Kisah Penyelamat Teluk Intan Semasa Perang Dunia Kedua

Ramai tokoh-tokoh besar berbilang kaum dan agama yang berasal dari Teluk Intan. Mereka banyak menyumbang kepada pembangunan dan membentuk negara sehingga menjadi sebuah negara yang indah, permai serta maju untuk kita diami pada hari ini.

Pada kali ini, orangperak.com ingin menyentuh mengenai seorang individu yang menyumbang jasa yang sangat besar kepada penduduk Teluk Intan ketika era penjajahan Jepun dan juga sewaktu pemerintahan sementara komunis di Tanah Melayu.

Jasa yang beliau sumbangkan telah menyelamatkan ribuan nyawa di Teluk Intan namun tidak ramai yang mengenali beliau pada hari ini. Beliau ialah Encik Weeratunge Edward Perera.

Weeratunge Edward Perera yang dilahirkan di Telok Anson (sekarang Teluk Intan), Perak pada 22 Jun 1898 merupakan anak kepada Weeratunge Charles Perera dan ibunya bernama Galgodliynage Marthina Perera. Bapa beliau bertugas sebagai jurutera laluan keretapi yang berasal daripada Kotahena, Ceylon (sekarang Sri Lanka).

Weeratunge Edward Perera

Beliau kemudiannya terus menetap di Tanah Melayu pada tahun 1880 an apabila menerima tawaran tetap sebagai Pengurus Pengawal laluan keretapi diantara Telok Anson hingga Tapah dan bersara sebagai Ketua Inspektor Laluan Tetap dalam syarikat Keretapi Tanah Melayu.

Encik Edward Perera berserta adik beradik membesar Seremban, Negeri Sembilan dimana bapa beliau telah ditukarkan untuk berkhidmat disana. W. E. Perera memulakan pelajaran di St. Francis Institution, Melaka dan kemudian berpindah ke St. Xavier’s Institution, Pulau Pinang untuk menduduki peperiksaan Junior Cambridge.

Beliau lulus dalam peperiksaan Senior Cambridge Certificate ketika Perang Dunia Pertama sedang memuncak. Beliau juga merupakan antara saksi yang melihat kapal perang Rusia Zhemcug dibom oleh kapal perang Empayar Jerman iaitu Emden di perlabuhan Butterworth,Pulau Pinang.

Selepas selesai belajar di Pulau Pinang, bapa beliau telah mengaturkan rancangan bagi meletakkan beliau tempat sebagai penjawat awam dalam kerajaan dan meletakkan beliau perintis di bawah kelolaan Ketua Kerani Disini, Encik W. E. Perera belajar untuk membeli dan menjual tanah, menanam pokok getah dan mula mahir bertutur dalam bahasa Melayu.

Encik W. E. Perera kemudian berkerja dibawah Mr Rev. W. E. Horley sebagai guru di Methodist High School Telok Anson. Beliau kemudian menurut nasihat yang diberikan oleh mentor beliau iaitu W. A. Rabel dan beberapa orang kawannya, beliau telah mengumpul duit untuk melabur dalam perladangan kelapa serta getah dan berjaya menguruskan ladang tersebut disamping masih berkhidmat sebagai guru.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, hal ini telah memberikan beliau dana yang banyak untuk beliau melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakat seperti membantu membentuk Persatuan Pengakap di Hilir Perak dan menubuhkan Methodist Youth Fellowship, Teluk Intan.

Pada tahun 1922, beliau telah menubuhkan “The Cosmopolitan Club”, Telok Anson, sebuah kelab sekular dan melibatkan pelbagai kaum sebagai menentang usaha Inggeris untuk memecahbelahkan hubungan diantara kaum di Tanah Melayu.

Kelab ini telah memberi peluang kepada beliau untuk berinteraksi dan bergaul dengan golongan berpengaruh dari pelbagai kaum seperti Jepun, Cina, Eropah, India, Melayu dan keluarga Diraja di Telok Anson.

Pada tahun 1928 selepas melawat ibu beliau di Taiping, beliau telah berjumpa dan akhirnya mengahwini Meepaygamay Kankananga Joci Perera (7 Mac 1908 – 6 Januari 1994) pada 11 Januari 1929. Hasil dari perkahwinan tersebut, pasangan ini telah dikurniakan 10 orang cahaya mata.

Sewaktu Perang Dunia Kedua mula tiba di Telok Anson dalam bentuk serangan udara dari Pasukan Udara Tentera Jepun. Meskipun telah disarankan untuk meninggalkan Teluk Anson oleh Pegawai Daerah Telok Anson yang berbangsa Inggeris, Encik W. E. Perera merupakan seorang daripada beberapa orang yang berani untuk keluar dari tempat persembunyian untuk membantu mereka-mereka yang bernasib malang.

