28 C
Ipoh
Tuesday, 5 November 2024

Temasya Mandi Safar Di Kampung Headwork Teluk Intan

- Advertisement -
- Advertisement -

Bangsa Melayu sememangnya terkenal dengan kepelbagaian budaya dan adat resam sejak dari turun temurun. Apatah lagi orang-orang Melayu pada masa lampau telah lama menganut ajaran Hindu-Buddha kemudiannya diperkenalkan kepada agama Islam setelah pedagang dan pendakwah dari Arab dan India tiba di Tanah Melayu.

Namun setelah memeluk agama Islam, masih terdapat beberapa adat yang berakar dari ajaran yang sudah lama dianuti sebelumnya masih tetap diteruskan.

Kali ini orangperak.com ingin mengupas mengenai perayaan yang sudah lama kita tinggalkan setelah diharamkan oleh pihak berkuasa agama iaitu Pesta Mandi Safar yang dahulunya diadakan di Kunci Air 12 Kampung Headwork, Labu Kubong, Perak.

Secara umumnya, mandi Safar ini diamalkan oleh orang-orang Melayu zaman lampau kerana mereka mempercayai bahawa Bulan Safar ialah sebagai bulan yang membawa sial dan bala.

Kepercayaan itu ditambah dengan dakwaan bahawa dalam bulan Safar terutamanya pada hari Rabu terakhir, Allah banyak menurunkan bala kepada makhluknya di dunia ini.

Orang-orang Melayu terutamanya mereka yang tinggal berhampiran dengan sungai atau pantai akan mengadakan upacara ritual Mandi Safar dengan mandi beramai-ramai yang disertai dengan diiringi jampi serapah dan doa.

Temasya Mandi Safar Di Kampung Headwork Teluk Intan

Upacara ini kemudiannya bertambah meriah sehingga menjadi temasya hiburan pula dengan pelbagai acara sukaneka turut diadakan semasa upacara Mandi Safar berlangsung.

Orang-orang Melayu yang tinggal di Chenderong Balai dan Sungai Manik juga turut mengadakan upacara Mandi Safar tersebut. Upacara ini diadakan di kunci air 12 atau lebih dikenali dengan Head Work atau Hewok oleh penduduk tempatan.

Temasya Mandi Safar Di Kampung Headwork Teluk Intan

Menurut cerita dari orang-orang tua tempatan disini, pada hari upacara Mandi Safar, mereka yang tinggal di Chenderong Balai, Sungai Manik, Langkap, bahkan sejauh dari Sabak Bernam dan Sungai Besar, Selangor akan pergi ke Kunci Air 12 Head Work yang jaraknya lebih kurang 3 batu dari Sungai Manik dengan mengayuh basikal beramai-ramai.

Ada juga yang datang dengan menaiki bas yang melalui Sungai Manik iaitu bas dari Teluk Anson (Teluk Intan) ke Tapah. Gerai-gerai jualan juga di buka pada hari tersebut dan terdapat pelbagai makanan dan minuman disediakan untuk dijual dan dinikmati oleh peserta-peserta Mandi Safar membuatkan upacara tersebut menjadi temasya keraian dan hiburan buat penduduk tempatan.

Temasya Mandi Safar Di Kampung Headwork Teluk Intan

Ritual seperti alunan muzik, nyanyian, jampi serapah dan bacaan zikir tertentu akan dimain serta dibaca bagi mengiringi upacara tersebut. Kemudian keorang ustaz akan tampil mengetuai upacara Mandi Safar dengan membaca ayat Al-Quran dan zikir serta merendam kertas yang dilukis rajah atau lebih dikenali sebagai wafak kedalam sungai sebagai pembuka acara sebelum orang ramai mula bermandi-manda.

Dalam upacara Mandi Safar, peserta akan mandi dengan membaca jampi tertentu sambil menghanyutkan cebisan ayat-ayat Al-Qur’an dan kertas yang ditulis dengan doa. Ada juga segelintir peserta yang mandi dengan air dari dalam botol yang telah dimasukkan kertas bertulis ayat Al-Quran dan diiringi dengan jampi.

Cebisan ayat Al-Quran yang dihanyutkan akan dibawa arus tetapi ada juga yang tersangkut di tebing sungai dan tidak mustahil ada orang yang akan terpijak cebisan tersebut.

Kunci Air 12, Head work yang suatu ketika dahulu pernah menjadi tumpuan orang ramai untuk melakukan Mandi Safar kini dikenali sebagai Jambatan Mc. Donald oleh penduduk sekitar kerana jambatannya berbentuk seperti huruf “M” dan menjadi tempat pilihan pemancing ikan sungai. Di tepi jambatan juga ada disediakan pondok untuk pemancing berteduh dan berlindung dari cuaca panas atau hujan.

Temasya Mandi Safar Di Kampung Headwork Teluk Intan

Amalan upacara Mandi Safar ini pernah menjadi pesta tahunan yang besar di Pantai Tanjung Keling, Melaka pada suatu ketika dahulu. Berdasarkan kepada kepercayaan dengan mengamalkan mandi Safar, berpuasa Safar dan membuat kenduri tolak bala khas di bulan Safar yang kononnya untuk mengelakkan perkara buruk ini dari berlaku adalah khurafat kerana tiada asas ataupun sumber rujukan dari mana asalnya kepercayaan itu.

