Kisah Dendam Gajah Kepada Manusia Di Hulu Perak

Peristiwa gajah mengamuk membalas dendam terhadap manusia yang menggemparkan seluruh negara dalam tahun 1962 adalah berpunca daripada sifat buruk manusia sendiri.

Kisahnya pada waktu petang hari Selasa bertarikh 4 May 1962, seekor gajah liar yang tua telah ditembak mati sewaktu dalam misi mencari dan memburu gajah tersebut dijalankan di dalam hutan Gerik, Hulu Perak kerana telah membunuh seorang wanita tua.

Tuan James Aw selaku Pemangku Ketua Pegawai Mergastua yang turut sama dalam operasi itu menyatakan bahawa setelah bangkai gajah liar tua itu diperiksa, didapati terdapat banyak kesan luka lama akibat daripada bekas puluru.

Dengan melihat kepada kesan luka lama akibat daripada bekas peluru itu, dapat disimpulkan bahawa gajah liar tua itu sengsara dengan perbuatan manusia sehingga menyebabkan ia menjadi liar dan merasakan manusia itu merbahaya kepada dirinya.

Peringatan demi peringatan seringkali diberikan kepada orang awam yang gemar memburu di hutan agar tidak menembak sebarangan gajah atau haiwan-haiwan lain sesuka hati kerana untuk mengelakkan peristiwa seperti ini berlaku lagi kemudian hari.

Sewaktu zaman tahun 1962 itu, tidak ramai orang yang punyai senapang yang boleh membunuh seekor gajah. Oleh kerana kurang kesedaran tentang kepentingan alam, pemburu yang tidak bertanggung-jawab hanya mencederakan gajah sekadar untuk menghalau apabila terserempak.

Berkenaan dengan peristiwa gajah mengamuk membalas dendam terhadap manusia itu tadi, satu laporan polis telah dibuat oleh sekumpulan penanam tembakau yang juga merupakan kenalan kepada mangsa.

Menurut laporan tersebut, sekumpulan penanam-penanam tembakau termasuk mangsa sedang berjalan di dalam hutan untuk menuju ke kebun tembakau mereka. Sewaktu dalam perjalanan, mereka telah terserempak dengan seekor gajah tua yang cukup besar.

Kisah Dendam Gajah Kepada Manusia Di Hulu Perak
gambar hiasan

Tidak sempat buat apa-apa, gajah tua itu segera lari menerkam dan melilit mangsa dengan belalainya. Mangsa itu adalah seorang perempuan bernama Lau Chai dan berusia 54 tahun.

Setelah puas melilit mangsa sehingga lunyai, lalu dicampakkan mangsa sejauh lebih kurang 27 meter. Tidak cukup dengan itu, mangsa turut dipijak-pijak oleh gajah tersebut sehingga mangsa tidak bernyawa lagi.

Tindakan gajah liar tua itu seolah-olah melepaskan dendam kepada manusia yang pernah menyakiti dirinya walaupun individu yang berbeza. Bencinya terhadap manusia dapat dilihat dengan jelas.

Kisah Dendam Gajah Kepada Manusia Di Hulu Perak
gambar hiasan

Kenalan Lau Chai yang turut berada di tempat kejadian sempat melarikan diri dan terus mengadukan hal tersebut kepada pihak polis. Kemudian satu operasi mencari dan memburu gajah tersebut telah dijalankan oleh 4 orang pegawai dari Jabatan Mergastua Perak yang diketuai oleh Encik Ayer Shah Bin Mohamed Panjang.

Encik Ayer Shah adalah individu yang pernah menyelamatkan Tuan James Aw dalam tahun 1960 apabila 3 ekor gajah secara tiba-tiba menerkam dan menyerang Tuan James Aw sewaktu berada di hutan dalam daerah Sungkai.

Dengan tindakan pantas Encik Ayer Shah, nyawa Tuan James Aw dapat diselamatkan dengan merebahkan gajah yang menyerang itu dengan sekali tembak sahaja dari dekat.

Gajah liar tua yang menyerang Lau Chai itu mempunyai ketinggian 9 kaki dan ukur lilit diameter kakinya adalah sebesar 18 inci. Gadingnya pula seberat 20 kg dan umur gajah tersebut dijangkakan kira-kira 40 tahun.

Kisah ini adalah peristiwa yang benar-benar berlaku dan direkodkan supaya dapat dijadikan sebagai pedoman dan pengajaran kepada kita hari ini agar kesilapan yang lalu tidak diulangi lagi.

Rujukan:

  • Berita Harian, 5 May 1962

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangperak.com

LEAVE A REPLY

Amaran:
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Please enter your comment!
Please enter your name here