Asal Usul Orang Kalur Pemain Nobat Kesultanan Melayu Perak

Negeri Perak terkenal sebagai penerus warisan hebat kerajaan-kerajaan Melayu Silam seperti Empayar Melayu Srivijaya dan Kesultanan Melayu Melaka. Antara tradisi silam yang diteruskan sehingga kini sebagai lambang kedaulatan Kesultanan Perak ialah nobat yang dimainkan oleh keturunan Orang Kalur sejak zaman berzaman. Kali ini orangperak.com ingin membawa pembaca menelusuri sejarah asal usul Orang Kalur sebagai pemain nobat diraja.

Pemain Nobat Kesultanan Melayu Perak

Didalam peradaban Melayu, nobat merupakan simbol ketinggian status dan kedaulatan seseorang Sultan. Ianya juga merupakan regalia dan harta terpenting bagi sesebuah negeri. Pada masa kini hanya ada lima negeri Melayu yang mempunyai nobat iaitu Kedah, Perak, Selangor serta Terengganu di semenanjung Malaysia dan Negara Brunei di Borneo. Tiada Sultan dinegeri ini secara rasminya ditabal andai tiada paluan nobat dimainkan sewaktu pertabalan.

Yang di-Pertuan Agong juga ditabalkan menggunakan nobat. Alatan nobat terdiri daripada nengkara, sepasan gendang, nafiri dan serunai. Di Kedah dan Brunei mempunyai tambahan gong, manakala kopak-kopak di Terengganu. Selama berkurun lamanya, nobat kekal misteri dan kurang didedahkan atas sebab pantang larang Melayu dan ianya hanya dimainkan untuk upacara yang melibatkan Sultan sahaja. Tiada nobat dapat dibunyikan tanpa arahan atau kebenaran dari Sultan.

Nama yang diberikan kepada keturunan pemain-pemain alat muzik nobat Diraja Perak ialah Orang Kalur. Dalam tradisi Kesultanan Perak, keturunan orang kalur sahaja yang dibenarkan bermain dan memegang alat-alat muzik nobat tersebut. Dipercayai jikalau ada diantara mereka yang bukan daripada keturunan orang kalur memainkan atau memegang alat-alat nobat, mereka akan ditimpa musibah atau kecelakaan.

Selain daripada pemain nobat, Tok Seri Nara Diraja juga berketurunan orang kalur, malah dikatakan sebagai orang kalur yang ‘terulung’ sekali. Menurut Raja Kobat, Seri Nara Diraja Perak tiada kaitan dengan Seri Nara Diraja Melaka tetapi berketurunan Seri Bija Diraja. Dikenali juga sebagai ‘orang muntah lembu,’ orang kalur telah melalui pelbagai proses transformasi yang melihatkan perubahan fungsi dan status mereka di dalam sejarah institusi kesultanan Melayu.

Ada pelbagai pendapat mengenai maksud perkataan ‘kalur’ serta asal-usul keturunan mereka. W. Linehan berpendapat ‘kalur’ mungkin berasal daripada perkataan ‘susur galur’ yang bermaksud ‘kembali kepada asal’ atau dari perkataan Cham ‘kalau’ yang bermaksud ‘pulau.’ Berdasarkan tanggapan ini, ‘orang kalur’ bermaksud ‘orang pulau.’ Allahyarham Toh Seri Nara DiRaja Nong Chik Bin Mat Sah melalui temubual bersama Raja Kobat menyatakan orang kalur berketurunan Sang Kala, abang kepada Sang Sapurba. Raja Kobat berpendapat bahawa perkataan ‘kala’ ini kemudiannya bertukar menjadi ‘kalo’ disebabkan sebutan atau loghat orang-orang Minangkabau yang menetap di Perak.

Menarik di sini ialah perkataan Sanskrit ‘kala’ juga bermaksud bentuk-bentuk kesenian, kemahiran, sifat atau kemuliaan. Di dalam tradisi agama Hindu terdapat senarai kala-kala atau kemahiran khusus yang tertentu termasuk bermain muzik, ilmu sihir, membuat pedang dan ukiran. Menurut mitos yang diceritakan di dalam Sejarah Melayu, orang kalur berasal dari keturunan seorang lelaki yang bernama Bat atau Batala. Bat dikatakan telah muncul daripada buih muntahan seekor lembu putih tunggangan Nila Pahlawan, Kerisyna Pendita dan Nila Utama, putera-putera Raja Suran yang muncul di Bukit Siguntang, Palembang.

“Maka dengan takdir Allah taala lembu kenaikan baginda itupun muntahkan buih, maka keluarlah daripada buih itu seorang manusia laki-laki dinamai Bat dan destarnya terlalu besar”

Walaupun jelas penulis Sejarah Melayu beragama Islam dan ditulis di zaman pemerintahan kesultanan Melayu Islam, namun masih terdapat pengaruh kepercayaan serta mitos Hindu yang telah dicampuradukkan di dalam karya tersebut. Lembu adalah binatang yang dianggap suci oleh orang India yang beragama Hindu, lebih-lebih lagi jika lembu tersebut berwarna putih. Menurut kepercayaan Hindu, lembu putih tersebut dikenali sebagai Nandi, tunggangan dan pengikut setia Dewa Siva. Lembu jantan putih ini melambangkan kekuatan kelelakian serta simbol kebenaran dan keadilan yang dikaitkan dengan Dewa Siva. Lembu juga berperanan di dalam kelahiran manusia pertama dan segala hasil yang diperolehi daripada lembu dianggap suci, termasuk susu.

