Kisah sambungan dari Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 1) dan Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 2). Jika anda tertinggal bahagian 1 dan bahagian 2, anda boleh klik pada pautan ini untuk membaca Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 1) atau pautan ini untuk membaca Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 2).
Baginda Raja Aceh pun bertitah dan memanggil Bendahara negeri Perak untuk mengambil buah durian yang diminta oleh isterinya itu dan memberitahunya jika tidak berjaya dapatkan buah durian tersebut, maka bendahara akan dihukum bunuh. Bendahara pun terima titah Raja Aceh tersebut untuk mengambil buah durian yang diminta dan memohon supaya dapat ditangguhkan dalam seminggu lagi. Permintaan bendahara Perak diperkenankan oleh Raja Aceh lalu pulanglah Bendahara Perak ke penjaranya.
Apabila cukup masa seminggu berlalu, bendahara pun menghadap Raja Aceh semula dan memohon supaya disediakan sebatang kayu sepanjang dua depa dan sebesar dua pemeluk. Kayu tersebut hendaklah hujungnya tajam seperti gasing dan diletakkan di pangkal pokok durian tersebut. Apabila semuanya sudah tersedia, maka bendahara pun terus ke pokok durian tersebut dengan berpakain serba hitam. Apabila berada di hadapan kayu sebesar dua pemeluk itu, bendahara pun bertafakur serta berdoa pada tuhan supaya usahanya berhasil. Lalu selepas berdoa, bendahara pun bangun berdiri dan tepuk di hujung kayu di sebelah kanan, maka terjongkitlah sedikit kayu tersebut di sebelah kiri.
Kemudian bendahara tepuk pula di kayu tersebut di sebelah kiri, maka terjongkitlah lagi tetapi kali ini terjongkit atas lalu dipangkunya oleh bendahara kemudian dilambung sekuat hati oleh bendahara Perak ke atas pokok durian tersebut. Maka melayanglah kayu yang sebesar dua pemeluk itu ke hujung pokok durian di hadapan istana. Apabila kayu sebesar dua pemeluk itu jatuh ke tanah, lurutlah semua dahan di atas pokok durian itu ke tanah. Raja Aceh serta Permaisuri terpegun melihat durian yang luruh dan dayang-dayang pun berlari-lari mengutip buah durian yang banyak di atas tanah.
Dalam masa yang kelam-kabut itu, bendahara Perak terus berkejar menuju ke penjara Sultan dan memecahkan kunci pintu penjara lalu membebaskan Sultan. Tanpa membuang masa, mereka semua tahanan Raja Aceh kecuali si Bana yang belot sejak dari awal lagi terus melarikan diri menuju ke sungai untuk menuju ke Kuala Sungai Aceh dengan menaiki kapal. Apabila hampir sampai di Kuala Sungai Aceh, didapati ada tiga lapis rantai besi yang menghalang kapal untuk terus bergerak menuju ke laut. Bendahara Perak mengambil pedang yang bernama Corek Si Mandangkini lalu di tetak nya tiga kali sehingga terputusnya tiga rantai besi itu. Bilah pedang tersebut sumbing sebanyak tiga tempat. Tanpa membuang masa, kapal bendahara pun bergerak menuju ke laut. Mereka pun selamat kerana sudah berada di tengah laut menuju ke Perak semula.
Apabila Raja Aceh sedar akan kehilangan bendahara Perak dan Sultan serta yang lain-lain yang telah melarikan diri, baginda amat murka lalu Bana telah dibawa menghadap Raja Aceh yang sedang murka untuk dilepaskan amarah dan murka terhadapnya. Raja Aceh mengarah supaya Bana dibunuh kejam namun Bana merayu agar untuk memberikan dirinya peluang untuk hidup dan berjanji yang dia sendiri akan membunuh bendahara Perak. Bana memberitahu lagi yang dia adalah anak murid bendahara dan tahu akan kekuatan dan kelemahan bendahara.
Raja Aceh termakan dengan kata-kata Bana lalu baginda bersetuju dan mengarahkan tenteranya serta Bana untuk pergi menyerang Perak semula. Kali ini baginda Raja Aceh ingin menawan negeri Perak. Baginda Raja Aceh memerintahkan ramai hamba, serta rakyat untuk ikut naik ke kapal bersama tenteranya untuk berpindah ke Perak. Kerana itulah niat asalnya untuk menawan negeri Perak. Maka, penuhlah kapak yang belayar dari Aceh dengan rakyat, hamba dan juga tentera ke Kuala Perak dan terus memudik ke Kota Geronggong.
Mereka yang datang dari Aceh pun turun dari kapal dan ke darat terus membuat persediaan untuk bermalam. Ada yang memasak, ada yang mencari kayu api, ada yang membina tempat tinggal sementara dan bermacam-macam lagi. Berkampunglah mereka disitu buat sementara untuk membuat persediaan menyerang Perak. Namun apa yang mereka lakukan semuanya jadi serba tidak kena. Makanan yang dimasak tertumpah ke tanah dengan begitu sahaja. Lauk pauk yang dimasak terhangit. Lembaran daun-daun yang digunakan sebagai pelapik untuk baring berehat pula membuatkan badan gatal-gatal. Pendek kata, apa yang cuba dilakukan pada waktu itu semuanya serba tidak kena dan mereka tidak cukup makan dan tidak dapat tidur lena malam itu.
Esok paginya, mereka dari Aceh yang dengan tidak cukup rehat, perut yang lapar pun bersedia untuk menyerang Perak. Bana yang juga keletihan dan mengetuai tentera tersebut mencari-cari bendahara Perak. Bendahara Perak yang berfikiran jauh memang sudah menjangka akan kehadiran Aceh untuk menyerang Perak ini dan Perak sudah pun bersedia untuk mempertahankan negerinya tidak seperti sebelum ini.
Maka sewaktu dalam pertempuran, maka terserempaklah bendahara dengan Bana. Mereka berdua bertikam lidah untuk melepaskan amarah masing-masing terhadap sikap pembelotan Bana. Bendahara Perak lantas mengangkat lembing dan dilontarkan ke arah Bana lalu tertusuk tebus ke perut Bana tanpa dielak. Bana terus rebah dan mati disitu juga. Apabila tentera Aceh lihat ketua mereka si Bana telah pun mati, maka bertempiaranlah mereka lari dalam keadaan lapar dan letih menyelamatkan diri. Ada yang sempat naik kapal dan lari pulang ke Aceh, ada yang menyerah diri, ada yang lari masuk ke hutan-hutan dan ada yang ditangkap menjadi tawanan perang.
Perkabaran kekalahan tentera Aceh sampai ke telinga Raja Aceh dan baginda sangat malu dan menyumpah tidak akan membenarkan orang Aceh bermastautin di negeri Perak sampai bila-bila. Mereka orang-orang Aceh yang terlalu ramai ditawan di negeri Perak dan bendahara Perak mengambil keputusan untuk mengarahkan yang lelaki menjadi buruh paksa di Kota manakala yang perempuan dilelong menjadi hamba. Maka, sejak dari itu, Aceh tidak lagi menyerang Perak dan keadaan di Perak kembali aman seperti sedia kala.
Tamat.