Kaitan Kampung Sungai Batu Di Pantai Remis Dengan Gangga Negara

Kampung Sungai Batu dilahirkan sebagai penempatan baru yang sangat kecil pada asalnya dengan nama Sungai Agas. Rata-rata warga di Sungai Batu hari ini bermula pada pertengahan abad ke 19 iaitu dalam sekitar tahun 1830 hingga 1870 di penghujung zaman jajahan Belanda dan Inggeris.

Pernahkah anda dengar dengan Kerajaan Gangga Negara? Jika ya untuk pengetahuan anda, terdapat pelbagai versi yang dikaitkan dengan nenek moyang penduduk kampung Sungai Batu pada hari ini kerana ianya dikatakan berkait rapat sepenuhnya.

Pada hari ini, penempatan di kampung Sungai Batu di sepanjang tepi jalan kampung Batu 51, Pantai Remis, Batu 17, Pengkalan Bharu, Sungai Tuntung sehinggalah ke Kampung Tengah Panchor bermula dengan kedatangan sekumpulan orang dari negeri Kedah yang berpakat untuk membuka penempatan baru.

Semua kampung yang terletak lebih jauh sedikit ke belakang dari kedudukan jalan raya hari ini merupakan kampung atau penempatan yang baru iaitu kampung Tanjung Ara, Padang Lenga, Matang Kerian, Matang Kubu, Matang Kurau, Parit Marikan, Tebuk Yan, Ujung Pasir, Matang Jambu dan Kampung Nelayan Sungai Batu (Pantai Tin).

peta kampung sungai batu

Menurut cerita orang lama di kampung tersebut, semasa waktu pembukaan kampung Sungai Batu di tanah datar yang bernama Sungai Agas itu, wujud juga penempatan di tanah tinggi Bukit Teluk Sera yang terletak di pinggir kampung Sungai Batu dan mengunjur sehingga ke Tanjung Batu.

Kawasan itu menempatkan kira-kira 30 buah rumah dengan penduduk sekitar dalam 100 orang. Kampung itu dipimpin oleh keluarga Tok Chat (mungkin Arshad) yang datang dari utara Pulau Pinang atau Seberang Perai yang berketurunan campuran Hainan. Mereka belayar dari utara dan berlabuh di kuala Sungai Kelian iaitu yang terletak di kedudukan bekas lombong pada hari ini.

Pada satu hari, perkampungan di Bukit Teluk Sera telah diserang oleh sejenis semut dalam jumlah yang terlalu banyak sehingga menyebabkan penduduk di situ tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Jumlah semut yang banyak itu telah mengganggu semua urusan harian penduduk. Tempat simpanan makanan dipenuhi semut, tempat tidur yang sentiasa diganggu oleh kehadiran semut, bayi terpaksa diawasi rapi sepanjang 24 jam supaya selamat daripada hurungan semut.

Aktiviti ekonomi juga terganggu kerana ketidakselesaan yang melampau kerana gangguan semut. Akhirnya penduduk sepakat mengambil keputusan untuk berpindah turun dari tanah tinggi ke tanah datar di tepi sungai berhampiran penempatan sedia ada di kampung Sungai Agas yang kemudiannya bertukar nama kepada Sungai Batu. Penghijrahan itu berlaku pada tahun 1887.

Ketika itu Tok Chat mempunyai seorang anak kecil yang bernama Ibrahim. Keturunan Ibrahim inilah yang menduduki sebahagian daripada kawasan Permatang Jambu, Matang Kurau, Jalan Parit Marikan dan kampung-kampung berdekatan. Kesan penempatan tua di tanah tinggi Bukit Teluk Sera masih boleh disaksikan di beberapa tempat sekitar Bukit Teluk Sera hari ini.

Sejumlah batu nisan perkuburan lama masih berada di Bukit Teluk Sera. Salah satu daripada kawasan perkuburan itu terletak di bukit dari arah ‘Katoq Pandan’ (katoq bermaksud aliran air yang menuruni bukit atau air terjun bersaiz kecil).

kubur tinggalan

Bentuk muka bumi kampung Sungai Batu dan seluruh kawasan Manjung Utara ini juga telah melalui proses perubahan bentuk yang ketara dalam tempoh yang panjang. Bukti dan analisis berdasarkan prosedur kajian sejarah menunjukkan sebahagian besar daratan yang membentuk kampung-kampung yang dinyatakan dalam perenggan sebelum ini, dulunya merupakan lautan yang berpantai di kawasan berhampiran bukit-bukit dari arah Bukit Gantang hingga ke Beruas.

Catatan Tun Sri Lanang berkaitan kisah Gangga Negara menceritakan bahtera-bahtera yang masuk untuk berlabuh di pelabuhan Gangga dapat ditinjau dari pos peninjau yang terletak di sekitar bukit di antara Kampung Kota dan Gelung Pepuyu hari ini.

Penemuan beberapa bahagian badan bahtera dan peralatan bahtera besar di sepanjang Sungai Beruas pada jarak antara 9 hingga 17 kilometer daripada muara Sungai Beruas di Pantai Remis iaitu di sekitar hujung kampung Tanjung Ara Dalam dan kampung Bumi Hijau mengunjur sehingga ke kampung Pulau Meranti dan kampung Pulau Kabong membuktikan bahawa muara Sungai Beruas pada zaman dahulu terletak berhampiran dengan pekan Beruas atau di sekitar Kampong Kota Beruas.

Gambaran ini membawa kepada benarnya kenyataan bahawa sebahagian besar kampung-kampung yang lebih dekat dengan lautan hari ini masih merupakan lautan pada zaman dahulu.

Artikel ini adalah kontribusi dari Geng Pantai Remis – Sg Batu. Jika anda ada info, maklumat, cerita, aduan untuk dikongsikan bersama, anda boleh terus hantarkan mesej melalui whatsapp kami di talian 014 605 0005. Usah risau kerana butiran anda akan dirahsiakan sepenuhnya bergantung pada permintaan anda. Inilah cara untuk anda lontarkan info yang tidak dapat sambutan, kami bantu anda untuk kongsikan pada umum.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here