Pemain Nobat Kesultanan Melayu Perak

Apabila Sejarah Melayu menceritakan kelahiran Bat yang muncul daripada muntah lembu, ini adalah satu perlambangan bahawa Bat adalah seorang yang suci dan sangat penting peranannya. Beliau merupakan orang yang pertama membaca ciri dan mempunyai kuasa menggelarkan Sang Sapurba sebagai Taramberi Teribuana serta berfungsi sebagai juru nikah. Syahdan, maka raja itupun digelar oleh Bat itu Sang Sapurba Taramberi Teribuana. Adapun Bat itulah daripadanya anak cucunya asal orang yang membaca ciri dahulukala. Maka Nila Pahlawan dan Kerisyna Pandita pun dikahwinkan Bat dengan Wan Empuk dan Wan Malini.

Pada hakikatnya Bat atau Batala merupakan golongan Brahmin yang menjadi sami-sami pentadbir kuil-kuil Hindu di zaman pemerintahan Srivijaya dan kerajaan Hindu yang lain di kepulauan Melayu. Peranan golongan Brahmin amat penting di dalam pemeliharaan martabat dan ‘kesaktian’ raja. Mereka juga berfungsi sebagai penasihat raja, hakim, penjaga adat-istiadat dan pujangga (pembaca ciri). Apabila tertubuhnya sesebuah kerajaan baru, seseorang raja tidak akan sah pemerintahannya sehingga ditabalkan oleh seorang pujangga atau pembaca ciri. Di dalam upacara pertabalan raja di zaman pemerintahan Hindu Srivijaya, ketua sami Brahmin ditugaskan sebagai ‘juru bisik rahsia pemerintah’ dan adat ini dikekalkan sehingga kini di istana Perak. Orang yang berhak membaca ciri dan membisikkan ‘rahsia pemerintah’ ke telinga Sultan Perak ketika istiadat pertabalan ialah Tok Seri Nara Diraja. Di kalangan Brahmin ini juga terdapat segelintir yang bertugas sebagai pemuzik di kuil-kuil dan istana raja.

Pemain Nobat Kesultanan Melayu Perak

Apabila kerajaan Srivijaya di Palembang semakin lemah dan hilang kedaulatannya akibat tekanan daripada kerajaan Majapahit yang berpusat di Jawa, seorang putera raja bernama Parameswara telah berpindah ke Singapura. Setelah memerintah Singapura selama lima tahun, Parameswara sekali lagi berpindah, kali ini ke Melaka, di mana baginda menubuhkan sebuah kerajaan baru. Sebagai seorang putera raja, baginda diiringi oleh pembesar-pembesar, hulubalang serta mereka yang bertanggung-jawab di dalam memelihara adat-istiadat diraja. Pendekatan sistem politik, pentadbiran dan adat-istiadat telah siap terbentuk apabila baginda membuka Melaka. Ini diterangkan di dalam Sejarah Melayu walaupun tidak disebut tentang fungsi ‘orang muntah lembu’ dan kaitannya dengan hal-hal adat istiadat diraja.

Di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Shah (1414-1444), Sultan Melaka ketiga, satu jawatan baru telah diwujudkan yang melibatkan orang kalur. Menurut Sejarah Melayu:
“Adapun Seri Bija Diraja itu sedia asal Melayu, Tun Hamzah namanya, asalnya daripada Muntah Lembu; dipanggil orang Datuk Bungkuk.” Seri Bija Diraja merupakan pembesar negeri yang keempat terpenting selepas Bendahara, Penghulu Bendahari (Seri Nara Diraja) dan Temenggung, sebelum wujudnya jawatan Laksamana. Sama seperti Seri Nara Diraja, Seri Bija Diraja juga tidak diketahui tahap penglibatannya di dalam upacara pertabalan raja-raja Melaka, sebagai kesinambungan kepada peranan yang dimainkan oleh Batala di Palembang.

Namun, perlantikan Tun Hamzah sebagai pembesar Melaka telah meletakkan status orang kalur di tahap yang tinggi. Sehingga jatuhnya kerajaan negeri Melaka pada tahun 1511, jawatan Seri Bija Diraja ini telah diisi oleh sekurang-kurangnya tiga orang dari sebuah keluarga, iaitu Tun Hamzah, anakandanya Tun Kerutup dan cucundanya Sang Setia Tetayan. Setelah Melaka ditawan Portugis, Sultan Mahmud Shah berpindah ke Kampar, Sumatera dan mangkat di sana pada tahun 1528. Dua orang anakandanya telah kembali ke Semenanjung Tanah Melayu dan menubuhkan kerajaan Johor-Riau dan Perak. Sultan Perak yang pertama, Sultan Muzaffar Shah telah ditabalkan di Tanah Abang dan meneruskan tradisi kesultanan Melaka di sana. Sebagai anakanda sulong kepada Sultan terakhir empayar Melayu tersohor, Sultan Muzaffar sudah tentunya tidak bertakhta di Perak tanpa pengikut-pengikutnya serta tradisi yang diwarisinya dari Melaka. Ini termasuklah para pembesar negeri dan alat-alat kebesaran Diraja seperti pedang kerajaan, cap mohor dan nobat serta pemain-pemainnya.

Pemain Nobat Kesultanan Melayu Perak

Kini, Seri Nara Diraja merupakan salah satu jawatan yang dikekalkan dari kesultanan Melaka walaupun fungsinya agak berbeza. Walaupun tiada jawatan Seri Bija Diraja di Perak tetapi keturunannya kekal melalui Seri Nara Diraja. Pemain-pemain nobat pula kekal diperturunkan daripada kesultanan Melaka sehinggalah ke Perak walaupun tidak diketahui nasib alat-alat muzik nobat setelah Melaka ditawan Portugis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

+ 37 = 39