Makanan hak semua adalah tagline buat Dapur Jalanan Ipoh yang berjaya menarik perhatian orangperak.com untuk dimuat naik dan diterbitkan ke dalam laman web orangperak.com dan dikongsikan bersama-sama dengan pembaca setia.
Usaha mereka adalah satu usaha yang unik dan jarang ada yang lakukan di sekitar Perak. Oleh itu, secara tidak langsung merekalah yang terawal menjalankan aktiviti mulia dengan memberi makanan pada masyarakat yang memerlukan secara percuma.
Dapur Jalanan Ipoh berjaya diadakan buat julung pertama kalinya pada 10 Ogos 2014 di Jalan Dato Sagor yang terletak di belakang Masjid Negeri Perak.
Pada hari aktiviti pertama mereka berjalan, ahli-ahli Dapur Jalanan Ipoh telah memberi dan berkongsi makanan dengan gelandangan yang berada di bandar Ipoh. Objektif mereka tercapai pada aktiviti hari pertama walaupun serba kekurangan dari segi kewangan dan promosi.
Menurut krew Dapur Jalanan Ipoh, pada dasarnya objektif utama bukan hanya sekadar memberi bantuan makanan atau minuman semata-mata, malah ada mesej yang tersirat ingin disampaikan oleh Dapur Jalanan Ipoh kepada orang ramai tentang masih ada warga miskin kota yang kurang bernasib baik dan hidup dalam serba kekurangan.
Secara tidak lansung, pihak Dapur Jalanan Ipoh mahu mengubah pandangan buruk masyarakat tentang golongan ini sekaligus cuba untuk membuang jurang antaranya.
Sesiapa saja boleh datang untuk mendapatkan sumbangan dalam bentuk makanan atau minuman secara percuma sepertimana pada tagline Dapur Jalanan Ipoh iaitu Makanan Hak Untuk Semua yang telah menguatkan lagi objektif mereka.
Walau apa pun taraf penerima, pihak Dapur Jalanan Ipoh akan lebih mengutamakan pada pihak yang lebih memerlukan. Untuk makluman anda, Dapur Jalanan Ipoh bukanlah satu badan NGO atau kerajaan. Mereka hanya terdiri dari sekumpulan rakan-rakan yang bergerak secara sendiri dan sukarela dengan berkongsi idea yang sama.
Syukur Alhamdulillah, Dapur Jalanan Ipoh telah mendapat perhatian beberapa badan NGO dan orang awam yang kadangkala turun membantu dan memberi bantuan untuk menjalankan aktiviti Dapur Jalanan Ipoh.
Antara bentuk bantuan yang Dapur Jalanan Ipoh terima kebiasannya adalah seperti makanan, minuman, pakaian dan sebagainya. Sejak 10 Ogos 2014 sehingga ke 12 Mac 2017 yang lalu, sebanyak 62 kali hidangan telah diberikan pada mereka yang memerlukan.
Jika anda berminat untuk membantu Dapur Jalanan Ipoh dalam apa jua aspek, anda boleh terus berhubung dengan laman facebook mereka di sini dan usaha mulia semua krew Dapur Jalanan Ipoh yang terlibat seharusnya dipuji dan seharusnya menjadi contoh dan ikutan buat masyarakat kita yang lain tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama. Semoga krew Dapur Jalanan Ipoh tidak akan pernah rasa jemu dalam menjalankan aktiviti mereka dan teruskan usaha mulia ini!