulan ibni Almarhum Sultan Abdullah II.
Empat tahun kemudian, apabila ayahanda baginda mangkat, baginda telah dilantik sebagai Raja Bendahara semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Aziz.
Pada tahun 1948 pula, Raja Idris telah dilantik sebagai Raja Muda sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Yussuf Izzudin Shah, dan menyusul setahun selepas itu, atas nasihat daripada Dato’ Panglima Bukit Gantang Wahab, yang merupakan Menteri Besar Perak dan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu Sir Henry Gurney, Raja Muda Idris berangkat ke England untuk melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Raja Muda Idris meneruskan pengajian selama dua tahun dalam bidang kerajaan tempatan, kebajikan sosial dan ekonomi di Universiti London, dan kemudian baginda bertugas di Majlis Daerah Oxford dan Majlis Daerah Luar Bandar Burlington sebelum pulang ke Tanah Melayu pada 1951 untuk menyertai latihan ketenteraan dalam Rejimen Askar Melyu dan baginda seterusnya ditauliahkan sebagai leftenan.
Setelah melengkapkan latihan ketenteraan baginda, Raja Muda Idris kemudiannya dinamakan sebagai ahli rasmi dalam Majlis Eksekutif Negeri yang mana baginda berkhidmat sehingga tahun 1958.
Dalam tempoh isi, baginda menyertai pelbagai majlis-majlis dan berangkat untuk melawat kawasan pendalaman Perak sebagai pegawai kerajaan. Malah pada ketika baginda sudah menjadi Sultan Perak, baginda sering mendapat perhatian diatas semangat dan kekuatan yang baginda pamerkan dalam menjalankan tugas baginda.
Diantara jawatan rasmi yang dimiliki oleh baginda ialah Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Jurutera Diraja. Baginda sewaktu bergelar Raja Muda Perak, telah bersemayam di Istana Raja Muda di Teluk Intan, Perak.
Raja Muda Idris juga bertugas sebagai ahli dalam Dewan Negara Perak, satu badan yang melantik raja-raja bergelar, pembesar-pembesar Melayu dan menasihati Sultan dalam hal ehwal berkenaan dengan takhta negeri Perak.
Sebagai mengenang jasa baginda kepada negeri Perak, Raja Muda Idris telah dipilih untuk menerima darjah kebesaran British iaitu Companion of The Most Distinguished Order of Saint Michael and Saint George (C.M.G.) daripada Queen Elizabeth II pada tahun 1953.
Ketika taraf kesihatan Almarhum Sultan Yussuf Izzudin semakin merosot, Raja Idris diatas kapasiti sebagai Raja Muda Perak mempunyai lebih banyak tugas serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan baginda sering mewakil Sultan dalam upacara-upacara rasmi dan Persidangan Raja-Raja. Ketika hari-hari terakhir Almarhum Sultan Yussuf, Raja Muda Idris sentiasa menghadirkan diri di Istana Iskandariah di Bukit Chandan.
Pada 5 Januari 1963, Almarhum Sultan Yussuf mangkat, dan dua hari selepas itu, sebelum keranda diraja dibawa keluar dari balairong seri, Raja Muda Idris telah diisytiharkan sebagai Sultan Perak yang ke-33 oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Perak, Dato’ Che Mohamad Yusof bin Sheikh Abdul Rahman.
Baginda memakai gelaran Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah dan baginda berumur 39 tahun sewaktu menduduki takhta negeri Perak. Upacara pertabalan Sultan Idris dianggap bersejarah kerana ini kali rakyat kebanyakan memegang dan membawa kuasa Bendahara semenjak tahun 1780.
Sebagai kebiasaan buat baginda semenjak bergelar Raja Di-Hilir pada 1934, Sultan Idris Shah II sentiasa berada dekat dengan rakyat. Baginda mudah bercampur dengan rakyat tanpa terikat dengan protokol-protokol istana yang ketat terutama buat rakyat yang tinggal di kawasan kampung dengan pendalaman.
Sahabat baginda bukan sahaja terdiri daripada orang-orang yang berpengaruh dan kaya seperti Shah Iran, namun juga dari kalangana orang-orang kebanyakan yang hidup secara bersederhana.
Pada 4 Ogos 1976, Sultan Idris merasmikan Kampung Ganda Temenggor, berikutan pembinaan Empangan Temenggor yang menenggelamkan kampung yang lama. Stesen Janakuasa Hidroelektrik Temenggor dirasmikan oleh Sultan Idris pada 19 September 1979.
Pada tahun 1980, nama Sekolah Menengah Dato Maharaja Lela Kampung Gajah ditukarkan menjadi Sekolah Menengah Dato Seri Maharaja Lela (SMDSML) semasa baginda mengunjungi Kampung Gajah. Dalam kebanyakan lawatannya, baginda gemar mengenakan pakaian tentera berceloreng, dilengkapi dengan pistol di pinggang.
Terdapat beberapa peristiwa menarik di sepanjang pemerintahan Almarhum. Antara peristiwa tersebut ialah di zaman pemerintahan bagindalah negeri Perak telah menyambut Hari Raya Aidilfitri awal sehari berbanding negeri-negeri lain dalam Malaysia.
Pada tahun tersebut iaitu tahun 1983, hanya negeri Perak dan negeri Johor yang menyambut hari raya awal, dan ironinya, Sultan Idris Shah II dan Sultan Iskandar Johor merupakan besan.