Terdapat segelintir masyarakat yang menulis ayat wafak pada kertas atau pinggan mangkuk yang kemudian diletakkan dalam tempayan, kolam, perigi atau sungai yang airnya akan dimandikan atau di minum kononnya dapat mengelakkan daripada bala buruk pada hari berkenaan.

Upacara Mandi Safar diadakan kononnya untuk meraikan dan menyatakan kesyukuran kerana junjungan kita Nabi Muhammad SAW telah sembuh daripada sakit yang amat berat. Mereka juga mempercayai bahawa dengan melakukan Mandi Safar akan dapat menghapuskan dosa dan dapat menolak bala.

Mempercayai serta menganggap bulan Safar sebagai bulan pembawa sial atau bala dan kemudian menulis wafa untuk kekebalan atau menghanyutkan cebisan-cebisan Al-Quran dengan sengaja merupakan satu amalan bidaah dan khurafat yang tidak pernah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Mempercayai dan mengamalkan mandi safar merupakan satu dosa besar kerana pada upacara tersebut, lelaki dan perempuan bergaul dengan bebas tanpa batasan. Dalam upacara tersebut, risiko untuk lemas akibat kelalaian dan kecuaian juga amat tinggi.

Temasya Mandi Safar Di Kampung Headwork Teluk Intan

Kita diminta untuk sentiasa meningkatkan amalan-amalan baik dari hari kehari tanpa mengira bulan. Tiada amalan istimewa yang dikhaskan pada bulan Safar yang menjadi amalan Rasulullah SAW dan para sahabat.

Terdapat pelbagai kepercayaan dan amalan yang dikaitkan dengan bulan Safar. Diantara kepercayaan khurafat orang-orang Melayu dulu yang dikaitkan dengan bulan Safar adalah tidak boleh mengadakan majlis perkahwinan dan keramaian kerana boleh membawa bala seperti:

  • Pasangan pengantin akan sentiasa mendapat dugaan dan tidak akan bahagia
  • Pasangan akan sukar atau tidak akan mendapat zuriat.
  • Jodoh pasangan pengantin tersebut tidak akan berkekalan.
  • Bayi yang lahir pada bulan Safar akan bernasib malang.
  • Bayi tersebut dipercayai akan membawa malang atau sial.
  • Bayi mudah mendapat penyakit dan tidak sihat.

Bubur merah dan bubur putih akan dimasak dan dijamu kepada jiran-jiran supaya bayi yang lahir pada bulan safar tidak sakit dan tidak ditimpa malang.

Mereka juga mempercayai burung hantu petanda kemudaratan dalam bulan ini. Jika seseorang bertemu dengan burung hantu semasa dalam perjalanan di bulan Safar, mereka harus berpatah semula kerana dipercayai bahawa jika mereka meneruskan perjalanan, mereka akan ditimpa kemalangan.

Temasya Mandi Safar Di Kampung Headwork Teluk Intan

Kemudian, mereka juga burung gagak membawa petanda berlakunya kematian. Jika burung gagak berlegar-legar di kawasan rumah dalam bulan Safar, dipercayai akan berlaku kematian dalam masa terdekat.

Turut dipercayai bahawa Rabu terakhir adalah hari malang. Pada hari Rabu terakhir di bulan Safar, kebiasaannya ibu bapa pada masa lalu akan cuba menghalang anak mereka daripada melakukan aktiviti di luar rumah kerana mereka percaya bahawa akan berlaku suatu perkara yang buruk pada hari tersebut.

Riwayat Imam Al- Bukhariyang bermaksud:
“tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung, tiada bala bulan Safar dan larilah engkau dari orang yang berpenyakit kusta sepertimana engkau lari dari singa”

Kepercayaan karut yang menyalahi akidah akan membawa kepada syirik dan akan merosakkan iman. Ia akan mempengaruhi amalan yang mana amalannya tidak diterima oleh Allah SWT Mengamalkannya pula adalah bid’ah dhalalah dan hukumnya adalah haram.

Terdapat banyak lagi kepercayaan dan amalan-amalan yang karut berkaitan dengan bulan Safar ini mengikut kawasan-kawasan dankaum-kaum tertentu.

Temasya Mandi Safar Di Kampung Headwork Teluk Intan

Oleh itu ilmu agama yang berpandukan al-Qur’an dan as-Sunnah adalah neraca untuk menilai setiap sesuatu samaada mengikut syarak atau sebaliknya. Dengan usaha ahli-ahli agama dan berkat kesedaran Islam di kalangan masyarakat Melayu, upacara ini berjaya dihapuskan sedikit demi sedikit. Kini upacara mandi Safar sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu.

- Advertisement -
Iskandar Zulqarnain
Iskandar Zulqarnain
Pengasas bersama orangperak.com dan Jejak Warisan Teluk Intan
Terkini
- Advertisement -

Moh baca!

Related news
- Advertisement -

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here