Weeratunge Edward Perera

Beliau merupakan sukarelawan dalam St Johns Ambulance dan sebulan sebelum Jepun sampai ke Telok Anson, beliau telah menerima latihan sebagai Supritenden dalam unit perubatan yang merupakan latihan yang sangat berguna untuk beliau pratikkan sewaktu perang mula meletus.

Sewaktu British mula berundur dari Kampar dan Telok Anson untuk memperkuatkan pertahanan di Slim River, pasukan tentera British telah memusnahkan tangki simpanan air di Changkat Jong. Apabila tentera Jepun sampai ke Telok Anson, Encik Edward Perera telah berjumpa dengan komander pasukan tentera Jepun dan memberitahu bahawa pihak British telah memusnahkan bekalan air untuk bandar Telok Anson dan kemungkinan telah meracuni bekalan air yang ada dikawasan sekitar.

Komander tentera Jepun tersebut kemudiannya menyediakan kenderaan serta surat bertulis kepada beliau mengarahkan supaya beliau mencari pekerja dan juruteknik untuk membaikpulih tangki air di Changkat Jong dengan segara. Komander tersebut juga memberi pas jaminan kepada pekerja dibawah seliaan Encik Edward Perera tidak akan diganggu oleh tentera Jepun yang berkawal di jalan-jalan utama.

Beliau dan beberapa orang yang sanggup untuk berkerja membaikpulih bekalan air ke Telok Anson telah bertugas siang malam selama tiga ke empat hari dan akhirnya berjaya memulihkan bekalan air untuk kegunaan tentera Jepun serta orang awam.

Setelah berjaya memperoleh kepercayaan daripada komander tentera Jepun yang menduduki Telok Anson, beliau kemudiannya merayu kepada komander tersebut supaya mengarahkan tentera dibawah seliaannya berhenti menganggu gadis-gadis yang berada di bandar Telok Anson.

Komander tersebut memberitahu bahawa beliau tidak boleh menghalang tindakan tentera seliaan beliau namun beliau mencadangkan agar Encik Edward Perera segera menubuhkan kerajaan sementara dan melantik datuk bandar bagi mengawal kelakuan tentera Jepun yang berada di Telok Anson.

Tanpa membuang masa beliau segera menyahut cabaran tersebut dan memanggil kenalan-kenalan beliau keluar dari tempat persembunyian dan segera menubuhkan pasukan kawalan kebersihan dan pasukan polis yang berfungsi dibawah Raja Yahaya sebagai O.C.P.D Telok Anson dan Encik J. Bahaduri seorang peguam sebagai Datuk Bandar Telok Anson.

Setelah 3 bulan Perak diduduki oleh Jepun, barulah pegawai awam dari Jepun tiba untuk menubuhkan semula Kerajaan Negeri Perak dan Cik Megat Yunus telah dilantik sebagai Pegawai Daerah Hilir Perak. Encik Edward Perera kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Bekalan Elektrik oleh Raja Muda Yusuf dan D.O. Cik Megat Yunus diatas pengiktirafan mereka diatas sumbangan Encik Edward Perera.

Sewaktu pihak British berundur dari Telok Anson, keadaan telah menjadi tidak terkawal dan berlaku kecurian di Hospital Kerajaan Telok Anson dan menyebabkan katil, tilam dan bekalan ubat-ubatan hilang. Hasil maklumat yang Encik Edward Perera perolehi, beliau berjaya menjumpai semula ubat-ubatan yang hilang di rumah adik seorang Pembantu Pembedahan yang bertugas di hospital ini.

Weeratunge Edward Perera

Disepanjang perang berlansung, beliau tidak menghadapi ancaman dari pihak tentera Jepun dan komunis, namun terdapat juga beberapa pihak yang tidak senang dengan usaha yang beliau lakukan. Terdapat satu peristiwa dimana Encik Edward Perera telah menampar seorang pegawai kesihatan daripada Tentera Nasional India (tentera paksi Jepun di India) yang meminta 5 dolar daripada beliau untuk disumbangkan kepada pergerakan menentang British di India.

Ini menyebabkan beliau dituduh sebagai pengkhianat dan ditahan oleh polis Kempetai dan disumbatkan kedalam lokap. Namun beberapa jam kemudian beliau dibebaskan selepas protes daripada beberapa sahabat beliau yang berkhidmat dengan Jepun terhadap penahanan oleh Kempetai.

Terdapat beberapa keluarga yang tingal bersama dengan beliau disepanjang peperangan berlansung. Antaranya Mr Neoh Ban San sekeluarga, Mr James Ranatunge sekeluarga, Mrs Rosie Shoemaker sekeluarga, Mrs Loveridge dan enam bekas ahli Pasukan Tentera Simpanan British.

