Sebenarnya, Teluk Intan juga punya produk pelancongan yang tidak ramai orang tahu mengenainya. Selain terkenal sebagai pusat udang galah negara, ianya juga merupakan sebuah bandar lama yang penuh dengan sejarah. Banyak yang boleh diterokai disini dan jika anda ingin tahu apa yang menarik di bandar ini, anda perlu menyelusuri Sungai Perak yang mengelilingi bandar Teluk Intan ini.
Sungai Perak yang mengalir dari Hulu Perak sehingga Bagan Datuk punyai seribu satu cerita dan sejarahnya yang dapat kita hayati. Nadi bagi bandar Teluk Intan itu sendiri ialah Sungai Perak, yang mana ditebingnya itu didirikan pelabuhan yang sekaligus membawa kemakmuran dan penambahan ekonomi kepada Teluk Intan.
Pelabuhan ini dahulunya penuh dengan kapal wap yang datang untuk membawa barang dagangan. Bangunan-bangunan kolonial juga banyak disekitar tapak pelabuhan Teluk Intan ini. Oleh yang demikian, Jelajah Persisir Sungai Perak yang merupakan sebuah projek pelancongan sungai ala-ala River Cruise telah diwujudkan untuk memudahkan pelancong menyelusuri Sungai Perak di sepanjang Teluk Intan.
Inisiatif ini dibuat agar dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri keunikan dan khazanah alam yang tidak ramai dapat mereka terokai. Pelancongan River Cruise Teluk Intan ini dapat membuka mata para pelancong untuk melihat Teluk Intan dari perspektif yang berbeza dari cara yang biasa. Ianya ternyata merupakan keunikan yang tidak patut dilepaskan.
Para pelancong yang menyertai Jelajah Persisir Sungai Perak ini akan bermula di jeti bot penambang Pokok Asam, Teluk Intan. Jeti ini juga mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana ianya merupakan satu-satunya jeti bot penambang yang masih beroperasi untuk membawa penumpang dari Sungai Durian ke pekan Teluk Intan.
Setelah menaiki bot yang akan menyusuri sungai Perak dan sebelum berlepas, para peserta dikehendaki untuk memakai jaket keselamatan dan seterusnya diberikan taklimat keselamatan. Seterusnya pihak pengurusan akan menerangkan tentang destinasi yang akan dituju.
Kawasan pertama yang dituju ialah kawasan restoran terapung berhampiran dengan jeti Persatuan Pengail Teluk Intan. Dikawasan ini kita dapat melihat bangunan-bangunan bersejarah binaan kolonial British seperti Balai Polis Lama, Pejabat Pos, Bangunan HSBC dan Mahkamah Lama Teluk Intan. Dikawasan ini juga para peserta akan diceritakan mengenai masalah hakisan yang sentiasa menghantui Teluk Intan sejak dari dahulu lagi.
Setelah itu para peserta program Jelajah Persisir Sungai Perak Teluk Intan akan dibawa melalui sebuah Tokong Buddha antara yang terindah di Teluk Intan iaitu East Dragon Sea Temple sehinggalah ke sekitar kawasan Kampung Esso.
Kawasan ini dahulunya merupakan tempat untuk menurunkan minyak bagi Syarikat Petrolium Esso. Minyak yang dibawa menggunakan kapal akan disimpan disini lalu dibawa ke seluruh semenanjung menggunakan keretapi. Disini juga kita dapat melihat gudang lama syarikat F&N yang masih utuh berdiri sehingga kini.
Kemudian peserta dibawa melihat tapak bekas Pelabuhan Teluk Anson/Teluk Intan yang disebut ‘waf’ oleh penduduk tempatan. Tinggalan pelabuhan dan stesen keretapi masih dapat dilihat namun semakin uzur diarus masa. Kawasan ini juga terdapat sangkar-sangkar ternakan ikan Talapia dan Patin serta terdapat sebuah restoran terapung terkenal di Teluk Intan.
Kawasan Sungai Perak sekitar Teluk Intan ini terkenal dengan industri pembuatan kapal untuk kegunaan nelayan laut dalam. Dari jalan besar kita tidak dapat melihat pembuatan kapal ini dengan jelas. Tidak jauh dari kawasan pembuatan kapal laut dalam ini terdapatnya sebuah feri Pulau Pinang yang bernama Feri Pulau Rawa.
Ia dibina sekitar tahun 1970 an, feri ini telah digunakan sebagai sebuah medium pengangkutan yang menghubungkan pulau dengan tanah besar bagi penduduk Pulau Pinang. Feri ini kali terakhir digunakan pada tahun 2012 dan ianya kemudian dibeli oleh seorang taikun perniagaan simen Teluk Intan untuk dijadikan sebuah restoran terapung.
Setelah selesai menyelusuri Sungai Perak sekitar Batak Rabit, para peserta akan dibawa ke tempat terpenting dalam jelajah ini iaitu Pulau Bangau. Di sekitar kawasan ini terdapat sebuah enjin kapal wap lama yang terdampar di dalam sungai berhampiran Pulau Bangau ini.
Ianya hanya dapat dilihat ketika air sungai surut. Dipercayai enjin wap ini berasal dari sebuah kapal wap yang terlibat dalam sebuah kemalangan pada akhir kurun ke 18 dahulu. Namun ramai yang menyangka bahawa enjin ini merupakan lokomotif keretapi kerana bentuknya seakan-akan sama.
Di Pulau Bangau ini kita dapat melihat ratusan burung-burung bangau yang menjadikan pulau ini sebagai habitat mereka. Ditambah dengan suasana permandangan petang yang menenangkan dan bangau yang berterbangan, menjadikan pengalaman ini ke tempat ini sebagai suatu pengalaman yang tidak terungkap dengan kata-kata. Pada bulan Mei kita dapat melihat telur-telur burung bangau ini menetas. Ternyata ianya keunikan yang tiada dimana-mana tempat lain.
Jadi bagaimana? Produk pelancongan Teluk Intan ini cukup menarik dan ramai yang tidak tahu tentangnya. Jadi, jika anda ada kelapangan masa bolehlah ke Teluk Intan dan merasai sendiri pengalaman yang diceritakan diatas. Anda boleh terus berhubung dengan pihak pengurusan di talian 012 596 6375 untuk turut serta.