Artikel ini diterbitkan bukanlah untuk merendah-rendahkan mana-mana pihak yang berkenaan, ianya adalah sejarah yang wajar dikenang dan perlu diketahui oleh semua pihak agar ia tidak hilang dan kian dilupakan ditelan zaman.
Dalam artikel orangperak.com pada kali ini, kami akan menceritakan tentang peristiwa dimana bagaimana Sultan pertama Selangor diangkat sebagai Sultan di Selangor dan penceritaan ini amat berkait rapat dengan Sultan Perak yang ke 16 yang pada masa itu negeri Perak diperintah oleh Sultan Mahmud Syah II.
Kenalkah anda pada Sultan Selangor yang pertama? Untuk pengetahuan anda pembaca setia orangperak.com, Raja Lumu adalah Sultan Selangor yang pertama.
Baginda Raja Lumu lebih dikenali dengan nama Sultan Salehuddin Shah dan baginda adalah merupakan anakanda kepada Daeng Chelak yang mana merupakan Yamtuan Muda Johor II berdarah keturunan Bugis.
Segalanya bermula dalam masa tahun 1740 yang mana ayahanda Raja Lumu iaitu Daeng Chelak bersama-sama dengan angkatan tenteranya dari Riau datang ke Selangor untuk berperang dengan angkatan tentera Daeng Mateko.
Pada waktu itu, Daeng Mateko dikatakan telah membuat kacau di kawasan Selangor. Setelah berperang, Daeng Mateko telah kalah dan terus melarikan diri ke Siak untuk menyelamatkan diri dan justeru itu, Daeng Chelak yang telah mendapat kemenangan dalam peperangan tersebut lantas terus mendapat sokongan masyarakat Kuala Selangor dan terus mengangkat beliau untuk menjadi ketua dan pemimpin di kawasan Selangor.
Sejak dari hari itu, keraplah Daeng Chelak datang ke Selangor dan ke Riau sekali sekali-sekala berulang-alik.
Isteri Daeng Chelak adalah bernama Tengku Mandak dan merupakan seorang puteri dari kesultanan Johor Riau iaitu anak kepada Sultan Abdul Jalil Riayat Shah yang merupakan Sultan Johor yang ke 11 dan juga merupakan adinda kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah iaitu Sultan Johor ke 13. Hasil perkahwinan bahagia antara Daeng Chelak dengan Tengku Mandak telah dikurniakan dua orang cahaya mata.
Anak mereka adalah Raja Lumu sebagai anak sulung dan juga anak kedua Raja Haji Fisabilillah.
Raja Haji
Setiap yang hidup pasti akan mati, pada 19 Mei 1745 Daeng Chelak telah mangkat sewaktu berada di Riau. Daeng Chelak mangkat sewaktu ketika anak-anaknya masih kecil.
Kemangkatan Daeng Chelak telah meninggalkan jawatan kosong sebagai Yamtuan Muda Johor-Riau. Anaknya Raja Haji dan Raja Lumu dikatakan tidak dapat menggantikan jawatan ayahnya itu kerana pada waktu itu, mereka masih lagi kecil dan sedang meningkat remaja.
Oleh kerana itu, jawatan Yamtuan Muda Johor-Riau telah diserahkan kepada Daeng Kemboja yang merupakan sepupu kepada Raja Lumu.
Daeng Kemboja adalah merupakan anak kepada Daeng Parani dan semasa Daeng Kemboja berada di Selangor, ia telah diangkat oleh orang-orang Bugis di Selangor untuk menjadi ketua.
Pada tahun 1748, Sultan Sulaiman Badrul Shah iaitu Sultan Johor ke 13 mengangkat Daeng Kemboja menjadi Yamtuan Muda Riau III. Anak Daeng Chelak akan ditugaskan untuk menjadi ketua di Riau dan juga di Selangor setelah mereka dewasa nanti.