Encik Edward Perera telah menyelamatkan beberapa orang yang berada dirumahnya dari ancaman Jepun. Anak sulung beliau Jothika ada menyebut ayahnya pernah dua kali menyelamatkan Mrs Shoemaker. Tentera Jepun terlihat Mrs Shoemaker dan menjerit “Inggeris!” sambil mengeluarkan pistol.

Ayahnya segera memberitahu bahawa Mrs Shoemaker adalah orang India bukannya Inggeris dan akhirnya pegawai tentera Jepun tersebut kemudiannya menukar fikiran. Beberapa lama kemudian Mrs Shoemaker ditahan komunis kerana melahirkan anak Jepun namun Encik Edward Perera sekali lagi menyelamatkannya.

Dato Abdullah Ketua Menteri Perak dan kemudian Menteri Tanah Dan Perlombongan merupakan Pegawai Daerah Hilir Perak sewaktu Encik Edward Perera menyelamatkannya daripada pengganas komunis.

Rakyat di negeri Perak terutamanya Telok Anson menghadapi masa lebih sukar sewaktu pengunduran tentera Jepun dan komunis mula mengambil alih pemerintahan akibat kekosongan kerajaan. Dalam surat kepada keluarganya, Encik Edward Perera ada menyatakan bahawa pada suatu hari ketika beliau menuju ke Ipoh menaiki lori untuk membeli minyak bagi kegunaan jentera di Telok Anson, beliau telah bertembung dengan sekumpulan tentera payung terjun British.

Ini kali pertama beliau berjumpa dengan tentera British selepas beberapa tahun. Beliau segera memberi maklumat kepada tentera British tersebut bahawa dalam tempoh 2 hari, pasukan komunis dari negara China akan tiba di Telok Anson dan pastinya semua penjawat awam yang pernah bertugas dengan Jepun akan dibunuh.

Tentera British tersebut kemudiannya memberitahu bahawa tentera British daripada India yang mendarat di Port Swettenham (sekarang Pelabuhan Klang) akan menuju ke utara tanpa melalui Telok Anson. Namun pegawai tentera tersebut memberi jaminan akan menyampaikan maklumat tersebut kepada pegawai atasannya.

Pada petang keesokan harinya, pasukan tentera British daripada India akhirnya tiba di Telok Anson dan memulakan kawalan.

Weeratunge Edward Perera

Antara cabaran besar yang dilalui oleh Encik Edward Perera ialah ketika masa-masa awal Pentadbiran Tentera British (BMA), pihak pengganas komunis cuba untuk menunjukkan kuasa dengan mengarahkan agar sekolah-sekolah ditutup, mengambil alih pemilikan awam dan menculik golongan hartawan yang enggan memberi biaya kepada mereka.

Namun begitu, hasil inisiatif daripada beliau sendiri, beliau telah membelakangi arahan komunis dengan membuka kembali sekolah mubaligh di Jalan Anson. Pihak komunis yang marah dengan tindakan beliau kemudiannya cuba untuk membakar sekolah tersebut namun api berjaya dipadamkan.

Mubaligh kemudiannya tiba dan mendapati Encik Edward Perera telah melakukan jasa yang besar dalam memulih dan menyelamatkan sekolah mereka. Sebagai penghargaan, Encik Edward Perera telah dilantik sebagai pengetua sekolah ACS dan menjadi orang pertama yang bukan dari methodist menjadi pengetua disekolah tersebut.

Beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab membina skim perumahan pertama untuk guru di Malaya. Hasil sumbangan beliau yang besar kepada masyarakat telah mendapat pengiktirafan oleh pemerintah. Namun beliau telah menolak untuk menerima penganugerahan darjah daripada Sultan Perak dengan baik.

Beliau juga menolak daripada menerima pingat MBE (Member of the Order of the British Empire) daripada kerajaan British melalui Gabenor Sir Edward Gent. Walaubagaimanpun, General Sir Gerald Templer berkeras untuk menganugerahkan beliau pingat tersebut dengan menyatakan bahawa masyarakat yang meminta agar pingat tersebut dianugerahkan atas sumbangan yang beliau beri selama ini.

Encik Edward Perera akhirnya bersara di Petaling Jaya, Kuala Lumpur. Beliau kemudian mengajar falsafah Buddha di universiti tempatan. Beliau akhirnya meninggal dunia pada 23 September 1982 di Hospital Universiti, Petaling Jaya akibat serangan sakit jantung.

Beliau merupakan penderma organ terawal di Malaysia dan kornea mata beliau telah disumbangkan kepada dua orang pesakit mata. Upacara pengebumian beliau dilakukan dengan upacara pembakaran mayat dan abu mayat beliau kemudian dihanyutkan di laut Selat Melaka di Klang.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

Loading...

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here