Dalam kebanyakan titah baginda, Sultan Idris Shah II banyak memberi fokus kepada cita-cita dan harapan baginda untuk bekerja kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Baginda sering menjelajah ke seluruh pelusuk dalam negeri Perak, dan baginda sendiri telah melihat masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat baik orang Melayu mahupun bukan Melayu. Melalui kuasa yang baginda miliki, baginda sering mendesak kerajaan agar membawa pembangunan dan menaiktaraf infrastrutur ke seluruh negeri Perak agar rakyat akan sentiasa gembira dan mudah menjalankan kehidupan seharian.
Adalah tidak mengejutkan apabila baginda menjadi diantara Raja-Raja Pemerintah Melayu yang memimpin penentangan ke atas pindaan perlembagaan Malaysia pada 1983 yang diusul oleh Perdana Menteri Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir untuk menghadkan kuasa Yang Di-Pertuan Agong serta raja-raja, kerana bagi baginda pindaan ini akan menghadkan baginda untuk mendekati rakyat. Sultan Idris Shah II mempunya pelbagai hobi yang menarik, meskipun baginda mempunyai tugas-tugas rasmi yang selalu membuatkan baginda sibuk.
Antara hobi yang paling dekat dihati baginda ialah melukis. Tuanku mempunyai minat dalam bidang lukisan semenjak dari usia muda baginda lagi. Baginda menggunakan medium warna air ketika zaman persekolahan baginda dan kemudiannya baginda menukar medium kepada warna minyak.
Ketika baginda menjelajah ke England dan benua Eropah pada 1949 dan 1950, baginda meluangkan kebanyakkan masa baginda untuk melawat galeri-galeri seni.
Perasaan cinta baginda kepada laut diterjemahkan dalam dua hasil karya yang paling baginda sukai dan baginda siapkan apabila pulang dari Eropah. Satu darinya bertajuk Boat at Sea yang menunjukkan sebuah sampan yang sedang menuju ke pantai, dan sebuah lagi karya baginda memaparkan keindahan permandangan Pulau Pangkor.
Rasa cinta baginda kepada laut tidak hanya diterjemah melalui lukisan. Seperti ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Shah, Sultan Idris Shah II amat suka untuk memandu bot dan memancing.
Kesukaan kepada laut juga juga diikuti oleh kaum keluarga baginda iaitu adinda baginda Raja Mohamed dan Raja Ahmed Sifuddin (kemudian Raja Muda 1984-1987). Sultan Idris Shah II mempunyai sebuah bot yang dinamakan Dunita, sempena nama Raja Nor Akma (Ku Duna) binti Raja Kechil Sulong Harun Al Rashid, iaitu isteri kepada kekanda baginda Raja Mohamed.
Pada 11 Jun 1983, bot Seri Andalan, sebuah bot mewah milik Sultan Idris, dilancarkan di Pelabuhan Lumut, Perak. Sultan Idris Shah II juga merupakan jurugambar amatur serti mempunyai bilik gelap baginda sendiri yang baginda boleh untuk membuat negatif gambar dan mencucinya sendiri.
Baginda turut suka untuk bersiar-siar menaiki motorsikal berkuasa tinggi. Kehidupan peribadi Sultan Idris juga mempunyai suka duka seperti kebanyakkan orang yang hidup dizaman itu.
Pada tahun 1943, baginda mengahwini sepupu baginda iaitu Raja Puan Besar Raja Noor Izah binti Raja Ali, namun bercerai 14 tahun kemudian tanpa memperoleh cahaya mata.
Kemudian ketika zaman huru hara sewaktu penjajahan Jepun, baginda berkahwin dengan Raja Muzwin binti Raja Ariff Shah (kemudian Raja Perempuan). Raja Muzwin diketika itu baru berusia 15 tahun, dan pasangan diraja ini dikurniakan dua orang putera dan dua orang puteri.
Baginda berdua mempunyai seorang lagi anak perempuan namun telah pergi menghadap Ilahi ketika masih muda. Anakanda baginda ialah Raja Izzuddin Iskandar, Raja Nazhatul Shima (Raja Puan Mahkota Perak), Raja Iskandar Zulkarnain (Raja Di-Hilir Perak), Raja Zarith Sofia (sekarang DYMM Permaisuri Johor), Raja Jamil Ariffin, dan Raja Radziatul Zahar (meninggal ketika masih bayi).
Sultan Idris juga mempunyai beberapa orang isteri termasuk Amy Lim Kam Fong, yang kemudiannya menggunakan nama Aminah setelah memeluk agama Islam,dan kemudiannya memakai gelaran Che Puan Negara.
Antara isteri lain baginda ialah Che Asmah, Che Hanizah binti Abdullah (Annie Chin), Dato’ Seri Sharifah Salmah binti Syed Ahmad, Che Satira binti Abdullah (nama asal Suteen, wanita dari keturunan Thai) dan Dato’ Seri Norizan binti Haji Hamzah.
Sultan Idris juga mempunyai cahaya mata dari perkahwinan baginda ini yang keseluruhannya berjumlah 13 orang putera dan puteri, ini termasuk empat orang puter dan puteri dari perkahwinan baginda dengan Raja Perempuan Muzwin.
Sultan Idris Shah II telah terpilih melalui Persidangan Majlis Raja-Raja untuk menjadi Yang Di-Pertuan Agong Malaysia ke lapan. Namun dengan ketentuan daripada Ilahi, pada 30 Januari 1984, kira-kira seminggu sebelum dipilih oleh raja-raja Melayu sebagai Yang Di-Pertuan Agong, baginda telah mangkat setelah diserang sakit jantung di Hospital Daerah Lumut pada pukul 11.15 malam.
Almarhum berusia 59 tahun diketika itu dan telah menjadi Sultan Perak selama 21 tahun. Almarhum telah dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghufran di Bukit Chandan dan diberi gelaran Marhum Afifullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda. Amin