Pada tahun 1766, Raja Lumu telah meningkat dewasa dan bersedia untuk menjadi ketua di Selangor. Raja Lumu berhasrat ingin membebaskan Selangor dari cengkaman Johor Riau yang mana apabila difikirkan kembali, peluang untuk Raja Lumu untuk menjawat jawatan Yamtuan muda Riau masih lagi lama atau mungkin tidak berpeluang lansung.
Jadi, Raja Lumu bercita-cita untuk membebaskan Selangor dari Johor Riau seterusnya menjadi Sultan dikawasan tersebut.
Untuk itu, Raja Lumu berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan dari Sultan Perak yang memerintah negeri Perak iaitu Sultan Mahmud Shah II, Sultan Perak ke 16.
Antara faktor penyebab negeri Perak menjadi pilihan Raja Lumu untuk mengukuhkan kedudukannya adalah baginda Sultan Mahmud Shah II iaitu Sultan Perak adalah berketurunan zuriat dari Sultan Melaka, Raja Lumu tiada alat-alat kebesaran diraja untuk Selangor, faktor pentadbiran di Johor, asal usul Raja Lumu dari Riau dan faktor kedaulatan.
Raja Lumu ingin mengukuhkan lagi kedudukan baginda serta anak cucu baginda nanti sebagai raja pemerintahan yang sebenarnya di Selangor dan bukan lagi berada dibawah kekuasaan Kerajaan Johor-Riau yang sama gah dengan Perak pada waktu itu.
Dengan adanya pengiktirafan daripada Sultan Perak, maka kedudukan Raja Lumu akan menjadi semakin kukuh dalam pemerintahan Selangor dan tidak akan menjadi pertikaian dari mana-mana pihak.
Negeri Selangor tidak mempunyai alat-alat kebesaran dan tradisi pertabalan seperti gelaran yang khusus dan cop mohor untuk menjadikan Negeri mereka betul-betul wujud.
Pertabalan seseorang raja tidak lengkap tanpa sebarang alat kebesaran seperti Nobat atau Nafiri.
Kekurangan ini menyebabkan Raja Lumu yang tiada alat Muzik atau Nobat telah mendorong baginda memohon pengiktirafan daripada Sultan Perak untuk melantiknya sebagai Sultan Selangor yang pertama.
Menurut Adat Istiadat Negeri Perak, tidak ada Sultan yang dianggap berdaulat sehingga ianya ditabalkan dengan bunyian Nobat. Sesebuah kerajaan hanya akan diperakui kewujudannya apabila rajanya dapat menunjukkan alat kebesaran kerajaan yang bergitu bermakna dan dikatakan alat-alat ini penting untuk menunjukkan kekuasaanya.
Atas kekurangan tersebut, Raja Lumu mengambil tindakan sewajarnya iaitu dengan mendapatkan pengiktirafan daripada Sultan Perak kerana baginda mempunyai segala peralatan yang menjadi warisan Kesultanan Perak.
Raja Lumu juga dikatakan bernikah dengan Puteri Diraja Perak lalu dinobatkan dan digelar oleh Sultan Mahmud Shah II iaitu Sultan Perak yang ke 16 dengan nama Sultan Sallehuddin Syah.
Sultan Sallehuddin kemudian ditabalkan pula dihadapan rakyat Selangor dengan membunyikan Nobat dari Negeri Perak. Dengan ini jelaslah bahawa ketiadaan Nobat telah mendorong Raja Lumu memohon pengiktirafan daripada Raja Perak untuk melantiknya sebagai Raja Selangor yang pertama.
Pertabalan Raja Lumu sebagai Yam Tuan Muda Selangor telah mewujudkan satu intitusi kesultanan yang berketurunan Bugis di Selangor. Jelaslah di sini bahawa Raja Lumu merupakan seorang yang tabah semasa memohon pengintirafan daripada Sultan Perak untuk menjadi pemerintah yang bebas, meskipun memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan kebenaran Sultan Perak untuk masuk ke negeri Perak.